Thursday, August 26, 2010

Sistem BET jimat masa perjalanan hingga 50 peratus

2010/08/27
DALAM usaha menjadikan perkhidmatan bas lebih menarik dan mudah dicapai pengguna, RapidKL memperkenalkan sistem Bus Expressway Transit (BET) yang dimulakan pada 12 Januari lalu.

BET adalah sistem di mana perkhidmatan bas menggunakan laluan lebuh raya yang kurang sesak bagi menghubungkan kawasan berkepadatan penduduk tinggi dengan pusat bandar. Dengan menggunakan lebuh raya, masa perjalanan dapat dijimatkan sehingga 50 peratus kerana kurang sesak berbanding jalan biasa. Operasi pada masa ini membabitkan empat laluan iaitu;

•Penchala Link (Kota Damansara ke Pasar Seni).

•New Pantai Expressway (Subang Mewah ke Pasar Seni).

•Grand Saga (Bandar Sungai Long ke Pasar Seni).

•KESAS (Sri Muda ke Pasar Seni).

Bagaimanapun pada 14 Jun lalu laluan ini tidak lagi menggunakan Lebuh raya KESAS bagi memperluaskan operasi disamping memendekkan waktu perjalanan sebanyak 15 minit (dari 90 minit ke 75 minit).

Monday, August 23, 2010

Kerjasama perkukuh industri halal global

2010/08/24
HALAL Foundation (Malaysia) menjalinkan kerjasama dengan AsureQuality Ltd of New Zealand bagi memperkukuhkan infrastruktur industri halal global menerusi pengembangan perkhidmatan serta kaedah pelaksanaan piawaian status halal.

Menerusi kerjasama berkenaan, AsureQuality, syarikat milik penuh kerajaan New Zealand akan menyediakan kepakaran teknikal dalam ujian makmal asas tani serta jaminan kualiti halal kepada Halal Foundation. Pengasas dan Pengerusi Halal Foundation, Datuk Mohamad Alayuddin Che Hassan, berkata kerjasama itu bertujuan membangunkan satu platform halal global bagi membolehkan peserta industri melakukan inovasi produk dan perkhidmatan sekali gus mengembangkannya ke peringkat antarabangsa. Katanya, ia juga bagi memenuhi keperluan halal global bagi produk makanan dan bukan makanan berdasarkan nilai keselamatan, kebersihan dan kualiti.

CIMB Group labur RM1.1b bangunkan 1Platform

2010/08/24
CIMB Group memperuntukkan pelaburan RM1.1 bilion untuk menggantikan sistem perbankan sedia adanya kepada platform perbankan teras serantau baru yang dikenali sebagai 1Platform.

Ketua Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Nazir Razak berkata, 1Platform, adalah asas kepada penyatuan rangka kerja operasi dan teknologi maklumat (IT) CIMB Group dan membolehkan ia bersaing sebagai bank serantau yang sebenar. Ia akan dilaksanakan di seluruh cawangan dan anak syarikat kumpulan perbankan berkenaan di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand. Dengan kos keseluruhan lebih RM1.1 bilion untuk tempoh lima tahun akan datang, 1Platform akan menjadi komponen terbesar pelan induk transformasi operasi serantau kumpulan yang dijangkakan menelan belanja RM2.1 bilion.

Empat komponen lain pelan induk itu adalah laporan kewangan dan sistem pengurusan, integrasi sistem pengurusan sumber manusia, sistem pengurusan jualan baru dan sistem urus niaga perbankan serantau, katanya dalam kenyataan semalam.

Bank kedua terbesar Malaysia dari segi aset itu semalam memeterai perjanjian dengan empat rakan teknologi utama bagi projek berkenaan iaitu Silverlake Axis, IDS Scheer, IBM Malaysia and Accenture Solutions.

