Sunday, March 7, 2010

TM sasar 5,000 PKS (7/3/10)

Oleh WAN NAJIB WAN DAUD
pengarang@utusan.com.my

SHANTI Jusnita Johari (tengah) bersama Pengarah Urusan Marketing Solutions TM SME, Mohamad Yusman Ammeran (kanan) dan Naib Presiden Retail Product TM SME, Azizi Abdul Hadi ketika merasmikan Pakej TM SOHO SME di Sunway Pyramid, Petaling Jaya, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

PETALING JAYA 6 Mac 2010 – Telekom Malaysia Bhd. (TM) menjangka dapat menarik 5,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebulan untuk melanggan pakej serba lengkap Office In A Box yang dilancarkan hari ini.

Naib Presiden Eksekutif TM SME, Shanti Jusnita Johari berkata, set lengkap Office In A Box merupakan pakej terbaru mengandungi kombo jalur lebar dan telefon terkini khusus untuk PKS dan pejabat-pejabat di rumah atau lebih dikenali sebagai ‘Small Office Home Office’ (SOHO).

“Mulai hari ini bagi usahawan PKS dan SOHO boleh mendapatkan pakej lengkap terbaik dari TM yang direka khusus dengan tawaran yang istimewa,’ katanya selepas majlis perasmian Pakej Office In A Box di sini hari ini.

Dengan bayaran langganan sebanyak RM198, pelanggan akan menerima perkhidmatan jalur lebar perniagaan berkelajuan 1Mbps, modem tanpa wayar percuma, RM88 nilai panggilan, telefon tanpa wayar percuma, alamat e-mel pilihan pelanggan, akaun Streamyx Zone serta pengecualian sewa bulanan perkhidmatan TM Businessline.

Menurut Shanti Jusnita, pakej yang ditawarkan itu adalah penyelesaian terbaik dan menawarkan nilai kepada wang serta mampu memenuhi keperluan perniagaan, sama ada untuk syarikat sedang berkembang hinggalah syarikat yang telah berdiri kukuh.

Katanya, pengenalan produk baru ini membolehkan TM menawarkan gabungan perkhidmatan ICT bijak yang diperlukan oleh perniagaan baru serta berkembang maju.

Beliau berkata, penyelesaian mampu milik juga mampu mempertingkatkan penggunaan jalur lebar di kalangan komuniti PKS di kalangan golongan tersebut.

“TM amat berbangga kerana dapat membantu PKS dan SOHO menjalankan perniagaan dan urusan mereka dengan tawaran penjimatan paling hebat selain ia jalan penyelesaian terbaik ia semudah mungkin untuk menjadi penyelesaian berintegrasi,” katanya.

Produk Office In A Box ini boleh didapati di seluruh negara dengan mengunjungi cawangan TMpoint, pengedar terpilih atau melayari www.tmsme.biz atau menghubungi 1800-88-SME.

Friday, March 5, 2010

PPB Group labur RM600j keluarkan tepung, roti (6/3/10)

Oleh Kamarulzaidi Kamis
kamarulzaidi@bharian.com.my
ual ladang tebu buka operasi di Indonesia, Vietnam, China

PPB Group Bhd, syarikat yang dikuasai 'Raja Gula', Tan Sri Robert Kuok Hock Nien, bercadang menggunakan RM600 juta daripada kira-kira RM1.3 bilion hasil jualan aset perladangan dan pengeluaran tebu di Malaysia untuk mengembangkan operasi pengeluaran tepung di Indonesia, Vietnam dan China serta pengeluaran roti di Malaysia.

Pengarah Urusannya, Tan Gee Sooi, berkata bakinya dipulangkan kepada pelabur dalam bentuk dividen khas berjumlah RM592.75 juta atau 50 sen sesaham.

"Kami tidak bercadang untuk kembali menceburi bidang gula di Malaysia, teta-

pi ia tidak bermakna ka-

mi tidak mahu mengembangkan segmen itu di negara lain.

"Di Malaysia, kami sudah membina sebuah kilang roti di Pulau Indah yang akan beroperasi menjelang akhir tahun ini dan kami bercadang untuk membina lebih banyak lagi kilang berkenaan di negara ini.

