Tuesday, August 31, 2010

MySpace seragam kemas kini laman web dengan Facebook

2010/09/01
MYSPACE kini membolehkan penggunanya menyeragamkan kemas kini laman masing-masing dengan Facebook.

Facebook kini adalah peneraju rangkaian sosial, mengambil alih tempat itu yang sebelum ini dikuasai oleh MySpace. “Fungsi penyeragaman baru ini sebahagian usaha berterusan kami menjadikannya lebih mudah untuk pengguna berkongsi kemas kini di luar MySpace dan membenarkan rakan atau peminat mereka berinteraksi dengan isi kandungan itu di seluruh web,” kata MySpace dalam kenyataannya semalam. MySpace, yang dimiliki oleh News Corporation sudah membenarkan penggunanya berkongsi kemas kini dalam bentuk komen, pemerhatian dan pendapat dalam laman perkhidmatan mikro blog, Twitter.

Arahan berkaitan cara untuk menyeragamkan perkhidmatan MySpace dengan Facebook boleh didapati pada pautan myspace.com/guide/sync.

Menerusi perkongsian ke dalam Facebook, pengguna MySpace boleh berkongsi muzik, video, permainan, gambar dan isi kandungan digital lain dengan rakan masing-masing di Facebook.

“Ini perkara menarik untuk jutaan pemuzik yang memiliki MySpace yang kini boleh melengkapi fungsi MySpace Music masing-masing dan berkongsi koleksi isi kandungan masing-masing,” kata MySpace.
Sejak diambil alih kedudukan penguasaannya oleh Facebook dua tahun lalu, MySpace berusaha menempatkan dirinya sebagai sebuah platform untuk pemuzik dan peminat mereka.

Facebook mempunyai kira-kira 500 juta ahli, manakala pengguna MySpace dilaporkan sebahagian daripada jumlah itu.

Eksekutif MySpace dalam persidangan Julai lalu melancarkan pelan untuk menjadi ‘lebih muda, lebih belia’ dengan meletakkan keutamaan terhadap ‘kreativiti dan ekspresi diri’.

Lebih banyak penekanan, contohnya akan diletakkan dalam MySpace sebagai destinasi permainan video kasual, seperti dibentangkan eksekutif terbabit. – AFP

3M sasar buka 30 pusat pemasangan akhir tahun

2010/09/01
3M Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat 3M Company Ltd, konglomerat teknologi multinasional berpangkalan di Amerika Syarikat, menyasar membuka lebih 30 pusat pemasangan lapisan perlindungan cermin kereta 3M di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Pengurus Perniagaan Bahagian Tenaga Boleh Diperbaharui 3M, Ben Heng, berkata langkah agresif itu mencerminkan keyakinan syarikat terhadap pasaran di negara ini. Beliau berkata, 3M menyasarkan menjadi peneraju pasaran menerusi produk lapisan perlindungan cermin kereta keluarannya yang dikenali sebagai 3M Crystalline. Ia adalah produk pertama syarikat itu yang dibangunkan menggunakan teknologi nano.

“Setakat kini, tujuh cawangan pusat kenderaan berdaftar 3M sudah dibuka merangkumi enam di sekitar Lembah Klang manakala satu di Pulau Pinang dengan peruntukkan pelaburan lebih RM100,000 bagi setiap cawangan.

“Kami masih aktif walaupun lama menyepi. Menerusi cabang perniagaan baru ini, kami yakin ia akan diterima baik pengguna walaupun lapisan perlindungan itu ditawarkan pada harga premium.

“Kami mempunyai beberapa pelan jangka panjang bagi operasi segmen perniagaan ini termasuk menjadi pengeluar komponen tulen (OEM) kepada pengeluar kenderaan Korea,” katanya pada pelancaran cawangan pusat kenderaan berdaftar 3M di Jaya One dan pelancaran produk lapisan 3M Crystalline di Petaling Jaya.
Hadir sama Pengurus Besar Keselamatan dan Perniagaan Grafik 3M, Lewis Wong dan Ketua Jabatan Rawatan Radio dan Oncology Pusat Kanser UKM-Makna, Datuk Fuad Ismail.

