Monday, February 28, 2011

Sime Darby kaji maju ladang sawit di Cameroon

Sime Darby kaji maju ladang sawit di Cameroon
Oleh Shahrizan Salian

2011/03/01
Prospek terbaik kumpulan tambah simpanan tanah

SIME Darby Bhd, syarikat perladangan senaraian awam terbesar dunia, sedang memperhalusi rancangan mema-jukan ladang sawit seluas 300,000 hektar dengan anggaran pelaburan mencecah RM7.5 bilion di Cameroon berikutan permintaan dan harga kukuh komoditi itu.

Ketua Eksekutifnya, Mohd Bakke Salleh, berkata pelaburan itu adalah prospek terbaik untuk kumpulan menambah simpanan tanahnya seluas 640,000 hektar selepas ia memperoleh konsesi ladang sawit seluas 220,000 hektar di Liberia. “Kumpulan sedang meninjau secara aktif. Kami sudah ditunjukkan kawasan berpotensi di Cameroon dan formula pembangunannya adalah bekerja dengan komuniti setempat,” katanya dipetik sebagai berkata oleh akhbar Financial Times. Mohd Bakke menegaskan, perbincangan setakat ini masih belum dimuktamadkan manakala ladang itu akan mengambil masa bertahun-tahun untuk dimajukan dengan tanaman dimulakan sekitar 5,000 hektar setahun dan memuncak tidak lebih daripada 15,000 hektar.

Jurucakap Sime Darby bagaimanapun gagal dihubungi untuk memberikan perkembangan lanjut mengenai rancangan itu.

Konglomerat yang turut memiliki perniagaan dalam bidang automotif, hartanah dan penjagaan kesihatan itu, kini giat aktiviti pengembangan perniagaan secara agresif khususnya dalam bidang perladangan susulan potensi besar segmen itu.

Sime Darby Plantation Sdn Bhd, anak syarikat perladangan Sime Darby sebelum ini dilaporkan akan memulakan kerja penanaman di Liberia pada April, membabitkan penanaman sawit di kawasan seluas 10,000 hektar.
Pada 2009, Sime Darby Plantation memperoleh konsesi selama 63 tahun bagi memajukan tanah seluas 220,000 hektar di benua Afrika itu untuk ditanam dengan kelapa sawit dan getah.

Di bawah konsesi itu, Sime Darby Plantation Liberia Inc (SDPLI), iaitu anak syarikat milik penuh Sime Darby Plantation dibenarkan membuka ladang sawit dan getah di beberapa wilayah republik itu iaitu di Bomi, Grand Cape Mount, Gbarpolu dan Bong.

Projek Sime Darby di Liberia itu adalah sebahagian daripada beberapa cadangan projek pembangunan oleh peserta industri tahun lalu, termasuk perjanjian antara Liberia dan Golden Agri dari Indonesia dan kerjasama antara Gabon dengan Olam International.

Firma yang disenaraikan di United Kingdom, Equatorial Palm Oil juga mempunyai tanah seluas 169,000 hektar di Liberia.

Sementara itu, Mohd Bakke berkata, rancangan meluaskan simpanan tanah itu adalah penting kepada kumpulan dalam usaha mempertahankan kedudukannya sebagai peneraju pasaran di tengah-tengah penerokaan aktif firma gergasi lain seperti syarikat Singapura, Wilmar International dan Olam International

Sunday, February 27, 2011

Bina Puri jangka jana pendapatan RM250 juta

Bina Puri jangka jana pendapatan RM250 juta
Oleh Che Wan Badrul Alias

2011/02/28
BINA Puri Holdings Bhd menyasar meningkatkan sumbangan segmen perniagaan pembangunan hartanah terhadap pendapatannya kepada 50 peratus dalam tempoh lima tahun ini.

Ia bakal menjadikan segmen hartanah sebagai perniagaan teras keduanya selepas pembinaan dan kejuruteraan. Pengarah Eksekutifnya, Matthew Tee Kai Woon, berkata segmen perniagaan hartanah akan mula memberi sumbangan ketara tahun ini, apabila dijangka menjana pendapatan RM250 juta atau 20 peratus kepada pendapatan keseluruhan syarikat. Beliau berkata, langkah mengukuhkan segmen perniagaan hartanah itu bertujuan meningkatkan daya tahan syarikat dan memastikan pertumbuhan berterusan dengan memanfaatkan prospek pasaran hartanah kini yang semakin baik.

