Wednesday, December 1, 2010

UMW mula keluar, bekal minyak pelincir Repsol

Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2010/12/02
Syarikat sasar catat jumlah jualan 20,000 tan setahun

KUMPULAN UMW, syarikat yang lebih dikenali dengan perniagaan automotif, akan mula mengeluar dan membekalkan minyak pelincir jenama Repsol untuk pasaran tempatan dan beberapa negara Asia. Ia berikutan termeterainya perjanjian antara UMW dengan Repsol yang menyaksikan syarikat Malaysia itu dilantik sebagai pengeluar dan pembekal rasmi minyak pelincir syarikat berpangkalan di Madrid, Sepanyol itu. Produk itu akan dipasarkan ke pasaran tempatan, China dan negara lain di rantau ini termasuk Singapura, Brunei, Papua New Guinea dan Myanmar.

“Perjanjian itu dimeterai antara Pengarah Eksekutif Pemasaran Repsol Bahagian Eropah, Pascual Olmos; Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan UMW, Datuk Syed Hisham Syed Wazir; serta dua Pengarah Eksekutif UMW Corporation Sdn Bhd, Azhar Harun dan Suseela Menon,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Kini, selain menjalankan perniagaan berteraskan automotif, kumpulan itu turut menawarkan tiga lagi aktiviti perniagaan iaitu minyak dan gas, peralatan serta pengilangan dan kejuruteraan.

Kumpulan itu berkata, perjanjian dengan syarikat penapis petroleum ke-15 terbesar dunia itu adalah bagi tempoh lima tahun.
“Dijangkakan menjelang akhir tempoh itu, jualan minyak pelincir Repsol oleh UMW akan mencecah 20,000 tan setahun, bersamaan lebih daripada 25 peratus jualan tahunan minyak pelincir itu di pasaran Sepanyol,” katanya.

UMW berkata, selain meneroka di pasaran baru, usaha sama projek dengan Repsol juga berupaya membantu syarikat yang aktif dalam perlumbaan MotoGP menerusi Repsol Honda Team itu memperluaskan teknologi, daya saing dan jenamanya dalam dua pasaran yang pesat membangun seperti Malaysia dan China.

Ketika ini, Repsol memasarkan produk minyak pelincirnya menerusi wakil pengedar di lebih 60 negara di Amerika, Eropah dan Asia.

Syarikat itu turut beroperasi di Indonesia, Jepun, Filipina dan Taiwan di mana ia memiliki kemudahan pengeluaran dan rangkaian pengedaran di pasaran berkenaan.

Repsol memiliki teknologi yang luas dalam rangkaian pengeluaran minyak pelincir yang menepati kualiti piawaian dalam industri automotif, motosikal dan sektor industri.

AEON labur RM200j bina cawangan ke-28

2010/12/02
AEON Co (M) Bhd, pengendali rangkaian peruncitan berpangkalan di Jepun, melabur RM200 juta untuk membina sebuah lagi cawangan baru di Rawang, Selangor.

Pengarah Urusannya, Nagahisa Oyama, berkata projek pembinaan cawangan itu akan bermula pada Januari depan dan dijangka siap dalam tempoh setahun. “Cawangan itu adalah gedung beli-belah ke-28 milik AEON di negara ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Orang Salji Terbesar di Malaysia yang diperbuat daripada Botol Plastik Kitar Semula, di Pusat Membeli-Belah AEON, Bandaraya Melaka, semalam. Majlis itu disempurnakan isteri Ketua Menteri Melaka, Datin Seri Asmah Abd Rahman.

Oyama berkata, cawangan yang bakal dibina itu di atas tapak seluas lima hektar dan mempunyai lebih 100 kedai untuk disewa kepada peniaga, selain pasar raya utama untuk cawangannya.

Katanya, syarikat itu merancang membuka satu atau dua cawangan baru tahun depan dan satu daripadanya sudah dimuktamadkan, manakala satu lagi cawangan masih dalam peringkat kajian.

