Thursday, December 30, 2010

6 pasar raya besar Giant dibuka 2011

2010/12/31
GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd akan membuka enam lagi cawangan pasar raya besar Giant tahun depan bagi mengukuhkan lagi penguasaan dalam pasaran runcit tempatan.

Ketua Pegawai Operasinya, Tom Herriott, berkata cawangan baru itu akan dibuka secara berperingkat, dengan dua cawangan di Kuala Lumpur dan bakinya di beberapa kawasan di negeri Pantai Timur. “Kami merancang untuk membuka lebih banyak cawangan bagi mengembangkan konsep runcit moden kepada orang ramai dan pada masa sama, memberi lebih banyak kemudahan kepada orang ramai di bawah satu bumbung. “Giant yang sinomin dengan slogan ‘Harga Rendah Setiap Hari, Pelbagai Pilihan dan Nilai Hebat’ ketika ini mempunyai kira-kira 144 cawangan termasuk yang terbaru di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembu-kaan Giant Lukut, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Ismail Taib serta Pengarah Pemasaran GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, Ho Mun Hao.

Giant cawangan Lukut berkeluasan kira-kira 4,000 meter persegi itu mampu memuatkan pelbagai rangkaian produk terdiri daripada makanan segar, barang keperluan asas, barang elektrik dan pakaian.

Pasar raya besar berkenaan yang dibina dengan kos lebih RM48 juta, menempatkan kira-kira 55 kedai menjual pelbagai barangan seperti butik pakaian, kasut, produk telekomunikasi, farmasi dan restoran.
Herriott berkata, kira-kira 80 peratus daripada lebih 90,000 produk yang dijual di pasar raya berkenaan terdiri daripada produk tempatan dan bakinya diimport dari pelbagai negara.

“Kami menawarkan lebih banyak produk tempatan kerana mahu memberi peluang kepada usahawan tempatan mengembang dan memperkenalkan produk mereka di pasar raya ini,” katanya

Wednesday, December 29, 2010

Nasim bawa masuk Peugeot 308 CC

Oleh Ahmad Fiesal Othman
fsal@bharian.com.my
2010/12/30


308 CC bakal mengukuhkan lagi jenama Peugeot dalam segmen coupe cabriolet tempatan.Model kereta sport convertible dua pintu berada dalam pasaran 6 Januari

NASIM Sdn Bhd, pengedar rasmi jenama Peugeot di Malaysia akan membuka tirai 2011 dengan melancarkan model 308 CC baru pada 6 Januari ini. Ketua Eksekutifnya, SM Nasarudin SM Nasimuddin, berkata model convertible dua pintu itu adalah yang pertama daripada tiga model baru yang akan dilancarkan syarikat itu tahun depan. Beliau berkata, 308 CC baru dengan reka bentuk bergaya dan sporty serta ciri mewah dan teknologi termaju itu, bakal mengukuhkan lagi jenama Peugeot dalam segmen coupe cabriolet tempatan.

“Model coupe cabriolet kami sebelum ini, 207 CC adalah peneraju pasaran dalam segmennya dan kami percaya 308 CC baru ini juga akan popular dalam segmen pasaran khusus ini.

“Peugeot adalah pengeluar kereta pertama memperkenalkan model coupe cabriolet menerusi 401 pada 1930an dan 308 CC baru ini akan mengukuhkan kedudukan Peugeot sebagai peneraju pasaran dalam segmen itu,” katanya menerusi satu kenyataan.

Peugeot 308 CC baru itu akan ditawarkan pada harga pengenalan RM200,000. Kereta itu akan turut serta dalam pameran bergerak Nasim yang akan diadakan di Pusat Beli-Belah Bangsar pada 7 hingga 9 Januari ini.
Model itu menggambarkan falsafah Peugeot iaitu ‘Gerakan dan Emosi’ dengan penekanan kukuh terhadap reka bentuk, teknologi dan meletakkan emosi di tengah-tengah pengalaman permotoran.

308 CC baru itu menampilkan gaya sporty di bahagian luaran menerusi lampu utama xenon, lampu belakang LED, rim aloi 18-inci dan reka bentuk ‘diffuser’ belakang berkembar.

