Sunday, March 14, 2010

Scomi Group tinjau peluang di Mesir

2010/03/15
SCOMI Group Bhd, syarikat infrastruktur pengangkutan, perkhidmatan logistik serta minyak dan gas, kini meninjau peluang beroperasi di Mesir, khususnya dalam bidang perkhidmatan pengangkutan dan logistik.

Dalam kenyataan semalam, syarikat itu berkata beberapa wakil kumpulan berkenaan mengadakan kunjungan hormat bertemu Menteri Pelaburan Mesir, Dr Mahmoud Mohieldin di pejabatnya di Mesir, baru-baru ini.

Katanya, pertemuan itu adalah sebahagian agenda lawatan delegasi Scomi yang diketuai Ketua Eksekutif, Shah Hakim Shahzanim Zain ke Mesir bertujuan meneroka kerjasama dalam bidang perkhidmatan pengangkutan dan logistik. “Turut ditinjau adalah peluang pelaburan swasta dalam bidang infrastruktur dan logistik berkaitan pengangkutan, industri minyak dan pembuatan tren dan bas,” kata kenyataan itu.

Dalam pertemuan itu, Scomi Group membentang beberapa kertas cadangan bagi meningkatkan kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Mesir.

Mengulas mengenai pertemuan itu, Shah Hakim berkata, pihaknya berminat mengadakan kerjasama dengan Mesir, khususnya dalam bidang pengangkutan tren.

“Ini adalah lawatan kali keempat kumpulan itu ke Mesir dalam tempoh kurang dua tahun dan matlamatnya untuk melabur dalam bidang berkenaan,” jelas beliau. Sementara itu, Mohieldin pula menekankan pentingnya mempromosi dan mengembangkan kerjasama antara Mesir dan Malaysia.

“Ia adalah sebahagian daripada kerjasama teknikal dan pelaburan antara Malaysia dan Mesir. Menerusi kerjasama dan penyelarasan dengan kementerian berkaitan, kedua-dua negara akan mendapat manfaat daripada usaha sama itu,” katanya.

Plus Expressways giat usaha ke luar negara

2010/03/15
Manfaat peluang projek infrastruktur di Asia Tenggara

PLUS Expressways Bhd, pengendali lebuh raya bertol terbesar di Malaysia, kini menggiatkan usaha untuk mengembangkan operasinya ke luar negara berikutan potensi pertumbuhan perniagaan yang terhad di dalam negara.

Pengarah Urusan Plus Expressways, Noorizah Abdul Hamid, berkata syarikat sedang berunding dengan beberapa pihak di negara rantau Asia Pasifik, selain India dan Indonesia yang sudah dimulakan penerokaannya sejak lama dulu. Katanya, pada masa ini terdapat potensi besar dari segi pertumbuhan kemudahan lebuh raya di luar negara, khususnya di Asia Tenggara yang memerlukan pembangunan infrastruktur.

Beliau berkata, dengan pengalaman lebih 20 tahun menguruskan lebuh raya di Malaysia, syarikat yakin dapat memberi sumbangan terbaik di negara yang sedang pesat membangunkan kemudahan infrastruktur utama mereka, terutama lebuh raya.

“Langkah itu (pengembangan operasi di luar negara) diambil memandangkan potensi pertumbuhan dalam negara yang terhad, sedangkan syarikat mempunyai kemahiran selepas 20 tahun penubuhannya,” katanya.

Mengulas operasi di India, Noorizah berkata, pihaknya bersedia menerima lebih banyak projek di negara itu memandangkan ia sudah ada pengalaman menyiapkan dan mengendalikan laluan bertol Lebuhraya Bhiwandi-Kalyan-Shil Phata sepanjang 25 kilometer (km) pada suku keempat tahun lalu, yang juga penyertaan pertama syarikat itu di luar negara.

Satu lagi projek di India diperoleh Plus Expressways susulan pengambilalihan Indu Navayuga Infra Project Private Ltd yang secara tidak langsung menawarkan potensi pengendalian lebuh raya sepanjang 28 km dengan kutipan tol bermula pertengahan tahun ini.

Di Indonesia, beliau berkata, walaupun penerokaan dimulakan sejak 2007, cadangan pembinaan lebuh raya sepanjang 160 km pada 2008 masih tertangguh.

