Sunday, December 12, 2010

Khidmat baru internet DiGi

2010/12/13
DIGI Telecommunications Sdn Bhd memperkenalkan rangkaian tawaran Internet DiGi baru yang termasuk Smart Plan tambahan untuk telefon pintar, pakej telefon dan pakej pra-bayar DiGi Blackberry dalam usaha mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran Internet mudah alih di negara ini.

Ketua Pemasaran Produknya, Loh Keh Jiat, berkata tawaran baru itu membuktikan komitmen DiGi untuk menjadikan perkhidmatan internet mudah alih relevan dan mampu milik untuk semua golongan pengguna.
“Ini adalah sejajar dengan pelan pertumbuhan agresif jaringan Digi Turbo 3GTM untuk lebih banyak kawasan di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam. Katanya, pakej DiGi Smart Plan Lite khusus untuk pelanggan pengguna data kasual.

“Mereka hanya perlu membayar yuran bulanan sebanyak RM33 untuk menikmati capaian internet sehingga 300 megabait (MB) tanpa komitmen penggunaan bagi panggilan dan SMS,” katanya. – BERNAMA

Thursday, December 9, 2010

Khazanah, Camco jalin kerjasama

2010/12/10
Tubuh syarikat perkongsian bangunkan projek pengurangan pengeluaran karbon

KHAZANAH Nasional Bhd, sayap pelaburan kerajaan Malaysia dan Camco International, peneraju dan pelaksanaan projek tenaga bersih global, akan bekerjasama untuk melaksanakan projek pengurangan pengeluaran karbon. Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar, berkata menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak menubuhkan sebuah syarikat perkongsian yang dikenali sebagai Camco South East Asia akan mempunyai modal berbayar AS$30 juta. “Khazanah akan menguasai 40 peratus kepentingan ekuiti dalam syarikat berkenaan dan bakinya dipegang oleh Camco International,” katanya pada majlis pelancaran Camco South East Asia di Kuala Lumpur, semalam.

Khazanah kini menguasai 23.6 peratus kepentingan dalam Camco International, yang disenaraikan di Pasaran Pelaburan Alternatif (AIM) Bursa Saham London.

Camco International mempunyai pengalaman 20 tahun dalam projek pembangunan, penyampaian teknikal dan dasar karbon.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui, yang menghadir majlis itu, berkata Rang Undang-undang Tenaga Boleh Diperbaharui akan dibentangkan di Parlimen pada minggu depan.
Ia katanya, akan merangkumi penetapan peraturan ‘Feed-in-Tariff’ (FiT) seperti yang dijangkakan oleh sebahagian besar peserta industri.

Pengarah Camco South East Asia, Shahazwan Harris, berkata pihaknya akan memberi tumpuan kepada dua bidang utama iaitu biogas dan biomass sebagai tambahan kepada peluang pelaburan dalam industri itu.

Kini, syarikat itu memiliki 24 kontrak di Asia Tenggara, yang mana tertumpu kepada projek pembangunan karbon kredit.

Shahazwan, yang juga Pengarah Pelaburan Khazanah, berkata sayap pelaburan kerajaan itu menjangka pulangan pelaburan sebanyak 20 peratus setahun daripada pelaburan baru itu.

Khazanah juga melabur dalam KCS Green Energy, syarikat memproses bahan buangan kepada tenaga di China.

"Kami sudah pun memiliki kilang di China dan dua lagi dalam fasa pembinaan.
Pembangunan mapan adalah sektor pertumbuhan baru kepada Khazanah dan kami akan terus meninjau peluang dalam negara dan seberang laut," kata beliau.

Katanya, Khazanah lebih bersikap memilih dan berdisiplin dalam merebut sebarang peluang yang akan memberi pulangan kepada unjurannya.

