Monday, August 16, 2010

Puncak Niaga, P&C Construction jalin usaha sama

2010/08/17
PUNCAK Niaga Holdings Bhd menjalinkan usaha sama dengan P&C Constructions (P) Ltd dari India untuk turut serta dalam tender antarabangsa bagi projek sistem pengangkutan talian paip di Mangalore.

Perjanjian bagi usaha sama yang tidak diperbadankan itu dimeterai kedua-dua syarikat itu semalam yang mana Puncak Niaga bertindak sebagai rakan kongsi utama dengan pegangan saham 70 peratus.
Usaha sama itu akan menyertai tender yang dikeluarkan oleh Mangalore Special Economic Zone Ltd dan untuk melaksana dan menyiapkan projek itu jika ia memperolehnya. Puncak Niaga dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia semalam, usaha sama itu sinergi kepada pelan perkembangan perniagaan kumpulan itu di India.

Bagi rakan kongsi dari Indianya itu, syarikat itu berkata P&C menyediakan sokongan kepada syarikat induknya, S P Periasamy & Co bagi projek besar dan kontrak kejuruteraan awam.

B-Retail giat usaha kembang operasi

Oleh Shahrizan Salian
shahrizan@bharian.com.my
2010/08/17
BERJAYA Retail Bhd (B-Retail), syarikat yang menjadi entiti penyenaraian bagi Singer (Malaysia) Sdn Bhd dan 7-Eleven Malaysia Sdn Bhd akan giat melaksanakan pelan pengembangannya tahun ini menerusi pembukaan cawangan baru kedua-dua cabang perniagaannya itu.

Anak syarikat Berjaya Corporation Bhd (BCorp) itu merancang menambah kira-kira 100 francaisi baru kedai serbaneka 7-Eleven serta sehingga 20 cawangan kedai Singer baru tahun ini.
Pengarah Eksekutif 7-Eleven Malaysia Sdn Bhd, Ng Su Onn, berkata kumpulan yang ketika ini mempunyai 1,127 cawangan 7-Eleven di seluruh negara dengan 58 dikendalikan francaisi akan menjadikan program francais sebagai pelan pengembangannya untuk tahun ini. Beliau berkata, perbelanjaan modal bagi setiap cawangan 7-Eleven ialah antara RM200,000 hingga RM250,000 dengan separuh daripada cawangan baru berkenaan akan dibuka di Lembah Klang.

“Rancangan pengembangan bergantung kepada permintaan, justeru, selagi ada permintaan daripada khalayak maka kami akan memenuhinya,” katanya selepas majlis penyenaraian B-Retail di Pasaran Utama Bursa Malaysia semalam.

Hadir sama, Pengerusi B-Retail, Tan Sri Tan Kok Ping dan Pengarah Urusan Singer (Malaysia), Yeap Dein Wah.

B-Retail membuat kemunculan sulung yang baik di Bursa Malaysia apabila urus niaga sahamnya dibuka pada dua peratus lebih tinggi pada 51.5 sen berbanding harga tawarannya, 50 sen untuk mencatatkan premium 1.5 sen.
Pada jam 5 petang, saham B-Retail ditutup sama dengan harga tawaran 50 sen dan ia muncul saham paling aktif didagangkan, menyaksikan sebanyak 61.157 juta saham bertukar tangan.

Mengenai kemungkinan kerjasama sinergi antara 7-Eleven dan Singer, Ng berkata kedua-dua syarikat mempunyai segmen pasaran runcit yang berbeza dari segi operasi perniagaan dan pelanggan.

“Bagaimanapun, memandangkan gedung 7-Eleven di luar negara boleh melaksanakan pembayaran bil, satu kemungkinan yang mungkin boleh dilaksanakan ialah kutipan bil untuk rangkaian barangan Singer.

“Kami perlu membuat pelaburan besar dalam sistem gedung 7-Eleven bagi membolehkannya menjadi kenyataan. Jika sistem itu sudah disediakan, maka kami akan mempertimbangkan kerjasama seperti itu,” katanya.

Sementara itu, Yeap berkata, selain rancangan untuk membuka cawangan baru, kumpulan turut merancang untuk memoden dan menaik taraf semua 561 cawangan kedai Singer di seluruh negara.

Sunday, August 15, 2010

Icapital.Biz sasar ganda nilai aset

2010/08/16
ICAPITAL.BIZ Bhd menyasar menggandakan nilai asetnya dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.

Pengarah Urusannya, Tan Teng Boo, berkata syarikat itu mencatat pertumbuhan keuntungan lebih 130 peratus sejak disenaraikan pada 2005. “Jika kami tidak menyimpang daripada pelaburan yang memiliki nilai dan melabur dalam saham berharga menarik, pulangan dalam tempoh empat hingga lima tahun adalah sangat menarik. “Selepas syarikat melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) pada 2005, kami menyasar menggandakan aset dalam tempoh empat hingga lima tahun dan kami sudah melepasi sasaran itu,” katanya.

