Wednesday, March 3, 2010

Keistimewaan pasar 'bisik-bisik'

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
muin.sapidin@utusan.com.my



SEORANG pembeli (kanan) berbisik dengan salah seorang nelayan untuk menetapkan harga ikan di Pasar Bisik di Kuala Muda, Kepala Batas, Pulau Pinang. - UTUSAN/Sazali Che Din

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA MUDA 3 Mac 2010 - Seorang akauntan syarikat swasta, Roniy Foo tidak pernah bosan setiap kali menemani isterinya membeli pelbagai jenis hasil laut yang terdapat di Pasar Bisik Kuala Muda di sini.

''Pertama, ia menjanjikan pengalaman baru setiap kali datang melihat suasana perkampungan nelayan ini, macam-macam ragam boleh dilihat.

"Kedua, kerana harganya (hasil laut) yang sangat berpatutan," katanya.

Roniy yang berasal dari Kuala Lumpur menambah, keistimewaan Pasar Bisik adalah cara urusniaga itu dilakukan iaitu dengan bisik membisik antara para pembeli dan nelayan.

''Mula-mula kekok juga, tapi lama kelamaan ia memberi keseronokan.

"Saya tertanya-tanya sama ada pengalaman begini boleh didapati di tempat lain kerana bagi saya ia cukup istimewa," tambahnya yang sudah empat tahun bertugas di Pulau Pinang.

Prinsip jualan bisik cukup mudah.

Pembeli atau pemborong ikan akan berbisik kepada nelayan untuk membeli pelbagai jenis tangkapan laut seperti ikan, sotong, udang dan ketam.

Melalui kaedah unik itu, pembeli atau pemborong akan menawarkan harga yang diingini dan nelayan akan menjual hasil tangkapan berdasarkan 'harga bisik' yang paling tinggi ditawarkan.

Itulah istimewanya Pasar Bisik Kuala Muda.

Terletak di pinggir laut dan dikelilingi penempatan tradisi nelayan, pasar tersebut sebenarnya mampu menjadi produk pelancongan baru di Pulau Pinang.

Hakikat itu diakui sendiri oleh para nelayan dan penduduk yang berpendapat Pasar Bisik itu wajar dimajukan menjadi salah satu lokasi popular di negeri ini.

Pengerusi Pusat Bisik Kuala Muda, Mohd. Noor Ibrahim berkata, pasar itu sebenarnya sudah lenyap lebih 18 tahun lalu selepas Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperkenalkan sistem baru yang membolehkan nelayan menjual hasil tangkapan kepada agensi berkenaan.

Bagaimanapun, kejadian tsunami pada tahun 2004 telah memberi rahmat besar sehingga membawa kepada usaha menghidupkan semula sistem tersebut dengan pembinaan Pasar Bisik Kuala Muda.

''Nilai-nilai sejarah inilah sepatutnya ditonjolkan kerana kewujudan pasar begini di tempat lain boleh dikatakan sudah pupus.



ORANG ramai memenuhi ruang Pasar Bisik untuk membeli ikan secara berbisik untuk menentukan harga setiap hasil laut di Kuala Muda, Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



"Ini sudah menunjukkan betapa istimewanya tempat ini," katanya.

Seorang nelayan, Bakar Ahmad, 71, pula berkata, keunikan urusan jual beli yang menggunakan konsep bisik antara nelayan dan pelanggan ada daya tarikan tersendiri dan menjadi identiti perkampungan nelayan itu.

''Pelancong asing mudah tertarik dengan konsep begini kerana saya percaya jual beli berbisik tidak diamalkan di negara mereka.

"Sepatutnya perkara ini yang patut ditonjolkan," jelasnya.

Malah katanya, kawasan tersebut boleh dianggap bersejarah kerana turut dilanda tsunami dahsyat ekoran gempa bumi di Aceh pada tahun 2004 yang turut mengorbankan nyawa seorang nelayan di situ.

