Wednesday, January 19, 2011

Johor: Penternak berjaya

Oleh Togi Marzuki
bhjb@bharian.com.my
2011/01/20


HAIRULIZAM menunjukkan sebahagian ternakan puyuhnya.Berani ambil risiko, mesra pekerja tip kejayaan usahawan puyuh

PONTIAN: Bermodalkan RM3,000 10 tahun lalu, Hairulizam Saat, 41, kini menjadi usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) puyuh contoh apabila dinobatkan usahawan berjaya, termasuk terbaru menerima Anugerah Usahawan Cemerlang 2010 Parlimen Pontian. Dia yang berasal dari Kampung Saniman Ayer Baloi, di sini, memulakan perniagaan menternak 3,000 unggas berkenaan yang dibeli pada harga 50 sen seekor. “Di awal pembabitan, saya membeli daging burung puyuh daripada pembekal tempatan sebelum menjualnya kepada peniaga pasar malam.

“Selepas setahun, saya dapati perniagaan ini mempunyai potensi besar untuk maju dan kerana itu, saya sanggup mengambil risiko menggunakan simpanan sebagai modal untuk membeli anak burung puyuh,” katanya.

Hairulizam berkata, dengan bantuan isterinya, Siti Fairus Paiman, 34, serta dua pekerja, dia menternak 5,000 ekor burung puyuh dalam sebuah reban dan kini unggas berkenaan berjumlah 200,000 ditempatkan di 29 reban manakala pekerjanya bertambah kepada 20.

Bapa kepada lima anak itu berkata, selain di Johor, perniagaannya kini berjaya memasuki pasaran Melaka dan Kuala Lumpur dengan pendapatan mencecah ribuan ringgit sebulan.
“Untuk memenuhi permintaan pelanggan dan penghantaran mengikut masa ditentukan, enam pekerja akan menangkap burung puyuh yang cukup usia 30 hari pada waktu malam sebelum disembelih dan diproses.

“Pengeluaran boleh mencecah kira-kira 150,000 ekor sebulan, manakala nilai burung puyuh sejuk beku jika mengikut gred seperti A dan B boleh mencecah RM2.20 seekor,” katanya yang mengusahakan ternakan itu di tanah miliknya seluas enam hektar.

Lebih membanggakan, hasil usahanya itu membolehkan dia menerima anugerah Usahawan Penternak Bukan Ruminan Jaya 2002 sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Johor.

Selain itu, beliau juga menerima anugerah Usahawan Cemerlang TEKUN Negeri Johor 2005, dan mendapat tempat pertama Anugerah Usahawan Cemerlang 2010 Parlimen Pontian.

Dia berkata, sebahagian besar kejayaannya adalah berkat dorongan keluarga khasnya Siti Fairus.

“Kami sering berbincang untuk mendapatkan hasil terbaik dan pada masa sama, kami turut menganggap pekerja seperti keluarga sendiri.

“Hasilnya, kami sentiasa mesra malah sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik bagi memastikan perniagaan ini semakin maju dan berkembang,” katanya.

Sementara itu, pekerja Hairulizam, Turmiah Samian, 48, yang sudah bekerja dengannya sejak 10 tahun lalu berkata, perniagaan majikannya itu membolehkan penduduk kampung mendapat peluang pekerjaan.

“Ia memberi pendapatan kepada sebahagian daripada penduduk dan kami bersyukur kerana perniagaan ini semakin maju.

“Kami gembira bekerja dengan Hairulizam kerana sifatnya yang peramah dan tidak pernah meninggikan suara,” kata ibu lima anak itu lagi

F&N rancang tamatkan hubungan The Coca-Cola

2011/01/20
FRASER & Neave Holdings Bhd (F&N) mahu berubah daripada pemegang francais kepada syarikat makanan dan minuman (F&B) utama di rantau ini dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Ng Jui Sia (atas), berkata syarikat itu akan membelanjakan sehingga RM500 juta untuk melaksanakan program transformasi yang meliputi penamatan hubungan selama 73 tahun dengan The Coca-Cola Company pada 30 September lalu. Syarikat itu juga sudah memeterai perjanjian peralihan pada 30 Jun 2009, yang membolehkan F&N mencari peluang pertumbuhan menerusi pengenalan jenama atau kategori baru bagi pasaran tempatan dan eksport. "Beroperasi dengan francais Coca-Cola mempunyai banyak sekatan. Dalam perniagaan minuman ringan, kami hanya terhad di pasaran Malaysia," katanya kepada media selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) syarikat itu di Kuala Lumpur, semalam.