Sementara itu, mengulas cadangan pembinaan lebuh raya kedua menghubungkan Utara-Selatan, Noorizah berkata, Plus Expressways berpendapat lebuh raya kedua itu tidak wajar memandangkan penggunaan lebuh raya yang sedia ada masih jauh daripada kapasiti penuh.

Katanya, pembinaan lebuh raya dengan anggaran perbelanjaan RM5 bilion hingga RM6 bilion itu juga tidak memadai semata-mata untuk memenuhi keperluan trafik yang hanya sesak untuk tempoh tertentu, sedangkan terdapat potensi untuk membesarkan lebuh raya sedia ada dengan belanja yang jauh lebih murah.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan akan membuat kajian terperinci bagi membina Lebuh Raya Utara-Selatan Kedua bagi menyediakan laluan opsyen kepada pengguna Projek Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) untuk ke destinasi masing-masing.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, kajian itu meliputi kadar trafik serta pekan yang boleh dilalui lebuh raya baru berkenaan, selain kesannya terhadap ekonomi dan pembangunan setempat.

Noorizah menegaskan, pembinaan lebuh raya kedua memerlukan perbelanjaan terlalu tinggi, sedangkan kapasiti purata lebuh raya Utara-Selatan di bahagian tengah pada hari biasa hanya 50 peratus, manakala di bahagian lain hanya antara 30 dan 35 peratus.

Katanya, trafik hanya padat pada hari tertentu terutama pada hari atau musim perayaan, justeru sebarang cadangan untuk membina lebuh raya kedua tidak wajar serta perlu kajian teliti.

“Lebih baik lebuh raya sedia ada dilebarkan lagi daripada membelanjakan RM6 bilion untuk membina lebuh raya baru,” katanya sambil menambah Plus Expressways hanya membelanjakan RM1 bilion untuk membesarkan jalan daripada dua laluan kepada tiga laluan di bahagian tertentu sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan.

Dalam pada itu, inisiatif Plus Expressways menganjurkan Persidangan dan Pameran Lebuh Raya Antarabangsa Plus (Piece) 2010 di Kuala Lumpur pada 5 hingga 7 April ini, adalah sebahagian pendekatan syarikat untuk menzahirkan komitmennya meneroka pasaran luar negara dengan lebih agresif.

Noorizah berkata, persidangan itu bakal dihadiri 350 peserta termasuk 70 peratus daripada luar negara, antaranya pembuat keputusan, agensi kerajaan, syarikat pengendali, perunding, kontraktor lebuh raya, selain pembiaya dan organisasi swasta.

Friday, March 12, 2010

Sime Darby lancar projek RM469 juta

KUALA LUMPUR 12 Mac 2010 - Sime Darby Property Bhd. hari ini melancarkan projek mewahnya, 'Seri Pilmoor' di Ara Damansara dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM469 juta.

Projek itu terdiri daripada 74 banglo dari seluas 6,500 kaki persegi dan 34 rumah berkembar dari 4,600 kaki persegi di kawasan seluas 28.5 ekar di tanah pegangan bebas.

"Projek berkenaan terdapat dalam laman web selama tiga bulan dan menarik kira-kira 1,600 pihak yang berminat yang terdiri daripada campuran bakal pembeli terutamanya rakyat tempatan," kata Pengarah Urusannya, Datuk Tunku Putra Badlishah (gambar).

Oleh itu, kadar pengambilan dijangka baik berdasarkan kepada minat yang ditunjukkan, katanya pada sidang akhbar di sini bagi prebiu projek itu.

Harga banglo berkenaan bermula dari RM4.57 juta dengan tiga jenis reka bentuk dan enam bentuk pavilion bumbung berbeza, manakala unit berkembar bermula dari RM2.8 juta dengan dua bentuk pavilion berbeza.

Unit-unit berkenaan akan dibuka untuk jualan mengikut fasa, katanya.

"Untuk rumah berkembar, kami akan menawarkan semuanya pada fasa pertama, manakala bagi banglo, 34 buah dahulu," katanya.

'Seri Pilmoor', yang merupakan pembangunan strata bertanah pertama Sime Darby dan dijadualkan siap pada 2013, akan menjadi ujian terbaik bagi kemungkinan pembangunan yang serupa di masa depan, kata Tunku Putra.

Projek itu menawarkan senibina yang hebat di dalam dan luar, katanya.

