Sunday, March 21, 2010

TM sasar 200,000 langgan Yemmz

2010/03/22
TELEKOM Malaysia Bhd (TM) menyasar menarik lebih 200,000 pengguna untuk melanggan gerbang komuniti dalam talian barunya, Yemmz menjelang akhir tahun ini.

Naib Presiden Eksekutifnya, Jeremy Kung, berkata setakat ini, 26,000 pengguna melanggan gerbang itu.

“Gerbang dalam talian ini menggabungkan perangkaian sosial dan perdagangan liburan. Ia menawarkan perkhidmatan yang dikhususkan untuk menarik individu menyelenggarakan perniagaan dalam talian dengan sistem laluan get pembayaran bersepadu, terus daripada web,” katanya kepada Bernama minggu lalu. Kung berkata, TM yakin dapat mencapai sasaran berikutan semakin ramai rakyat Malaysia yang minat dan terbabit dalam perangkaian sosial.

Beliau juga berkata, aliran peruncit bebas dan pelanggan yang menggunakan web untuk membeli dan menjual produk juga semakin meningkat.

Yemmz dilengkapi ciri khusus seperti aplikasi rangkaian sosial, senarai forum, album foto, permainan dalam talian, senarai produk beli dan jual dengan ciri e-pembayaran terjamin dan instrumen komunikasi seperti mesej peribadi, forum, blog dan kotak komen tepat masa.

Pengguna Yemmz yang berminat menggunakan ciri belian dan jualan di laman web itu, ada empat kaedah pembayaran terjamin yang disediakan.

Ia meliputi urus niaga luar talian, saluran kad kredit, pembayaran pertukaran proses kewangan (FPX) dan sistem pembayaran maya prabayar (webcash). – Bernama

Hotel Seri Malaysia mahu buka dua cawangan baru

Oleh Zuraidah Mohamed
zmohamed@bharian.com.my
2010/03/22
RM62 juta dilabur kembang rangkaian di Lawas, Kangar

HOTEL Seri Malaysia Sdn Bhd merancang mengembangkan rangkaian hotelnya dengan membuka dua cawangan baru akhir tahun ini membabitkan pelaburan RM62 juta.

Pengarah Urusannya, Zahriah Abd Kadir, berkata cawangan yang akan dibuka di Lawas, Sarawak dan Kangar, Perlis itu akan menjadikan jumlah hotel di bawah kumpulan itu kepada 21.
Katanya, Hotel Seri Malaysia yang ditubuhkan 15 tahun lalu menumpukan kepada keperluan golongan sederhana, kini syarikat itu agresif menaik taraf kemudahannya bagi menyediakan perkhidmatan lebih menyeluruh. “Kami telah menyusun pendekatan strategik dalam usaha memenuhi kehendak serta keperluan dalam industri perhotelan dan hospitaliti dengan mengkaji semula strategi perniagaan kami.

“Bagi terus mengukuhkan jenama Seri Malaysia khususnya dalam keadaan ekonomi tidak menentu, kami mengorak langkah dengan memperkenalkan Hotel Seri Malaysia dengan ciri dan kemudahan setanding hotel empat bintang bagi menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Zahriah berkata, pembukaan dua cawangan baru tahun ini menjadikan hotel di bawah pengurusannya kepada tiga selain di Kepala Batas, Pulau Pinang, manakala 18 cawangan dikendalikan oleh operator hotel usahawan Bumiputera.

Katanya, syarikat itu membangunkan hotel setinggi tiga tingkat di Kangar dengan 150 bilik berkonsepkan ala resort, manakala di Lawas pula setinggi tujuh tingkat menawarkan 104 bilik.
“Kami turut merancang membuka cawangan baru di Sandakan, Kota Bharu, Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur dalam tempoh tiga tahun susulan permintaan tinggi dikalangan pelanggan dan operator hotel yang berminat menggunakan jenama Hotel Seri Malaysia,” katanya.

Zahriah berkata, Hotel Seri Malaysia kini sedang menaik taraf rangkaian hotelnya secara berperingkat termasuk menyediakan perkhidmatan lif dan kolam renang.

Katanya, syarikat itu mensasarkan pertumbuhan jualan kira-kira lima peratus tahun ini, didorong promosi agresif serta tawaran harga bilik yang kompetitif.