Sejak 12 bulan lalu, syarikat itu berupaya memperluas produk minuman berasaskan teh menggunakan jenama ‘Seasons’ dengan pengenalan teh hijau jasmine, beberapa jenis teh buah-buahan dan jus minuman menerusi jenama "Fruit Tree".

Beliau berkata, syarikat itu sudah meluaskan perniagaan ke Thailand dan Brunei, dan memperoleh francais minuman tenaga Red Bull di Malaysia.

Jui Sia berkata, transformasi itu akan membolehkan syarikat menjadi lebih terbuka terhadap peluasan serantau.
Beliau berkata, walaupun F&N dianggap sebagai syarikat yang besar dalam negara, namun berbanding pesaing serantau, F&N hanya setara atau lebih kecil. – BERNAMA

KUB, Masteel kendali sistem transit rel di Johor

Oleh Che Wan Badrul Alias
chewan@bharian.com.my
2011/01/20

Kereta api antara bandar di Iskandar Malaysia babit kos RM1.23b

KUB Malaysia Bhd (KUB) dan Malaysia Steel Works (KL) Bhd (Masteel) akan membangunkan rangkaian sistem transit kereta api antara bandar di Johor dengan kos kira-kira RM1.23 bilion. Projek yang dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang akhir 2013 itu akan dibangunkan syarikat usaha sama, Metropolitan Commuter Network Sdn Bhd (MCN) yang mana KUB serta Masteel masing-masing akan menguasai 40 peratus dan 60 peratus ekuitinya. Ia akan membabitkan operasi kereta api elektrik menggunakan tapak landasan milik Keretapi Tanah Melayu (KTM) sepanjang 100 kilometer (km) dalam Wilayah Iskandar Malaysia, menaik taraf 21 stesen KTM sedia ada di laluan berkenaan dan pembinaan empat stesen baru.

Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Masteel, Datuk Seri Tai Hean Leng, (atas) berkata apabila siap, sistem transit kereta api antara bandar itu akan beroperasi seperti komuter di Lembah Klang meliputi JB Sentral ke Kempas Baru dan dari Pasir Gudang terus ke Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Ia juga, katanya akan dihubungkan dengan sistem transit aliran ringan (MRT) Singapura.

Tai berkata, syarikat usaha sama itu akan membiayai sebahagian kos projek itu menggunakan dana ekuiti dan terbitan bon, manakala bakinya akan diperoleh di bawah Skim Perkongsian Awam-Swasta (PPP).
“Kami yakin projek ini berpotensi tinggi dan akan menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Kami juga akan mengembangkannya jika ada keperluan dan peluang,” katanya pada sidang media selepas majlis memeterai perjanjian bagi penubuhan syarikat usaha sama itu di Kuala Lumpur, semalam.

Pada majlis itu Tai mewakili Masteel, manakala KUB oleh Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Mohd Nazar Samad.

Tai berkata, projek sistem transit kereta api antara bandar itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa dengan tempoh konsesi bagi operasinya ialah 25 tahun.

Sementara itu, Nazar berkata, projek itu akan menyumbang secara positif kepada kumpulan KUB, bukan hanya dalam kepada segmen perniagaan pembinaannya seperti membekalkan keperluan pembinaan bagi pusat kawalan, operasi dan penyelenggaraan, tetapi juga memanfaatkan segmen perniagaan sektor hartanah, kejuruteraan dan pembinaannya.

“Perniagaan utama kami dalam bidang teknologi, kejuruteraan serta teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) akan turut meraih manfaat khususnya dalam menyediakan sistem IT bersepadu untuk proses berkaitan tiket, pengumpulan dan sekuriti.

“Bagi kereta api elektrik, kami sedang menimbangkan sama ada menggunakan teknologi dari China atau Eropah,” katanya

Monday, January 17, 2011

MAS perkenal tempahan guna iPhones

2011/01/18
PENERBANGAN Malaysia (MAS) memperkenalkan MHdeals Destination Sabah, iaitu aplikasi realiti yang membolehkan pelanggan menggunakan iPhones mereka untuk menempah penerbangan.

