Tuesday, April 19, 2011

Celcom labur RM168j di Sarawak

Celcom labur RM168j di Sarawak
Oleh Shahrizan Salian
shahrizan@bharian.com.my
2011/04/19
Pemasangan gentian pertingkat capaian rangkaian telekomunikasi syarikat

CELCOM Axiata Bhd (Celcom) melabur RM168 juta bagi meningkatkan capaian rangkaian telekomunikasinya di Sarawak, terutama di pedalaman dengan memeterai perjanjian sewaan gentian dengan syarikat milik kerajaan negeri itu, Sacofa Sdn Bhd. Di bawah perjanjian itu, Sacofa akan melaksanakan proses pemasangan gentian di semua 400 stesen tapak dan Node-B milik Celcom di Sarawak selain turut memasang kapasiti rangkaian baru Celcom di seluruh negeri itu membabitkan laluan antara Kuching, Miri dan Bintulu serta memasang kapasiti submarin merentas laut dari Kuching ke Mersing di Johor. Perjanjian terbabit bagi tempoh 10 tahun dan semua proses pemasangan dijangka selesai dalam dua tahun.

Dengan pemasangan gentian berkenaan, Celcom dapat menawarkan perkhidmatan rangkaian berkeupayaan tinggi di Sarawak seperti video dan suara definisi tinggi (HD) serta pelayaran Internet berkelajuan tinggi.

Ketua Eksekutif Celcom, Datuk Seri Shazalli Ramly, berkata pelaburan yang dilakukan kumpulan itu adalah bagi membolehkannya menyediakan rangkaian lebih stabil dan mantap dalam usaha meningkatkan pengalaman penggunanya di negeri berkenaan.

Katanya, berbanding pasaran lain di Malaysia, Sarawak memberikan cabaran lebih besar kepada kumpulan itu dari segi menambah baik infrastruktur kerana kedudukan geografi negeri itu yang memiliki banyak kawasan yang sukar dicapai.
“Berdasarkan pengalaman kami sebelum ini, lebih jauh sesebuah kawasan itu terletak maka lebih banyak permintaan yang diterima untuk mendapatkan perkhid-matan rangkaian telekomunikasi,” katanya pada sidang media selepas majlis memeterai perjanjian antara Celcom dengan Sacofa di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau memeterai perjanjian itu bagi pihak Celcom manakala Sacofa diwakili Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutifnya, Ir Abang Jemat Abang Bujang.

Sacofa yang berfungsi sebagai anak syarikat teknologi kerajaan negeri Sarawak menyediakan infrastruktur kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi di negeri itu dan memiliki 500 menara dengan liputan 70 peratus.

Sarawak mempunyai potensi pertumbuhan tinggi kepada Celcom dan menyumbang 15 peratus kepada pendapatan kumpulan itu dengan liputan 3G sebanyak 85 peratus dan liputan 2G (95 peratus).

Shazalli berkata, dengan adanya gentian di semua menara komunikasi Celcom di Sarawak akan membolehkan kumpulan itu melaksanakan perkhidmatan rangkaian generasi depan (NGN) seperti 4G dan LTE.

“Ini akan menyediakan penduduk negeri itu akses kepada teknologi jalur lebar berkelajuan tinggi pada harga berpatutan,” katanya.

Beliau menambah, selain menyasarkan kepada pengguna individu, langkah kumpulan itu meningkatkan capaian rangkaiannya di Sarawak adalah untuk meneroka pasaran enterpris di negeri itu.

“Seperti yang diketahui, sektor minyak dan gas adalah sangat besar di Sarawak dan terdapat keperluan untuk meningkatkan tahap perkhidmatan telekomunikasi bagi sektor itu,” katanya.

Sementara itu, Abang Jemat berkata Sacofa kini mempunyai sistem gentian optik sepanjang kira-kira 3,000 kilometer di negeri itu dan menerusi perjanjian dengan Celcom itu, ia akan ditambah antara 1,000 hingga 1,500 kilometer lagi.

Affin Holdings mahu tukar status PT Bank Ina Perdana

Affin Holdings mahu tukar status PT Bank Ina Perdana


2011/04/19

AFFIN Bank Bhd dijangka menyelesaikan pengambilalihan bank Indonesia, PT Bank Ina Perdana sebelum Jun ini.
Apabila selesai, bank milik penuh Affin Holdings Bhd, iaitu kumpulan dikuasai Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan menukar status bank konvensional Indonesia yang mempunyai kelebihan dalam segmen pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) itu, kepada sebuah bank Islam. Pengerusinya Affin Bank, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin, berkata penukaran status Bank Ina Perdana itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka mengambil selama dua tahun untuk diselesaikan.
“Affin Bank sudah pun memperoleh kelulusan daripada Bank Negara Malaysia bagi pengambilalihan Bank Ina Perdana, kami kini hanya menunggu kelulusan dari pihak bank pusat Indonesia, iaitu Bank of Indonesia dan dijangka akan diperoleh sebelum Jun ini.