Mengenai Hari Pelabur yang dianjurkan kumpulan itu, Tan berkata, ia diadakan bagi mendidik individu mengenai pelaburan.

“Kami menjemput syarikat yang mana kami sudah melabur, untuk memberi taklimat kepada orang awam, agar mereka boleh memahami mengenai perniagaan dan melabur secara betul,” katanya.

Beliau berkata, jika seseorang individu itu membuat pelaburan dengan betul, maka tiada alasan mengapa mereka tidak boleh meraih keuntungan daripada aktiviti itu.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei lalu, syarikat itu mencatat keuntungan sebelum cukai RM37.644 juta, meningkat daripada RM7.489 juta yang dicatat pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Pencapaian didorong peningkatan pendapatan kepada RM42.223 juta daripada RM11.414 juta. – BERNAMA

Hovid buka kilang di luar negara

2010/08/16
Syarikat mahu tingkat kapasiti pengeluaran, rangsang pertumbuhan produk

HOVID Bhd, syarikat farmaseutikal tempatan, bercadang mengembangkan operasi luar negaranya dengan pembukaan kilang pertama kumpulan itu di seberang laut menjelang 2013 bagi menampung permintaan kukuh untuk mendapatkan produknya. Pengarah Urusannya, David Ho, berkata kumpulan itu sudah memiliki pejabat di lebih 50 negara, membolehkannya meneroka peluang untuk membuka kilang. “Jika kami mempunyai kilang di sesebuah negara, kami bukan menjadi syarikat pengeksport di negara berkenaan kerana mengeluarkan produk di situ.
“Keadaan itu akan merangsang pertumbuhan kami di pasaran berkenaan,” kata Ho baru-baru ini.

Katanya, aktiviti pengeluaran kilang sedia ada sudah mencapai kapasiti pengeluaran 100 peratus dan Hovid sedang mengkaji meningkatkan lagi pengeluarannya.

“Jika kami tidak boleh meningkatkan pengeluaran dari kilang berkenaan, saya rasa adalah realistik untuk membina kilang baru,” katanya.
Hovid, sebuah syarikat berpangkalan di Perak, yang dahulunya lebih dikenali sebagai Ho Yan Hor Herbal Tea pada 1940-an, sebelum beralih menjadi sebuah syarikat farmasi pada 1980-an.

Syarikat itu kini memiliki dua kilang iaitu di Ipoh dan Chemor. Ia terbabit dalam aktiviti pembangunan dan pengeluaran ubat-ubatan generik, makanan tambahan dan produk pengguna.

Sistem penyampaian bio yang digunakan sudah dipertingkatkan dan dipatenkan.
Ho berkata, kumpulan itu sudah menerima beberapa permintaan dari negara Afrika untuk membina kilang, selain mempertimbangkan membinanya di beberapa negara Asia Tenggara termasuk Filipina dan Indonesia.

Syarikat itu juga katanya berminat membina kilang di China, sekali gus membolehkannya mengakses pasaran negara berkenaan.

“Syarikat itu belum ada di China kerana ia suatu langkah yang agak kompleks. Sementara itu, langkah mengimport produk farmaseutikal dari China juga adalah sukar,” katanya.

Ho berkata, Hovid berkemungkinan memasuki pasaran China dengan mengeksport teh herba kerana jenama kumpulan itu sudah terkenal di negara berkenaan, khususnya di selatan.

Mengenai pasaran Eropah Ho berkata, syarikat itu sedang berunding dengan beberapa syarikat di rantau berkenaan untuk mengembangkan produknya.

“Syarikat mungkin memasuki pasaran berkenaan dengan produk makanan tambahan kesihatan,” katanya. – BERNAMA

Monday, August 9, 2010

Scomi tinjau bekal 200 bas bagi Melaka

2010/08/10
SCOMI Engineering Bhd, anak syarikat Scomi Group Bhd, meninjau potensi memperoleh kontrak bagi membekalkan 200 unit bas menerusi program memperbaharui dan menggantikan bas lama di bandar raya Melaka.

Presidennya, Syahrunizam Samsudin, berkata menerusi program itu kerajaan Melaka sudah memperuntukkan dana bernilai kira-kira RM36 juta bagi membiayai syarikat yang mahu menukar ganti bas lama mereka kepada bas baru yang lebih canggih. Katanya, pemerolehan kontrak bernilai RM2.4 juta bagi membekalkan 10 bas baru-baru ini menjadi asas kukuh kepada syarikat untuk membuktikan keupayaan menghasilkan bas yang berkualiti. Beliau berkata, program penggantian itu adalah untuk meningkatkan industri pelancongan Melaka, justeru, semua 10 unit bas Midi berukuran panjang sembilan meter akan direka khas dengan dua pintu berbanding satu pintu sebelum ini, selain reka bentuk yang canggih menggunakan teknologi terkini.