3M Malaysia menawarkan pelbagai tawaran istimewa kepada pengguna yang memasang 3M Crystalline antaranya jaminan lapisan perlindungan sehingga lima tahun menerusi e-warranty dan pengenalan produk tulen

QSR Brands mahu teroka ternakan ayam di Kemboja

Oleh Shahrizan Salian
shahrizan@bharian.com.my
2010/09/01
Kumpulan rancang urus kos bahan mentah, tingkat untung

QSR Brands Bhd, yang menjadi pemegang francais utama rangkaian restoran KFC di Kemboja merancang meneroka perniagaan huluan di negara itu dengan melabur dalam bidang penternakan ayam. Operasi QSR di Kemboja mencatat peningkatan jualan yang menggalakkan, tetapi keuntungan yang diperolehnya masih rendah berikutan peningkatan kos produk ayam tempatan dan bahan mentah yang diimport. Pengarah Urusan QSR, Jamaludin Md Ali, berkata langkah menceburi bidang perniagaan huluan membolehkan kumpulan menguruskan kos bahan mentah dan meningkatkan keuntungan operasinya di negara terbabit.

Katanya, rancangan itu juga akan membolehkan kumpulan memiliki bekalan ayam mencukupi untuk menampung pertambahan bilangan cawangan restoran KFC yang dikendalikannya di Kemboja, sekali gus meningkatnya permintaan di pasaran itu.

“Rancangan itu juga berikutan harga ayam yang semakin meningkat, justeru, pembabitan QSR dalam perniagaan huluan membolehkan kumpulan mengawal kenaikan harga komoditi itu,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat agung tahunan anak syarikat QSR Brands, KFC Holdings (M) Bhd di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

QSR, yang mengendalikan restoran KFC di Kemboja menerusi pembukaan cawangan pertamanya di Phnom Penh pada 2008 kini mempunyai lapan cawangan di negara itu iaitu tujuh di ibu negaranya dan satu lagi di pusat pelancongan terkemuka, Siem Reap.
Kumpulan itu akan membuka 10 lagi cawangan restoran KFC di Kemboja sebelum akhir tahun ini berikutan sambutan memberangsangkan yang diterima di pasaran terbabit.

Selain rangkaian restoran KFC, kumpulan itu turut mengendalikan restoran Pizza Hut di Kemboja menerusi anak syarikatnya, Kampuchea Food Corporation Co Ltd.

Jamaludin berkata, QSR masih belum menetapkan tempoh untuk memulakan perniagaan dalam bidang huluan di Kemboja tetapi sudah berunding dengan pihak yang berkemampuan bekerjasama dengannya di negara itu.

“Jika semuanya mengikut perancangan, kami mahu memulakan rancangan itu secepat mungkin,” katanya.

Pertengahan tahun ini, QSR memeterai perjanjian dengan konglomerat utama Kemboja, Royal Group of Co Ltd (RGC) untuk menubuhkan sebuah syarikat usaha sama bagi perniagaan pengeluaran pemprosesan di negara terbabit.

Perjanjian itu juga dijangka membolehkan QSR memulakan perniagaan penternakan ayam di Kemboja seperti yang dilaksanakan oleh anak syarikat KFCH, Ayamas Food Corporation Sdn Bhd di Malaysia.

Bagi separuh pertama tahun ini, QSR meraih keuntungan sebelum cukai RM124.1 juta, meningkat 20.7 peratus daripada RM102.9 juta sebelumnya, manakala margin keuntungan sebelum cukai meningkat daripada 7.8 peratus kepada 8.5 peratus berikutan program kawalan kos yang berkesan.

