Tuesday, September 28, 2010

Cypark sasar kembang operasi ke luar negara

2010/09/29
CYPARK Resources Bhd (CRB), syarikat pengurusan sisa buangan pepejal yang akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia 15 Oktober ini, menyasar mengembangkan operasinya ke luar negara dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Ketua Eksekutifnya, Daud Ahmad, berkata CRB, iaitu syarikat pengurusan sisa buangan pepejal tunggal yang beroperasi secara komersial di negara ini, sudah mendapat pelawaan daripada beberapa pihak khususnya dari Indonesia dan Thailand. Katanya, syarikat itu kini diberi kepercayaan oleh kerajaan untuk mengurus 16 kawasan pelupusan sampah di lima negeri dan dijangkakan meraih sebahagian besar kontrak penutupan 112 tapak pelupusan sampah di seluruh negara di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10). “Kami mahu mengukuhkan kedudukan di peringkat domestik terlebih dulu yang mana selepas tiga hingga lima tahun akan datang, barulah kami rasa sesuai untuk mula mengembangkan pasaran ke luar negara,” katanya selepas pelancaran prospektus syarikat itu yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama Pengerusi CRB, Tan Sri Razali Ismail.

Sempena penyenaraiannya, CRB membuat tawaran awam permulaan (IPO) 30 juta saham biasa baru bernilai 50 sen seunit pada harga RM1.10 sesaham.

Daripada jumlah itu, lima peratus atau 7.25 juta saham diperuntukkan bagi langganan awam.

Daud berkata, sebagai peneraju dalam bidang pengurusan sisa buangan pepejal di negara ini, CRB sudah membangunkan sistem dikenali SER bagi menutup kawasan pembuangan sampah secara sistematik dengan memastikan air lelehan tidak terserap ke dalam tanah dan gas yang terhasil dapat dilepaskan dengan selamat.
Beliau berkata, antara rekod pencapaian cemerlang syarikat itu ialah kejayaan penutupan kawasan pembuangan sampah di Taman Beringin Kuala Lumpur.

“Selain itu, 16 projek penutupan kawasan pelupusan sampah yang kami sedang usahakan juga berjalan lancar mengikut jadual,” katanya.

Sementara itu, Razali berkata, sebahagian besar daripada dana yang bakal dijana daripada IPO syarikat itu akan digunakan untuk modal kerja dan mengembangkan perniagaan

Habib buka hotel yakin ekonomi Kelantan

Rizal Tahir
KOTA BHARU, 28 Sept 2010: Habib Jewels memilih Kelantan sebagai negeri pertama untuk pelaburannya dalam bidang perhotelan kerana yakin dengan perkembangan ekonomi yang pesat di negeri ini.

Pengurus Besar Habib Jewels Holding, Abdul Razak Abdul Kader, berkata setelah setahun pihaknya membuat kajian berhubung perkara itu, akhirnya bulan Ogos lalu, hotel yang bercirikan ‘butik’ itu beroperasi di Kelantan.

Bagaimanapun, menurutnya, ianya akan dibuka secara rasmi pada 14 Oktober ini di mana satu majlis perasmian akan diadakan.

Menurutnya lagi, berdasarkan maklumat yang diperolehi peluang ekonomi di Kelantan akan bertambah maju pada masa akan datang.

“Kerana itu kami sebagai orang bisnes sanggup melabur di negeri ini dalam eset yang lain pula,” ujarnya.

Tambahnya, pada masa yang sama ianya juga bakal memberi peluang pekerjaan pada masyarakat Kelantan apabila sebahagian besar pekerja di hotel tersebut termasuk ‘show room’ Habib Jewels dan kilang terdiri dari masyarakat Kelantan.

Sambung Razak lagi, sambutan orang ramai terhadap hotelnya hampir memenuhi sasaran sebagaimana yang dijangkakan walaupun baru sebulan dibuka.

Ini kerana, katanya lebih 50 peratus pengunjung telah mendiami hotel tersebut yang terdiri dari ahli perniagaan, kakitangan kerajaan Persekutuan dan pelancong tempatan.

Hotel Habib menawarkan dua pilihan kepada pelanggannya iaitu superior dengan harga RM130 dan deluxe RM150 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 32 bilik.

Kedudukannya yang begitu strategik di tengah bandar Kota Bharu dijangka akan mendapat sambutan yang lebih hebat pada masa akan datang.

Monday, September 27, 2010

HDL bangun pusat sehenti automotif RM42j di Kuantan

2010/09/28
HDL Global Resources Sdn Bhd, sebuah syarikat hartanah, sewa pajak dan pengurusan projek, akan membangunkan pusat sehenti automotif dikenali "East Coast Auto City (ECAC)" bernilai RM42 juta di Bandar Putra, Tanjung Lumpur, Kuantan.

Presidennya, M Samueil Mohd Kameil, berkata ECAC akan dilengkapi ruang pameran kereta, aksesori, perkhidmatan pinjaman dan selepas jualan serta pusat membeli belah. Beliau berkata, pembangunan di tapak seluas 16.1 hektar itu dijangka beroperasi sepenuhnya pada Ogos tahun depan. "Di ECAC ini, peminat auto akan dikagumi dengan rangkaian kereta berprestasi tinggi, kereta mewah sehinggalah kepada kereta yang unik dan jarang terdapat di Malaysia," katanya pada majlis pecah tanah ECAC yang disempurnakan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob semalam.

Katanya, ECAC yang adalah yang pertama seumpamanya di negara ini juga, mampu menjadi tarikan pelancong di Pahang.

Sementara itu, Adnan berkata, pembangunan ECAC tidak dilihat menyaingi hab automotif di Pekan.