Antara kawasan yang menjadi perhatiannya adalah Ipoh, Sungai Petani dan kawasan sekitar Pulau Pinang.
Namun, Oyama tidak menolak kemungkinan membuka cawangan baru di kawasan Pantai Timur.

Mengulas mengenai usaha syarikat itu membina orang-orang salji daripada botol plastik kitar semula, Oyama berkata, program itu adalah sebahagian usaha syarikat untuk menanam minat kitar semula di kalangan masyarakat.

“Saya mendapat idea untuk melaksanakan program ini apabila terlihat botol plastik terapung di Sungai Melaka ketika berjalan-jalan di sekitar sungai itu,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 50 kanak-kanak Rumah Anak Yatim Negeri Melaka, Kompleks Anak Yatim Fatimah Al-Zaharah dan Calvary Care Home, diraikan dan turut dihiburkan oleh Duta Yayasan Aeon, Datuk Siti Nurhaliza.

Monday, November 29, 2010

Pameran terbesar PROTON di PWTC

2010/11/30
BAGI meraikan ulang tahunnya yang ke-25 dalam industri automotif, PROTON Holdings Bhd akan mengadakan pameran terbesar pada Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 (KLIMS 2010).

KLIMS 2010 akan berlangsung pada 3-12 Disember ini di Pusat Dagangan Dunia Putra PWTC. Pengarah urusan kumpulan Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata PROTON akan mempamerkan 20 kenderaan, termasuk kereta konsep, kereta pertunjukan, kereta lumba dan kenderaan elektrik di ruang pamerannya. “Sudah 25 tahun PROTON berkecimpung dalam industri ini dan pameran di KLIMS 2010 itu bertujuan berkongsi kejayaan syarikat dengan semua rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Syed Zainal, ruang pameran di KLIMS 2010 akan turut mengetengahkan hala tuju PROTON pada masa depan, sekali gus memberikan pelawat maklumat kecanggihan teknologi terbaru dan kenderaan yang sedang dibangunkan.

Melaka & Negeri Sembilan: Honda rakan strategik UTem

Oleh Muhammad Hatim Ab Manan
bhnews@bharian.com.my
2010/11/30
MELAKA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjadikan kilang pemasangan kereta Honda di Kawasan Perindustrian Pegoh Alor Gajah sebagai rakan strategik untuk pelajarnya mendalami bidang kejuruteraan automotif, teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) serta Pengurusan Teknologi selaras dengan kursus ditawarkan universiti berkenaan.

Usaha sama itu tercapai menerusi lawatan diketuai Pengarah Pusat Jaringan Industri & Komuniti (ICNet) UTeM, Prof Madya Dr Chong Kuan Eng bersama 30 kakitangan akademik dan pentadbiran yang mewakili semua fakulti di UTeM.
Ia membabitkan Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Fakulti Kejuruteraan Elektronik & Kejuruteraan Komputer (FKEKK), Fakulti Teknologi Maklumat & Komunikasi (FTMK), Fakulti Pengurusan Teknologi & Teknousahawanan (FPTT) serta Pusat Pengajian Siswazah (PPS) yang menjadi pusat menguruskan pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah. Rombongan delegasi UTeM disambut Pengarah Urusan Honda, Azminuddin Abdullah yang memberikan taklimat mengenai operasi di kilang berkenaan.

Dr Chong berkata, objektif lawatan ini bagi mengeratkan lagi hubungan sedia terjalin dan mahu ia dimeterai menerusi memorandum persefahaman sebagai tanda komitmen bersama memajukan universiti itu.

"Kerjasama sebegini bersesuaian apabila Honda dan UTeM yang memfokus bidang teknikal dan kejuruteraan, bergandingan untuk memantapkan industri automotif hingga ke peringkat antarabangsa,'' katanya.

