Sunday, March 28, 2010

Superboom lancar projek The Haven bernilai RM230j

KUALA LUMPUR 28 Mac 2010 - Superboom Projects Sdn. Bhd. (Superboom Projects) melancarkan projek pembangunan kediaman mewah, The Haven di Ipoh yang bernilai RM230 juta. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Peter Chan berkata, The Haven merupakan sebuah pembangunan unik yang menerapkan ciri-ciri kemewahan dan kemudahan berfungsi di celah-celah alam semula jadi.

''Daya tarikan utamanya ialah sebuah tasik semula jadi seluas empat ekar dengan airnya yang sentiasa mengalir serta pembentukan batu kapur yang tersergam teguh setinggi 14 tingkat," kata beliau dalam kenyataannya di sini.

Chan berkata, The Haven menawarkan satu tanda aras baru dalam kehidupan moden dengan persekitaran yang menawan berserta ciptaan alam semula jadi.

Pembinaan itu terdiri daripada tiga blok kondominium 26 tingkat yang telah diumumkan oleh Chan di rumah contoh yang baru disiapkan di Tambun, Ipoh.

Rumah contoh itu menampilkan cita rasa dan sentuhan kehidupan di tempat beristirehat memandangkan ia menawarkan pandangan sebenar, daripada unit siap, dengan tasik semulajadi dan pembentukan batu kapur yang menakjubkan di pinggir tasik.

Sejumlah 489 buah dalam 12 variasi akan dibina di tapak seluas 5.52 hektar manakala empat hektar lagi tidak disentuh untuk mengekalkan keindahan semula jadinya.

The Haven bukan sahaja di kelilingi oleh bukit-bukit batu kapur yang berusia lebih a 280 tahun tetapi juga merupakan tempat bagi pelbagai jenis flora dan fauna yang masih belum disentuh.

Dengan harga permulaan pada RM298 sekaki persegi, harga bagi unit-unit di The Haven adalah antara RM250,000 hingga RM1.4 juta.

"Kami yakin kemunculan The Haven sebagai kediaman bagi penduduk di Ipoh dan rumah persinggahan atau percutian bagi lain-lain warga Malaysia dan warga asing.

''Para pembeli bukan sahaja dari Ipoh dan Malaysia malahan juga dari Singapura dan Hong Kong," katanya.

JDK sasar tiga tender projek baru

Oleh KHAIRUDDIN MOHD AMIN
bisnes@utusan.com.my

PETALING JAYA 28 Mac 2010 - Prestasi baik bukan sahaja dapat meningkatkan imej sesebuah syarikat tetapi juga meyakinkan pihak lain untuk menjalinkan hubungan perniagaan yang lebih akrab pada masa depan.

Hakikat itu terbukti apabila Pembinaan JDK Sdn. Bhd. (JDK) mendapat pakej kedua Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Ipoh-Padang Besar bernilai RM40 juta daripada MMC-Gamuda JV Sdn. Bhd. setelah berjaya memperoleh pakej pertama berjumlah RM50 juta.

Malah, dengan pengalaman mengendalikan projek yang diberikan, Pembinaan JDK kini semakin berani mengintai peluang perniagaan lain dengan menyertai beberapa tender di Johor dan Pulau Pinang.

Pengarah Urusan Pembinaan JDK, Rasdan Rahmat berkata, kontrak yang diperoleh daripada MMC-Gamuda itu membabitkan pembinaan sembilan jambatan antara Parit Buntar dan Kemunting di Perak.

''Pada awalnya, kami cuma dapat satu pakej bernilai RM50 juta tetapi kerana prestasi yang ditunjukkan baik, kami diberikan pakej kedua bernilai RM40 juta.

''Kini projek tersebut 55 peratus siap berbanding jangkaan awal sebanyak 50 peratus,'' katanya sambil menjelaskan 'prestasi yang baik' itu bermakna kerja berjaya disiapkan lebih awal berbanding jadual asal tanpa mengorbankan kualiti.

Syarikat bumiputera yang diperbadankan pada 1994 kini beroperasi dengan mempunyai 20 kakitangan termasuk enam jurutera selain menggajikan kira-kira 80 pekerja sementara.

