Thursday, February 10, 2011

Tawaran baru beli baki saham MTD RM11 seunit

Oleh Shahrizan Salian

2011/02/11
KONSORTIUM empat syarikat yang dimiliki Pengerusi Eksekutif MTD Capital Bhd, Datuk Nik Hussain Abdul Rahman menaikkan harga tawaran pembelian baki saham yang tidak dimilikinya dalam syarikat itu kepada RM11 sesaham daripada RM9.50 sesaham sebelum ini.

Tawaran baru konsortium Nikvest Sdn Bhd, Alloy Consolidated Sdn Bhd, Alloy Concrete Engineering Bhd dan Alloy Capital Sdn Bhd itu adalah 4.6 peratus lebih tinggi berbanding harga dagangan terakhir saham pengendali lebuh raya bertol kedua terbesar di Malaysia itu, iaitu RM10.52 sesaham sebelum ia digantung urus niaga semalam. MTD Capital dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia, berkata ia menerima notis semakan harga tawaran itu daripada Maybank Investment Bank Bhd bagi pihak konsortium berkenaan semalam. “Tawaran itu akan dibuka untuk penerimaan sehingga jam 5.00 petang pada Khamis 1 Mac ini.

“Pemegang saham yang menerima tawaran itu pada harga tawaran asal RM9.50 sesaham yang ditawarkan sebelumnya, berhak menerima tawaran yang disemak semula RM11 sesaham itu,” kata kenyataan berkenaan.

Konsortium berkenaan mula mengemukakan tawaran itu pada 20 Disember lalu yang membolehkannya membeli secara langsung 131.483 juta atau 53.13 peratus saham biasa yang masih belum dimilikinya dalam MTD Capital.

Tawaran berkenaan juga dikatakan akan mencetuskan pengambilalihan seterusnya anak syarikat MTD Capital lain iaitu MTD ACPI Engineering Bhd apabila konsortium itu berhasrat membeli saham minoriti dalam syarikat itu pada harga 53 sen sesaham.
Aktiviti utama Nikvest adalah pegangan pelaburan dan penyewaan harta; Alloy Consolidated menceburi pembinaan lebuh raya serta pemegangan pelaburan; Alloy Concrete dalam pembinaan dan Alloy Capital bergiat dalam pegangan pelaburan.

Konsortium itu juga berhasrat untuk menjadikan MTD Capital dan MTD ACPI Engineering syarikat persendirian jika tawaran pengambilalihan itu menjadi kenyataan.

Teras perniagaan utama MTD Capital adalah pembinaan lebuh raya, terutama yang membabitkan projek di kawasan sukar dibangunkan seperti cerun bukit.

Selain beberapa lebuh raya di Malaysia, termasuk lebuh raya Pantai Timur, kumpulan itu turut mengendalikan Lebuh Raya Luzon Selatan di Filipina yang kini menjadi penyumbang utama pendapatannya.

Lebuh raya itu dimiliki oleh South Luzon Tollway Corp, sebuah syarikat usaha sama antara anak syarikat MTD Capital, MTD Manila Expressways dan firma milik kerajaan negara itu, Philippines National Construction Corp (PNC).

Kumpulan itu yang mempunyai kepentingan perniagaan di 13 negara juga mempunyai perniagaan lain antaranya pembangunan hartanah, loji kuasa arang batu dan pengurusan pelabuhan.

F&N, Permanis selaras harga produk minuman

Oleh Ahmad Farizal Hajat

2011/02/11
Usaha serap kos berikutan pemberhentian subsidi gula

PENGELUAR minuman berperisa utama tempatan, termasuk Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) dan C I Holdings Bhd mungkin membuat sedikit pelarasan harga bagi produk masing-masing secara berperingkat tidak lama lagi.