Ara Damansara boleh diakses dengan mudah dari Kuala Lumpur, Petaling Jaya Subang Jaya dan Shah Alam melalui lebuh raya. Rancangan masa depan Ara Damansara termasuk sekolah antarabangsa, dataran komuniti dan suite eksekutif. - Bernama

Thursday, March 11, 2010

Deutsche Trustees lancar khidmat agensi pendaftar dan penyerahan di Malaysia

KUALA LUMPUR, 11 Mac 2010 - Deutsche Trustees Malaysia Bhd (DTMB), anak syarikat Deutsche Bank AG, secara rasmi melancarkan perkhidmatan Agensi Pendaftar dan Pemindahan (R&TA) di Malaysia.

R&TA itu melengkapkan perkhidmatan DTMB berkaitan dengan pengumpulan aset, urus niaga, perniagaan dan yang berkaitan.

Deutsche Bank kini menawarkan perkhidmatan R&TA di lapan pasaran di rantau Asia Pasifik.

Perkhidmatan R&TA itu termasuk menyelenggarakan pendaftaran pemegang saham bagi skim pelaburan kolektif, kata syarikat itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ini merangkumi dana amanah saham, dana diniagakan di bursa (ETF), dana dataran atau dana luar pesisir pihak ketiga dan dana borong.

Perkhidmatan itu juga menyediakan institusi tawaran pengurusan kekayaan kepada para pelabur masing-masing.

"Pelancaran perkhidmatan R&TA di Malaysia menandakan satu pencapaian penting ke arah matlamat kami menjadi penyedia utama hujung ke hujung khidmat berkaitan aset, urus niaga, dan yang berkaitan di Malaysia.

"Khidmat penyumberan luar R&TA membenarkan pengurus dana memberi fokus kepada sumber teras masing-masing," kata Ketua Perbankan Urus Niaga Global bagi Deutsche Bank (Malaysia) Bhd Ridzal Sherif.

Sejak penubuhannya pada 2007, DTMB menawarkan perkhidmantan amanah kepada pengurusan aset dan industri dana bersama.

Buat masa ini DTMB mengurus pelbagai jenis dana termasuk dana Islam dan konvensional, dana rentas sempadan dan tempatan, dana amanah saham, serta borong dan ETF. - BERNAMA

Kompleks bersepadu petroleum di PD

Oleh Ainol Amriz Ismail
bisnes@utusan.com.my



Mohamad Hasan, (lima dari kiri), bersama wakil pemegang saham bagi projek membangunkan Loji Penapis Minyak, Loji Petrokimia serta kemudahan penyimpanan minyak di Port Dickson, semalam. - utusan/MD.SHAHJEHAN MAAMIN

--------------------------------------------------------------------------------



SEREMBAN 11 Mac - Konsortium minyak terbesar Timur Tengah, Gulf Petroleum hari ini memilih Port Dickson sebagai lokasi membangunkan kompleks bersepadu petroleum dan gas bernilai AS$5 bilion (RM17.5 bilion) di negara ini.

Pengarah Urusan Gulf Petroleum (M) Sdn. Bhd. Nor Azmi Abdullah berkata, pembangunan fasa pertama kompleks itu untuk tempoh lima tahun akan dilakukan sebaik sahaja konsortium itu selesai dengan rundingan bersama pemegang sahamnya pada penghujung Mei ini.

''Sebanyak 10 cadangan dikemukakan oleh pelbagai pihak dan Gulf Petroleum telah menyenaraikan dua pilihan iaitu di Perak dan Port Dickson, Negeri Sembilan.

''Selepas mengkaji dan melihat kemudahan yang ada di bandar pelancongan ini, maka Gulf Petroleum bersetuju supaya Port Dickson dijadikan lokasi untuk membangunkan kompleks berkenaan," katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas menandatangani perjanjian bagi pihak Gulf Petroleum Malaysia untuk pembangunan Loji Penapis Minyak, Loji Petrokimia serta kemudahan penyimpanan minyak di Port Dickson di sini hari ini.

Majlis tersebut disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tetamu di kalangan pemegang saham projek tersebut.

Antara yang hadir memeterai perjanjian bagi pihak pemegang saham serta menyediakan khidmat sokongan itu ialah Pengerusi Gulf Petroleum Arab Saudi, Dr. Omar Zuhair Hafiz; Penasihat Kewangan Gulf Petroleum Arab Saudi dari Firma Haykalah, Hisham A. Koshak; Pengurus Besar GCC-ASEAN Economic Centre Arab Saudi, Sy Ismail Al-Mokhdar dan Naib Presiden Kanan GS Group Korea Selatan, Yang Kyo Park.