Katanya, pendapatan rangkaian hotel syarikat itu tahun lalu melebihi sasaran walaupun ekonomi belum pulih sepenuhnya dan langkah penjimatan diambil syarikat serta agensi kerajaan.

Friday, March 19, 2010

Telenor Group lancar kempen jenama

KUALA LUMPUR 19 Mac 2010 - Telenor Group akan melancarkan kempen penjenamaan korporat buat pertama kalinya di bawah kata slogan 'membina masyarakat sekeliling'. Kempen berkenaan menekankan kepercayaan Telenor bahawa masyarakat mempunyai 'hati' dalam perniagaan.

Telenor Group dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini berkata, kempen tersebut akan dilancarkan pada 25 Mac depan termasuk pengiklanan luaran melalui saluran-saluran televisyen pan-Asia, media cetak dan media digital.

Kata kenyataan itu, kempen tersebut dijadualkan berlangsung selama tiga bulan dan akan menampilkan kakitangan-kakitangan Telenor Group di Bangladesh, India, Malaysia, Pakistan dan Thailand.

''Melalui kakitangan kami sebagai duta jenama, ia berupaya menunjukkan kepercayaan kumpulan terhadap mengukuhkan perniagaan dan menonjolkan nilai-nilai yang dimiliki, kata Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Komunikasi dan Tanggungjawab Korporat Telenor Group, Hilde Tonne.

Jelas Tonne, sebagai syarikat telekomunikasi global, slogan membina masyarakat sekeliling turut membawa maksud pihaknya berhasrat untuk memahami perniagaan tempatan, memikirkan keperluan tempatan dan menjadi sebahagian dalam masyarakat.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Telenor Group dan Ketua Operasi Asia, Sigve Brekke berkata, penjenamaan korporat yang merupakan pertama kali diadakan di Asia itu merupakan kesan daripada pertumbuhan penting rantau ini.

Katanya, kumpulan telah melakukan inisiatif sejak memasuki pasaran Asia pada 1996.

''Sekarang merupakan masanya untuk Telenor Group untuk memperkuatkan keupayaan dan menghargai sumbangan yang dilakukan di Asia selama ini,'' ujarnya.

Telenor Group merupakan pengendali telefon keenam terbesar dunia.

Sejak memasuki pasaran Asia 14 tahun lalu, Telenor Group telah mengukuhkan kedudukannya daripada pengendali telekomunikasi baru kepada peneraju pemain telekomunikasi serantau.

Di Asia, Telenor Group mempunyai 75 juta pelanggan dengan menjadikan kedudukan kumpulan kedua terbesar bagi pengendali pelbagai pasaran di rantau ini.

Ejen Proton di Yemen akan buka tiga bilik pameran

SANA'A (Yemen) 19 Mac 2010 - Ejen Proton di Yemen, Al-Fath Motor's, bercadang untuk membuka tiga lagi bilik pameran di negara itu tahun ini dengan perbelanjaan dianggarkan AS$200,000 (RM620,000) setiap satu.

Ini adalah sebahagian usaha syarikat itu untuk memastikan kehadirannya dirasai. Al-Fath Motor's yang kini mempunyai bilik pameran di Sana'a, bercadang untuk membuka bilik pameran baru di Hudaidah, Aden dan Taaz, kata Pengurus Besarnya, Taimor A. Al-Ameri.

"Kami harap rancangan pengembangan kami sejajar dengan usaha Proton untuk terus mengukuhkan program eksportnya.

"Sebagai pendatang baharu dalam industri, kami akan cuba melaksanakan strategi kami iaitu mengukuhkan pemasaran, perkhidmatan selepas belian dan tenaga penjual," katanya di sini hari ini.

Al-Fath Motor's yang mula menjual kereta Proton seperti Persona dan Waja pada Disember tahun lepas, telah berjaya menjual 130 unit setakat ini, kata Taimor.

Beliau berkata, syarikat itu yakin akan mencapai sasaran jualan sebanyak 500 unit lagi tahun ini berdasarkan minat pembeli yang menggalakkan.

"Penduduk Yemen gemarkan barangan buatan Malaysia," tambah beliau.

Al-Fath Motor's adalah peserta Festival Malaysia-Yemen 2010 yang dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia untuk menandakan peningkatan hubungan dua hala dan menggalakkan pembangunan ekonomi kedua-dua buah negara.