Penduduk Kuala Muda, Mohd. Salleh Man, 69, bagaimanapun berkata, matlamat untuk menjadikan Pasar Bisik Kuala Muda sebagai lokasi pelancongan perlu dimulakan dengan penyediaan kemudahan dan prasarana yang lebih baik.

''Usaha menjadikan kawasan ini sebagai lokasi pelancongan akan memberi manfaat secara langsung kepada penduduk sama ada dari aspek pembangunan ekonomi dan sosial," katanya.

Celcom sasar penguasaan di Pantai Timur

Sulaiman Ahmad (tiga dari kanan) bersalaman dengan pelanggang yang membuat pembayaran bil pada pelancaran Celcom EXclusif Partner (CXP) sambil disaksikan oleh Tuan Rosli Tuan Shaari (dua dari kanan) dan Pengurus Besar Celcom Kelantan, Rooshihan Merican di Kubang Kerian, Kota Bharu, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KOTA BHARU 2 Mac 2010 - Celcom Axiata Bhd. menyasarkan akan terus menerajui pasaran perkhidmatan telekomunikasi di Pantai Timur dengan penguasaan lebih besar berbanding 53 peratus tahun lalu.

Naib Presiden Celcom Wilayah Timur, Datuk Sulaiman Ahmad berkata, dengan pelbagai penambahbaikan dari segi kualiti rangkaian dan kemudahan, perolehan syarikat dijangka dapat ditingkatkan daripada RM1.04 bilion kepada RM1.2 bilion.

Katanya, pada masa yang sama, pihaknya akan berusaha menarik 1.2 juta pelanggan baru terutama prabayar dan pascabayar di samping 100,000 pelanggan jalur lebar melalui pelbagai promosi.

''Pantai Timur menyumbang RM1.04 bilion daripada keseluruhan perolehan syarikat yang berjumlah RM6.32 bilion sepanjang tahun lalu melalui 2.1 juta pelanggan," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas melancarkan Celcom EXclusif Partner (CXP), di Kubang Kerian, dekat sini hari ini.

CXP merupakan pendekatan rakan niaga dengan para usahawan tempatan untuk mengendalikan perkhidmatan bagi pihak Celcom dalam usaha memudahkan pelanggan berurusan yang selama ini terpaksa ke pusat bandar.

Ini termasuk pembayaran bil, pendaftaran baru dan pertukaran daripada prabayar kepada pascabayar, pertukaran kad sim dan pendaftaran perkhidmatan jalur lebar.

Menurut beliau, dengan pelancaran terbaru itu, terdapat 12 CXP di seluruh Kelantan dan secara keseluruhannya meningkatkan jumlah kemudahan tersebut di Pantai Timur kepada 47 buah.

Katanya, beliau berharap perniagaan CXP di Kubang Kerian yang dimiliki Tuan Rosli Tuan Shaari akan terus berkembang seiring dengan perkembangan Celcom sebagai pengendalian perkhidmatan telekomunikasi unggul di negara ini.

Tuan Rosli yang merupakan bekas pemain bola sepak dan pernah mewakili beberapa negeri sebelum ini menyifatkan kesediaan Celcom menerimanya mengendalikan CXP sebagai satu langkahan besar dalam perniagaannya.

Jalenas tingkat infrastruktur HSBB

Oleh YUSRI SAHAT
bisnes@utusan.com.my

KUANTAN 2 Mac 2010 - Syarikat Jalur Lebar Nasional Sdn. Bhd. (Jalenas) melabur sebanyak RM150 juta bagi meningkatkan infrastruktur gentian optik perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) di bandar ini.

Pengarah Eksekutif Jalenas, Heikal Mohd. Ali berkata, projek pemasangan gentian optik yang dijangka siap pada Julai ini, akan memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 isi rumah yang menggunakan perkhidmatan jalur lebar di bandar ini.