Sempena lawatan itu juga, kedua pihak mencapai persetujuan berkongsi kepakaran dan pengalaman masing-masing membabitkan program latihan industri bagi staf dan pelajar, kajian serta penyelidikan, perkongsian kemudahan penyelidikan dalam bidang kejuruteraan.
UTeM pula menyediakan peluang kepada kakitangan Honda Alor Gajah untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda muda dan doktor falsafah dalam bidang kejuruteraan.

Kilang Honda di Alor Gajah beroperasi sepenuhnya menggunakan peralatan kejuruteraan termaju Jepun dan mampu memasang 180 unit sehari merangkumi model popular seperti Accord, City dan CRV.

Sunday, November 28, 2010

UBASB sasar lahir 3,000 usahawan

Oleh Omar Osman
bhbiz@bharian.com.my
2010/11/29


RAHMAN menyampai set Ayamas kepada seorang peserta program usahawan bistari Ayamas di Sungai Petani, Kedah, kelmarin.Model perniagaan Sudut Ayamas beri peluang ibu tunggal, suri rumah

USAHAWAN Bestari Ayamas Sdn Bhd (UBASB) yang terbabit secara langsung membangunkan usahawan Bumiputera dalam perniagaan runcit produk Ayamas, menyasar melahirkan lebih 3,000 usahawan di bawah model perniagaan Sudut Ayamas yang diperkenalkannya menjelang 2014.
Pengarahnya yang juga Pengurus Besar KFC Marketing Sdn Bhd, Nasharuddin Shukor, berkata program itu khusus memberi peluang kepada ibu tunggal dan suri rumah yang berpendapatan rendah menceburi perniagaan. Katanya, menerusi program itu, pihaknya memperkenalkan jenama baru iaitu pek jimat Ayamas untuk ditempatkan di kawasan perumahan dan lokasi strategik.

“Sejak dilancarkan di Johor pada November 2009, seramai 206 peserta dipilih menyertai program itu dan kini bergelar Usahawan Bestari Ayamas, kita berharap jumlahnya meningkat kepada 400 orang menjelang akhir tahun ini.

“Mulai tahun depan dan 2012, kita bercadang melatih 500 usahawan setahun dan akan meningkat sekali ganda pada 2013 agar mencapai lebih 3,000 usahawan pada 2014,” katanya selepas majlis perasmian Program Usahawan Bestari 2010 Peringkat Zon Utara di Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.

Program Usahawan Bestari itu dianjur oleh Johor Corporation (JCorp) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan disertai seramai 400 peserta dari Perak Utara, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
Hadir sama, Naib Presiden Eksekutif (Pembangunan dan Perniagaan) JCorp, Abdul Rahman Sulaiman; Ketua Penolong Pengarah Kanan Pembangunan Perniagaan, Pemasaran dan Pembangunan Usahawan Kecil MITI, Mohd Mahil Ahmad dan Pengarah Perundangan dan Hal Ehwal Korporat KFC Holding (M) Bhd, Zam Mustamam.

Nasharuddin berkata, usahawan yang menyertai program itu akan diberikan sebuah peti sejuk berserta rak pameran direka khas supaya sesuai diletak di rumah.

Selain itu, beberapa produk Ayamas yang ditin dan dibotol serta produk sejuk beku Ayamas Pek Jimat turut dibekalkan kepada usahawan terbabit.

“Selain memperkukuhkan jenama Ayamas di pasaran, matlamat kita ialah membantu usahawan kecil, terutama suri rumah dan ibu tunggal yang mana mereka perlu menyediakan modal RM1,000 untuk set itu,” katanya

KFC Holdings yakin buka 38 restoran tahun ini

2010/11/29
KFC Holdings (M) Bhd yakin mampu mencapai sasaran pembukaan sehingga 38 restoran pada tahun ini dengan nilai pelaburan mencecah RM45 juta dalam usaha memperkukuhkan lagi pendapatan kumpulan.