"Susulan itu, kami akan memperkenalkan jenama roti baru kepada pengguna Malaysia sedikit masa lagi dengan resipi kami sendiri. Jenama berkenaan masih 'rahsia' buat masa ini, biarlah ia menjadi satu kejutan," katanya pada taklimat media mengenai prestasi dan prospek syarikat berkenaan di Kuala Lumpur, semalam.

Tan berkata, pihaknya melihat terdapat potensi besar dalam industri pengeluaran tepung di Indonesia susulan jumlah penduduknya yang ramai.

"Jumlah penggunaan tepung gandum secara perkapita di Indonesia masih rendah berbanding di Malaysia iaitu, antara tujuh hingga lapan kilogram (kg) bagi setiap orang berbanding lebih 13 kg di negara ini.

"Kilang tepung pertama kami di Indonesia telah mula beroperasi Oktober tahun lalu dengan keupayaan 1,000 tan sehari. Paling menarik, harga tepung di Indonesia tidak dikawal," katanya.
Beliau berkata, Vietnam pula adalah sasaran kedua PPB kerana kadar penggunaan bahan maka-nan itu yang masih juga rendah.

"Ketika ini kami memiliki sebuah kilang di sana dengan kapasiti pengeluaran 400 tan sehari. Walaupun tahun lalu ia kerugian ekoran penurunan nilai mata wang negara itu, kami yakin ia akan kembali menjana keuntungan berikutan kadar penggunaan pengguna masih rendah, penurunan harga gandum dan kemudahan mendapat lesen operasi baru dengan pemilikan 100 peratus," katanya.

Sementara itu, Tan menjelaskan, susulan PPB juga adalah syarikat sekutu Wilmar International Ltd yang memiliki operasi pengeluaran tepung di China, pihaknya juga meninjau peluang mengembangkan operasi di negara berkenaan.

Mengulas mengenai prospek tahun kewangan semasa, Tan berkata, kumpulan itu yakin mampu meraih keputusan lebih baik berikutan pelupusan perniagaan gulanya serta sumbangan berterusan daripada Wilmar.

Bagi tahun kewangan berakhir Disember 2009, PPB mencatatkan keuntungan sebelum cukai lebih tinggi iaitu RM1.455 bilion, dirangsang sumbangan tinggi sebanyak RM1.21 bilion daripada sekutunya, Wilmar International.

Thursday, March 4, 2010

Tesco sasar 15 peratus jualan jenama sendiri

Orang ramai berpusu-pusu mengunjungi Pasaraya Tesco sempena pembukaannya di Bukit Indah, Johor Bahru semalam,

--------------------------------------------------------------------------------



JOHOR BAHRU 4 Mac - Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd., menyasarkan peningkatan jualan 15 peratus bagi produk jenama sendiri pada tahun ini.

Ketua Pengawai Eksekutifnya, Chris Bush berkata, unjuran sasaran itu adalah dua peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata, bagi mencapai sasaran itu pihaknya telah menambah lebih banyak produk jenama Tesco di cawangan pasar raya itu di seluruh negara dan setakat ini, hampir 4,000 produk jenama sendiri ditawarkan merangkumi barangan makanan dan bukan makanan.

"Produk jenama Tesco terbahagi kepada tiga jenis iaitu Tesco Value, Tesco Choice dan Tesco Import UK yang merupakan antara penyumbang utama kepada pendapatan syarikat.

"Produk di bawah kategori Tesco Value menawarkan harga paling murah di pasaran, manakala Tesco Choice pada harga lebih murah sehingga 40 peratus berbanding produk jenama terkenal di pasaran tempatan," katanya pada majlis pembukaan cawangan terbaru Tesco di Bukit Indah di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Tesco, Tim Golding; Pengarah Wilayah Selatan, Corine Boudville; Pengarah Kawasan, Brandon Sta Maria dan Pengurus Besar Cawangan, Kumaran Supramaniam.