Acara yang bermula 17 Mac itu akan berakhir esok di Pusat Ekspo Sana'a.

Taimor berkata, syarikat itu juga melihat kemungkinan membawa masuk kenderaan pelbagai guna (MPV) tujuh tempat duduk Proton Exora pada masa depan dan telah mengusulkan kepada kerajaan untuk menjadikan Waja sebagai kereta peronda polis.

"Kami mahu berusaha untuk memperkenalkan kereta yang sesuai untuk segmen pasaran berpendapatan rendah, pertengahan dan tinggi," jelas beliau. - BERNAMA

Sunway Holdings berpotensi catat untung tertinggi

2010/03/20

SUNWAY Holdings Bhd menjangka mencatatkan keuntungan tertingginya tahun ini berikutan langkahnya membida bagi kerja pembinaan bernilai RM16 bilion di seluruh dunia.

Pengarah Urusannya, Yau Kok Seng berkata, nilai kontrak yang diperoleh syarikat itu dijangkakan meningkat 33 peratus kepada RM4 bilion tahun ini, sebahagiannya dijana daripada pelaksanaan projek awam oleh kerajaan. “Persekitaran pasaran telah meningkat dalam tempoh enam bulan lalu dan kami yakin dapat memperoleh sebilangan projek yang dibida di dalam negara,” kata Yau dalam temubual dengan Reuters di Kuala Lumpur, semalam.

Yau berkata, Sunway sudah mengemukakan tender bagi beberapa daripada kerja pembinaan projek terminal tambang murah baru (LCCT) yang bernilai RM2 bilion di Sepang.

Pengumuman mengenai syarikat yang terpilih akan diumumkan seawal bulan ini, katanya.

Beliau berkata, projek infrastruktur besar lain yang akan dilaksanakan tahun ini termasuk projek transit aliran ringan (LRT) berhampiran Kuala Lumpur, serta loji rawatan dan penyaluran air Pahang tengah.

Pembinaan adalah segmen perniagaan yang menjana pendapatan terbesar kepada Sunway dengan menyumbang lebih separuh daripada keuntungannya.

Segmen perniagaan lain kumpulan itu adalah operasi kuari, penghasilan bahan binaan, pembangunan hartanah serta perdagangan dan pengilangan.

Operasi luar negara membabitkan projek pembinaan dan pembangunan hartanah di China, Singapura dan Asia Barat pula menyumbang 80 peratus kepada keuntungan sebelum cukai kumpulan itu.

Thursday, March 18, 2010

Proton rancang pakatan strategik

PETALING JAYA 18 Mac 2010 - Proton Holdings Bhd. (Proton) sentiasa berbincang untuk mengadakan pakatan strategik dengan Volkswagen (VW) dalam usaha menjadi lebih kompetitif di peringkat global.

Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, apa yang dibincangkan ketika ini adalah dalam bentuk kerjasama yang membolehkan kedua-dua pihak mendapat faedah masing-masing.

"Kerjasama sentiasa berterusan malah kami selalu berhubung dan berbincang lanjut tentang apa yang boleh dikongsikan namun saya tidak boleh mengulas panjang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Persona Elegance di sini hari ini.

Menurut Syed Zainal, pihaknya tidak menafikan Proton masih lagi mengadakan perbincangan untuk mengadakan kerjasama dengan Volkswagen bagi membangunkan model-model keluarannya.

Beliau turut memberitahu bahawa perbincangan Proton dengan pengeluar kereta terbesar di India, Kumpulan Hero masih lagi berjalan.

Ini kerana katanya, Proton melihat pasaran India merupakan salah satu pasaran penting untuk Proton berkembang dan bersaing di peringkat antarabangsa.

"Sebagai contoh, pelantikan BVR Subbu ke dalam lembaga pengarah Proton adalah berdasarkan keupayaannya serta kearifan pasaran kenderaan di India untuk membantu Proton pada masa depan,'' katanya.

Dalam pada itu, Syed Zainal berkata, Persona merupakan model kedua terlaris ketika ini selepas Saga dan berjaya mengekalkan jualan purata kira-kira 3,600 buah sebulan.

Sejak pelancarannya Ogos 2007, sebanyak 102,914 buah Persona telah didaftarkan dengan 6,800 tempahan pada Februari lalu.