Bagi tujuan itu, kata beliau, sebanyak empat syarikat multinasional telah menandatangani perjanjian dengan Jalenas manakala tiga lagi sedang dalam perbincangan.

"Kita melabur sebanyak RM150 juta bagi fasa di bandar Kuantan dahulu sebelum diperluaskan ke tempat lain," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah saluran kabel bawah tanah oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi syarikat High Speed Broadband Technology Sdn. Bhd. (HSBT), Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin.

Jalenas merupakan syarikat milik penuh HSBT iaitu anak syarikat Pahang Technology Resources Sdn. Bhd. dan Bumiraya Resources Sdn. Bhd.

Heikal memberitahu, pihaknya menyasarkan capaian sebanyak 30,000 isi rumah dan pejabat dengan kelajuan antara 30 hingga 100Mbps melalui pelbagai syarikat pembekal perkhidmatan di bandar ini menjelang akhir tahun ini.

Beliau juga yakin Kuantan akan setaraf dengan Singapura dan Hong Kong yang mempunyai capaian HSBB menerusi jaringan gentian optik tidak lama lagi.

"Projek ini adalah sebahagian daripada Dasar Jalur Lebar Negara apabila kita menyokong syarikat-syarikat pembekal untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat," jelasnya.

Selain penyediaan perkhidmatan kepada isi rumah, tambahnya, projek itu akan mempercepatkan lagi kemajuan ekonomi negeri dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Sementara itu, Adnan berkata, sebagai syarikat milik kerajaan negeri, Jalenas mempunyai tanggungjawab sosial dalam menyediakan perkhidmatan HSBB.

Jelas beliau, penubuhan Jalenas bukan bertujuan menyaingi mana-mana syarikat terutama Telekom Malaysia Bhd. sebaliknya menjadi pelengkap kepada penyediaan infrastruktur jalur lebar.

''Kita mahu memenuhi agenda kerajaan untuk mencapai penembusan jalur lebar sebanyak 50 peratus di seluruh negara menjelang akhir tahun ini," jelasnya.

Malaysia perintis projek usahawan tekno

Saeed Amidi (kiri) bertukar-tukar dokumen perjanjian dengan Eu Hong Chew sambil diperhatikan Othman Omar di Shah Alam, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



SHAH ALAM 2 Mac 2010 - PlugandPlayTechCenter.com (PnP Tech) merancang menjadikan negara ini dan bandar pintar, i-City di sini sebagai projek perintis keusahawanan teknologi di Asia.

Setakat ini, PnP Tech yang merupakan penyedia kemudahan dan pembina jaringan usahawan teknologi dan telekomunikasi berpangkalan di Amerika Syarikat sudah memasuki pasaran Malaysia dan Singapura bagi memperkenalkan konsep keusahawanan berkenaan.

Presidennya, Saeed Amidi berkata, Malaysia menawarkan potensi yang besar dalam bidang keusahawanan teknologi memandangkan pendedahan terhadap industri itu masih kurang.

Kata beliau, pihaknya akan melihat kejayaan PnP Tech di negara ini sebelum mengembangkan sayap di China, India dan Indonesia.

''Kewujudan kami di Singapura adalah lebih kepada pelaburan berbanding pembinaan jaringan keusahawanan teknologi dan telekomunikasi.

''Selepas ini, usahawan teknologi dan komunikasi di i-City akan dihubungkan melalui jaringan Lembah Silikon di Amerika Syarikat (AS) yang menyaksikan potensi pertumbuhan perniagaan yang lebih meluas,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani perjanjian perikatan antara i-City, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan PnP Tech.

Hadir bagi menyaksikan majlis itu ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Pengurus Besar PKNS, Othman Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif i-City Properties Sdn. Bhd., Eu Hong Chew.

Di bawah perjanjian tersebut, kerajaan negeri Selangor akan melabur sejumlah RM50 juta melalui agensi-agensinya dalam beberapa syarikat usahawan teknologi di bawah program PnP Inkubator.

