Monday, March 22, 2010

Metrojaya rancang ke Asia Tenggara

Oleh AZMAN IBRAHIM
azman.ibrahim@utusan.com.my

Ahmad Khairummuzammil Mohd. Yusoff (tengah) melihat dan bertanyakan sesuatu kepada Mohd. Hafiz Shaippuddin serta Pauline Hew Moo Yeng pada majlis penyampaian hadiah Bonanza Ang Pow Tahun Baru Cina Metrojaya di Kuala Lumpur, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR 22 Mac 2010 - Gedung membeli belah, Metrojaya Department Store Sdn. Bhd. (Metrojaya) merancang untuk meluaskan empayar perniagaannya ke Asia Tenggara dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Perancangan itu sejajar dengan pemulihan ekonomi dunia dan proses rasionalisasi serta gabungan kedai dan gedung syarikat bermula pada tahun lalu.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Khairummuzammil Mohd. Yusoff berkata, Metrojaya mampu mengembangkan perniagaan di rantau ini menerusi potensi keuntungan yang dijana menerusi aktivitinya.

''Walaupun kegawatan ekonomi tahun lalu, kami tetap mampu membuat keuntungan dan sentimen pelanggan tetap positif kepada gedung membeli-belah kami,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah pertandingan Bonanza Ang Pow Tahun Baru Cina yang dilancarkan bermula 5 hingga 13 Februari lalu di sini hari ini.

Pemenang pertandingan tersebut ialah Pauline Hew Moo Yeng dari Kuala Lumpur menerima baucer Metrojaya membeli belah bernilai RM8,888.

Manakala tempat kedua dimenangi Mohd. Hafiz Shaippuddin dari Kuala Krai, Kelantan dengan baucer bernilai RM3,888 sementara tempat ketiga dimenangi oleh Normala Bujang dari Johor yang membawa pulang baucer RM2,888.

Metrojaya yang berusia lebih 35 tahun turut menyerahkan lima baucer membeli-belah bernilai RM800 setiap satu kepada lima pemenang hadiah saguhati.

Ahmad Khairummuzammil berkata, pihaknya sedang menjalankan proses menaiktaraf sebuah daripada sembilan buah gedung membeli-belahnya di negara ini dengan kos pelaburan RM12 juta.

Katanya, gedung yang terlibat adalah BB Plaza di Bukit Bintang di sini.

''Proses menaiktaraf bermula April depan dan dijangka siap sebelum Hari Raya Aidilfitri nanti.

''Setelah siap kerja-kerja menaiktaraf, Metrojaya di BB Plaza akan menjadi gedung membeli-belah bertaraf antarabangsa dengan menawarkan suasana persekitaran yang menarik, moden dan menawan selain pelbagai produk yang menepati cita rasa pelanggan.

''Saiz keluasan Metrojaya di BB Plaza adalah 18,580 meter persegi dan merupakan antara gedung membeli belah Metrojaya yang paling luas di negara ini,'' ujarnya.

Sehingga kini, Metrojaya mempunyai sembilan buah gedung membeli-belah termasuk sebuah di Kota Kinabalu, Sabah dan lebih 79 buah kedai khusus di seluruh negara.

50 stokis eksklusif komponen Proton

Oleh Azli Ayob
azliayob@bharian.com.my
2010/03/23
Syarikat rancang buka 13 premis jual alat ganti tulen di setiap bandar utama

PROTON Edar Sdn Bhd, menyasarkan membuka 50 stokis eksklusif menjual komponen dan alat ganti tulen Proton di seluruh Malaysia menjelang 2013.

Menjelang akhir tahun ini, syarikat itu merancang membuka 13 premis itu di setiap bandar utama, bermula dengan tiga di Lembah Klang.

Ketua Eksekutifnya, Mohamad Shukor Ibrahim, berkata pembukaan stokis itu adalah sebahagian proses penjenamaan semula Proton sejajar matlamatnya untuk memberikan perkhidmatan lebih memuaskan kepada pelanggan. Pembukaan premis ini dapat menghilangkan kekeliruan pengguna mengenai kemungkinan mereka telah membeli alat ganti palsu yang dijual pada harga yang sama dengan peralatan tulen, katanya pada sidang media selepas majlis pembukaan stokis eksklusif menjual komponen dan alat ganti tulen Proton pertama milik AME Auto Parts (M) Sdn Bhd di Petaling Jaya, semalam.