Sebelum ini, Pembinaan JDK mendapat kontrak untuk membina jambatan kereta api di Plentong, Johor selain mengendalikan kerja-kerja membaik pulih landasan kereta api sepanjang 24 kilometer di Singapura.

Ia membabitkan pertukaran penyangga landasan (sleeper) daripada kayu kepada konkrit dan batu kerikil untuk menampung berat landasan (ballast).

Ditanya bagaimana Pembinaaan JDK berjaya mendapat kontrak MMC-Gamuda, Rasdan percaya mungkin syarikat itu aktif dalam kerja-kerja pembinaan landasan, sekali gus memungkinkan Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) mengesyorkan namanya kepada syarikat usahasama tersebut.

''Kita dijemput untuk mengemukakan tender beberapa projek. Bagi projek ini terdapat antara lapan hingga 10 syarikat yang mengemukakan tender dan selepas dua atau atau tiga rundingan baru dapat,'' katanya.

Menurut beliau, menerusi projek tersebut, pihaknya mempelajari tentang kawalan kualiti, pengurusan keselamatan pada tahap piawaian yang tinggi mampu dimanfaatkan pada masa depan bagi mendapatkan projek lain.

Rasdan berpendapat, sektor pengangkutan kereta api menawarkan peluang perniagaan yang besar pada masa depan menerusi segmen penyelenggaraan yang berterusan.

''Sebagai contoh, paling lama landasan digunakan adalah 15 tahun dan bagi landasan yang melencong ia perlu diganti lebih awal daripada itu selain kerja-kerja menaik taraf yang akan menawarkan potensi perniagaan yang besar,'' jelasnya.

Tambah beliau, melalui PLBE, bukan sahaja Pembinaan JDK mendapat faedah namun rantaian manfaatnya adalah luas apabila kontraktor kecil, pembekal peralatan bersaiz kecil serta penduduk setempat turut terima tempias limpahan ekonomi.

Ditanya mengenai rancangan syarikat, Rasdan berkata, pada masa ini pihaknya telah mengemukakan tender untuk beberapa projek besar seperti di Iskandar Malaysia dan Jambatan Kedua Pulau Pinang.

''Bagi Jambatan Kedua Pulau Pinang, kita masuk tiga tender dan tender paling besar bernilai antara RM100 juta hingga RM150 juta,'' katanya.

Rasdan berkata, tender untuk projek Iskandar Malaysia melibatkan kerja-kerja pembinaan jambatan, kerja-kerja sungai seperti mendalamkan sungai.

Friday, March 26, 2010

Guocera perkukuh pasaran jubin seramik ke Vietnam

Oleh Shahrizan Salian
shahrizan@bharian.com.my
2010/03/27

RICHARD (kanan) bertukar dokumen perjanjian usaha sama dengan Vu Tien, disaksikan Dr Hoang dan Quek (dua dari kanan), di Kuala Lumpur, semalam.Tubuh syarikat usaha sama babit pelaburan RM41.5 juta

GUOCERA Holdings Sdn Bhd, pengeluar jubin seramik terbesar Malaysia mengukuhkan kedudukannya di pasaran Asean dengan menubuhkan sebuah syarikat usaha sama di Vietnam membabitkan pelaburan bernilai AS$12.45 juta (RM41.5 juta).

Anak syarikat milik penuh Hong Leong Industries Bhd itu semalam memeterai perjanjian kerjasama dengan Perbadanan Pembinaan dan Pembangunan Infrastruktur Vietnam (LICOGI) untuk menubuhkan sebuah syarikat liabiliti terhad, Guocera Tile Industries (Vietnam) Co Ltd. Syarikat usaha sama itu akan mengambil alih operasi sebuah kilang yang kini dikendalikan LICOGI di wilayah Dong Nai yang terbabit dalam pengeluaran jubin porselin.

LICOGI adalah badan di bawah Kementerian Pembinaan Vietnam yang mengkhusus dalam kerja pembinaan infrastruktur serta terbabit dalam beberapa projek mega di Vietnam sejak awal 1960-an.

Pengarah Urusan Guocera, Richard Ng Wee Chen, berkata syarikatnya akan memegang 97.3 peratus kepentingan dalam syarikat usaha sama berkenaan yang kemudian bakal terbabit dalam mengeluar, memasar dan mengedar pelbagai jenis jubin di Vietnam.