“Sebelum ini kami tidak mempunyai sumbangan pendapatan daripada segmen hartanah kerana beberapa projek yang baru selesai, namun tahun ini kami menyasarkan sumbangan kira-kira 20 peratus.

“Kami juga akan meluaskan penerokaan kami dalam segmen itu ke negara serantau lain. Di Thailand contohnya, kami sudah bertapak kukuh dalam industri pembinaan dan kini kami meninjau usaha sama dengan syarikat tempatan di sana bagi menceburi sektor pembangunan hartanah,” katanya kepada Berita Harian di Kota Kinabalu, kelmarin.

Beliau sebelum itu memperkenalkan beberapa projek pembangunan hartanah milik syarikat dan projek pembinaan terkini dan yang sudah diselesaikan di sekitar Kota Kinabalu dan Brunei.
Tee berkata, Bina Puri merancang mengadakan usaha sama dengan pemilik tanah berpotensi untuk membangunkan tanah milik mereka dan pendapatan daripadanya akan dibahagikan antara keduanya.

Katanya, ia sebahagian daripada alternatif akan dilaksanakan syarikat untuk memiliki tanah.

“Kami meninjau mana-mana peluang memiliki atau membangunkan tanah secara usaha sama di kawasan berpotensi di pinggir bandar kerana sebagai permulaan kami menyasarkan meneroka segmen pasaran hartanah sederhana dan tinggi,” katanya

Model VW Passat lebih murah

Model VW Passat lebih murah
Oleh Ahmad Farizal Hajat

2011/02/28


MODEL Volkswagen Passat akan ditawarkan dengan harga 30 peratus lebih murah apabila ia dipasang di kilang DRB-Hicom.Dipasang di kilang DRB-Hicom, harga ditawar RM154,000 seunit

MODEL pemasangan tempatan (CKD) Volkswagen Passat hasil jalinan pakatan antara DRB-Hicom Bhd dan Volkswagen AG (VW) akan dijual pada harga amat berdaya saing, sekitar RM154,000 seunit, iaitu kira-kira 30 peratus lebih murah berbanding sekitar RM220,000 bagi yang diimport sepenuhnya (CBU).

Model perintis hasil pakatan kerjasama konglomerat automotif Malaysia dan syarikat automotif terbesar Eropah itu akan mula dipasarkan November ini. Sumber industri berkata, penurunan harga itu hasil pengecualian cukai susulan daripada program CKD serta pengurangan kos pengeluaran berikutan penggunaan komponen tempatan, iaitu sekitar 40 peratus. Katanya, meskipun harga bagi Passat CKD itu dikurangkan dengan ketara, namun dari segi kualiti, ia akan tetap mengikut dan menepati spesifikasi pengeluaran antarabangsa VW.

“Buat permulaan, harga Passat yang dipasang dan dikeluarkan di kilang pemasangan milik DRB-HICOM di Pekan, Pahang akan ditawarkan 30 peratus lebih rendah daripada model CBU, sebelum ia dikurangkan lagi secara berperingkat bergantung kepada peningkatan peratusan penggunaan kompo-nen tempatannya.

“Justeru, melihat kepada penurunan harga serta jangkaan sambutan menggalakkan, kami menjangkakan DRB-Hicom akan membuka tempahan bagi model itu selewat-lewatnya dua minggu sebelum pelancarannya di pasaran,” kata sumber industri itu kepada Berita Harian di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, jika DRB-Hicom mampu meningkatkan peratusan kandungan komponen tempatan pada Passat dalam tempoh beberapa tahun akan datang, harga model itu dijangka mampu dikurangkan sehingga mencecah RM130,000 seunit.
“Buat permulaan, program CKD Passat itu hanya membabitkan peratusan kandungan komponen tempatan yang kecil, iaitu sekitar 40 peratus, namun DRB-Hicom, menerusi program vendornya, sudah memiliki beberapa strategi untuk meningkatkannya sehingga 60 peratus dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” jelasnya.

Program CKD model Volkswagen itu susulan termeterainya perjanjian pelesenan dan pakatan antara DRB-Hicom dan VW pada Disember tahun lalu sehingga membolehkan konglomerat automotif tempatan itu memasang dan mengeluarkan kenderaan jenama Volkswagen di Malaysia.