Pada majlis itu CIMB Group diwakili Ketua Informasi dan Operasi Kumpulannya, Iswaraan Suppiah, sementara Silverlake Axis diwakili Pengerusinya, Goh Peng Ooi; Accenture oleh Pengarah Urusan Perkhidmatan Kewangan Asean, Thean Nam Yew; IDS Sheer oleh Pengarah Urusan Asean, Lars Bengtsson dan IBM oleh Pengarah Urusan IBM Malaysia, Ramanathan Sahtiamutty.
Menerusi perjanjian itu, Silverlake, syarikat IT tempatan, akan membangunkan sistem perbankan teras, manakala IDS Sheer, IBM dan Accenture masing-masing membekalkan penyelesaian pengurusan proses perniagaan, infrastruktur IT dan sebagai perunding utama pengurusan program.

Nazir berkata, 1Platform mencerminkan komitmen CIMB Group untuk menubuhkan sistem dalaman dan proses bagi membolehkan kumpulan beroperasi sebagai sebuah entiti.

Susulan skala pelaksanaan projek yang besar, pelaksanaan 1Platform dilaksanakan berperingkat bermula di Thailand dan diikuti Malaysia, Indonesia dan Singapura. Keseluruhan kumpulan beroperasi dengan 1Platform menjelang 2015, katanya.

Sunday, August 22, 2010

Astro mahu beli 49 peratus kepentingan NDTV Lifestyle

Oleh Ahmad Farizal Hajat

2010/08/23
ASTRO All Asia Networks Plc (Astro), pengendali perkhidmatan TV berbayar tunggal di Malaysia bercadang membeli sehingga 49 peratus ekuiti dalam New Delhi Television Lifestyle Holding (NDTV Lifestyle) bernilai AS$40 juta (RM125 juta), dalam usahanya mengukuhkan operasi di negara yang memiliki jumlah penduduk kedua paling ramai di dunia itu.

Jika urus niaga itu menjadi kenyataan, ia adalah pengambilalihan pertama syarikat milik tokoh perniagaan T Ananda Krishnan itu sejak ia dijadikan syarikat persendirian dan digugurkan daripada penyenaraian di Bursa Malaysia pada 14 Jun lalu.
NDTV Lifestyle adalah firma penyiaran persendirian yang mengendalikan perniagaan seperti hiburan am dan penerbitan filem khususnya berkaitan gaya hidup. Ia juga mengendalikan NDTV Good Times, iaitu salah satu saluran televisyen utama di India.

Sumber berkata, pembelian itu akan menyediakan landasan kukuh kepada Astro untuk mengembangkan lagi pasarannya di India.

Astro memang sedang meninjau peluang pelaburan strategik dalam usaha menjadi pemain utama dalam industri penyiaran di rantau Asia yang mana antaranya adalah menerusi menjalinkan kerjasama di pasaran seperti India, Hong Kong dan China.

Sebagai permulaan, Lembaga Pengarah Astro sedang meneliti cadangan kerjasama di India yang dijangka mengambil sedikit masa sebelum membuat keputusan terbaik untuk kepentingan syarikat sebelum memuktamadkan pembelian tidak lama lagi, katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur.
Katanya, Astro akan menggunakan syarikat pelaburan persendirian milik penuhnya yang ditubuhkan di Mauritius, iaitu South Asia Creative Assets Ltd bagi melaksanakan pembelian berkenaan.

Difahamkan, New Delhi Television Group memulakan rundingan penjualan saham dengan Astro itu selepas kegagalan dalam rundingan pertama dengan sebuah firma media terkenal yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Scripps Networks Interactive Inc.

Dalam pada itu, New Delhi Television Group menerusi kenyataan kepada Bursa Saham Bombay kelmarin, mengesahkan ia sedang mengadakan rundingan pakatan strategik membabitkan perniagaan berkaitan keperluan gaya hidupnya dengan sebuah firma TV terkenal.

Cadangan menjalinkan pakatan strategik itu masih lagi di peringkat awal. Kelulusan daripada pihak berkuasa juga perlu diperoleh untuk meneruskan transaksi berkenaan yang mana permohonan untuknya sudah pun dibuat, katanya.