“Apabila keseluruhan proses pengambilalihan itu selesai kelak, kami akan menukar status perkhidmatan perbankan konvensional bank itu kepada perbankan Islam,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat agung tahunan (AGM) Affin Holdings Bhd, di Kuala Lumpur, semalam.

Mohd Zahidi berkata, langkah kumpulan itu memilih melaksanakan sistem perkhidmatan Islam untuk Bank Ina Perdana adalah sebagai usaha meningkatkan lagi jangkauan perkhidmatan perbankan Islam Affin di Indonesia.
“Kehadiran kami (Affin Bank) di republik itu amat kena pada waktunya kerana pasaran sektor kewangan negara itu berpotensi berkembang dengan lebih meluas berdasarkan kepada jumlah penduduknya yang ramai, iaitu ke-4 paling ramai di dunia,” katanya.

Warga Australia disaran makan daging unta

Warga Australia disaran makan daging unta


2011/04/19
SYDNEY: Daging unta boleh menjadi eksport terbaru Australia menjelang awal 2012 sekiranya seorang ahli perniagaan Mesir berjaya dengan cubaan membuka rumah penyembelihan dan kilang memproses daging di sebuah bandar di Australia Selatan.

Magdy El Ashram bukan hanya akan membawa daging unta yang disifatkan beliau sihat berbanding daging lembu untuk mendapat perhatian pengguna seluruh dunia tetapi ia juga akan mengurangkan unta liar di Australia yang menjadi masalah ekologi serius dan menghasilkan 300 peluang kerja di sebuah tempat yang memerlukannya. “Daging unta adalah lebih baik berbanding daging lembu, ia kurang lemak berbanding daging lain. Jika anda meletakkan daging lembu, kambing, kangaru, atau sebarang daging lain daging unta adalah kurang lemak berbanding semua itu,” katanya. “Unta adalah makanan popular di Asia Barat, Afrika Utara dan Eropah manakala Australia mempunyai sumber bagi menyediakan daging itu kepada mereka yang gemarkannya.”

Ia mula diperkenalkan pada 1840 kepada India bagi kemudahan pengangkutan, pada masa ini lebih sejuta unta liar berkeliaran di sekitar kawasan tiga juta kilometer persegi di pedalaman Australia, membiak pada kadar dua kali ganda berbanding populasi mereka setiap sembilan tahun.

Kerajaan Persekutuan Australia menyediakan A$19 juta (RM60.5 juta) sejak empat tahun lalu untuk membantu menguruskan unta liar dan satu program membunuh unta bermula tahun lalu. Haiwan terbabit menyebabkan kerugian lebih A$10 juta (RM32 juta) setahun terhadap ekosistem pedalaman. – Reuters

Thursday, March 31, 2011

Maxis perkenal aplikasi Home Services

Maxis perkenal aplikasi Home Services


2011/04/01
MAXIS Bhd (Maxis), penyedia perkhidmatan komunikasi bersepadu Malaysia memperkenalkan ‘Maxis Home Services’ iaitu perkhidmatan pelbagai jenis yang bakal dinikmati pelanggannya menjelang suku ketiga tahun ini.

Perkhidmatan itu bakal dinikmati pengguna di kawasan yang mempunyai rangkaian gentian optik di seluruh negara, sekali gus menjadikan Maxis sebagai pengendali komunikasi pertama memperkenalkan aplikasi terbabit. Pelanggan bakal menikmati kebebasan memilih pelbagai kandungan dalam format dikehendaki melalui pelbagai peranti sama ada skrin, komputer, komputer tablet dan telefon mudah alih tanpa mengira masa atau lokasi. Selain itu, perkhidmatan itu juga turut merangkumi akses kepada suara, internet berkelajuan tinggi, perkhidmatan nilai di tambah dan kandungan maklumat yang dikehendaki pengguna.

Ketua Eksekutif Maxis, Sandip Das, berkata perkhidmatan itu membuka ruang kepada pengguna memperkayakan ilmu melalui pengalaman gaya hidup digital tanpa sempadan.

“Maxis menyokong Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan menerusi perjanjian penting dengan Telekom Malaysia Bhd (TM) bagi perkhidmatan akses jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) Disember lalu,” katanya selepas melancarkan perkhidmatan itu di Kuala Lumpur, semalam.