Katanya, kerjasama itu akan memberikan peluang kepada Guocera untuk mengembangkan perniagaan pengeluaran jubin serta mempromosikan jenama syarikat terbabit ke pasaran Vietnam.

“Menerusi pelaburan ini, syarikat bukan hanya dapat menembusi pasaran Vietnam yang sedang berkembang, malah bakal mengukuhkan kedudukan sebagai pengeluar jubin utama Malaysia dan satu daripada pengeluar terbesar di dunia,” katanya selepas majlis memeterai perjanjian antara Guocera dengan LICOGI di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau memeterai perjanjian itu bagi pihak Guocera manakala LICOGI diwakili Ketua Pengarahnya, Vu Tien Giao.

Majlis disaksikan Pengerusi dan Ketua Eksekutif Hong Leong Industries Bhd, Tan Sri Quek Leng San dan Duta Vietnam ke Malaysia, Dr Hoang Trong Lap.

Ng berkata, dalam tempoh dua tahun akan datang syarikat usaha sama itu akan menambah pelaburannya dalam bidang teknologi dan kapasiti bagi meningkatkan kecekapan proses serta mutu pengeluaran produk setanding dengan standard global.

“Syarikat itu bakal menjadi pengeluar jubin utama di Vietnam yang merintis jalan kepada Guocera untuk menjadi antara pengeluar terbesar di Asia. Banyak usaha perlu dilakukan menjadikannya kenyataan,” katanya.

Mengulas rancangan pengembangan Guocera, Ng berkata kilang pengeluaran ketiga syarikat itu di Kluang, Johor yang dijangka beroperasi selewat-lewatnya suku pertama 2011, bakal meningkatkan kapasiti pengeluarannya kepada 38.3 juta meter persegi setahun.

“Ini bukan saja bakal mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai pengeluar terbesar jubin di Malaysia, malah menjadikan Guocera sebagai antara peserta dominan di rantau Asia,” katanya sambil menambah syarikat kini menguasai 28 peratus pasaran jubin di Malaysia.

Syarikat itu kini mempunyai dua kilang pengeluaran masing-masing di Kluang dan Meru dengan keupayaan mengeluarkan kira-kira 24 juta meter persegi jubin setahun.

Guocera mengeksport 40 peratus produk keluarannya ke kira-kira 50 negara termasuk di pasaran utama seperti Amerika Syarikat, Kanada, Eropah, Australia, Asia Barat, India, Korea, Thailand, Hong Kong, Filipina, Indonesia dan Singapura.

PCCW buka pusat rangkaian di KL

KUALA LUMPUR 26 Mac 2010 - PCCW Global, anak syarikat pembekal telekomunikasi di Hong Kong, PCCW Ltd., hari ini mengumumkan pembukaan Pusat Rangkaian atau Point of Presence (PoP) yang baru di pusat data Telekom Malaysia Bhd. (TM) di Kuala Lumpur.

Dengan penubuhan PoP baru itu, PCCW Global dan TM akan dapat menyediakan liputan yang dipertingkatkan dan pelbagai pilihan penawaran yang lebih banyak untuk pelanggan-pelanggan mereka di Malaysia.

Melalui PoP ini, PCCW Global akan dapat menyediakan portfolio penyelesaian komunikasi global bersepadu untuk pelanggan-pelanggan dengan kewujudannya di Malaysia.

Pada masa yang sama, TM juga akan menawarkan perkhidmatan dan penyelesaiannya menerusi rangkaian PCCW Global.

Naib Presiden Eksekutif Global TM, Rozaimy Abdul Rahman berkata: "Kami amat gembira kerana melalui usaha sama ini, TM dan PCCW Global akan bersama-sama berganding bahu untuk memberikan penyelesaian dan perkhidmatan telekomunikasi yang menyeluruh bagi memenuhi permintaan daripada segmen korporat dan enterpris yang kian meningkat.

''Usaha sama ini juga bakal memacu segmen korporat dan enterpris, khususnya dalam memenuhi permintaan pelanggan yang memerlukan penyelesaian rangkaian global yang fleksibel, mudah diselaraskan dan termaju."

Katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini, Rozaimy menambah, usaha sama strategik ini akan mengukuhkan lagi kedudukan kedua-dua syarikat sebagai pembekal perkhidmatan rangkaian dan komunikasi pilihan di rantau ini.