"Hab automotif masih lagi di Pekan, ECAC ini adalah pusat jualan automotif yang lengkap," katanya.
Beliau turut meminta HDL Global Resources supaya menjalinkan kerjasama dengan syarikat automotif di Pekan dalam memasarkan produk mereka di ECAC

Payar Investment, Camco jalin kerjasama

2010/09/28
KHAZANAH Nasional Bhd, menerusi anak syarikat milik penuhnya, Payar Investment Ltd, menjalin usaha sama dengan Camco International Ltd, syarikat teknologi hijau United Kingdom (UK) untuk menubuhkan sebuah syarikat pengurangan bahan buangan di Asia Tenggara.

Sayap pelaburan kerajaan itu dalam kenyataannya, berkata syarikat usaha sama itu akan menumpukan pelaburan dalam projek pemerosesan bahan buangan kepada tenaga, pembangunan kredit karbon dan perkhidmatan perundingan dengan modal permulaan AS$30 juta (RM92.7 juta). Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar (atas), berkata usaha sama itu akan memboleh-kannya meningkatkan pengetahuan dan mewujudkan platform perniagaan untuk melaksanakan projek-projek Mekanisma Pembangunan Bersih di Malaysia dan Asia Tenggara. “Usaha sama itu diharap dapat menyumbang kepada sasaran Malaysia dalam mengurangkan tahap pelepasan produk keluaran kasar sebenar menjelang 2020.

"Ia juga akan berperanan sebagai jentera untuk membangunkannya secara komersial sebagai sebahagian daripada komponen Model Ekonomi Baru, selain menangani keperluan kritikal dalam meningkatkan kesedaran dan sokongan mengenai isu-isu perubahan iklim di Malaysia.

“Adalah diharapkan ia dapat menyumbang dengan lebih ketara terhadap komitmen yang dibuat di Copenhagen lewat tahun lalu untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 40 peratus menjelang 2020," katanya.

Sebahagian daripada transaksi itu, Khazanah akan melabur RM9.1 juta dalam Camco menerusi langganan lima peratus saham biasa pada harga 20 pence sesaham.
Khazanah juga akan memperoleh 19.6 peratus saham baru dalam Camco, yang akan memberikan syarikat itu pegangan kepentingan keseluruhan dalam Camco sebanyak 23 peratus.

Camco kini memiliki operasi di Amerika Syarikat (AS), Eropah, China, Afrika, Russia dan Asia Tenggara

Friday, September 24, 2010

Pesawat AirAsia Airbus A320 istimewa diperkenalkan

24/09/2010 6:48pm


KUALA LUMPUR 24 Sept. - AirAsia dan Lotus Racing memperkenalkan pesawat AirAsia Airbus A320 yang dihiasi dengan warna klasik Lotus Racing di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura hari ini.

Pengenalan itu juga berlaku serentak dengan perlumbaan Formula 1 Singtel Singapura 2010 yang berlangsung sehingga 26 Sept di Litar Marina Bay.

"Warna seragam ini bukan hanya mencerminkan perkongsian sinergetik kami, tetapi juga melambangkan bersama cabaran dan usaha gigih yang kami hadapi bagi menikmati kejayaan,” kata Ketua Pegawai Ekskeutif AirAsia Group yang juga Ketua Pasukan Lotus Racing Datuk Seri Tony Fernandes dalam satu kenyataan hari ini. - Bernama

Panasonic meterai MoU dengan Gold Coast Resort

24/09/2010 3:19pm


KUALA LUMPUR 24 Sept. 2010 - Panasonic Malaysia Sdn. Bhd. memeterai perjanjian kerjasama bernilai RM3 juta dengan Gold Coast Morib Resort untuk membekalkan produk keluaran mereka Selasa lalu.

Rangkaian produk daripada penyaman udara dan kipas siling hinggalah kepada TV LCD dan pemain DVD akan dipasang di 673 bilik di resort tersebut.

Majlis permeterian itu menandakan perkongsian hijau The Gold Coast Morib Resort dengan Panasonic.

Kerjasama tersebut memberikan peluang kepada Panasonic Malaysia untuk meneroka teknologi dan penyelesaian inovasi hijau, secara perkongsian dengan resort tersebut.

"Kami di Panasonic Malaysia berbangga menjalin kerjasama ini ke arah tujuan yang sama memelihara alam sekitar dengan menyediakan produk kami kepada resort tersebut,” kata Pengarah Urusan Panasonic Malaysia, Jeff Lee. - Bernama

Thursday, September 23, 2010

Tan Chong pasang bas

2010/09/10
TAN Chong Motor Holdings Bhd akan memasang dan mengeluarkan bas berjenama Silver Bus untuk dipasarkan di Malaysia dan beberapa negara lain tidak lama lagi.

Langkah itu direalisasikan apabila syarikat itu menerusi anak syarikatnya Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd (TCIE) memeterai perjanjian eksklusif francais dan pengedaran unit komponen terurai (CKD) dengan syarikat pengeluar bas China, Xi’an Silver Bus Corp. Tan Chong dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia berkata, urus niaga bertempoh 10 tahun itu membabitkan pemasangan dan pengedaran bas CKD jenama Silver Bus di Malaysia dan negara lain yang dipersetujui TCIE dan Silver Bus. “Pemasangan dan pengedaran kenderaan Silver Bus dilaksanakan menggunakan struktur perniagaan sedia ada TCIE.

“Ia akan memudahkan syarikat memperluas rangkaian produknya kepada koc mewah China dengan pelaburan perbelanjaan modal yang minimum,” katanya.

Syarikat itu berkata, perbelanjaan untuk perniagaan baru itu dianggarkan RM100,000 yang akan dibiayai sepenuhnya menerusi sumber dalaman syarikat.