Menurut Bush, pasar raya itu turut memperkenalkan rangkaian pakaian jenama Tesco dikenali sebagai Florence and Fred (F&F) dengan harga yang lebih murah.

"Bagi memudahkan para pelanggan membuat pilihan, konsep baru di bahagian pakaian turut diperkenalkan dengan seluar dan baju diletakkan secara bersebelahan serta lebih banyak pilihan fesyen.

"Kita juga menjangkakan F&F mampu menyumbang sebanyak empat peratus bagi keseluruhan produk jenama sendiri pada tahun ini," katanya.

Mengenai cawangan baru kelima di Johor dan yang ke-33 di seluruh negara itu, Bush berkata, pembukaannya membuktikan komitmen Tesco untuk terus membuat pelaburan yang bersesuaian di negara ini.

Selain itu, pembukaan pasar raya baru itu turut menawarkan 400 peluang pekerjaan kepada penduduk di sekitar kawasan Bukit Indah.

Tesco juga yakin mampu bersaing dengan kompetitif dengan pasar raya besar sedia ada di kawasan berkenaan.

Raffles akan labur RM200 juta di Iskandar Malaysia

BEIJING 4 Mac 2010 - Raffles Education Corporation Ltd., penyedia pendidikan swasta terbesar di Asia Pasifik, merancang melabur kira-kira RM200 juta dalam tempoh lima tahun untuk menubuhkan sebuah universiti penuh di Iskandar Malaysia.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Chew Hua Seng berkata, projek itu, yang akan dikenali sebagai Universiti Raffles Iskandar, akan dibangunkan mengikut beberapa peringkat.

Raffles Education, dengan kerjasama Education@Iskandar Sdn. Bhd. - sebuah anak syarikat milik penuh Iskandar Investment Bhd., kini sedang melaksanakan satu kajian kemungkinan mengenai rancangan itu, katanya selepas lawatan media ke Oriental University City di Bandaraya Langfang, yang terletak kira-kira sejam perjalanan dari Beijing.

Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif dan Ketua Wakil di Beijing Khazanah Nasional Bhd. Ben Chan dan Ketua Pegawai Eksekutif Oriental University City Ltd. (OUCL) Liu Yan Wen.

Khazanah, cabang pelaburan kerajaan Malaysia, mempunyai kepentingan 60 peratus di dalam Iskandar Investment. Baru-baru ini, ia mengambil alih kepentingan 10 peratus di dalam OUCL dari Raffles Education pada harga AS$44 juta (RM150 juta).

Sebaik selesai kajian kemungkinan, pemerolehan lesen universiti, vokasional dan teknikal dan kelulusan lain, Hua Seng berkata, Raffles Education Corp dan Education@Iskandar akan mewujudkan satu syarikat usahasama di Malaysia bagi membina dan mengendalikan Raffles University Iskandar.

"Kami perlu memohon kepada Kementerian Pengajian Tinggi. Saya percaya semuanya akan dilakukan di dalam tempoh setahun dan kami akan membina secara berperingkat-peringkat, yang termasuk hostel.

"Sebaik kami mendapat kelulusan, kami berhasrat untuk memulakan pada skala kecil di kemudahan itu yang akan ditawarkan oleh Iskandar Malaysia," katanya.

Katanya, Raffles Education akan menjadi pemegang saham utama syarikat usahasama itu.

Universiti Raffles Iskandar yang dicadangkan itu akan dimajukan di atas tapak seluas 26 hektar dan akan menawarkan pelbagai program ijazah pertama yang termasuk perniagaan, teknologi, sastera dan rekabentuk, sains kesihatan, pendidikan dan pengkhususan sains sosial.

Universiti itu menyasarkan kira-kira 5,000 pelajar di dalam tempoh lima tahun pertama.

Hua Seng berkata, Raffles Education turut berharap untuk menarik para pelajar dari negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia mengikuti pengajian di universiti yang dicadangkan.

Raffles Education mengendalikan 33 kolej di 31 bandaraya di 11 negara.