“Scomi memang meninjau untuk memperoleh kontrak bagi menggantikan kesemua bas itu, justeru kami perlu berusaha melakukan yang terbaik untuk kontrak 10 bas ini dan jika mereka berpuas hati berkemungkinan kami akan dianugerahkan dengan kontrak yang lain.

“Lawatan Exco kerajaan Melaka ke kilang Scomi, semalam, bagi meninjau proses pemasangan bas turut mewujudkan kerjasama erat di mana kami yakin mampu menyiapkan kesemua tempahan 10 bas menjelang Oktober ini,” katanya selepas lawatan Scomi Group ke Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), di Kuala Lumpur, semalam.

Lawatan 14 kakitangan Scomi selama tiga jam itu diketuai Ketua Eksekutif Kumpulan Scomi, Shah Hakim Zain, diiringi Presiden Scomi International, Kanesan Veluppillai; Presiden Scomi Engineering Bhd, Syahrunizam Samsudin dan Ketua Kakitangan Kumpulan Scomi, Rohaida Ali Badaruddin.
Hadir sama meraikan lawatan itu ialah Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa; Pengarang Kumpulan, New Straits Times Sdn Bhd, Datuk Syed Nadzri Syed Harun; Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar.

Wednesday, August 4, 2010

BHPetrol mahu buka 15 lagi stesen

2010/08/05
BOUSTEAD Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol), merancang membuka 15 stesen minyak baru di seluruh semenanjung tahun depan.

Pengarah Urusannya, Tan Kim Thiam, berkata setiap stesen minyak itu akan membabitkan pelaburan antara RM5 juta hingga RM7 juta. "Pembukaan stesen minyak baru ini adalah sebahagian daripada rancangan peluasan kami untuk memberikan perkhidmatan dan penjagaan yang lebih baik kepada pelanggan kami," katanya kepada Bernama pada Cabaran Golf Pelanggan BHPetrol 2010 di Shah Alam semalam. Setakat ini, BHPetrol mempunyai 320 stesen minyak di seluruh Semenanjung Malaysia.

Sebelum itu, Tan menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Yaya-san MyKasih untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik. – BERNAMA

Al Rajhi tawar perbankan mewah

Oleh Che Wan Badrul Alias
chewan@bharian.com.my
2010/08/05
Pusat sehenti pembiayaan, pelaburan khusus golongan berpendapatan tinggi

AL RAJHI Bank Malaysia Bhd akan menubuhkan pusat perbankan mewah pertamanya di Malaysia yang menawarkan semua perkhidmatan perbankannya termasuk deposit, pembiayaan dan pelaburan khusus untuk pelanggannya dari kalangan golongan berpendapatan tinggi. Naib Presiden Kanan Pembiayaan Peribadi Bahagian Perbankan Runcitnya, Ronnie Chai Ching Beng, berkata pusat perbankan sehenti itu akan dibuka di Bangsar Shopping Centre di Bangsar Kuala Lumpur Oktober ini. Katanya, bank itu memperuntukkan pelaburan yang besar bagi membuka pusat berkenaan bagi memberikan kemudahan dan keselesaan kepada pelanggan dari golongan berkenaan melaksanakan pelbagai urusan perbankan mereka.

“Kami tidak dapat menyatakan jumlah pelaburan untuk cawangan baru itu, tetapi ia adalah tanda komitmen kami untuk bertapak kukuh di Malaysia.

“Pembukaan pusat perbankan mewah itu nanti adalah tambahan daripada perancangan kami untuk membuka dua hingga tiga cawangan baru tahun ini,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian hadiah utama bagi promosi Pembiayaan Peribadi bank itu di Kuala Lumpur, semalam.

Di bawah promosi itu, Al Rajhi menawarkan 20 hadiah utama termasuk televisyen 55 inci kepada pemenang bertuah yang membuat pembiayaan lebih RM20,000 sepanjang tempoh promosi dari Mei hingga Jun lalu.
Sementara itu, Chai berkata bank itu kini berada pada landasan kukuh untuk mencapai pertumbuhan aset pembiayaan peribadi sebanyak 60 peratus akhir tahun ini.

Setakat ini, katanya nilai aset pembiayaan peribadi bank itu sudah pun mencecah lebih RM1 bilion daripada RM980 juta akhir tahun lalu.

Beliau berkata, pertumbuhan itu akan dirangsang pengenalan pelbagai produk pembiayaan peribadi baru selain pembukaan lebih banyak cawangan dan pusat perbankan.

Katanya, langkah memperkenalkan produk pembiayaan peribadi sesuai dengan musim perayaan juga akan menyumbang secara positif kepada pertumbuhan aset pembiayaan peribadi itu.

“Kami menerima sambutan menggalakkan bagi produk pembiayaan terbaru kami, Red Hot Raya, yang mana sebagai penghargaan kami memberikan pelanggan wang tunai segera sebanyak satu peratus daripada nilai pinjaman yang diluluskan,” katanya