Seorang penganalisis berkata, ia bertujuan menyerap peningkatan kos susulan keputusan kerajaan memberhentikan pemberian subsidi gula kepada industri sejak 1 Januari lalu. “Susulan pemberhentian subsidi itu, peserta industri seperti F&N dan C I Holdings dijangkakan membuat sedikit pelarasan harga bagi produk mereka yang membabitkan penggunaan gula tinggi seperti minuman berperisa dan susu pekat manis tidak lama lagi bagi melindungi pendapatan mereka,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, semalam. Pemberhentian pemberian subsidi gula itu diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, menerusi satu surat rasmi kepada 13 pengeluar minuman terbesar tempatan, sehari sebelum cuti sambutan Tahun Baru Cina lalu.

F&N dan C I Holdings bagaimanapun gagal dihubungi bagi mendapatkan komen berhubung perkara berkenaan.

Namun mengikut sumber, kedua-dua kumpulan itu sedang melihat kepada pilihan untuk melaraskan harga produk masing-masing, tetapi masih belum membuat keputusan bila pelarasan harga akan berkuat kuasa.

F&N adalah pengeluar produk minuman berasaskan teh menggunakan jenama Seasons dan jus minuman jenama Fruit Tree.
C I Holdings menerusi anak syarikatnya, Permanis Sdn Bhd pula adalah pengeluar minuman berkarbonat seperti 7 Up, Pepsi dan Mirinda.

Difahamkan, pengeluar minuman berperisa kini terpaksa membayar harga sekitar RM2.62 bagi sekilogram, iaitu kira-kira 35 peratus lebih tinggi bagi mendapatkan bekalan gula di pasaran.

F&N dalam pengumuman keputusan suku kewangan pertama berakhir 31 Disember 2010 Isnin lalu, membayangkan penurunan margin keuntungannya dengan ketiadaan subsidi gula, kenaikan kos tenaga dan harga makanan serta ketidaktentuan dalam persekitaran ekonomi antarabangsa.

Mengulas mengenainya, Ketua Ahli Ekonomi RAM Holdings Bhd, Dr Yeah Kim Leng, berkata peserta industri terbabit sebenarnya memiliki pilihan lain untuk tidak memindahkan peningkatan kos kepada pengguna.

“Mereka boleh memilih untuk mengurangkan peratusan kandungan gula dalam produk keluaran mereka. Selain boleh membantu mengurangkan kos, ia juga dapat membantu kerajaan mempromosikan gaya hidup sihat di kalangan pengguna di Malaysia,” katanya

Tuesday, February 8, 2011

PROTON umum jualan terhad R3 Satria Neo

2011/02/08
KUALA LUMPUR: Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd memperkenalkan Proton R3 Satria Neo untuk dijual dalam bilangan terhad.

Model R3 Satria Neo berharga RM79,797 (MT Metalik) dan boleh didapati melalui tempahan serta merta di semua bilik pameran Proton Edar di Semenanjung Malaysia, kata Proton dalam satu kenyataan hari ini. Ia berkata yuran tempahan adalah RM2,000 dan pelanggan awal akan dijemput ke acara pelancaran itu. Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata model itu adalah kesinambungan kepada pembabitan dan kepakaran Proton dalam sukan bermotor yang akan melihat model generasi baharu terpilih disuntik dengan elemen dinamik dan keseronokan yang lebih hebat.

Ditawarkan dalam warna ekslusif "Fire Red" dengan bumbung bercat hitam, R3 Satria Neo mempunyai bentuk luaran yang berbeza daripada model-model sebelumnya.

R3 Satria Neo dilengkapi naik taraf Peringkat 2 kepada enjin standard 1.6 liter CAMPRO S4PH dan mempunyai brek kuasa kuda 145 pada 7,000 rpm dan kuasa terjahan 168 nM pada 5,000 rpm. - BERNAMA

Bank Rakyat sasar 75,000 pemegang kad Debit-i

08/02/2011 5:11pm


KUALA LUMPUR 8 Feb. - Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) menyasarkan 75,000 pemegang kad Debit-i, Kad Orchid, yang pertama diperkenalkan oleh bank itu, pada akhir tahun ini.

Kad Orchid itu, iaitu singkatan dari “One Retail Cash Islamic Debit Card”, menggunakan konsep Syariah Wakalah dan Ujrah dalam setiap transaksi dan hanya diterima di kaunter pedagang dalam kategori halal sahaja.