Ia meraih pendapatan sebanyak RM1.45 bilion sepanjang tempoh dikaji, meningkat sebanyak 11.2 peratus daripada RM1.31 bilion yang diperoleh sepanjang tempoh sama tahun lalu

Sime Darby rancang senarai unit perladangan

Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2010/09/01


SIME Darby akan mengukuhkan operasi perladangan sebelum menyenaraikan entiti itu di pasaran saham.Konglomerat kaji inisiatif jana nilai di Bursa Malaysia, pasaran asing

SIME Darby Bhd yang minggu lalu mengumumkan cadangan penyusunan semula operasinya dengan membentuk enam entiti berdasarkan perniagaan terasnya, akan mengambil langkah pertama dengan menyenaraikan unit perladangannya dalam tempoh dua tahun ini. Sumber berkata, konglomerat itu sedang mengenalpasti beberapa peluang penyenaraian yang boleh menjanakan nilai unit perlada-ngannya itu, sama ada di Bursa Malaysia atau di pasaran saham asing. “Wujud peluang yang besar untuk unit perladangan Sime Darby sama ada di Indonesia atau di Malaysia bagi tujuan penyenaraian kerana (apabila disenaraikan) ia akan membantu kumpulan menjana nilai anak syarikatnya itu menerusi kepelbagaian aktiviti perniagaan sama ada dalam industri huluan atau hiliran, sekali gus membantu kumpulan mengekalkan momentum sumbangan daripada segmen perladangan,” katanya kepada Berita Harian.

Difahamkan, selain Bursa Malaysia, konglomerat itu turut mengenalpasti Bursa Indonesia sebagai lokasi bagi penyenaraian unit perladangannya.

Minggu lalu, Pemangku Presiden dan Ketua Eksekutif Sime Darby, Datuk Mohd Bakke Salleh, ketika mengumumkan langkah itu pada satu sidang media berkata, antara cadangan penyusunan semula yang akan dilaksanakan bermula 1 Januari ini, ialah penyenaraian semula beberapa unit perniagaannya.

Sumber itu bagaimanapun berkata, penyenaraian itu akan direalisasikan sejurus selepas Sime Darby mengukuhkan kecekapan operasi entiti perladangannya.
“Kumpulan itu kini sedang sibuk memberi tumpuan terhadap mengukuhkan kecekapan operasi perniagaan perladangannya sama ada di Malaysia atau di Indonesia selain berusaha meningkatkan margin operasi loji pengeluaran minyak sawit mentah dan ladang.

“Selepas semuanya selesai kelak, mungkin tahun depan atau 2012, barulah kumpulan itu akan menimbang menyenaraikan entiti perladangannya itu di pasaran saham,” jelasnya sambil menambah kumpulan itu tidak akan menyenaraikan unit perladangan berkenaan secara terburu-buru sebelum memastikan hasil aktiviti perlada-ngannya itu berupaya menjana nilai yang konsisten kepada pemegang saham.

Kumpulan Sime Darby yang lahir hasil gabungan tiga ikon perladangan negara iaitu Sime Darby, Kumpulan Guthrie, dan Golden Hope pada November 2007, kini memiliki ladang seluas 524,626 hektar di Semenanjung, Sarawak dan Sabah serta di Sumatera, Kalimantan dan Sulawesi, Indonesia.

“Sime Darby masih lagi belum menjadi peserta utama yang serius dalam aktiviti perniagaan hiliran.

“Justeru, dengan mengukuhkan kecekapan operasi unit perladangan yang ketika ini banyak memberi penumpuan kepada huluan itu, ia dijangka akan membantu kumpulan muncul peserta utama dalam industri itu di dalam dan luar negara,” kata sumber itu

Sunday, August 29, 2010

Tune Hotels sasar London

Oleh Azli Ayob
azliayob@bharian.com.my
2010/08/30
Syarikat rancang buka 15 hotel di United Kingdom menjelang 2015

TUNE Hotels menyasarkan membuka sehingga 15 hotel di United Kingdom (UK) menjelang 2015 sebagai antara strategi pengembangan pasaran kumpulan itu di luar negara. Kumpulan itu membuka operasi sulung hotelnya di negara berkenaan pada Jumaat lalu, sekali gus secara keseluruhannya menjadi hotel ke-10 sejak ia mula beroperasi di Kuala Lumpur pada 2007. Hotel pertama Tune Hotels di kota London itu terletak di Westminster Bridge Road, berhampiran stesen Waterloo dan berdekatan pusat kebudayaan London, South Bank.

Selain London, Tune Hotels kini mempunyai tujuh hotel di Malaysia dan dua di Bali, Indonesia.