Perjanjian yang dicapai selepas kira-kira dua tahun berunding itu, akan menyaksikan DRB-Hicom memperkenalkan tiga model Volkswagen dan mengeluarkan kira-kira 30,000 unit kenderaan VW setahun menjelang 2015, sebelum ditingkatkan lagi pengeluarannya kepada 60,000 unit pada 2020.

Volkswagen Passat adalah model sulung yang akan dikeluarkan di kemudahan milik DRB-Hicom itu, sebelum disusuli model Jetta dan satu lagi model yang akan diumumkan kelak.

Selain dipasarkan untuk pasaran tempatan, model Volkswagen yang dipasang DRB-Hicom itu, akan turut dieksport ke negara ASEAN lain mulai 2013.

Wednesday, February 23, 2011

Media Prima raih untung bersih RM254.4 juta

Media Prima raih untung bersih RM254.4 juta


2011/02/24
KUMPULAN media bersepadu utama negara, Media Prima Bhd meraih keuntungan bersih RM254.4 juta dalam tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010, meningkat 31 peratus daripada RM194.8 juta yang dicatatkannya pada tahun sebelumnya.

Ini diraihnya daripada pertumbuhan ketara pendapatan bersih, yang meningkat lebih seratus peratus kepada RM1.547 bilion daripada RM744 juta dalam tahun kewangan sebelumnya. Pengerusinya Datuk Johan Jaaffar, berkata peningkatan pendapatan bersih itu disumbangkan prestasi kukuh semua aset media kumpulan itu, merangkumi televisyen, akhbar, radio, pengiklanan luar dan media baru. Beliau berkata, ia terutama disumbangkan penyatuan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) ke dalam kumpulan yang mana jika tidak mengambil kira sumbangan daripada NSTP, kumpulan merekodkan pertumbuhan pendapatan bersih 18 peratus.

“Pendapatan kukuh itu diperoleh hasil daripada pemulihan kukuh ekonomi negara, di samping usaha gigih kumpulan meningkatkan pendapatannya serta sokongan rakan niaga, pengiklan dan pemegang saham.

“Semua aset media kami mencatatkan prestasi sangat cemerlang, dan dengan barisan aset media yang teguh itu, ia mengukuhkan keupayaan kami untuk menggandakan pendapatan dan menjana keuntungan lebih tinggi,” katanya pada sidang media mengumumkan keputusan kewangan itu di Petaling Jaya, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Amrin Awaluddin dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Mohamad Ariff Ibrahim.
Amrin berkata, dalam tahun kewangan dikaji, rangkaian televisyen kumpulan menyumbang pendapatan bersih sebanyak RM651.835 juta, media cetak (RM670.385 juta), radio (RM63.061 juta), pengiklanan luar (RM134.320 juta), media baru (RM11.510 juta), manakala pendapatan korporat dan lain-lain (RM11.881 juta).

Beliau berkata, rangkaian televisyen Media Prima terus mencatatkan pertumbuhan pendapatan kukuh sebanyak 19 peratus, sekali gus mendominasi industri televisyen di negara ini dengan penguasaan pasaran penonton sebanyak 46 peratus.

“Di sebalik persaingan sengit, TV3 mengekalkan kedudukan sebagai stesen dengan jumlah penonton tertinggi merangkumi 45.1 peratus penonton bagi platform televisyen percuma dan 28.1 peratus platform televisyen berbayar,” katanya.

Bagi media cetak, Amrin berkata, akhbar Harian Metro terus mengekalkan kedudukan sebagai akhbar nombor satu Malaysia dengan tiga juta pembaca sehari.

“Pengedarannya di Sabah dan Sarawak telah meningkatkan lagi bilangan edaran dan pembacanya,” katanya.

Beliau berkata, akhbar New Straits Times pula semakin diterima oleh golongan pembaca sasarannya di seluruh Malaysia setelah melalui proses penjenamaan semula.

“Sementara itu Berita Harian semakin menonjol dalam arena media baru dengan laman webnya muncul laman web berita nombor satu di Malaysia dengan sejumlah 414,000 pembaca yang mewakili 30.3 peratus daripada jumlah pembacaan akhbar online di negara ini,” katanya.

Bagi prestasi tahun ini, Amrin berkata, kumpulan mengambil sikap lebih berhati-hati, namun yakin usaha kerajaan memastikan pemulihan ekonomi negara yang berterusan akan memberikan manfaat kepadanya.