Di bahagian dalamnya, 308 CC menampilkan kemasan kulit mewah yang dipadankan dengan gaya model cabriolet berprestij, skrin resolusi tinggi 7 inci boleh lipat, sistem Hi-Fi JBL, penyaman udara dua zon serta kerusi kulit elektrik premium di bahagian depan yang dilengkapi funsi memori untuk kerusi sebelah pemandu.

Ia dilengkapi bumbung lipat elektrik dua bahagian yang hanya mengambil masa 20 saat untuk dilipat sepenuhnya bagi menjadikannya sebuah model coupe dinamik atau cabriolet yang menawan.

Aspek keselamatan juga adalah ciri utama 308 CC yang mana model itu dilengkapi enam beg udara serta beg udara bahagian tepi kepala pertama di dunia.

Model itu dijana enjin petrol suntikan terus turbo tekanan tinggi Peugeot yang berupaya menghasilkan 156 kuasa kuda dan 240 Nm daya kilasan yang dilengkapi sistem transmisi enam kelajuan dengan ciri tiptronik dan sport.

Sunday, December 26, 2010

Yamato mahu beroperasi September

Oleh Kamarulzaidi Kamis
kamarulzaidi@bharian.com.my
2010/12/27
Syarikat penghantaran bungkusan labur RM686j

YAMATO Holdings Co, antara peneraju aktiviti penghantaran bungkusan Jepun, bercadang untuk operasi di Malaysia menjelang September depan dengan anggaran pelaburan mencecah RM686 juta, dalam usaha meraih manfaat daripada pertumbuhan pesat ekonomi Malaysia dan Asia Tenggara. Syarikat yang berpangkalan di Ginza, Tokyo itu kini menguasai sehingga 41 peratus pasaran penghantaran dari pintu ke pintu Jepun dan adalah pesaing rapat kepada Sagawa Express dan Nippon Express. Sumber industri berkata, bagi cadangan beroperasi di Malaysia, ia dilaksanakan menerusi sebuah syarikat perkongsian dikenali sebagai Yamato Transport (M) Sdn Bhd (Yamato Transport).

“Yamato Holdings bakal mengadakan urus niaga kerjasama dengan sebuah syarikat tempatan bagi penubuhan Yamato Transport.

“Menerusi urus niaga itu Yamato Holdings akan membeli saham baru bernilai kira-kira 1.8 bilion yen (RM686 juta) atau 60 peratus pegangan dalam Yamato Transport.

“Rakan kongsi dari Malaysia yang menguasai baki 40 peratus pegangan dalam Yamato Transport akan mengendali operasinya di negara ini,” katanya kepada Berita Harian tanpa mendedahkan nama dan maklumat terperinci syarikat rakan kongsi dari Malaysia itu.
Bagaimanapun, jelasnya, rakan kongsi dari Malaysia itu, akan membelanjakan kira-kira 300 juta yen (RM11.4 juta) untuk membeli trak dan membina kemudahan bagi penyediaan perkhidmatan penghantaran dalam tahun pertama operasinya.

“Buat masa ini, tak perlulah didedahkan lagi nama syarikat tempatan itu, namun syarikat berkenaan adalah syarikat yang sudah lama menjalankan perniagaan penghantaran bungkusan di negara ini.

“Malaysia akan menjadi negara kelima selain Jepun yang diterokai Yamato Holdings,” katanya.

Buat permulaan, katanya, Yamato Transport akan menubuhkan enam pusat penghantaran di Malaysia dengan sejumlah 30 hingga 40 kenderaan penghantaran serta 30 kakitangan.

Sumber berkata, Yamato Holdings bercadang menawarkan Malaysia perkhidmatan yang hampir sama seperti ditawarkan di Jepun.

“Di Jepun, Yamato Holdings menyediakan perkhidmatan yang membolehkan pelanggannya menetapkan tarikh dan masa penghantaran dari rumah, pejabat, hotel, lapangan terbang dan sebagainya.

“Syarikat itu yakin pasaran di Malaysia akan berkembang selaras peningkatan pendapatan penduduknya, justeru meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatannya,” katanya.

Selain Malaysia, Yamato Holdings juga bercadang memulakan operasinya di Hong Kong pada Februari ini, diikuti Thailand dan Indonesia pada awal 2012

Hotel Lost World of Tambun hampir siap

2010/12/27
HOTEL Lost World (LWH) yang kini pada peringkat akhir pembinaan dijangka beroperasi Februari depan bagi memberi kemudahan penginapan kepada pengunjung Taman Tema Lost World of Tambun (LWOT).