Astro tidak asing di India kerana syarikat berkenaan pada 2007 telah pun menjalin kerjasama dengan Sun TV Network Ltd (Sun TV) dan Kavery Kalanithi bagi membekalkan perkhidmatan televisyen satelit digital (DTH) terus ke rumah-rumah di India

Wednesday, August 18, 2010

TM, Sony anjur pertandingan fotografi sempena merdeka

19/08/2010 12:15pm


KUALA LUMPUR 19 Ogos – Telekom Malaysia Berhad (TM) dengan kerjasama Sony Malaysia mempelawa rakyat Malaysia menyertai pertandingan fotografi sempena sambutan kemerdekaan negara ke-53.

Ketua Pegawai Pemasaran TM, Rozalila Abdul Rahman berkata, pertandingan itu, yang bermula Ahad lepas sehingga 9 September ini, diharap dapat meningkatkan kesedaran mengenai inti pati dan maksud di sebalik sambutan merdeka dan konsep 1Malaysia.

"Melalui pertandingan ini, kami berharap dapat membangkitkan semangat 1Malaysia di kalangan rakyat melalui kuasa fotografi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Rozalila berkata, pertandingan itu juga terbuka kepada pelanggan TM dan Sony, di mana mereka yang berminat hanya perlu membeli kad panggilan prabayar iTalk dengan nilai minimum RM10 yang membolehkan mereka memuat naik gambar-gambar mereka di laman web pertandingan iaitu www.tm.com.my/ap/sony/Pages.contest.aspx.

"Setiap nilai RM10 kad panggilan prabayar iTalk ini melayakkan peserta kepada satu kemasukan, contohnya RM10 bagi 1 kemasukan, RM20 bagi 2 kemasukan dan seterusnya,” katanya.

Rozalila berkata, peserta hanya perlu mengisi borang penyertaan dengan maklumat peribadi mereka dan nombor 12 digit kad panggilan prabayar iTalk sebelum memuat naik gambar yang mesti bersaiz kurang daripada 500KB dan dalam format jpeg.

Mereka boleh memuat naik seberapa banyak gambar yang dikehendaki berdasarkan nilai kad iTalk dan setiap penyertaan hendaklah mengandungi elemen-elemen seperti logo atau produk TM dan Sony dan bendera kebangsaan.

Pemenang akan dipilih berdasarkan gambar paling kreatif yang menggabungkan ketiga-tiga elemen itu dan memaparkan semangat 1Malaysia.

Maklumat lanjut mengenai pertandingan itu, peserta boleh melayari www.tm.com.my. – Bernama

Mydin rancang tambah 41 cawangan

Oleh Ahmad Farizal Hajat

2010/08/19
MYDIN Mohamed Holdings Bhd (Mydin), merancang membuka 41 lagi pasar raya besar dan beberapa pasar raya mini Mydin di seluruh negara dalam tempoh dua tahun ini membabitkan nilai pembangunan kasar kira-kira RM1.6 bilion.

Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin, berkata pembukaan cawangan berkenaan akan membantu Mydin memperkukuhkan lagi kedudukannya dalam industri peruncitan di negara ini.
Kami merancang meluaskan lagi rangkaian pasar raya besar Mydin dan pasar raya mini dalam tempoh dua tahun ini sebagai usaha membantu dan memberi peluang usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera memasarkan produk keluaran mereka. Kini kami sudah membeli 14 bidang tanah bernilai RM165 juta di beberapa lokasi utama di seluruh negara bagi tujuan pembinaan cawangan baru Mydin itu, katanya pada sidang media selepas pelancaran Program Komuniti AmBank-MyKasih di Pasar Raya Mydin USJ Subang Jaya, semalam.

Mydin kini beroperasi dengan 57 cawangan termasuk empat pasar raya besar, 18 emporium, 24 pasar raya mini (MyMYDIN), tiga kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam (My Mart) dan selebihnya enam kedai francais Mydin Mart.

Ameer Ali, antara lokasi utama yang bakal dibina cawangan baru Mydin termasuk di Kuching, Kota Kinabalu, Sungai Petani, Bukit Mertajam, Kota Bharu, Kuantan, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Seremban dan Kajang.

