Tuesday, March 16, 2010

KFC tawar Colonel's Royal Briyani

KUALA LUMPUR 16 Mac 2010 - KFC Holdings (Malaysia) Bhd., (KFCH) melancarkan hidangan kombo baru yang dinamakan Colonel's Royal Briyani bersempena musim cuti persekolahan bagi menarik golongan pelajar dan keluarga.

Pengarah Urusan KFCH, Jamaludin Md Ali berkata, sajian yang terdiri daripada seketul ayam Original Recipe dan Hot & Spicy bersama hidangan nasi briyani, sup rempah campuran, minuman berkarbonat itu kini ditawarkan di seluruh restoran KFC seluruh negara.

"Walaupun menu Original Recipe sudah sinonim dengan KFC dan para pelanggan, kami akan terus menawarkan menu yang inovatif dan terkini serta terus memperkenalkan hidangan yang berbeza di pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Colonel's Royal Briyani Combo dan kempen tahun 2010 yang bertemakan 'Pelbagai pembaharuan, rasa klasik' di ibu pejabat KFC di sini, semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Presiden Divisyen KFCH, Lim Teck Huak.

Set lengkap hidangan Colonel's Royal Briyani bersama jam loceng Colonel dijual pada harga RM14.95, sementara set hidangan tanpa jam loceng pula ialah RM9.60.

Menurutnya, KFCH akan membelanjakan lebih RM2 juta dalam mempromosi hidangan yang akan berada di semua restoran KFC di seluruh negara selama lapan minggu.

Tambah beliau, hidangan kombo tersebut dijangka menyumbang sebanyak 10 peratus kepada kutipan jualan sepanjang tempoh promosi berkenaan.

KFC sasar 110 restoran 24 Jam

KUALA LUMPUR 16 Mac 2010 - KFC Holdings (Malaysia) Bhd. (KFCH), merancang mengadakan 110 buah restoran KFC yang beroperasi 24 jam di seluruh negara menjelang akhir tahun ini berbanding kira-kira 70 restoran pada masa sekarang.

Pengarah Urusan KFCH, Jamaludin Md. Ali berkata, penambahan bilangan restoren di buat berikutan peningkatan permintaan pelanggan dan perubahan gaya hidup penduduk khususnya di bandar yang tidak lagi hidangan makanan pada waktu siang semata-mata.

"Rancangan ini bergantung kepada sejauh mana ia berdaya maju mengikut situasi dan permintaan kawasan sekitar,'' kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan bersempena pelancaran menu terbaru dan kempen KFC tahun 2010 yang bertema 'Pelbagai pembaharuan, rasa klasik' yang diadakan di Wisma KFC di sini semalam.

Jamaludin menjelaskan, buat masa ini, kawasan sasarannya adalah pusat bandar.

Sementara itu, mengulas mengenai kempen sepanjang tahun yang dilancarkan, Jamaludin berkata, ia bertujuan mengukuhkan kedudukan jenama KFC dalam pasaran restoran perkhidmatan segera tempatan.

"Kami kini mempunyai penampilan baru yang menyeluruh, tetapi masih mengekalkan cita rasa, perkhidmatan dan identiti tradisional yang telah membawa kami ke tahap hari ini.

KFCH mencatatkan perolehan sebanyak RM2.2 bilion bagi tempoh kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2009, meningkat sebanyak 5.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelum.

Monday, March 15, 2010

PCSB meterai jualan gas dengan Petronas

2010/03/09
SARAWAK Shell Bhd dan Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) semalam memeterai Perjanjian Jualan Gas dengan Petronas bagi gas asli yang dihasilkan dari tiga telaga di Blok SK308 di luar pantai Sarawak.

Menerusi Perjanjian Jualan Gas SK308 itu, Shell dan PCSB akan menghasilkan dan menghantar gas dari telaga gas F28, F14 dan E6 yang operasinya dikendalikan Shell, bagi memenuhi keperluan kilang gas asli cecair MLNG Tiga Sdn Bhd, yang terletak dalam kawasan Kompleks LNG Petronas di Bintulu.
"Perjanjian ini akan meningkatkan lagi keselamatan bekalan kepada Kompleks LNG Petronas yang memiliki rekod cemerlang tidak pernah kehilangan kargo selama lebih 27 tahun sejak penghantaran pertamanya pada 1983 serta membantu memenuhi permintaan pelanggan global yang semakin meningkat," kata Pengarah Urusan Sarawak Shell yang juga Pengerusi Shell Malaysia, Anuar Taib. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Shell Malaysia sempena majlis memeterai perjanjian jualan gas itu di Kuala Lumpur, semalam.