Semasa melancarkan Kad Orchid itu hari ini, Pengarah Urusannya, Datuk Kamaruzaman Che Mat berkata, jalinan kerjasama antara Bank Rakyat dan MasterCard akan memastikan bahawa kad itu hanya diterima di kaunter pedagang di bawah kategori itu sahaja.

Katanya para pemegang kad Orchid tidak perlu membayar yuran keahlian manakala yuran tahunan adalah percuma bagi tahun pertama dan hanya perlu membayar RM8 setahun bermula pada tahun berikutnya. - Bernama

Monday, February 7, 2011

Iris, IBS Koto tubuh syarikat usaha sama pembinaan

2011/02/08
IRIS Corporation menubuhkan syarikat usaha dengan Koto Malaysia Sdn Bhd dan Ambitech Sdn Bhd bagi bagi pembangunan, pembuatan, pembinaan dan pengendalian Sistem Binaan Berindustri (IBS) Koto.

IBS itu adalah bagi projek pembinaan di Semenanjung Malaysia kecuali Perak melainkan projek itu diperoleh, dimiliki atau diuruskan oleh Iris. Dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia semalam, Iris berkata ia memegang 60 peratus ekuiti syarikat usaha sama berkenaan manakala Koto dan Ambitech memegang 30 peratus dan 10 peratus. IBS Koto adalah cara alternatif memajukan perumahan, bangunan komersial, serta bangunan tinggi dan perumahan mampu milik yang cekap tenaga.

Ia adalah sistem bersepadu sepenuhnya, dari tapak, semua jenis dinding, hinggalah kepada siling, siling gantung, bumbung, tiang, alang dan jenang ringan.

Di bawah perjanjian usaha sama yang dimeterai syarikat itu, Koto akan membina, mencipta, memasang, menguji, memulakan dan menugaskan kilang pembuatan itu sebelum menyerahkannya kepada syarikat yang ditubuhkan.

Koto akan menyediakan semua sokongan teknikal dan memindahkan pengetahuan mengenai IBS Koto kepada syarikat usaha sama itu serta memberikan lesen dan hak kekal bagi penggunaan dan pengeluaran IBS Koto oleh syarikat usaha sama itu di Semenanjung Malaysia.
Sementara itu, Iris akan membuat bayaran pendahuluan lesen tidak berulang bagi IBS Koto berjumlah AS$50,000 dan melabur AS$1 juta dalam syarikat usaha sama berkenaan.

Ambitech pula menyediakan perkhidmatan perundingan dan pemasaran yang berkaitan dengan dan seperti yang dikehendaki oleh syarikat usaha sama itu.

Ireka peroleh kontrak bina hospital di Vietnam

2011/02/08
IREKA Corp Bhd memperoleh kontrak pembinaan hospital di Vietnam bernilai RM27.58 juta daripada Hoa Lam-Shangri-La Healthcare Ltd Liability Company.

Kontrak untuk pakej kerja struktur hospital di International Hi-Tech Healthcare Park (IHHP) di Daerah Binh Tan, Ho Chi Minh City itu diperoleh oleh anak syarikat milik penuhnya, Ireka Engineering dan Construction Vietnam Company Ltd (IECVCL). Hospital itu adalah sebahagian daripada projek IHHP di kawasan seluas 37.54 hektar merangkumi hospital swasta bertaraf dunia serta gabungan pembangunan komersil, hospitaliti dan kediaman, kata Ireka dalam satu kenyataan. Kerja struktur hospital IHHP dijangka siap pada 30 September 2011.

Kontrak itu akan menambah nilai projek semasa Ireka kepada kira-kira RM800 juta, dengan anggaran RM430 juta masih belum diselesaikan.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Lai Siew Wah, ia adalah kejayaan penting buat kumpulan itu kerana ia adalah projek pembinaan pertamanya di Vietnam.

Beliau berkata, Ireka yang bersandarkan pengalamannya dalam kerja infrastruktur, binaan dan kejuruteraan awam, kini bersedia untuk mengeksport kemahiran dan pengetahuannya ke Vietnam.
"Perniagaan pengurusan pembangunan hartanah Kumpulan Ireka dan syarikat sekutu kami, Aseana Properties Ltd yang disenarai di London, sangat aktif di Vietnam sejak empat tahun lalu.