“Di peringkat kumpulan, kami akan terus melabur bagi menghasilkan kandungan berkualiti meliputi platform televisyen, media cetak, radio atau online,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amrin berkata, proses melepaskan pegangan 90 peratus kepentingan ekuiti dalam TV3 Network Ltd (TV3N) dijangka dapat diselesaikan menjelang suku ketiga tahun ini.

“Kami berharap menyelesaikan penjualan itu menjelang suku ketiga kerana perlu memperoleh kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan di Ghana. Kami akan terus dengan usaha teroka kami di luar negara,” katanya.

Monday, February 21, 2011

Tiga strategi Amway sasar pendapatan lebih baik

2011/02/22
AMWAY (Malaysia) Holdings Bhd, yang tersenarai di Papan Utama Bursa Malaysia, menyasar mengatasi pertumbuhan pendapatan 8.4 peratus yang diraih pada tahun lalu menerusi pelaksanaan tiga strategi pengembangan agresifnya.

Syarikat itu meraih pendapatan berjumlah RM719.4 juta, lebih tinggi berbanding RM663.9 juta pada 2009. Pengarah Urusannya, Low Han Kee berkata, tiga strategi utama sedang dilaksanakan oleh syarikat itu untuk mencapai sasaran itu. "Strategi itu adalah mengembangkan kumpulan pengedar, meningkatkan promosi jenama kami seperti Nutrilite dan Amway, serta pengurusan modal insan yang lebih baik," katanya kepada media selepas melancarkan Pusat Pengalaman Jenama Amway (BEC) di Kuala Lumpur, semalam.

Han Kee berkata, berdasarkan kepada strategi yang sudah dirangka itu serta pelaburan dalam bahagian sokongan jenama dan promosi produk serta perkembangan tenaga pengedar ketika ini, syarikat itu yakin dapat mencapai kadar pertumbuhan yang disasarkan.

Sementara itu, Pengurus Besar Amway (Malaysia) Sdn Bhd (AMSB), Paul Yee, berkata syarikat merancang membuka sehingga empat kedai pengedaran dan jualan tahun ini.

"Kini, terdapat 12 kedai di seluruh negara dan kami merancang membuka tiga atau empat kedai baharu setiap tahun, termasuk menukarkan pusat pengedaran wilayah kami menjadi kedai," katanya.
Beliau berkata, syarikat itu akan melancarkan tujuh produk baharu dalam kategori kecantikan dan makanan tambahan tahun ini.

AMSB ialah anak syarikat milik penuh Amway.

Mengenai BEC itu, Han Kee berkata, pusat berharga RM7 juta itu dibina bagi meningkatkan pengalaman pengedar dan menyokong mereka dalam usaha mendekati pelanggan.

"Pusat ini membolehkan pelanggan mempelajari lebih lanjut tentang produk syarikat," jelasnya.

BEC, yang terletak di ibu pejabat Amway di Petaling Jaya, merupakan satu daripada lima yang terbesar di kalangan 20 pusat sebegitu di seluruh dunia. – BERNAMA

Wednesday, February 16, 2011

PERODUA mahu tambah model kompak mampu milik

2011/02/17
PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) akan memperkenalkan beberapa lagi barisan model baru di pasaran tempatan dan antarabangsa, pada harga lebih berdaya saing dan mampu dimiliki.

Model berkenaan yang disifatkan pengurusan kanannya sebagai ‘kereta kompak yang akan memenuhi cita rasa pengguna’ akan diperkenalkan secara berperingkat bermula tahun ini. Ia adalah seiring dengan pelan hala tuju lima tahun pengeluar kereta nasional kedua itu. Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh, berkata pengenalan model baru berkenaan adalah perancangan khas Daihatsu Motor Corporation Ltd (DMC), untuk PERODUA memasang dan memasarkannya di pasaran tempatan dan beberapa lagi pasaran antarabangsa terpilih lain.

“DMC mempunyai rancangannya tersendiri untuk pasaran PERODUA (tempatan dan antarabangsa), dan pada dasarnya kita setuju kerana ia seiring dengan pelan lima tahun kami yang mana ada beberapa barisan produk yang akan diperkenalkan di Malaysia dan beberapa lagi akan dikhususkan untuk pasaran eksport.

“Namun, ia masih memerlukan lebih banyak kajian kerana produk yang kami mahukan mestilah memenuhi cita rasa pengguna Malaysia dan mampu ditawarkan pada harga yang mampu dimiliki dan lebih berdaya saing,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar harian tempatan Jepun mengenai rancangan DMC mengeluarkan kereta kompak harga murah di Indonesia, sekitar AS$10,750 seunit (RM32,744) bagi pasaran republik itu dan Asia Tenggara menjelang 2013.