Pelancarannya disempurnakan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang. Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Maxis Bhd, Jean-Pascal Van Overbeke.
Menerusi perjanjian itu, Maxis mengembangkan rangkaian jalur lebar sekali gus mempercepatkan perkhidmatan ‘Maxis Home Services’ menerusi teknologi gentian optik, termasuk perkhidmatan sedia adanya.

“Maxis komited memberi perkhidmatan terbaik dalam pelbagai kategori termasuk berita, hiburan, kewangan, pendidikan, kesihatan dan sukan,” katanya.

Menerusi teknologi gentian optik, Maxis dapat menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan seperti aplikasi interaktif yang boleh dicapai menerusi televisyen, komputer riba, tablet dan telefon pintar.

Sandip berkata, fasa pertama pelancaran perkhidmatan itu menyaksikan Maxis menawarkan pelbagai akses yang didatangkan dengan pakej bersama tiga pelan Internet berkelajuan tinggi dan 10 perkhidmatan tersedia.

Tiga pelan itu ialah standard, value dan advanced yang boleh dilanggan pada harga RM128 hingga RM218, namun dibezakan dengan pelbagai kelebihan berdasarkan pakej selain beberapa peranti telefon DECT tanpa wayar dan modem WiFi yang diberikan secara percuma kepada pelanggan

MBSB sudah sedia jadi institusi perbankan

MBSB sudah sedia jadi institusi perbankan
Oleh Zuraidah Mohamed
zmohamed@bharian.com.my
2011/04/01
Syarikat sasar segmen pinjaman peribadi meningkat RM6b

MALAYSIA Buiding Society Bhd (MBSB) yang kini sudah bersedia menjadi sebuah institusi perbankan sepenuhnya, merancang meningkatkan lagi segmen pinjaman peribadinya dengan sa-saran mengeluarkan sehingga RM6 bilion tahun ini. Syarikat pembiayaan kewangan milik kerajaan itu menyasar meningkatkan sumbangan pinjaman peribadi kepada keseluruhan portfolio pinjamannya kepada 50 peratus tahun ini, diikuti 35 peratus perumahan dan selebihnya pinjaman korporat. Ketua Eksekutifnya, Datuk Ahmad Zaini Othman, berkata MBSB menjangkakan 70 peratus daripada pinjaman peribadi itu adalah penstrukturan semula pinjaman, manakala 30 peratus adalah pinjaman baru.

Katanya, MBSB juga akan menggunakan pendekatan proaktif dalam usaha meningkatkan capaian kepada pelanggan menerusi 33 cawangannya di seluruh negara.

“MBSB menjangkakan mengeluarkan antara RM5 hingga RM6 bilion pinjaman peribadi tahun ini, daripada RM3.9 bilion sepanjang tahun lalu,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) syarikat itu di Kuala Lumpur, semalam.

Ketika ini, pinjaman perumahan menyumbang 50 peratus kepada portfolio pinjaman MBSB, diikuti pinjaman peribadi (30 peratus) dan selebihnya korporat.
Ahmad Zaini berkata, MBSB berhasrat mengurangkan pinjaman tidak berbayarnya (NPL) sebanyak dua hingga tiga peratus kepada 13 peratus tahun ini daripada 16 peratus tahun lalu.

Beliau berkata, MBSB juga akan memperkenalkan dua produk utama pertengahan tahun ini iaitu kad kredit berlandaskan syariah untuk kakitangan awam dan pinjaman sewa beli.

Katanya, ia antara komitmen MBSB dalam menunjukkan kesediaannya beralih kepada institusi perbankan sepenuhnya secepat mungkin.

“Kami kini hampir mencapai matlamat menjadi bank yang akan mengukuhkan lagi kedudukan kami. Kami sedang berusaha menjadikan bank mengikut Akta Pembangunan dan Institusi Kewangan (DAFIA),” katanya.

Terdahulu, pada AGM itu, pemegang saham syarikat meluluskan cadangan terbitan hak boleh lepas saham biasa baru RM1 sesaham bersama waran boleh pisah percuma baru bagi mengumpulkan hasil kasar kira-kira RM500 juta.

Ia bagi membolehkan MBSB mengukuhkan modal terasnya dan memenuhi keperluan pembiayaan syarikat bagi pertumbuhan pinjaman serta menambah baik nisbah pinjaman kepada pembiayaannya.

Infineon labur RM485 juta perluas operasi

Infineon labur RM485 juta perluas operasi


2011/04/01
INFINEON Technologies AG, firma semikonduktor berpangkalan di Neubiberg, Jerman akan melabur AS$160 juta (kira-kira RM485 juta) bagi menaik taraf kemudahan pengeluarannya di negara ini, selain melaksanakan penyelidikan teknologi serta pengembangan produk sejajar pengembangan operasinya.