I-City merupakan bandar pintar teknologi yang dimajukan oleh I-Berhad yang diasaskan oleh Datuk Lim Kim Hong.

Bandar itu seluas 72 ekar bagi pegangan bebas meliputi perbandaran komersial bersepadu bernilai RM2 bilion.

Sementara itu, Saeed berkata, setakat ini, sebanyak 288 syarikat di Lembah Silikon yang telah mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh PnP Tech.

Malah, katanya, antara syarikat ternama yang sudah menjalin kerjasama dengan PnP Tech adalah Sun, Yahoo, Microsoft, SAP, Nokia, Ebay and Google.

Tuesday, March 2, 2010

Proton lancar kereta konsep siri Emas sebagai tarikan global (2/3/10)

GENEVA: Proton Holdings Bhd melancarkan tiga kereta konsep, siri Emas, yang akan membantu meningkatkan tarikan globalnya serta membina kereta untuk pasaran dunia pada masa akan datang.

Penasihat Proton, Tun Dr Mahathir Mohamed, berkata Proton sedang memutuskan reka bentuk akhir dan berharap memulakan kerja membinanya secepat mungkin.

"Ia akan mengambil masa lebih setahun. Saya mahu lakukannya dalam tempoh setahun, tetapi mereka berkata ia akan mengambil masa yang lebih panjang," katanya kepada media Malaysia pada pelancaran kereta konsep di pameran Kereta Antarabangsa Geneva ke-80 di sini, hari ini.

Siri Emas, akronim bagi “Eco Mobility Advance Solution”, pada masa ini menawarkan tiga varian dan adalah usaha sama dengan Lotus dan firma reka bentuk Itali, Italdesign Giugiaro.

Dilancarkan sempena jubli perak Proton tahun ini, siri EMAS dibangunkan sesuai dengan deskripsi kereta kompak dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) dengan ruang tempat duduk penumpang.

Ia terdiri daripada Emas hatchback lima pintu empat tempat duduk untuk keselesaan pemanduan, Emas Country hatchback dengan tiga pintu lima tempat duduk serta Emas3 dengan tiga pintu 3+1 tempat duduk, untuk pemanduan di bandar.

Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir, berkata kelebihan jualan kereta-kereta terbabit ialah ruang dan keselesaan sambil mengekalkan dimensi kecilnya.

"Dari luar ia nampak sangat kecil, namun dalamanya bersaiz SUV. Daripada sudut pandangan pemandu ia sangat selesa," katanya.

Syed Zainal berkata, Proton mendengar pandangan pelanggan untuk memastikan pembangunan kereta global yang memenuhi keperluan dan jangkaan mereka.

Pengerusi Proton, Datuk Mohd Nadzmi Mohd Salleh, berkata pada pelancarannya, memenuhi jangkaan global adalah cara yang penting dalam pembangunan pasaran pembuat kereta nasional mulai sekarang.

"Kami menyedari bahawa pasaran domestik sangat terhad dan ia adalah permulaan baru untuk kami. Dan bagi Proton untuk melangkah ke depan, kami perlu memasuki pasaran yang lebih besar," katanya. - Bernama

AirAsia buat tawaran menarik promosi Jualan Hebat

02/03/2010 6:58pm


KUALA LUMPUR 2 Mac – AirAsia kini menawarkan tiket sehala dari serendah RM9 ke kesemua rangkaiannya bersempena promosi “Jualan Hebat"nya.

Jualan bagi tempoh seminggu dari 3 Mac hingga 7 Mac itu adalah bagi tempoh perjalanan dari 25 September, 2010 hingga 13 Februari, 2011, melalui laman webnya www.airasia.com atau mobile.airasia.com, kata syarikat penerbangan itu di dalam satu kenyataan hari ini.