"Persona juga telah berjaya meningkatkan 35 peratus penguasaan pasarannya bagi kenderaan yang sama kelas dengannya.

"Bagi model Persona Elegance ini, kita telah membuat beberapa perubahan, peningkatan dan yakin ia mampu menarik lebih ramai pembeli untuk model ini," katanya.

Persona Elegance menampilkan beberapa ciri baru seperti rim aloi, lampu depan dan belakang direka bentuk semula, gril depan yang menarik, tempat duduk kulit, cermin sisi dibina dengan lampu indikator, beg angin berkembar dan kit badan penuh untuk varian medium dan High Line.

Harga atas jalan antara RM46,499 hingga RM59,499 dengan lima warna menarik iaitu gangsa garnet, hijau chiffon, perak genetic dan hitam tranquility dengan didatangkan jaminan dua tahun atau 50,000 kilometer jaminan pengilang.

Menurut Syed Zainal, pengenalan Persona Elegance dijangka meningkatkan jualan bulanan Persona sekurang-kurangnya 4,000 buah sebulan dan menyumbang 48,000 buah kereta dijual untuk tempoh 12 bulan lalu.

Ia mewakili 11 peratus peningkatan yang ditunjukkan pada 12 bulan lalu dan meningkatkan jualan keseluruhan jualan kereta Proton sehingga lapan peratus bagi tahun kewangan 2010/2011.

Agrobank mahu tembusi Asia

Oleh AZMAN IBRAHIM
bisnes@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 18 Mac 2010 - Selepas dua tahun dikorporatkan, Agrobank merancang untuk melangkah lebih jauh dengan mengembangkan perniagaannya ke peringkat antarabangsa pada 2015.

Pada waktu itu, bank tersebut menyasarkan untuk menjalankan perniagaan 100 peratus berasaskan pematuhan syariah atau perbankan Islam.

Pengarah Urusannya, Datuk Ahmad Said (gambar) berkata, sebagai permulaan pihaknya merancang menembusi pasaran Asia kerana negara-negara di rantau itu berisiko rendah untuk dijadikan destinasi pelaburan berbanding di negara-negara barat.

"Bagaimanapun, setakat ini kami masih memberi tumpuan terhadap perniagaan di Malaysia kerana pasaran di negara ini masih lagi luas dan banyak lagi portfolio perniagaan yang masih belum diterokai,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengumumkan prestasi kewangan Agrobank bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2009 di sini hari ini.

Agrobank kini mempunyai 167 buah cawangan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Setakat ini, Agrobank mempunyai tiga segmen portfolio iaitu perbankan agro, perbankan individu dan perbankan perniagaan.

Selain itu, Ahmad menambah, bermula tahun ini, bank berkenaan merancang menawarkan segmen perniagaan baru, iaitu pinjaman perumahan.

Katanya, segmen perniagaan itu akan dilancarkan pada suku kedua tahun ini bersama-sama produk kewangan baru, General Investment Account (GIA) yang berkonsepkan Murabahah.

Menurut beliau, segmen pinjaman perumahan itu tertakluk kepada kediaman siap bina dalam usaha mengurangkan risiko kepada peminjam terhadap projek terbengkalai.

"Kami memperkenalkan segmen pinjaman tersebut bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

"Segmen ini turut memberi tumpuan kepada golongan pembeli kediaman yang sukar mendapat pembiayaan daripada bank-bank lain atas faktor-faktor tertentu.

"Kami menjanjikan tawaran pinjaman perumahan yang akan dilancarkan pada suku kedua tahun ini bagi meningkatkan persaingan dan menarik perhatian di pasaran,'' ujarnya.

Ketika ditanya pembukaan cawangan bank baru di negara ini, beliau berkata, pihaknya melabur kira-kira RM6 juta hingga RM7 juta bagi tujuan tersebut.

Katanya, sebanyak enam buah bank baru akan dibuka iaitu di Alor Setar di Kedah, Kota Bharu (Kelantan), Kota Kinabalu, Ranau atau Kundasang (Sabah), Bukit Mertajam (Pulau Pinang) dan Merlimau di Melaka.

Kata Ahmad, pada tahun ini, pihaknya merancang untuk memperkenalkan enam produk kewangan baru termasuk GIA.