Kami kini sedang mengkaji beberapa pilihan untuk membiayai pelan perkembangan ini yang mana antara lain termasuk menggunakan dana dalaman syarikat, menerusi pinjaman bank atau bina dan pajak, katanya.
Mengenai prospek jualan tahun ini, Ameer Ali berkata, pihaknya mengunjurkan jualan meningkat kepada RM1.6 bilion berbanding RM1.35 bilion tahun lalu.

Katanya, unjuran pertumbuhan jualan itu dibuat sejajar peningkatan aliran pertumbuhan ekonomi domestik yang menyaksikan pemulihan dalam perbelanjaan pengguna.

Beliau menambah, operasi perniagaan Mydin di Lembah Klang terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan jualan syarikat, disusuli operasi perniagaan di Melaka.

Bagi menyemarakkan lagi jualan produk PKS, Ameer Ali berkata, Mydin akan menggiatkan kempen termasuk menyediakan ruang pameran khas bagi menempatkan produk PKS di semua premisnya di seluruh negara.

Setakat ini, kami berpuas hati dengan produk PKS yang menepati kriteria tetapi PKS mesti memikirkan produk lain yang diperlukan pasaran, katanya sambil menggesa peserta PKS untuk mempelbagaikan hasil keluaran produk mereka dengan menceburi pengeluaran kraftangan, pakaian dan aksesori dan tidak hanya menumpukan kepada produk hasil makanan.

Tuesday, August 17, 2010

Pharmaniaga mahu teroka dua negara

2010/08/18
Oleh Ahmad Fiesal Othman
fsal@bharian.com.my

PHARMANIAGA Bhd menyasarkan untuk mengembangkan pasarannya ke Thailand dan Myanmar menjelang separuh kedua tahun depan. Pengarah Urusannya, Mohamad Abdullah, berkata Thailand dan Myanmar adalah pasaran eksport baru berpotensi untuk syarikat itu berdasarkan kepada kurangnya persaingan dan permintaan yang tinggi terhadap produk perubatan dan generik di negara terbabit.

Beliau berkata, permintaan bagi produk perubatan dan generik sentiasa meningkat setiap tahun dan syarikat berharap penerokaan pasaran eksport baru dapat membantunya meningkatkan lagi sumbangan eksport kepada pendapatan keseluruhan syarikat yang kini sekitar 13 peratus.

“Kami dalam proses mendaftarkan produk kami di negara terbabit dan proses pendaftaran produk kebiasaannya mengambil masa sehingga dua tahun,” katanya pada taklimat media di Puchong, Selangor, semalam.

Pharmaniaga ialah antara syarikat penjagaan kesihatan tempatan bersepadu terbesar yang mana perniagaan terasnya termasuk pengilangan produk farmaseutikal generik dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta penyediaan gudang simpanan dan pengedaran produk farmaseutikal dan perubatan.
Syarikat milik Boustead Holdings Bhd itu turut membekalkan kelengkapan perubatan dan hospital untuk pasaran tempatan dan eksport.

Pasaran eksportnya ketika ini ialah Indonesia dan Vietnam. Ia turut mempunyai pejabat pemasaran di kedua-dua negara itu.

Dalam tempoh suku kedua berakhir 30 Jun 2010, Pharmaniaga mencatatkan kemerosotan keuntungan sebelum cukai 16.5 peratus kepada RM20.3 juta daripada RM24.3 juta dicatatkan suku sama tahun lalu.

Pendapatannya bagaimanapun meningkat 5.1 peratus kepada RM350.3 juta daripada RM333.2 juta tahun lalu.

Mohamad berkata, untuk baki tahun ini, syarikat itu menjangkakan meraih pendapatan dan keuntungan lebih tinggi dibantu usaha dan strategi meningkatkan pengeluaran dan pasaran produknya.

Katanya, syarikat juga optimis dengan pertumbuhan industri farmaseutikal antara lapan hingga 10 peratus setahun.

“Kami merancang membangun dan memperkenalkan 92 produk baru untuk lima tahun akan datang sebagai tambahan kepada kira 60 produk yang kami ada sekarang,” katanya.