Tambahan pula katanya, Port Dickson dipilih berdasarkan kesesuaian dan faktor sejarah yang menjadi tumpuan loji penapisan minyak dan gas di negara ini.

Kata Nor Azmi, Port Dickson sebelum ini telah pun mempunyai beberapa loji penapis minyak milik Exxon Mobile, Shell dan Petronas.

''Cadangan pembinaan kompleks berkenaan akan melibatkan keluasan tanah antara 404.6 hektar hingga 607 hektar. Konsortium juga sedang mengadakan perbincangan dengan pemilik tanah bagi tujuan ini," jelasnya.

Dalam pada itu Dr. Omar berkata, pembangunan kompleks Gulf Petroleum itu akan melibatkan pelbagai pemegang saham, yang mana masing-masing mempunyai kepakaran tersendiri.

''Kami amat berharap jika semuanya berjalan lancar, kerja-kerja tanah dapat dilaksanakan pada tahun 2011," katanya.

Sebagai contoh katanya, pelabur dari Singapura diberi tanggungjawab menyediakan perkhidmatan sokongan dalam bentuk teknikal, sebahagian lagi sebagai penyumbang kewangan.

Pemilihan Port Dickson itu dibuat berikutan lokasi strategik dan terletak di kawasan perairan Selat Melaka.

Apabila kompleks itu beroperasi, ia akan memenuhi permintaan minyak untuk negara-negara Arab, selain keperluan dan permintaan tinggi di kalangan negara Asia Timur seperti Jepun, China dan Korea Selatan.

Pada masa yang sama, pembangunan kompleks penapisan minyak di Port Dickson itu berkemampuan menyimpan bahan bakar itu khususnya dari negara Majlis Kerjasama Negara-Negara Teluk (GCC).

Pembangunan fasa pertama bagi tempoh lima tahun itu dijangka akan mengeluarkan 150,000 tong minyak sehari yang akan dieksport ke negara di rantau Asia Pasifik.

Sementara itu, Mohamad berkata, perkembangan itu bakal menyaksikan lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan di bandar pelancongan berkenaan, sekali gus meningkatkan ekonomi negeri pada masa hadapan.

''Kerajaan negeri menyokong pembangunan kompleks berkenaan dan kita akan membantu segala keperluan pelabur untuk merealisasikan impian membina loji penapis minyak bagi pihak Gulf Petroleum di sini," jelasnya.

Wednesday, March 10, 2010

Sun Bear Solar rancang pelaburan RM5.2 bilion

Oleh Zainab Mohd Yatim

2010/03/11
Syarikat mahu bina kilang pengeluaran di Kota Kinabalu

PENGELUAR produk berasaskan tenaga solar yang berpangkalan di Hong Kong, Sun Bear Solar Ltd akan melabur RM5.2 bilion di Malaysia untuk mengeluarkan kaca solar mesra alam bagi industri solar fotovoltik.

Pelaburan akan dilakukan menerusi anak syarikatnya, Sun Bear Solar Sdn Bhd itu bakal menjadikan Malaysia pusat utama penghasilan produk berkenaan di dunia.

Pengerusi Sun Bear Solar, Lee Holy Judd, berkata pelaburan itu akan dibuat dalam tempoh lima tahun membabitkan pembinaan kilang pengeluaran kaca solar di tapak seluas 120 hektar di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KPKK), Sabah. Beliau berkata, dalam fasa pertama, syarikat itu akan melabur RM2.2 bilion untuk membina dua barisan pengeluaran yang dijangka memulakan operasi pada 2012.

“Kami menjangkakan kilang itu akan beroperasi sepenuhnya dalam tempoh lima tahun dengan menggajikan lebih daripada 1,200 pekerja. Ia akan menjadi lokasi utama dunia bagi pengeluaran kaca solar panel dan modul,” katanya pada sidang media mengumumkan pelaburan itu di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (Mida), Datuk Jalilah Baba.

Lee menegaskan, Sun Bear Solar kini sedang berunding dengan enam syarikat antarabangsa berpotensi menjadi pelanggan syarikat itu.
Katanya banyak syarikat di negara ini juga menggunakan kaca solar dalam operasi pengeluaran mereka.