Mohamad Shukor berkata, selain pembukaan premis di Petaling Jaya itu, dua lagi premis di Lembah Klang yang akan dibuka ialah di Segambut dan Gombak.

Beliau berkata, kos pengubahsuaian bagi pembukaan premis berkenaan yang didatangkan dengan imej baru lebih menarik dan moden adalah kira-kira RM100,000.

Proton Edar telah mengambil langkah berani dalam perkara ini bagi memberikan imej baru kepada kedai milik pengedar alat ganti tulen Proton bagi memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan, katanya.

TM tambah rakan kandungan IPTV

Oleh Suffian A Bakar
suffian@bharian.com.my
2010/03/23

Meterai perjanjian dengan 20 penyedia rancangan bagi tambah program ditawar

TELEKOM Malaysia Bhd (TM) akan menambah lagi bilangan rakan kandungan bagi perkhidmatan Televisyen Protokol Internet (IPTV) yang akan dilancarkannya bagi membolehkan lebih banyak program ditawarkan kepada pelanggannya.

Syarikat telekomunikasi itu semalam memeterai perjanjian dengan 20 rakan kandungan bagi perkhidmatan IPTV itu menjadikan bilangannya kepada kira-kira 30.

IPTV adalah antara perkhidmatan tambah nilai di bawah perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) generasi akan datang yang bakal dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak esok. Naib Presiden Eksekutif Pengguna TM, Jeremy Kung, berkata berdasarkan kepada penyedia kandungan sedia ada, antara kandungan dan saluran yang akan dinikmati di bawah perkhidmatan IPTV itu nanti termasuk RTM 1, RTM 2, Bernama TV, TV3, NTV7, TV8 dan Hikmah, selain saluran penyiaran antarabangsa seperti BBC Knowledge, BBC Lifestyle, CBeebies, Channel News Asia, DWTV Asia+, Travel Channel, Euronews LUXE.TV dan beberapa kandungan lain.

Beliau berkata, pelanggan juga boleh menonton filem dan siri TV terkini menerusi video atas permintaan (VoD) yang diterbitkan Hit Entertainment dan studio utama Hollywood seperti CBS, Disney-ABC International Television dan Sony Pictures Television.

Sebagai bonus, perkhidmatan IPTV TM akan turut menyiarkan saluran interaktif eksklusif seperti Malaysian History, Malaysian Foot-ball, Tourism dan Games, selain saluran siaran definisi tinggi (HD), katanya pada majlis memeterai perjanjian antara TM dan 20 rakan pembekal kandungan itu di Kuala Lumpur, semalam.

Pada majlis itu TM yang diwakili Kung memeterai perjanian dengan wakil rakan kandungan antaranya Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Sidek Jamil; Ketua Eksekutif Bernama TV, Engku Emran Engku Zainal Abidin; Pengurus Besar yang juga Naib Presiden Kanan BBC Worldwide, Mark Whitehead; Ketua Pengedaran Asia/Australia Deutsche Welle, Angelika Newel; Pengarah Pembangunan Perniagaan Travel Channel International, Gerry Ritchie; dan Pengarah Eksekutif El-Kahfi Sdn Bhd, Nazir Idris.

Sunday, March 21, 2010

Mutiara Goodyear tumpu pembangunan mewah

IMEJ projek Nadayu di Melawati, Kuala Lumpur yang melibatkan pembinaan 142 buah banglo dan kediaman berangkai.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR 21 Mac 2010 - Berlandaskan pengalaman selama 30 tahun dalam industri hartanah, Mutiara Goodyear Development Bhd. (Mutiara Goodyear) kini merancang untuk melaksanakan projek kediaman mewah dan sederhana mewah.

Syarikat merancang untuk menjalankan empat projek hartanah terutamanya dalam segmen kediaman tersebut di Lembah Klang dan Pulau Pinang dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pengerusi Eksekutifnya, Hamidon Abdullah berkata, sebuah daripada empat projek tersebut sedang dijalankan di Melawati di sini dengan nilai pembangunan kasar RM1 bilion.

Beliau berkata, projek di Melawati di sini dinamakan Nadayu seluas 32 hektar (80 ekar) meliputi 142 banglo dan pembangunan kediaman berangkai.