''TM akan meneruskan usaha kami untuk sentiasa berada di hadapan dengan memberikan sambungan dan perkhidmatan antarabangsa yang terbaik menerusi kerjasama strategik dengan rakan-rakan kongsi kami.

''Dalam usaha kami untuk mencapai pertumbuhan masa depan yang berkekalan, kami akan terus menjalinkan hubungan perniagaan strategik dengan rakan-rakan kongsi kami bagi meluaskan lagi penawaran kami dan membina kedudukan dalam pasaran sebagai satu jenama global," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PCCW Global, Marc Halbfinger berkata, pihaknya komited untuk melabur dalam kepelbagaian rangkaian di rantau Asia dan ini dapat dilihat dengan tertubuhnya satu lagi PoP baru di Malaysia.

''Tahun lepas, kami telah melancarkan Intra Asia Cable System (IACS), sistem kabel dasar laut fiber optik terus, pantas dan menyeluruh di rantau ini yang menghubungkan PoP utama di Hong Kong, Tokyo dan Singapura dengan cabang capaian hingga ke Filipina dan Vietnam,'' katanya.

IACS telah direka untuk mengelak kawasan-kawasan berpotensi mengalami bencana alam di rantau Asia Pasifik.

Nilai usaha ini terbukti apabila mereka dapat mengubah laluan trafik di IACS menyambung semula perkhidmatan dalam tempoh satu masa yang singkat berikutan kerosakan kabel serius yang disebabkan oleh Taufan Morakot dan gempa bumi di Taiwan.

''Reka bentuk tahan lasak rangkaian kami, digabungkan dengan utuhnya hubungan kami dengan TM, akan menjamin perkhidmatan dan prestasi yang berkualiti tinggi." katanya.

Pembinaan PoP itu akan meningkatkan kerjasama antara PCCW Global dan TM kerana kedua-dua syarikat ini akan menggembleng tenaga dalam mengukuhkan liputan rangkaian global masing-masing.

Samsung buka pusat digital kelima di wilayah utara

26/03/2010 3:39pm

BUTTERWORTH 26 Mac 2010 – Samsung Malaysia Electronic Sdn. Bhd. (SME) melangkah setapak ke hadapan dengan membuka pusat digital kelima di wilayah utara bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat dari pengguna Pulau Pinang.

SME telah memilih sebuah syarikat perniagaan elektrik tempatan, CSE Sdn, Bhd., bagi memperkenalkan pusat digital yang terletak di Taman Chai Leng di sini.

Pusat itu akan mempamerkan rangkaian produk yang lengkap, dari telefon mudah alih, audio visual dan pengimejan digital hinggalah kepada barang kelengkapan rumah dan teknologi maklumat (IT).

Naib Presiden Jualan SME, Chan Lock berkata, pelanggan yang berminat untuk mendapatkan produk keluaran Samsung tidak perlu ke tempat lain kerana semuanya telah tersedia di bawah satu bumbung.

Beliau berkata, SME dan CSE telah menjalin kerjasama erat sejak 10 tahun lepas dalam perniagaan barangan elektrik.

"Kami percaya kunjungan pelanggan ke Pusat Digital Samsung ini akan membuka mata dan hati mereka terhadap produk dan teknologi terkini keluaran Samsung,” katanya pada majlis pelancaran pusat itu di sini hari ini.

Pusat Digital Samsung terletak di Best Point Furniture Electronic, Lot 2975G, Ground Floor, Kompleks Chai Leng, dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 9.00 malam pada Isnin hingga Sabtu, dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang pada hari Ahad. – Bernama

Thursday, March 25, 2010

Pasaran sendiri lebih menarik

KUALA LUMPUR 25 Mac 2010 - Habib Jewels Sdn. Bhd. (Habib Jewels) tidak bercadang membuka cawangannya di luar negara tetapi sebaliknya kekal menjadikan Malaysia sebagai pasaran utama.

Pengarah Urusannya, Datuk Meer Sadik Habib (gambar) berkata, meskipun jenama barangan kemas Habib Jewels mula bertapak kukuh di luar negara tetapi pasaran tempatan diberikan tumpuan kerana permintaannya tinggi.