Wednesday, December 8, 2010

TNB kembang operasi elektrik ke Yaman

Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2010/12/09


CHE KHALIB (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Fouad Hayel sambil diperhatikan Moggie (kiri) pada majlis memeterai LoU di Kuala Lumpur, semalam.Pembinaan loji jana kuasa dikaji

TENAGA Nasional Bhd (TNB) akan mengembangkan operasinya ke Yaman termasuk membina loji jana kuasa tenaga elektrik di negara itu tidak lama lagi. Ia susulan perjanjian persefahaman (LoU) yang dimeterainya dengan konglomerat terbesar Yaman, National Trading Company (NATCO) bagi meneroka pelbagai bidang dalam industri tenaga di republik berkenaan. Selain membina loji jana kuasa, syarikat utiliti nasional itu turut akan bekerjasama dengan NATCO meneroka perniagaan membekalkan peralatan elektrik seperti transformer kuasa dan peralatan suis, selain membantu melatih kakitangan Public Electricity Corp (PEC), syarikat utiliti yang dimiliki Kerajaan Yaman.

Presiden dan Ketua Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh, berkata Yaman amat memerlukan kapasiti tambahan tenaga elektrik untuk dibekalkan bukan saja kepada penduduknya, malah untuk peserta industri, khususnya dalam sektor pembuatan di negara itu.

“Hanya 40 peratus daripada 24 juta jumlah penduduk Yaman yang mempunyai sambungan tenaga elektrik di rumah masing-masing dan ini menunjukkan potensi tinggi permintaan tenaga di republikterbabit.

“Berdasarkan potensi ditambah kerjasama dengan NATCO, ia menyediakan peluang terbaik TNB membina loji jana kuasa tenaga di negara itu dan kami akan melaksanakan kajian daya maju sebelum memutuskannya,” katanya selepas mewakili TNB memeterai LoU dengan NATCO yang diwakili Pengarah Hayel Saeed Anam (HSA), Fouad Hayel Saeed, semalam. HSA adalah syarikat induk kepada NATCO.
LoU itu disaksikan Duta Besar Yaman ke Malaysia, Abdulla Mohamed Ali Al-Montaser; Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie; dan Ketua Eksekutif Asian Finance Bank, Datuk Mohamed Azahari Kamil.

Che Khalib berkata, jika kajian daya maju itu menghasilkan keputusan positif, TNB memerlukan tiga tahun untuk membangun dan menyiapkan sebuah loji jana kuasa biasa di Yaman.

Mengenai pelaburan yang akan dibuat, beliau berkata: “Pembinaan loji jana kuasa yang mengeluarkan kapasiti tenaga 100 megawatt memerlukan pelaburan sekitar AS$120 juta (RM377 juta).”

Sementara itu, Fouad Hayel berkata, Kerajaan Yaman berminat mendapatkan sokongan dan kepakaran TNB bagi membantu menyediakan khidmat nasihat pembangunan projek jana kuasa.

“Ia bukan saja menawarkan tenaga kepada Yaman, malah membantu negara itu memasuki era pembangunan berasaskan perindustrian perdagangan dunia,” katanya

Wednesday, December 1, 2010

EON Bank pikat 80,000 pelanggan kad kredit

2010/12/02
EON Bank Bhd menyasar meningkatkan bilangan pemegang kad kreditnya kepada lebih 650,000 tahun depan berbanding kira-kira 570,000 kini menerusi usaha promosi dan tawaran produk tambah nilai yang lebih menarik.

Ketua Eksekutif Kumpulannya, Datuk Michael Lor, berkata langganan dan perbelanjaan menggunakan kad kredit dikeluarkan bank itu dijangka meningkat tahun depan sejajar pertambahan kuasa beli susulan kedudukan ekonomi yang bertambah baik.
Tahun ini, katanya, segmen perniagaan kad EON Bank mencatatkan pertumbuhan pinjaman sebanyak 14 peratus, manakala 15 peratus bagi perbelanjaan kad kredit. “Kami menyasar menarik 80,000 pemegang kad kredit baru tahun depan, daripada 570,000 orang ketika ini susulan prospek ekonomi lebih baik.
“Segmen perniagaan kad EON Bank dijangka terus mengukuh tahun depan, dengan jangkaan pertumbuhan pinjaman kad antara 10 hingga 12 peratus,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah sempena tayangan perdana global filem tajaannya iaitu The Chronicles of Narnia: The Voyage of the Dawn Treader di Kuala Lumpur, semalam.

Lor berkata, kempen tajaan filem itu meningkatkan perbelanjaan kad kredit GSC-EON Bank lebih 10 peratus berbanding bulan sebelumnya sejak dilancarkan pertengahan September lalu.