Tune Hotels dalam kenyataannya berkata, kadar penginapan hotel terbarunya itu bermula pada harga £35 (RM171) dan ia dibangunkan berasaskan struktur harga tambang syarikat penerbangan tambang murah yang mana harga bilik ditawarkan pada kos lebih rendah tetapi mempunyai kelengkapan asas bermutu setanding hotel lima bintang.

“Sama seperti syarikat penerbangan tambang murah, tetamu dinasihatkan membuat tempahan awal di laman web bagi mendapatkan kadar penginapan lebih rendah pada harga promosi bermula £9 (RM44) semalam,” katanya.
Sebagai tambahan kepada katil kelas lima bintang seperti yang digunakan di hotel bertaraf lima bintang, tetamu Tune Hotels London juga mendapat jaminan keselamatan menerusi penggunaan kad kunci elektronik, kawalan keselamatan menerusi CCTV dan orang luar tidak boleh memasuki lobi tanpa kad elektronik selepas tengah malam.

Ketua Eksekutif Kumpulan Tune Hotels, Mark Lankester, berkata pembukaan hotel itu adalah satu pencapaian bagi Tune Hotels sejak pembukaan hotel pertamanya tiga tahun lalu.

“Ini perkembangan menarik dan ia menunjukkan konsep perkhidmatan ‘bayar ke atas apa yang digunakan’ diterima baik di seluruh dunia,” katanya.

Lankester berkata, Tune Hotels bercadang mempunyai 1,500 bilik hotel di kota London menjelang 2017 menerusi 15 hotel miliknya di United Kingdom.

Tune Hotels di UK dikendalikan menerusi kerjasama strategik dengan Queensway Group Ltd, sebuah kumpulan pelaburan berpangkalan di negara itu yang menguruskan aset perhotelan di UK, Eropah dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Thursday, August 26, 2010

Sistem BET jimat masa perjalanan hingga 50 peratus

2010/08/27
DALAM usaha menjadikan perkhidmatan bas lebih menarik dan mudah dicapai pengguna, RapidKL memperkenalkan sistem Bus Expressway Transit (BET) yang dimulakan pada 12 Januari lalu.

BET adalah sistem di mana perkhidmatan bas menggunakan laluan lebuh raya yang kurang sesak bagi menghubungkan kawasan berkepadatan penduduk tinggi dengan pusat bandar. Dengan menggunakan lebuh raya, masa perjalanan dapat dijimatkan sehingga 50 peratus kerana kurang sesak berbanding jalan biasa. Operasi pada masa ini membabitkan empat laluan iaitu;

•Penchala Link (Kota Damansara ke Pasar Seni).

•New Pantai Expressway (Subang Mewah ke Pasar Seni).

•Grand Saga (Bandar Sungai Long ke Pasar Seni).

•KESAS (Sri Muda ke Pasar Seni).

Bagaimanapun pada 14 Jun lalu laluan ini tidak lagi menggunakan Lebuh raya KESAS bagi memperluaskan operasi disamping memendekkan waktu perjalanan sebanyak 15 minit (dari 90 minit ke 75 minit).

Monday, August 23, 2010

Kerjasama perkukuh industri halal global

2010/08/24
HALAL Foundation (Malaysia) menjalinkan kerjasama dengan AsureQuality Ltd of New Zealand bagi memperkukuhkan infrastruktur industri halal global menerusi pengembangan perkhidmatan serta kaedah pelaksanaan piawaian status halal.

Menerusi kerjasama berkenaan, AsureQuality, syarikat milik penuh kerajaan New Zealand akan menyediakan kepakaran teknikal dalam ujian makmal asas tani serta jaminan kualiti halal kepada Halal Foundation. Pengasas dan Pengerusi Halal Foundation, Datuk Mohamad Alayuddin Che Hassan, berkata kerjasama itu bertujuan membangunkan satu platform halal global bagi membolehkan peserta industri melakukan inovasi produk dan perkhidmatan sekali gus mengembangkannya ke peringkat antarabangsa. Katanya, ia juga bagi memenuhi keperluan halal global bagi produk makanan dan bukan makanan berdasarkan nilai keselamatan, kebersihan dan kualiti.