Para pengembara, katanya, boleh mendapatkan tambang murah dari serendah RM9 sehala ke Johor Bahru, Kota Bharu, Langkawi, Pulau Pinang dan Kuala Terengganu.

Bagi laluan antarabangsa, ia menawarkan tambang serendah RM29 bagi perjalanan sehala dengan laluan Australia seperti Gold Coast, Melbourne dan Perth boleh diperolehi dari serendah RM149.

Sebagai tambahan, tawaran lain termasuk RM131 bagi perjalanan ke Hong Kong dan RM699 ke London.

Syarikat penerbangan itu turut menawarkan secara serentak kempen secara online “Kegilaan Mac” di dalam tempoh tempahan yang sama antara 3 Mac hingga 7 Mac bagi para pengembara untuk menikmati perjalanan antara 23 Mac dan 31 Mei. – Bernama

Monday, March 1, 2010

Takaful Ikhlas labur hartanah komersial (1/3/10)

Oleh Kamarulzaidi Kamis
kamarulzaidi@bharian.com.my
TAKAFUL Ikhlas Sdn Bhd, anak syarikat MNRB Holdings Bhd, yang melabur RM97 juta bagi membeli dan mengubah suai dua menara pejabat di Bangsar South, Kuala Lumpur, bercadang untuk terus melabur dalam hartanah komersial bagi meraih pendapatan sewa yang kukuh dalam jangka panjang.

Susulan pemilikan menara pejabat berkenaan, pengendali perkhidmatan kewangan perlindungan berlandaskan Syariah itu memindahkan ibu pejabatnya dari Seksyen 19, Petaling Jaya ke bangunan berkenaan yang dikenali sebagai Ikhlas Point.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman, berkata perpindahan kumpulan itu ke Bangsar South menjadi titik permulaan kepada rancangan mempelbagaikan pendapatannya dalam bidang hartanah selain menumpukan kepada ekuiti, tunai dan bon.

“Hartanah adalah pelaburan yang baik kerana hasilnya lebih tinggi. Kami membeli bangunan itu pada harga yang amat rendah ketika kelembapan ekonomi baru-baru ini.

“Dalam tempoh setahun, harganya sudah meningkat kira-kira 26 peratus dengan unjuran pendapatan sewa yang agak tinggi,” katanya kepada media selepas majlis perasmian ibu pejabat baru kumpulan itu di Kuala Lumpur, semalam.

Majlis yang disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin itu turut dihadiri Pengerusi Takaful Ikhlas, Sharkawi Alis.

Syed Moheeb berkata, kumpulan itu bercadang membeli lebih banyak hartanah, khususnya bangunan pejabat yang boleh disewa bagi menjana aliran pendapatan lebih kukuh kepada kumpulan.

“Kumpulan menyasar pelaburan hartanah menyumbang sekurang-kurangnya 20 peratus daripada keseluruhan pendapatan portfolio pelaburan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2011,” katanya.

Aset Takaful Ikhlas kini berjumlah lebih RM1.2 bilion, yang mana 60 peratus daripadanya adalah daripada Dana Keluarga, manakala bakinya adalah Dana Pemegang Saham serta Dana Risiko Am.

Sementara itu, Awang Adek berkata, sektor takaful di Malaysia yang terdiri daripada takaful keluarga dan takaful am, mencatat peningkatan 10 peratus kepada RM3.5 bilion tahun lalu berbanding RM3.2 bilion pada 2008 dan ia dijangka berkembang kepada RM5.5 bilion menjelang 2013.

“Pelanggan kini disediakan dengan pelbagai produk serta perkhidmatan takaful baru dan lebih inovatif menerusi saluran penghantaran yang lebih cekap.

“Namun, permintaan untuk mendapatkan produk dan perkhidmatan lebih sofistikated memerlukan pengendali takaful memberi tindak balas segera bagi memenuhi keperluan berkenaan, justeru meningkatkan penguasaan pasaran,” katanya.