Fasa pertama projek itu, jelasnya meliputi 21 buah banglo mewah dengan empat model kediaman unik rekaan yang dinamakan Awan, Bayu, Cahaya dan Daun.

Kesemua jenis model kediaman itu dibina dengan keluasan 601.7 meter persegi (6,477 kaki persegi) sehingga 771.1 meter persegi (8,301 kaki persegi).

''Setakat ini, sambutan yang kami terima daripada orang ramai amat menggalakkan, malah, Mutiara Development sudah menerima tujuh pembeli sejak projek tersebut dalam perancangan,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika di temui pada majlis prapelancaran projek kediaman mewah Nadayu di sini, baru-baru ini.

Harga setiap buah kediaman mewah itu adalah serendah RM5.96 juta hingga RM6.68 juta.

Projek kediaman berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2012.

Setiap buah kediaman yang dibangunkan akan dilengkapkan dengan kemudahan taman dan kolam.

Ketika ditanya mengenai jumlah bank tanah yang dimiliki Mutiara Development, Hamidon berkata, pihaknya masih mempunyai 300 hektar (750 ekar) bank tanah di Pulau Pinang.

Katanya, bank tanah di utara tanah air itu yang berpotensi untuk dibangunkan dengan kediaman mewah dan pembangunan bercampur.

Antara projek yang pernah dijalankan Mutiara Development di Lembah Klang adalah Lagenda Mas di Cheras, Kondominium Dataran Prima di Kelana Jaya, Kondominium Vila Lagenda di Selayang, Kondominium Mutiara Upper East di Ampang dan Taman Mutiara Gombak di Gombak.

Sementara di Pulau Pinang, syarikat pernah menjalankan projek perbandaran Bandar Tasek Mutiara di Seberang Prai.

TM sasar 200,000 langgan Yemmz

2010/03/22
TELEKOM Malaysia Bhd (TM) menyasar menarik lebih 200,000 pengguna untuk melanggan gerbang komuniti dalam talian barunya, Yemmz menjelang akhir tahun ini.

Naib Presiden Eksekutifnya, Jeremy Kung, berkata setakat ini, 26,000 pengguna melanggan gerbang itu.

“Gerbang dalam talian ini menggabungkan perangkaian sosial dan perdagangan liburan. Ia menawarkan perkhidmatan yang dikhususkan untuk menarik individu menyelenggarakan perniagaan dalam talian dengan sistem laluan get pembayaran bersepadu, terus daripada web,” katanya kepada Bernama minggu lalu. Kung berkata, TM yakin dapat mencapai sasaran berikutan semakin ramai rakyat Malaysia yang minat dan terbabit dalam perangkaian sosial.

Beliau juga berkata, aliran peruncit bebas dan pelanggan yang menggunakan web untuk membeli dan menjual produk juga semakin meningkat.

Yemmz dilengkapi ciri khusus seperti aplikasi rangkaian sosial, senarai forum, album foto, permainan dalam talian, senarai produk beli dan jual dengan ciri e-pembayaran terjamin dan instrumen komunikasi seperti mesej peribadi, forum, blog dan kotak komen tepat masa.

Pengguna Yemmz yang berminat menggunakan ciri belian dan jualan di laman web itu, ada empat kaedah pembayaran terjamin yang disediakan.

Ia meliputi urus niaga luar talian, saluran kad kredit, pembayaran pertukaran proses kewangan (FPX) dan sistem pembayaran maya prabayar (webcash). – Bernama

Hotel Seri Malaysia mahu buka dua cawangan baru

Oleh Zuraidah Mohamed
zmohamed@bharian.com.my
2010/03/22
RM62 juta dilabur kembang rangkaian di Lawas, Kangar

HOTEL Seri Malaysia Sdn Bhd merancang mengembangkan rangkaian hotelnya dengan membuka dua cawangan baru akhir tahun ini membabitkan pelaburan RM62 juta.

Pengarah Urusannya, Zahriah Abd Kadir, berkata cawangan yang akan dibuka di Lawas, Sarawak dan Kangar, Perlis itu akan menjadikan jumlah hotel di bawah kumpulan itu kepada 21.
Katanya, Hotel Seri Malaysia yang ditubuhkan 15 tahun lalu menumpukan kepada keperluan golongan sederhana, kini syarikat itu agresif menaik taraf kemudahannya bagi menyediakan perkhidmatan lebih menyeluruh. “Kami telah menyusun pendekatan strategik dalam usaha memenuhi kehendak serta keperluan dalam industri perhotelan dan hospitaliti dengan mengkaji semula strategi perniagaan kami.