Pengurus Besar Lost World of Tambun, Calvin Ho, berkata taman tema itu menerima pengunjung dengan sebahagian besarnya dari utara tanah air. "Pembinaan hotel empat tingkat itu sedang rancak dijalankan dan ia diharap dapat memudahkan pengunjung untuk menikmati keseronokan ditawarkan taman tema itu. “Hotel berkenaan dijadual beroperasi tidak lama lagi dengan harga penginapan berpatutan," katanya di Ipoh, baru-baru ini.

Beliau berkata, jumlah pengunjung dari dalam dan luar negara ke taman tema itu terus bertambah dan pada tahun ini yang akan berakhir tidak lama lagi, Lost World of Tambun menjangkakan jumlah itu akan mencecah 600,000 orang.

Jumlah kedatangan pengunjung itu melonjak sehingga 25 peratus berbanding kedatangan pengun-jung pada 2009 yang hanya mencatat 500,000 pengunjung, katanya.

“Jumlah ini membuktikan taman tema ini semakin mendapat tempat di hati pelancong," katanya.
Ho berkata, keunikan lokasi taman tema yang berlatarkan bukit batu kapur menjadikannya destinasi digemari untuk percutian keluarga.

“Pada hujung minggu, taman ini terus menjadi tumpuan ramai pengunjung kerana kerana ia menawar-|kan lima tarikan utama seperti taman air, taman pantai, kolam air panas, zoo binatang peliharaan dan taman harimau," katanya. – BERNAMA

Tony sedia pertimbang jual F1 Team Lotus

Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2010/12/27

Pemilik utama mahu selesai pertikaian dengan PROTON

DATUK Seri Tony Fernandes, pemilik utama pasukan Formula Satu (F1) Team Lotus, sedia mempertimbangkan penjualan pasukan itu kepada PROTON Holdings Bhd, pemilik pengeluar kenderaan Group Lotus Plc, jika pengeluar kereta nasional itu bersetuju 'membeli pada harga yang wajar'. Sumber rapat tokoh perniagaan itu berkata, hasrat penjualan Team Lotus yang dulunya dikenali sebagai Lotus Racing itu, bukan bertujuan mengaut keuntungan, tetapi bagi memastikan kemelut perebutan hak penggunaan nama Lotus, dapat diselesaikan dengan segera. “Masyarakat umumnya mengetahui Tony membeli Team Lotus serta hak penggunaan namanya daripada David Hunt yang memiliki nama dan pasukan lumba itu, secara sah.

“Pembelian itu bertujuan melindungi pelaburan Tony dan rakan perniagaannya selepas mengetahui Group Lotus ingin menamatkan kontrak pelesenan lima tahunnya bersama pasukan F1 pertama Malaysia itu hanya disebabkan beberapa alasan tidak munasabah,” kata kepada Berita Harian ketika ditemui di Manila, Filipina, baru-baru ini.

Namun begitu, jelasnya, berlaku salah faham ‘yang serius’ oleh pengurusan Proton dan beberapa pihak lain yang menganggap Team Lotus turut berada di bawah Group Lotus.

“Perkara ini jika berpanjangan akan merugikan banyak pihak termasuk industri automotif dan sukan permotoran negara. Justeru, bagi memastikan ia dapat diselesaikan secara adil, Tony kini sedang mempertimbangkan penjualan Team Lotus kepada PROTON ‘dengan harga sepatutnya’,” katanya.
Tony bersama dua lagi rakan perniagaannya, sebelum ini membeli Lotus Racing daripada Team Lotus Venterus Ltd (TLV), pemegang hak sukan dan jenama permotoran F1 Lotus, iaitu pasukan yang dibangunkan oleh David Chapman, pada September lalu.

Dua lagi pemiliknya ketika ini ialah Timbalan Ketua Eksekutif AirAsia Bhd, Datuk Kamaruddin Meranun; dan Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, SM Nasaruddin SM Nasimuddin.

Tiga tokoh perniagaan itu, kemudiaan menukar pasukan Lotus Racing kepada Team Lotus bagi perlumbaan musim baru F1 2011.

Pertikaian berhubung hak penggunaan jenama Lotus itu kini sedang didengar di Mahkamah Tinggi United Kingdom.