Selain membantu meningkatkan kapasiti pengeluaran kuasa semikonduktor bagi kegunaan kecekapan tenaga, pelaburan baru itu juga akan mewujudkan 350 lagi peluang pekerjaan di kemudahan pengeluarannya yang terletak di Melaka. Ketua Eksekutifnya, Peter Bauer, berkata peruntukan pelaburan itu antara langkah kumpulan berkenaan mengembangkan lagi kedudukannya di Asia yang kini antara penyumbang terbesar kepada pendapatannya iaitu sebanyak 42 peratus tahun lalu. “Untuk mencapai kejayaan di Asia, sesebuah syarikat perlu berbuat lebih daripada hanya melaksanakan perniagaan semata-mata. Mereka perlu mengiktiraf budaya dan harus menjadi sebahagian daripada masyarakat negara berkenaan.

“Justeru, Infineon menyasar mewujudkan nilai tambah tempatan menerusi sumbangan kepakaran dan teknologi selain mencipta peluang pekerjaan dan meningkatkan lagi bakat pekerja tempatan,” katanya menerusi kenyataan semalam.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Asia muncul sebagai pasaran utama bagi jualan global syarikat semikonduktor.

Pada Januari lalu, Infoneon menubuhkan anak syarikat baru di Beijing, China, yang dikenali sebagai Infineon Integrated Circuits (Beijing) Co. Ltd.
Berfungsi sebagai entiti tambahan kepada jualan dan pemasaran dan aktiviti R&D, syarikat baru itu turut menempatkan pusat teknikal bagi penyelesaian automotif serta kemudahan pembuatan bahagian produk transistor dua kutub pepintu bertebat (IGBT).

IGBT digunakan sebagai sumber tenaga untuk kegunaan semikonduktor

Standard Chartered derma RM1 lewat layan pelanggan

Standard Chartered derma RM1 lewat layan pelanggan
Oleh Sophia Ahmad
sophia@bharian.com.my
2011/04/01


BERTAMINI bersama Ketua Negara Perbankan Konsumer, Tiew Siew Chuen pada pelancaran piagam perkhidmatan baru Standard Chartered Bank di Dataran Sunway, semalam.Piagam perkhidmatan baru bersifat serampang dua mata

TEMPOH menunggu hanya lapan minit. Itulah janji Standard Chartered Bank (M) Bhd kepada pelanggan dalam piagam perkhidmatannya, dan jika lewat ia akan mendermakan RM1 bagi setiap kelewatan kepada tabung kebajikan. Bercakap kepada media selepas melancarkan piagam pelanggan berkenaan, Pengarah Eksekutif Kumpulan bank itu, Steve Bertamini, berkata langkah berkenaan bertujuan menjadikan perkhidmatan bank itu lebih cekap, serta memastikan setiap pelanggan mendapat layanan serta khidmat yang lebih cemerlang. “Inisiatif ini adalah pendekatan kami untuk meningkatkan produktiviti syarikat, pada masa sama, memberi kepuasan maksimum kepada pelanggan.

“Ia juga, katanya, bersifat serampang dua mata kerana turut meletakkan aspek kebajikan,” katanya sambil berkata, Standard Chartered adalah bank pertama di negara ini memperkenalkan piagam sedemikian.

Mengulas lanjut Bertmanini berkata, tempoh menunggu lapan minit itu dikira bermula daripada saat pelanggan menerima nombor giliran sehingga nombor giliran mereka dipaparkan di skrin LCD yang dipasang di setiap cawangan.

“Sistem giliran itu secara automatik akan merekodkan tempoh menunggu setiap pelanggan dan seterusnya memaklumkan kepada petugas jika mereka telah melebihi tempoh lapan minit yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, hasil daripada kutipan bagi kelewatan itu akan disalurkan kepada empat program kebajikan global naungan bank terbabit iaitu ‘Seeing Is Believing’, ‘Living with HIV’, ‘Environment’ dan ‘Financial Literacy Programme’.

“Seeing Is Believing adalah dana yang dibentuk untuk menangani dan mencegah masalah cacat penglihatan, manakala ‘Living with HIV’ ialah program khas yang dibentuk untuk mengurangkan bilangan jangkitan HIV.

“Environment pula ialah program pemuliharaan alam sekitar, manakala ‘Financial Literacy Programme’ ialah program yang disusun untuk menanamkan kesedaran mengenai pengurusan wang di kalangan pelajar sekolah,” katanya.