Sementara itu, Chan berkata Raffles Education akan dapat menyumbangkan secara signifikan kepada pembangunan sektor pendidikan di Malaysia dengan menawarkan program berorientasikan industri kepada para pelajar dan membangunkan mereka menjadi ahli profesional mahir yang relevan.

— BERNAMA

Takaful Malaysia wujudkan APF bantu persaraan agen

Awang Adek Hussin menyempurnakan gimik pelancaran sambil diperhatikan Mohamed Hassan Md Kamil (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Regional Retail Takaful Malaysia, Wan Azman Wan Mamat pada Majlis Pelancaran APF di Kuala Lumpur, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



PETALING JAYA 4 Mac 2010 - Syarikat Takaful Malaysia Bhd. (Takaful Malaysia) menjadi syarikat insurans Islam pertama (takaful) mewujudkan Kumpulan Simpanan Wang Agensi (APF) bagi membantu agen-agen mereka pada waktu persaraan.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohamed Hassan Md. Kamil berkata, pelancaran APF itu adalah sejajar dengan pengumuman kerajaan memperkenalkan Skim Persaraan 1Malaysia untuk dua juta usahawan.

''APF adalah skim persaraan disediakan untuk agen-agen syarikat yang mencarum dalam akaun persaraan khas dan unik sebagai dana tambahan untuk mereka menikmati kehidupan selesa di masa hadapan.

''Takaful Malaysia sebagai peneraju dalam industri takaful dengan memperkenalkan skim tersebut dan ia juga merupakan salah satu cara kami untuk mengembangkan jumlah agensi Takaful Malaysia,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran APF, Tiga Produk Terbaru serta Struktur Agensi Tiga Peringkat di sini hari ini.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

APF akan dilaksanakan dengan Takaful Malaysia memperuntukkan manfaat tambahan ke dalam akaun APF.

Di bawah APF, sumbangan tahunan agen adalah sebanyak satu peratus daripada jumlah pendapatan produk baru atau sumbangan pendapatan produk Takaful Keluarga yang diperbaharui manakala pengurus kumpulan atau unit APF akan menyuntik 0.25 peratus jumlah keseluruhan pendapatan.

Pada usia 55 atau selepas 10 tahun perkhidmatan, agen mereka boleh memilih untuk menerima APF dalam bentuk penuh atau kekal dengan Takaful Malaysia dan diambil balik pada waktu lain.

Sementara itu, Hassan berkata, Takaful Malaysia menyasarkan untuk mempunyai agenagennya kepada 1,500 agen menjelang akhir tahun ini berbanding 250 pada masa ini.

''Untuk menggalakkan peningkatan potensi agen, syarikat akan memastikan mereka turut dilengkapi dengan latihan jualan kreatif serta teknologi terkini.

''Dengan kemudahan portal laman web yang bakal diperkenalkan mereka mempunyai akses kepada portfolio agensi mereka dan ini akan membantu memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan mereka,'' jelasnya.

Selain itu, Takaful Malaysia juga melancarkan tiga produk baru pada hari ini iaitu Takaful myInvest, Takaful myGraduan dan Takaful myGemilang yang dibuat khas kepada remaja, ibu bapa dan pesara.

Hassan berkata, Takaful Malaysia yakin dapat menerima sumbangan tunai RM20 juta bagi tahun pertama (FYCC) menjelang Disember ini melalui pelancaran tiga produk terbaru tersebut.

''Takaful myInvest merupakan produk berkaitan pelaburan bersesuaian dengan remaja, Takaful myGraduan pula adalah pelan pembiayaan pengajian tinggi manakala Takaful myGemilang adalah penyelesaian persaraan,'' katanya.

A&W sasar 100 cawangan dibuka pada 2015

KUALA LUMPUR 4 Mac 2010 - A&W Malaysia menyasarkan pembukaan 100 buah cawangan pada tahun 2015 selain memperluaskannya di Sabah dan Sarawak.

Pengurus Besar A&W Malaysia, Anuar Osman berkata, restoran tersebut sudah beroperasi selama 47 tahun dan merupakan antara yang tertua di Malaysia.