Anuar memeterai bagi pihak Sarawak Shell, Petronas diwakili Naib Presiden Cari Gali dan Pengeluaran, Ramlan Abdul Malek; manakala PCSB oleh Pengarah Urusannya, Datuk Abdullah Karim.

Sunday, March 14, 2010

Permaju ambil alih 70% Hardie Development

KUALA LUMPUR 14 Mac 2010 - Permaju Industries Bhd. merancang mengambil alih 70 peratus kepentingan dalam Hardie Development Sdn. Bhd. (Hardie) dengan harga RM33.6 juta.

Kumpulan itu menandatangani perjanjian jual beli dengan dua penjual, Datin Pang Fook Kyun, dan Sim Men Kin @ Andrew Sim bagi mempermudah pembelian itu.

Kepentingan ekuiti sebanyak 70 peratus itu adalah bersamaan dengan 70 saham biasa bernilai RM1 setiap satu dalam Hardie, kata Permaju dalam satu kenyataan hari ini.

Cadangan pengambilalihan itu akan memberikan peluang kepada Permaju untuk mempelbagai kegiatan perniagaannya bagi menceburi pembangunan harta, kata kumpulan itu.

Ia juga akan mempertingkat keuntungan keseluruhan kumpulan itu melalui Hardie yang akan menjadi anak syarikat permaju itu selepas selesainya pengambilalihan itu, katanya.

Harga sebanyak RM33.6 juta yang akan dibayar bagi pembelian itu ditetapkan selepas mengambil kira sebidang tanah hak milik pajakan di Sepangar, Kota Kinabalu, bernilai RM64.6 juta pada 22 Disember 2009.

"Balasan bagi belian itu akan dibiayai melalui tunai, sebahagiannya melalui dana janaan dalaman dan sebahagian daripada pinjaman," kata Permaju.

CGC, CIMB promosikan pembiayaan teknologi hijau

KUALA LUMPUR 14 Mac 2010 - Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd. (CGC) menjalin usaha sama dengan CIMB Bank untuk mempromosikan Skim Pembiayaan Tekonologi Hijau (GTFS) kepada pengeluar dan pengguna teknologi hijau.

CIMB, penyedia perkhidmatan kewangan Malaysia kedua terbesar di negara ini akan membiayai sehingga RM150 juta untuk skim itu manakala CGC diberi mandat untuk menyediakan jaminan 60 peratus kepada peminjam.

"Penyertaan CIMB Bank dalam skim ini membuktikan keyakinannya terhadap keupayaan sektor baharu ini," kata Pengarah Urusannya, Datuk Wan Azhar Wan Ahmad dalam satu kenyataan di sini.

Baki 40 peratus itu akan ditanggung oleh institusi kewangan yang turut serta.

Pengeluar teknologi hijau boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM50 juta sementara pengguna boleh memohon pinjaman sehingga RM10 juta.

Lebih 140 syarikat dijangka memanfaatkan skim pembiayaan itu. - Bernama

MBMR edar produk Heico Sportiv

KUALA LUMPUR 14 Mac 2010 - MBM Resources Bhd. (MBMR) menandatangani perjanjian dengan Autovox Pte. Ltd. untuk mengedar produk Heico Sportiv di Malaysia.

Heico Sportiv adalah sebuah syarikat penalaan automotif berpangkalan di Jerman dan memberikan perkhidmatannya kepada kereta Volvo.

Perjanjian dengan anak syarikatnya, Federal Auto Holdings Bhd, dan melalui anak syarikat milik penuhnya, FAST Sdn. Bhd., akan memberikan hak penjualan eksklusif dan tunggal produk Heico Sportiv dalam pasaran Malaysia kepada FAST.

Dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata, FAST akan juga bertanggungjawab bagi import, logistik dan penyelarasan pemasangan produk Heico Sportiv.

Sebagai pengedar trak Daihatsu, wakil jualan utama bagi Perodua dan Volvo serta wakil jualan yang dilantik bagi Volkswagen dan Mitsubishi di Malaysia, perjanjian baru ini dijangka memperluas asas pendapatan MBMR dan melengkapi operasinya yang sedia ada.

Sementara itu, anak syarikat MBMR, Daihatsu (M) Sdn. Bhd., telah dilantik sebagai wakil jualan bagi kenderaan komersial Hino Motors (M) Sdn Bhd.