“Bagi terus mengukuhkan jenama Seri Malaysia khususnya dalam keadaan ekonomi tidak menentu, kami mengorak langkah dengan memperkenalkan Hotel Seri Malaysia dengan ciri dan kemudahan setanding hotel empat bintang bagi menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Zahriah berkata, pembukaan dua cawangan baru tahun ini menjadikan hotel di bawah pengurusannya kepada tiga selain di Kepala Batas, Pulau Pinang, manakala 18 cawangan dikendalikan oleh operator hotel usahawan Bumiputera.

Katanya, syarikat itu membangunkan hotel setinggi tiga tingkat di Kangar dengan 150 bilik berkonsepkan ala resort, manakala di Lawas pula setinggi tujuh tingkat menawarkan 104 bilik.
“Kami turut merancang membuka cawangan baru di Sandakan, Kota Bharu, Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur dalam tempoh tiga tahun susulan permintaan tinggi dikalangan pelanggan dan operator hotel yang berminat menggunakan jenama Hotel Seri Malaysia,” katanya.

Zahriah berkata, Hotel Seri Malaysia kini sedang menaik taraf rangkaian hotelnya secara berperingkat termasuk menyediakan perkhidmatan lif dan kolam renang.

Katanya, syarikat itu mensasarkan pertumbuhan jualan kira-kira lima peratus tahun ini, didorong promosi agresif serta tawaran harga bilik yang kompetitif.

Katanya, pendapatan rangkaian hotel syarikat itu tahun lalu melebihi sasaran walaupun ekonomi belum pulih sepenuhnya dan langkah penjimatan diambil syarikat serta agensi kerajaan.

Friday, March 19, 2010

Telenor Group lancar kempen jenama

KUALA LUMPUR 19 Mac 2010 - Telenor Group akan melancarkan kempen penjenamaan korporat buat pertama kalinya di bawah kata slogan 'membina masyarakat sekeliling'. Kempen berkenaan menekankan kepercayaan Telenor bahawa masyarakat mempunyai 'hati' dalam perniagaan.

Telenor Group dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini berkata, kempen tersebut akan dilancarkan pada 25 Mac depan termasuk pengiklanan luaran melalui saluran-saluran televisyen pan-Asia, media cetak dan media digital.

Kata kenyataan itu, kempen tersebut dijadualkan berlangsung selama tiga bulan dan akan menampilkan kakitangan-kakitangan Telenor Group di Bangladesh, India, Malaysia, Pakistan dan Thailand.

''Melalui kakitangan kami sebagai duta jenama, ia berupaya menunjukkan kepercayaan kumpulan terhadap mengukuhkan perniagaan dan menonjolkan nilai-nilai yang dimiliki, kata Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Komunikasi dan Tanggungjawab Korporat Telenor Group, Hilde Tonne.

Jelas Tonne, sebagai syarikat telekomunikasi global, slogan membina masyarakat sekeliling turut membawa maksud pihaknya berhasrat untuk memahami perniagaan tempatan, memikirkan keperluan tempatan dan menjadi sebahagian dalam masyarakat.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Telenor Group dan Ketua Operasi Asia, Sigve Brekke berkata, penjenamaan korporat yang merupakan pertama kali diadakan di Asia itu merupakan kesan daripada pertumbuhan penting rantau ini.

Katanya, kumpulan telah melakukan inisiatif sejak memasuki pasaran Asia pada 1996.

''Sekarang merupakan masanya untuk Telenor Group untuk memperkuatkan keupayaan dan menghargai sumbangan yang dilakukan di Asia selama ini,'' ujarnya.

Telenor Group merupakan pengendali telefon keenam terbesar dunia.

Sejak memasuki pasaran Asia 14 tahun lalu, Telenor Group telah mengukuhkan kedudukannya daripada pengendali telekomunikasi baru kepada peneraju pemain telekomunikasi serantau.

Di Asia, Telenor Group mempunyai 75 juta pelanggan dengan menjadikan kedudukan kumpulan kedua terbesar bagi pengendali pelbagai pasaran di rantau ini.