Beliau menjelaskan, Sabah dipilih sebagai lokasi pelaburan itu berdasarkan kepada sumber bahan mentah untuk kegunaan pengeluaran kaca solar yang banyak di negeri ini, termasuk silika dan batu kapur.

Katanya, syarikat itu juga akan mendapatkan satu lagi bahan mentah, iaitu dolomit dari Perak.

“Pada awal pengeluaran kami di Hong Kong, kami memperoleh sumber bahan mentah dari negara Barat, termasuk dari benua Amerika dan Jerman, tetapi hasil penyelidikan kami bertahun-tahun di dapati pasir di Sabah menghasilkan kaca terbaik yang jernih tanpa bahan cemar,” katanya.

Beliau berkata, kaca solar akan dihasilkan berpotensi digunakan dalam pelbagai industri dan produk inovasi bernilai tinggi, termasuk pembinaan, produk elektrik dan elektronik dan telekomunikasi.

Sementara itu, Jalilah berkata, kilang Sun Bear Solar di Sabah itu akan menyediakan potensi untuk meningkatkan penggunaan tenaga diperbaharui di negara ini, seterusnya mengurangkan pergantungan kepada sumber tenaga berasaskan fosil.

Beliau juga berkata, kilang itu disasarkan untuk menjadi projek keutamaan bagi menjana tenaga mesra alam dan bidang pertumbuhan baru berkaitan pengeluaran bernilai tambah yang tinggi.

“Selain menyediakan pekerjaan untuk pekerja mahir dan kurang mahir, kilang Sun Bear Solar juga akan memberi limpahan manfaat ekonomi kepada Sabah,” katanya.

Jalilah berkata, potensi pasaran kaca solar adalah besar dengan nilainya dianggarkan meningkat kepada RM180 bilion tahun ini, dan berkembang kepada RM500 bilion pada 2020.

Sunday, March 7, 2010

Tune Hotel.com labur RM673j buka 15 hotel di London

KUALA LUMPUR 7 Mac 2010 - Tune Hotels.com, pengendali hotel bajet Malaysia, telah menjalinkan kerjasama strategik dengan Queensway Group Ltd. untuk membangunkan dan mengendalikan 15 Tune Hotels.com di serata London menjelang 2017.

Di bawah kerjasama itu, Tune Hotels.com memperkenalkan konsep 'tidur di bawah hotel lima bintang dengan bayaran satu bintang' melibatkan 1,500 buah bilik hotel dengan pelaburan 150 juta pound sterling (RM763 juta).

Tune Hotels dalam kenyataannya di sini berkata, pelancaran rangkaian Tune Hotels dikenali sebagai Tune Hotels.com-Westminster akan dilakukan pada suku ketiga tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Tune Hotels.com, Mark Lankester percaya hotel itu mampu merangsang industri hospitaliti di negara itu.

''Kami akan bekerjasama dengan organisasi Visit Britain, Visit London, Think London dan Visit England.

''Saya percaya dengan model harga yang dinamik akan menyediakan pertumbuhan kukuh bagi perniagaan ini,'' katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Queensway Group, Nick Jivraj gembira dengan pembentukan pakatan itu bagi membangunkan pasaran London.

''Kerjasama dengan AirAsia, AirAsia-X dan Lotus F1 melalui Kumpulan Tune menyediakan platform untuk sinergi pasaran dan jenama kukuh serta kepakaran pemasaran melalui Internet bagi pembelian destinasi pengembaraan,'' katanya.

Lankester berkata, meskipun menghadapi cabaran daripada krisis ekonomi global, Tune Hotels.com akan terus melabur di 100 buah bandar utama di seluruh dunia.

Ia termasuk kerjasama dengan Apodis Hospitality Group untuk melabur, membangun dan menjalankan operasi 20 Tune Hotels.com di serata India pada 2012.

Lima buah hotel itu dijangka beroperasi di India pada 2010 dan 12 lagi akan siap pada akhir 2012.

Selain itu, ia membabitkan francais 44 Tune Hotels.com yang dilaksanakan dengan Evolution Capital PLC di Thailand, China, Bangladesh, Filipina dan Indonesia.

Buat permulaan 24 hotel itu disasar akan dibangunkan pada awal 2010 dan beroperasi pada tahun depan dan diikuti 20 lagi pada 2013.