Dilaporkan, pakar kereta kompak Jepun itu akan mengeluarkan kereta bercirikan penjimatan minyak dengan 70 peratus daripadanya akan dijual di bawah jenama Toyota.

Toyota Motor Corporation adalah pemegang saham utama DMC dengan menguasai kepentingan sebanyak 51.2 peratus.

DMC pula adalah rakan kongsi teknikal PERODUA yang berpangkalan di Ikeda, Osaka, Jepun. Ia juga adalah satu daripada pemegang saham utama PERODUA dengan menguasai kepentingan 20 peratus.

Pemegang saham PERODUA lain adalah UMW Corporation Sdn Bhd yang menguasai 38 peratus, MBM Resources Sdn Bhd (20 peratus), PNB Equity Resources Corporation Sdn Bhd (10 peratus), Mitsui & Co Ltd (7.0 peratus) dan Daihatsu (Malaysia) Sdn Bhd (5.0 peratus).

Sementara itu, Aminar Rashid berkata, PERODUA akan membuka tempahan bagi Alza edisi khas yang dikenali sebagai ‘M2 Special Edition’ akhir bulan ini.

“PERODUA masih lagi dalam peringkat memuktamadkan harga model ini dan saya jangkakan ia mungkin ditawarkan sekitar RM71,999 hingga RM74,999 seunit,” katanya.

Model yang hanya dikeluarkan sebanyak 500 unit dan menampilkan kemasan dan perincian lebih mewah dan eksklusif itu, diperkenalkan sempena memperingati jasa dan sumbangan besar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap penubuhan PERODUA.

MITI, DreamEDGE tubuh firma reka kereta prototaip

Oleh Shahrizan Salian
shahrizan@bharian.com.my
2011/02/17
Industri automotif tempatan bakal jimat kos pembangunan

INSTITUT Automotif Malaysia (MAI) dan DreamEDGE Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat projek permulaan (EPP) di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) akan menubuhkan sebuah firma reka bentuk pembangunan pelbagai prototaip kenderaan di Malaysia. Ia bertujuan membantu industri automotif tempatan menjimatkan kos pembangunan prototaip kenderaan, selain merebut peluang dalam sektor perkhidmatan kejuruteraan global yang kini dianggarkan bernilai AS$980 bilion (RM2.9 trilion). MAI adalah pusat pelarasan industri automotif di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Bagi tujuan itu, Timbalan Menteri MITI, Datuk Mukhriz Mahathir akan mengetuai misi dagangan selama empat hari ke Tokyo bermula Ahad ini untuk meninjau model perniagaan sebuah firma reka bentuk terkemuka Jepun iaitu Shonan Design Co Ltd.

Shonan Design adalah pengeluar beberapa prototaip model kenderaan keluaran syarikat Jepun sejak 1967, termasuk kemahiran dalam pembangunan prototaip kenderaan Formula One (F1).

Ketua Eksekutif DreamEDGE, Khairil Adri Adnan, berkata penubuhan pusat reka bentuk adalah antara usaha kerajaan meningkatkan kemahiran jurutera tempatan sejajar matlamat meraih status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Katanya, dengan adanya firma reka bentuk itu, kumpulan jurutera tempatan yang kebanyakannya kini hanya mempunyai kepakaran teknikal, akan menjadi kumpulan jurutera dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Kita memerlukan kumpulan jurutera R&D, terutama dalam perkhidmatan kejuruteraan automotif bagi menjimatkan kos pengeluaran keseluruhan,” katanya kepada Berita Harian.

“Kos membangunkan model prototaip kenderaan tempatan adalah tinggi kerana pengeluar perlu membayar jumlah yang besar kepada firma asing,” katanya.

Khairil Adri berkata, ketika lawatan ke Jepun itu nanti, wakil MITI akan dibawa ke Shonan Design untuk melihat sendiri skop kerja syarikat itu.

“MAI dan DreamEDGE mungkin menggunakan model perniagaan berkenaan bagi menubuhkan firma reka bentuk di Malaysia dengan sokongan kementerian. Untuk menubuhkan firma reka bentuk akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun,” katanya.

MAI dan DreamEDGE awal bulan lalu menjalin kerjasama untuk melahirkan kumpulan jurutera mahir dalam bidang kejuruteraan digital di Malaysia.