''Ini disebabkan harga barangan kemas di negara ini masih lagi kompetitif dibandingkan dengan negara asing, ditambah pula tiada cukai dikenakan,'' katanya.

Beliau berkata ketika ditemui sempena pelancaran Pesta Bulan Berlian 2010 Habib dan pembukaan cawangan Habib Jewel ke-21 di Mid Valley di sini hari ini.

Meskipun begitu, menurutnya, Habib Jewels mempunyai strategi tersendiri untuk mempromosi dan memasarkan jenama tersebut di pasaran luar sedia ada.

Habib Jewels yang berusia 50 tahun kini mempunyai pasaran kukuh di Singapura, India, Hong Kong, Eropah dan Timur Tengah.

Sejajar dengan usia setengah abad itu, Meer Sadik berkata, peluasan operasi bukan lagi menjadi tumpuan Habib Jewels tetapi pendidikan mengenai produk yang dijual iaitu emas dan berlian menjadi tumpuannya.

Jelas beliau, pendekatan itu diambil untuk memastikan para peminat barangan emas dan berlian di Malaysia mengetahui nilai barangan tersebut, seterusnya ia akan memberi kelebihan kepada Habib Jewels.

''Saya berani menyatakan kami memiliki koleksi emas dan berlian terbaik di pasaran dan sudah menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan pelanggan setia Habib Jewels mengetahui nilai barangan tersebut serta menjadikan jenama kami sebagai pilihan tetap mereka,'' ujarnya.

Menurutnya, lagipun aliran pembelian barangan kemas di Malaysia bukan sekadar untuk dijadikan perhiasan atau koleksi, sebaliknya lebih kepada pelaburan.

Justeru, Habib Jewels mahu memastikan setiap pelaburan yang dibuat oleh pelanggannya memberi keuntungan jangka panjang.

Beliau berkata, biarpun persaingan dalam industri itu semakin sengit namun Habib Jewels masih mampu menguasai 10 peratus pasaran.

Meer Sadik menambah, syarikat itu hanya bercadang membuka dua buah lagi cawangan pada tahun ini termasuk sebuah di Lembah Klang dengan pelaburan bagi setiap cawangan menelan pelaburan sebanyak RM10 juta, bergantung kepada lokasi.

Dalam pada itu, beliau menyasarkan untuk mengaut jualan sebanyak RM30 juta melalui penganjuran Pesta Bulan Berlian pada 26 Mac hingga 2 Mei ini.

Serentak dengan pesta berkenaan, seluruh cawangan Habib Jewels akan menawarkan diskaun.

Monday, March 22, 2010

Bill Gates, Toshiba bincang jalin kerjasama bangunkan reaktor nuklear

2010/03/23
TOKYO: Sebuah syarikat yang disokong pengasas Microsoft, Bill Gates dan Toshiba ketika ini mengadakan perbincangan di peringkat awal bagi menjalinkan kerjasama membangunkan reaktor nuklear bersaiz kecil, menurut gergasi elektronik Jepun itu.

Akhbar perniagaan harian, The Nikkei melaporkan kedua-dua pihak akan bekerjasama bagi membangunkan reaktor generasi masa depan yang kompak di mana ia mampu beroperasi sehingga 100 tahun tanpa memerlukan pengisian semula tenaga, iaitu bebas pengeluaran tenaga.

The Nikkei juga berkata, kerjasama yang dijalinkan itu akan menumpukan kepada pembangunan reaktor pergerakan gelombang (TWR), iaitu menggunakan uranium yang sudah digunakan dan kehabisan sebagai sumber tenaganya. Katanya, ia bagi menggantikan reaktor air yang digunakan ketika ini dan memerlukan pengisian semula tenaga bagi tempoh setiap beberapa tahun.

“Toshiba sudah memasuki peringkat perbincangan awal dengan TerraPower. Kami melihat kepada kemungkinan untuk menjalinkan kerjasama,” kata jurucakap Toshiba, Keisuke Ohmori.

Gates adalah pemilik utama TerraPower, iaitu pasukan yang mempunyai kepakaran dalam bidang itu dan berpangkalan di Washington, Amerika Syarikat.

Ketika ini, syarikat itu sedang mengkaji kaedah bagi meningkatkan bekalan pengeluaran bebas tenaga reaktor. - AFP