Aplikasi itu akan menyediakan akses kepada lapangan terbang dan memaparkan tawaran terbaik bagi pengguna. "MAS adalah syarikat penerbangan pertama menggunakan realiti ini secara komersial. "MHDeals Destination Sabah ialah cara yang unik dan menghiburkan untuk mencari tawaran terbaik daripada MAS dan destinasi menarik di Sabah," kata Naib Presiden Bahagian Strategi Komersialnya, Dr Amin Khan dalam kenyataan itu.

Aplikasi itu usaha sama antara MAS, Lembaga Pelancongan Sabah dan SITA Lab.

Diperkenalkan bersempena pelancaran penerbangan terus MAS dari Kota Kinabalu ke Perth, syarikat penerbangan itu kini menawarkan tawaran serendah RM597 sehala bagi mereka yang memuat turun aplikasi baru MHdeals-Sabah itu.

Sunday, January 16, 2011

MAS tawar penerbangan terus KK-Perth

KOTA KINABALU 16 Jan. 2011 - Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) menawarkan penerbangan terus antarabangsa bagi laluan Kota Kinabalu-Perth, Australia bermula semalam.
Hari ini, penerbangan sulung dari Perth yang membawa 155 penumpang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada pukul 7.55 pagi.
Pesawat B737-800 yang turut membawa Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun itu disambut oleh Pengerusi MAS, Tan Sri Munir Majid .
Munir berkata, penerbangan terus ke Australia itu merupakan destinasi kedua antarabangsa syarikat penerbangan tersebut dari Kota Kinabalu selepas pelancaran Kota Kinabalu sebagai hab Timur MAS pada Oktober lalu.
"Pengenalan Perth melakarkan komitmen kami untuk membangunkan Kota Kinabalu sebagai hab timur kami, pintu masuk ideal untuk perjalanan antara Australia, China, Hong Kong, Taiwan, Jepun dan Korea.
"Malah, perkhidmatan baru Kota Kinabalu-Perth bukan hanya menyediakan lebih pilihan kepada pelanggan, tetapi turut mempercepatkan peluang pembangunan dalam perdagangan serta pelancongan Malaysia dan Australia," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena ketibaan penerbangan terus MAS dari Perth ke Kota Kinabalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Tengku Datuk Azmil Zahruddin dan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Seri Tengku Zainal Adlin.
Perth menjadi destinasi kedua penerbangan terus MAS selepas Haneda, Tokyo sejak syarikat penerbangan itu secara rasmi melancarkan hab timurnya pada Oktober tahun lalu.
Menurut Munir, perkhidmatan penerbangan terus itu akan ditawarkan tiga hari seminggu iaitu Selasa, Khamis dan Sabtu.
"Bagi meraikan perkhidmatan pertama ini, MAS turut menawarkan tambang promosi sehala serendah RM597 bermula 16 Januari hingga 30 Jun ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kewujudan syarikat penerbangan komuniti, Firefly tidak akan menjejaskan keupayaan MAS kerana kedua-duanya mempunyai segmen pasaran yang berbeza.

Tuesday, January 11, 2011

Transaksi antara bank guna telefon bimbit

Oleh Azli Ayob
azliayob@bharian.com.my
2011/01/12
MEPS perkenal khidmat e-mobile dalam tahun ini

MALAYSIAN Electronic Payment System Sdn Bhd (MEPS), penyedia tunggal perkhidmatan pembayaran antara bank di Malaysia, akan memperkenalkan kemudahan transaksi perbankan antara bank menerusi telefon bimbit pada pertengahan tahun ini. Pengerusi MEPS, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, berkata pengenalan perkhidmatan e-mobile itu adalah inovasi baru bagi memajukan industri perkhidmatan kewangan di Malaysia. Ia, katanya akan ditawarkan kepada semua bank serta pengendali perkhidmatan telekomunikasi mudah alih di negara ini.

“Adalah penting membuka perkhidmatan ini kepada semua bank dan syarikat telekomunikasi untuk semua jenis telefon bimbit kerana hanya dengan cara itu jumlah penggunaan perkhidmatan ini akan meningkat,” katanya selepas majlis perasmian bangunan MEPS@Horizon di Bangsar South, Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan MEPS, Mohd Suhail Amar Suresh.

Bangunan berharga RM60 juta yang menempatkan ibu pejabat MEPS dan kemudahan pusat data berteknologi tingginya itu, dirasmikan Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Muhammad Ibrahim.