"Sehubungan itu ia adalah kemajuan bagi perniagaan pembinaan kami meluaskan kehadirannya di Vietnam," katanya.

Industri pembinaan di Vietnam, katanya semakin berkembang, sejajar dengan pembangunan ekonomi negara itu.

"Kami yakin permintaan terhadap kontraktor negara ini yang memiliki kepakaran dalam segmen infrastruktur, komersil dan kediaman, akan terus meningkat," kata Lai.

IECVCL ditubuhkan di Ho Chi Minh City untuk melaksanakan kerja pembinaan bangunan dan awam di negara yang pesat berkembang itu.

“Kami akan berhemat dan memilih saiz dan jenis produk untuk diceburi” katanya.

2 gergasi logistik luar minat beli saham Pos Malaysia

Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2011/02/08
PELUPUSAN kepentingan 32.21 peratus Khazanah Nasional Bhd dalam Pos Malaysia Bhd yang dibuat menerusi tender terbuka, dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya pada suku kedua atau ketiga tahun ini.

Sumber industri berkata, sayap pelaburan kerajaan itu, menerusi CIMB Investment Bank Bhd yang dilantiknya sebagai penasihat bagi pelupusan itu sedang ‘mengemas kini beberapa senarai cadangan pengambilalihan’ yang dikemukakan pembida dari dalam dan luar negara. “Setakat ini, dua gergasi logistik antarabangsa dan beberapa tokoh perniagaan tempatan antara pembida yang sudah menyatakan minat dan menghantar cadangan pengambilalihan masing-masing. “Tawaran daripada pembida itu pula membabitkan harga sekitar RM3.50 hingga RM3.90 sesaham,” katanya pada Berita Harian di Kuala Lumpur.

Saham Pos Malaysia, syarikat logistik yang memiliki 700 cawangan di seluruh negara itu, semalam mengakhiri dagangannya di Bursa Malaysia pada RM3.35 sesaham.

Sumber itu berkata, tender bagi penjualan saham Pos Malaysia oleh Khazanah yang dibuka secara rasminya awal tahun ini itu telah menarik minat dua gergasi logistik antarabangsa iaitu Deutsche Post dari Jerman dan TNT Post dari Belanda.

Difahamkan, antara tokoh perniagaan tempatan yang turut berminat termasuk Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary; Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun (Berjaya Group); dan anak pengasas dan bekas Pengerusi Kumpulan Naza, Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin.
Sumber industri itu berkata, ciri utama pembida yang ditimbangkan Khazanah bagi penjualan kepentingannya dalam Pos Malaysia ialah saham majoritinya mestilah dimiliki pelabur Malaysia, selain memberikan pertimbangan sewajarnya kepada kualiti rakan kongsi strategik dan teknikal yang mungkin membabitkan pihak asing.

“Peringkat pertama pelupusan Pos Malaysia sudah selesai pada akhir tahun lalu dan ia kini sudah memasuki peringkat kedua dan hasilnya dijangka dapat diperoleh dalam tempoh beberapa bulan lagi kerana setiap peringkat pelupusan, sama ada membabitkan proses rundingan atau pertimbangan perlu dilaksanakan menerusi proses tadbir urus korporat yang telus,” katanya sambil menambah pelupusan pegangan dalam Pos Malaysia itu dilaksanakan Khazanah dengan teliti sebagai usaha agensi pelaburan itu menetapkan penanda aras untuknya mengurangkan pegangan ekuiti dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain di masa depan.

Peringkat pertama penjualan itu membabitkan penekanan dalam menangani persekitaran perniagaan makro Pos Malaysia yang antara lain merangkumi penstrukturan penggunaan tanah milik kerajaan yang diperuntukkan untuk prasarana pos, dan kepentingan pekerja syarikat.

Peringkat kedua yang bermula selepas syarat pada peringkat pertama dipenuhi pula, akan menyaksikan proses bidaan untuk memilih pemegang saham utama Pos Malaysia berdasarkan pertimbangan kewangan dan strategik.