"Setakat ini, kami hanya mempunyai cawangan di semenanjung dan akan meluaskannya (ke Sabah dan Sarawak) berikutan terdapat permintaan ramai.

"Usaha akan terus disalurkan bagi memantapkan sistem perkhidmatan bersama memperluas cawangan di kawasan-kawasan yang terpilih dan strategik," katanya pada majlis pelancaran cawangan A&W yang ke-40 di Wangsa Walk Mall hari ini.

Kesempatan tersebut diambil bagi memperkenalkan menu terbaru mereka yang dipanggil Thai-Wham-Wrap sempena musim cuti sekolah yang bakal menjelang.

Turut hadir pada majlis tersebut Pengerusi KUB, Datuk Abdul Halim Abdul Samad dan Pengarah Urusannya, Datuk Mohd Nazar Samad.

Abdul Halim berkata, cawangan tersebut sudah mula beroperasi sejak 30 November lalu dan telah mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai.

"Selain aspek perkhidmatan, kami juga menumpukan kepada konsep persekitaran restoran yang moden, ceria dan bersih bagi keselesaan pelanggan.

"Restoran kami juga mampu menempatkan sehingga 118 orang pelanggan dalam satu masa dan dengan itu kami akan terus berusaha dalam memberikan perkhidmatan yang baik untuk semua pihak," katanya ketika merasmikan majlis tersebut di sini hari ini.

Tambah beliau, menu terbaru tersebut direka khas dengan sajian yang berkhasiat serta mudah untuk dinikmati pelanggan pada bila-bila masa.

Wednesday, March 3, 2010

F&N sasar susu tongkat ali tingkatkan pasaran

NAZURA Jalil bersama jaguh-jaguh bina badan pada majlis pelancaran susu pekat manis terbaru, F&N eXtra di Restoran Subak, Bukit Lanjan, Petaling Jaya, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



PETALING JAYA 3 Mac 2010 - F&N Dairies (M) Sdn. Bhd. (F&N) menjangkakan penguasaan pasaran segmen susu pekat manisnya meningkat kepada 65 peratus bagi tempoh setahun menerusi pengenalan produk susu pekat manis terbaru F&N eXtra.

Pengurus Pembangunan Saluran Pemasarannya, Nazura Jalil berkata, sehingga kini, F&N Dairies menguasai 63 peratus pasaran produk tersebut yang bernilai kira-kira RM1 bilion.

Menurut beliau, sasaran itu mampu dicapai berikutan pasaran susu pekat manis di Malaysia sangat tepu.

"Ini kerana, bagi setiap lima keluarga, empat daripadanya memiliki produk susu pekat manis di rumah," katanya selepas melancarkan F&N eXtra yang mengandungi tongkat ali dan ginseng, di sini hari ini.

Nazura juga berkata, pihaknya mengunjurkan jualan sebanyak RM40 juta untuk produk pekat manis terbarunya, tahun ini.

"Kami telah membelanjakan RM2 juta untuk pemasaran produk ini yang menjanjikan rasa lebih sedap ekoran bahan tambahan tongkat ali dan ginseng.

"Dua herba popular itu semakin digemari di pelosok dunia dan gabungan kedua-dua produk menepati cita rasa dan gaya hidup masyarakat di negara ini," katanya.

Tambahnya, pihaknya telah mengambil masa selama dua tahun dalam penyelidikan bagi membangunkan 26 prototaip untuk menghasilkan rangkaian terbaru susu pekat manis berkenaan.

Katanya, setiap tahun, F&N Dairies memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk menaik taraf kemudahan kilangnya dan RM5 juta untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Maklum balas pengguna mendapati produk ini lebih sedap dan kos efektif. Segelas minuman eXtra adalah lebih ekonomi untuk disediakan berbanding minuman pra campur 'tiga-dalam-satu'," ujarnya.

F&N eXtra kini boleh didapati di semua rangkaian runcit utama di Semenanjung, dan akan berada di pasaran Sabah dan Sarawak pada hujung bulan ini.

F&N eXtra dijual pada harga RM3.30 di Semenanjung manakala RM3.40 di Sabah dan Sarawak.