“Promosi dan kempen ini telah menyumbang pertumbuhan positif kepada perniagaan kad kami dan kami juga menjangkakan prestasi positif yang sama dari produk lain dalam portfolio kad kredit bank.
“Selain itu, kami juga mengukuhkan kesetiaan pemegang kad kredit GSC-EON Bank dengan pengurang bilangan pemegang yang rendah dan rekod pengaktifan lebih tinggi berdasarkan perbandingan bulanan,” katanya.

TIME Connects tawar akses internet 50 Megabit sesaat

2010/12/02
PENGGUNA di Mont Kiara dan kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur, meliputi Jalan Bukit Bintang, Imbi, Sultan Ismail dan Raja Chulan, berpeluang menikmati akses internet terlaju di negara ini sehingga 50 Megabit sesaat menerusi penyambungan TIME Connects yang ditawarkan Time dotCom Bhd (TIME).

Ketua Eksekutifnya, Afzal Abdul Rahim, berkata rangkaian fiber optik sepenuhnya yang dibangunkan syarikat itu kini beroperasi di 30,000 kediaman dan pejabat di dua kawasan terbabit dengan 16,000 lagi kediaman dan pejabat akan disambungkan awal tahun depan. “Tahap kelajuan internet seperti ini belum pernah dinikmati sebelum ini, tetapi ia hari ini satu realiti. “Bayangkan anda kini boleh muat turun video seberat 500 Megabit dalam masa satu minit empat puluh saat berbanding hampir sejam sebelum ini atau muat turun dua Gigabit tayangan berdefinisi tinggi (HD) kurang daripada tujuh minit dengan jaminan kepuasan menonton tanpa gangguan atau gambar yang terhenti-henti,” katanya pada majlis mengumumkan perkhidmatan penyambungan fiber optik sepenuhnya itu di Kuala Lumpur, semalam.

Afzal berkata, perkhidmatan itu sesuai bagi menyokong kebanyakan aplikasi jalur lebar perniagaan seperti memindahkan data, e-mel, melayari laman web, tontonan video, persidangan video, e-perniagaan dan aplikasi berasaskan internet lain.

Beliau berkata, tiga perkhidmatan ditawarkan iaitu TIME Fibre Broadband khusus untuk pelanggan runcit, manakala TIME Fibre Internet Basic dan TIME Fibre Internet Plus untuk perniagaan.

TIME Fibre Broadband ditawarkan pada harga serendah RM99 sebulan.
TIME Fibre Internet Basic ditawarkan dalam empat pakej dengan caj bulanan antara RM148 hingga RM818 sebulan, manakala TIME Fibre Internet Plus pula ditawarkan dalam tiga pakej dengan caj bulanan daripada RM688 hingga RM1,888, katanya.

Pada majlis sama penyedia rumusan dan penyelesaian telekomunikasi talian tetap itu turut memperkenalkan logo baru syarikat.

Afzal berkata, asas kepada perkhidmatan penyambungan fiber optik sepenuhnya oleh TIME itu adalah lima gerbang koridor raya fiber optik utama merentasi utara-selatan dan timur-barat Semenanjung yang siap sepenuhnya baru-baru ini.

Beliau berkata, buat masa ini perkhidmatan itu ditumpukan sekitar Lembah Klang yang dibahagikan kepada 10 zon dengan fasa berikutnya ialah di kawasan Bangsar-Damansara disusuli Subang-Sunway

UMW mula keluar, bekal minyak pelincir Repsol

Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2010/12/02
Syarikat sasar catat jumlah jualan 20,000 tan setahun

KUMPULAN UMW, syarikat yang lebih dikenali dengan perniagaan automotif, akan mula mengeluar dan membekalkan minyak pelincir jenama Repsol untuk pasaran tempatan dan beberapa negara Asia. Ia berikutan termeterainya perjanjian antara UMW dengan Repsol yang menyaksikan syarikat Malaysia itu dilantik sebagai pengeluar dan pembekal rasmi minyak pelincir syarikat berpangkalan di Madrid, Sepanyol itu. Produk itu akan dipasarkan ke pasaran tempatan, China dan negara lain di rantau ini termasuk Singapura, Brunei, Papua New Guinea dan Myanmar.