Abdul Wahid berkata, pengenalan perkhidmatan itu juga bertujuan menyokong inisiatif e-pembayaran yang dibangunkan menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP).
“Dalam memperkenalkan perkhidmatan ini, faktor berkaitan caj yang bakal dikenakan kepada pengguna akan turut diberikan perhatian,” katanya.

Sementara itu, Mohd Suhail berkata, MEPS akan meluaskan perniagaannya ke peringkat serantau dengan menawarkan perkhidmatan ke beberapa negara rantau ini tahun ini.

Beliau berkata, kini syarikat itu sedang berbincang dengan beberapa pihak termasuk di Arab Saudi, Filipina dan Bangladesh.

“Kami menjangka dapat memulakan perkhidmatan di Arab Saudi pada suku keempat tahun ini, manakala di Filipina dan Bangladesh masing-masing pada suku kedua,” katanya.

Jelasnya, MEPS turut meneroka peluang meluaskan perkhidmatannya ke Jepun, Australia dan New Zealand.

Katanya, MEPS juga bercadang menawarkan perkhidmatan pemindahan wang menerusi ATM di Malaysia ke dalam akaun bank di negara asing yang sudah mengadakan kerjasama dengannya

Top Glove tinjau ambil alih firma sarung tangan

Oleh Che Wan Badrul Alias
chewan@bharian.com.my
2011/01/12
Kedudukan kewangan kukuh peluang terbaik tingkat kapasiti

PENGILANG sarung tangan getah terbesar dunia, Top Glove Corporation Bhd sedang meninjau membuat pengambilalihan tahun ini bagi mengembangkan operasinya susulan kedudukan kewangannya yang kukuh dengan jumlah tunai melebihi RM340 juta. Pengerusinya, Tan Sri Lim Wee Chai, berkata tahun ini adalah tahun terbaik untuk syarikat menilai beberapa syarikat pengeluar sarung tangan getah berpotensi berikutan persekitaran pasaran yang semakin positif. Katanya, pihaknya menerima banyak maklum balas daripada pemilik kilang sarung tangan getah yang berminat melepaskan kepentingan mereka, namun pengambilalihan itu hanya akan membabitkan syarikat yang berpotensi menyumbang secara positif kepada pertumbuhan Top Glove.

“Pengambilalihan dan penggabungan (M&A) sering berlaku ketika persekitaran yang mencabar apabila ada syarikat yang ingin dilepaskan disebabkan tidak diurus dengan baik atau pemegang saham terbesar ingin menjualnya untuk memperoleh tunai, jadi ia peluang yang besar kepada kami meningkatkan kapasiti.

“Tahun ini adalah tempoh yang terbaik selepas menunggu sejak tahun lalu, kerana kami mahu M&A ini dilaksanakan dengan kos yang efektif dan syarikat yang kami beli perlu dinilai supaya sesuai dengan operasi perniagaan teras dan pemasaran kami,” katanya pada sidang media pembentangan keputusan suku pertama Top Glove di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam tempoh suku pertama berakhir 30 November lalu, Top Glove mencatatkan jualan keseluruhan sebanyak RM491.5 juta, menurun sembilan peratus berbanding RM541.4 juta yang dicatatkan suku sebelumnya.
Keuntungan bersihnya turut menurun 20 peratus kepada RM36.1 juta dalam suku berkenaan daripada RM45 juta yang dicatat pada suku keempat tahun lalu.

Wee Chai berkata, penurunan keuntungan itu disebabkan harga getah yang tinggi apabila ia meningkat sehingga 57 peratus selain kelemahan dolar Amerika Syarikat.

Justeru, katanya, syarikat akan melaksanakan beberapa strategi bagi memacu pertumbuhan jangka panjang termasuk memperuntukkan pelaburan RM160 juta bagi membuka ladang getah berkeluasan 8,000 hektar di Kemboja yang hasilnya akan dapat dituai dalam tempoh enam hingga tujuh tahun.

“Ia adalah pelaburan jangka panjang kami, namun dalam tempoh terdekat ini, kami jangkakan harga getah akan turun tidak lama lagi apabila terdapatnya sumber baru daripada beberapa ladang baru di dalam negara,” katanya.

“Kami juga akan meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran menjelang Ogos nanti apabila tiga lagi kilang baru akan beroperasi menjadikan jumlah kilang pembuatan sarung tangan getah kami kepada 20,” katanya