Pengerusinya, Tan Sri Muhammad Ali Hashim, berkata sejak Januari lalu sejumlah 34 restoran KFC sudah dibuka. Beliau berkata, sehingga kini syarikat itu mempunyai 511 restoran di seluruh negara dan lebih 69 buah lagi di Singapura, Brunei dan India dengan lebih 18,000 pekerja. Katanya, pada tahun depan, syarikat itu menyasarkan untuk membuka 25 restoran di seluruh negara dengan pelaburan kira-kira RM60 juta.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 15 restoran mempunyai kemudahan pandu lalu, keselesaan pengguna penting dan daripada maklum balas yang kita terima pandu lalu ini amat disukai pengguna kerana memudahkan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Chiky KFC 2010 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, Melaka, kelmarin.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, kumpulan itu sudah menjana pendapatan lebih RM1.83 bilion.

Muhammad Ali berkata syarikat itu membelanjakan kira-kira RM3 juta untuk membangunkan sebuah restoran KFC pandu lalu berbanding kira-kira RM1 juta untuk sebuah restoran KFC yang biasa.
Selain mengendalikan restoran KFC, syarikat itu juga terbabit dalam aktiviti runcit dengan rangkaian pembekal produk berasaskan ayam di bawah jenama Ayamas, Kedai Ayamas dan restoran RasaMas, katanya.

“Kita juga terbabit dalam pembiakan, penternakan, pemprosesan dan penetasan telur ayam selain beberapa perniagaan tambahan seperti bakeri dan penghasilan sos,” katanya.

Mengenai Karnival Chicky KFC, beliau berkata, ia antara usaha untuk mendekatkan diri dengan masyarakat seterusnya menyumbang dalam pembangunan sosial. – BERNAMA

MISC tumpukan semula perniagaan perkapalan

2010/11/29
MISC Bhd, syarikat perkapalan yang dimiliki PETRONAS, bersedia menumpukan semula perhatian kepada perniagaan perkapalan di Asia mulai tahun depan khususnya di India susulan perkembangan pesat sektor berkenaan.

Naib Presiden Perniagaan Perkapalannya, Baharuddin Arbak, berkata dengan menambahkan pusat persinggahan pelabuhan di India dan rantau Asia Tenggara, MISC sekali lagi bersedia mengukuhkan dirinya sebagai syarikat pengangkutan pilihan di rantau Asia dan Oceania. “Kami kini sedang mengembangkan operas di pasaran strategik dan akan memberi tumpuan kepada perdagangan antara Asia, India dan China. “Perkhidmatan pengangkutan kian berkembang di rantau ini dan kami juga meninjau peluang mengembangkan operasi ke benua kecil India,” katanya di New Delhi, baru-baru ini.

MISC sebelum ini telah memeterai perjanjian usaha sama dengan Crescent Shipping Agency India Ltd, ejen pihak ketiganya, untuk membentuk MISC Agencies India Pvt Ltd, bagi menerajui operasi di India.

Pada Oktober lalu, MISC mencatat sejarah apabila syarikat pengangkutan itu memperkenalkan perkhidmatan menghantar produk halal antara dua ekonomi paling pesat berkembang iaitu China dan India menerusi Perkhidmatan Ekspres Halal.

Kapal pertamanya tiba di Pelabuhan Chennai pada lewat Oktober.
“Perkhidmatan ini menawarkan transit paling cepat ke China dari pantai timur India, dalam tempoh sembilan hari ke Shanghai, berbanding syarikat lain selama 13 hari,” kata Pengurus Besar MISC Agencies India, Kapten (B) Mahapatra.

Pada Jumaat, MISC India membuka pejabat barunya di India, yang kedua selepas ibu pejabatnya di Mumbai.

Selain India, syarikat Malaysia itu juga bercadang mengukuhkan perkhidmatan sedia ada di Bangladesh, Pakistan dan Sri Lanka tahun depan. – BERNAMA