“Perjanjian itu dimeterai antara Pengarah Eksekutif Pemasaran Repsol Bahagian Eropah, Pascual Olmos; Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan UMW, Datuk Syed Hisham Syed Wazir; serta dua Pengarah Eksekutif UMW Corporation Sdn Bhd, Azhar Harun dan Suseela Menon,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Kini, selain menjalankan perniagaan berteraskan automotif, kumpulan itu turut menawarkan tiga lagi aktiviti perniagaan iaitu minyak dan gas, peralatan serta pengilangan dan kejuruteraan.

Kumpulan itu berkata, perjanjian dengan syarikat penapis petroleum ke-15 terbesar dunia itu adalah bagi tempoh lima tahun.
“Dijangkakan menjelang akhir tempoh itu, jualan minyak pelincir Repsol oleh UMW akan mencecah 20,000 tan setahun, bersamaan lebih daripada 25 peratus jualan tahunan minyak pelincir itu di pasaran Sepanyol,” katanya.

UMW berkata, selain meneroka di pasaran baru, usaha sama projek dengan Repsol juga berupaya membantu syarikat yang aktif dalam perlumbaan MotoGP menerusi Repsol Honda Team itu memperluaskan teknologi, daya saing dan jenamanya dalam dua pasaran yang pesat membangun seperti Malaysia dan China.

Ketika ini, Repsol memasarkan produk minyak pelincirnya menerusi wakil pengedar di lebih 60 negara di Amerika, Eropah dan Asia.

Syarikat itu turut beroperasi di Indonesia, Jepun, Filipina dan Taiwan di mana ia memiliki kemudahan pengeluaran dan rangkaian pengedaran di pasaran berkenaan.

Repsol memiliki teknologi yang luas dalam rangkaian pengeluaran minyak pelincir yang menepati kualiti piawaian dalam industri automotif, motosikal dan sektor industri.

AEON labur RM200j bina cawangan ke-28

2010/12/02
AEON Co (M) Bhd, pengendali rangkaian peruncitan berpangkalan di Jepun, melabur RM200 juta untuk membina sebuah lagi cawangan baru di Rawang, Selangor.

Pengarah Urusannya, Nagahisa Oyama, berkata projek pembinaan cawangan itu akan bermula pada Januari depan dan dijangka siap dalam tempoh setahun. “Cawangan itu adalah gedung beli-belah ke-28 milik AEON di negara ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Orang Salji Terbesar di Malaysia yang diperbuat daripada Botol Plastik Kitar Semula, di Pusat Membeli-Belah AEON, Bandaraya Melaka, semalam. Majlis itu disempurnakan isteri Ketua Menteri Melaka, Datin Seri Asmah Abd Rahman.

Oyama berkata, cawangan yang bakal dibina itu di atas tapak seluas lima hektar dan mempunyai lebih 100 kedai untuk disewa kepada peniaga, selain pasar raya utama untuk cawangannya.

Katanya, syarikat itu merancang membuka satu atau dua cawangan baru tahun depan dan satu daripadanya sudah dimuktamadkan, manakala satu lagi cawangan masih dalam peringkat kajian.

Antara kawasan yang menjadi perhatiannya adalah Ipoh, Sungai Petani dan kawasan sekitar Pulau Pinang.
Namun, Oyama tidak menolak kemungkinan membuka cawangan baru di kawasan Pantai Timur.

Mengulas mengenai usaha syarikat itu membina orang-orang salji daripada botol plastik kitar semula, Oyama berkata, program itu adalah sebahagian usaha syarikat untuk menanam minat kitar semula di kalangan masyarakat.

“Saya mendapat idea untuk melaksanakan program ini apabila terlihat botol plastik terapung di Sungai Melaka ketika berjalan-jalan di sekitar sungai itu,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 50 kanak-kanak Rumah Anak Yatim Negeri Melaka, Kompleks Anak Yatim Fatimah Al-Zaharah dan Calvary Care Home, diraikan dan turut dihiburkan oleh Duta Yayasan Aeon, Datuk Siti Nurhaliza.