"Surat pelantikan daripada Hino Motors diterima hari ini," jelas kenyataan itu.

Pelantikan itu akan juga merangkumi operasi jualan di Malaysia, yang meliputi Shah Alam, Kota Kinabalu, Johor Bahru, Ipoh, Butterworth dan Batu Pahat. - BERNAMA

Astro Entertainment ke luar negara pasar kandungan tempatan

KUALA LUMPUR 14 Mac 2010 - Astro Entertainment Sdn. Bhd. (Astro Entertainment) akan melebarkan sayap ke luar negara terutama di Timur Tengah dengan memasarkan kandungan tempatan di peringkat antarabangsa.

Astro Entertainment merupakan anak syarikat milik penuh Astro All Asia Networks Plc. (Astro) yang bertanggungjawab membangunkan kandungan tempatan, mempakejkan saluran, menerbitkan rancangan untuk Astro.

Pengarah Eksekutifnya, Zainir Aminullah berkata, setakat ini mereka telah pun memasarkan kandungan kepada tiga saluran di Singapura di bawah platform MIOTv dan satu saluran di Vietnam untuk drama.

''Kami terus mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak termasuk di Timur Tengah dan pasaran-pasaran baru yang mempunyai potensi untuk kandungan tempatan dipasarkan.

''Di Singapura sahaja maklum balas positif telah diterima ekoran mereka berpuas hati dengan kualiti kandungan sesuai dengan masyarakat di sana," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Tambah Zainir, Astro Entertainment mempunyai strategi yang kukuh dan memahami kehendak pelanggan dengan sebanyak mana yang mereka mampu untuk tontoni.

''Kami telah menjalankan penyelidikan khusus dalam memastikan kehendak pelanggan dan penonton dapat dipenuhi. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini Astro Entertainment telah menyediakan saluran mengikut segmen khusus bagi memenuhi kehendak tersebut.

''Sebagai contoh kami mempunyai dua saluran hiburan umum iaitu Ria dan Prima, saluran berita Awani, saluran Citra untuk filem, Ceria untuk kanak-kanak dan saluran Warna untuk komedi dan sitkom," katanya.

Bergerak kehadapan, Zainir berkata, penyelidikan kami adalah lebih kehadapan dan mereka terus melakukannya supaya kandungan tersebut memenuhi kehendak tempatan dan berpotensi untuk dieksport.

''Di pasaran antarabangsa, mereka menganggap program Malaysia sebagai program asing tetapi dengan kualiti dan jalan cerita yang boleh diterima masyarakat negara itu, ia akan mendapat sambutan," jelasnya.

Sementara itu, dengan langkah Astro yang bergerak ke hadapan menawarkan pakej berdefinisi tinggi (HD) b.yond, Zainir berkata, kandungan tempatan juga perlu mengalami perubahan tersebut tetapi dilakukan secara berperingkat kerana kos yang diperlukan adalah sangat tinggi selain memerlukan perubahan ketara di semua peringkat produksi.

Selain itu, Astro Entertainment juga terus menawarkan pakej saluran kepada penonton Astro dan contoh terbaru adalah Astro Citra di bawah pakej Mustika yang merupakan saluran yang memberi fokus kepada filem tempatan.

''Melalui Astro Citra ia merupakan posisi unik menjadikan Astro sebagai platform bagi mencapai penonton lebih luas terutama menarik minat penonton untuk lebih menghargai filem tempatan.

''Sejak dilancarkan pada tahun lalu, kami berjaya menarik lebih 300,000 pelanggan. Ini menunjukkan penonton sanggup membayar untuk mendapatkan kandungan berkualiti,'' katanya.

Pada tahun ini, Astro Entertainment menetapkan sasaran sebanyak 400,000 hingga 600,000 pelanggan untuk pakej tersebut.

Melalui Astro Citra juga, ia dapat membantu industri perfileman tempatan untuk terus menghasilkan karya yang bermutu dan mendapat tempat di kalangan penonton mereka.

''Kami juga telah mengeluarkan drama bersiri 'Suatu Ketika' yang memberi pendekatan berbeza dengan menayangkan cerita berunsur sejarah dan telah diadaptasi menjadi dokumentari.

''Secara tidak langsung, drama bersiri ini akan menarik pengikutnya tersendiri di samping memberi pendedahan kepada penonton mengenai sejarah lampau,'' katanya.

Zainir berkata, dari segi kandungan filem pula, pihak Astro Entertainment sendiri akan berusaha meningkatkan penerbitan filem dengan sasaran lima hingga enam filem setahun.