Pengerusi Proton, Datuk Nadzmi Salleh, mengeluarkan kenyataan tidak akan membenarkan pasukan Lotus Racing menggunakan nama Lotus untuk berlumba pada musim 2011 memandangkan PROTON adalah pemilik jenama Lotus, dan akan menghalang penggunaan nama itu tanpa kebenaran serta menyekat penajaan.

Pertikaian perebutan hak penggunaan nama Lotus itu bukan baru kerana sebelum Group Lotus, sebelum dibeli PROTON, pernah mencabar hak penggunaan nama Lotus yang dimiliki TLV itu di mahkamah sejak 1996, namun gagal.

Lotus Racing, kata sumber, adalah entiti asing yang dikendali dan diuruskan oleh pihak pengurusan dan pemilik berbeza yang lengkap dengan logo korporat yang berlainan.

Thursday, December 23, 2010

Lolipop buka kilang di Malaysia

Oleh Che Wan Badrul Alias

2010/12/24
Syarikat Turki labur RM31.3 juta kembang perniagaan rantau Asia

DURUKAN Confectionery Inc, syarikat pengeluar gula-gula Durukan Lolipop yang berpangkalan di Turki, akan membuka kilang pengeluarannya di Malaysia bernilai AS$10 juta (RM31.3 juta) dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi menyokong pelan pengembangan di rantau ini.

Apabila terlaksana kelak, kilang pengeluaran itu akan diuruskan Venture Distribution Sdn Bhd, pemegang hak eksklusif pengedaran jenama Durukan di Malaysia, Brunei dan Singapura ketika ini. Pengarah Komersial Venture Distribution, Kevin Jesudass, berkata ia adalah sebahagian rancangan jangka panjang dalam pelan pengembangan produk Durukan di rantau ini yang kini pesat berkembang. Katanya, pihak pengeluar sudah menyatakan kesediaan untuk menyalurkan peruntukkan bagi membina sebuah kilang dengan kos anggaran AS$10 juta (RM31.3 juta) bagi menyokong dan meningkatkan pengeluaran serta pengedaran produk ke beberapa negara serantau.

Malaysia adalah negara yang berpotensi untuk dijadikan hab pengedaran serantau, namun sebelum rancangan pembinaan kilang terlaksana kami perlu terlebih dulu mengukuhkan jenama Durukan di pasaran tempatan, Singapura dan Brunei.

Mereka mahu membuka kilang di Asia Tenggara dalam tempoh tiga tahun, mereka amat berminat untuk membukanya di sini bagi menyokong pengedaran produk di rantau ini serta untuk pasaran Afrika Selatan, katanya kepada media selepas Pelancaran Gula-Gula Durukan di Kuala Lumpur, semalam.

Majlis yang disempurnakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir itu dihadiri Ketua Eksekutif Kumpulan Haltrex Group Private Limited, Mohd Azul dan Duta Turki, HE Serap Ataay.
Jesudass berkata, syarikat yakin menerusi keupayaan pengedaran dalam negara yang mantap, ia mampu mencapai sasaran pemerolehan pendapatan sekurang-kurangnya AS$3 juta bagi tahun pertama jualan di pasaran domestik.

Katanya, pihaknya merancang untuk meluaskan pasaran gula-gula Durukan Lolipop ke dua lagi negara jiran iaitu Brunei dan Singapura dengan eksport masing-masing bermula minggu depan dan awal Januari tahun depan

Laman web pengusaha IKS ke pasaran global

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 23 Dis. - Pengusaha industri kecil sederhana (IKS) kini boleh memasarkan produk mereka ke pasaran global dengan kos yang murah menerusi laman web yang diasaskan oleh Virtual Scope Sdn. Bhd.

Pengarah Eksekutifnya, Zawahir Abdullah berkata, kos membangunkan laman web yang tinggi menyebabkan ramai pengusaha IKS tidak mampu memasarkan produk mereka menggunakan laman web.

Katanya, kebanyakan peniaga IKS menggunakan blog yang mempunyai keupayaan yang terhad.

"Tidak ramai peniaga terutama bumiputera menggunakan laman web profesional kerana enjin yang digunakan menelan perbelanjaan ribuan ringgit.

"Faktor itu menyebabkan kami menawarkan pakej yang murah untuk membantu peniaga memiliki laman web sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis prapelancaran 'MyOwnWeb2u.com' (MOW) yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Joseph Salang Gandum di sini malam semalam.

Zawahir berkata, kos yang murah dikenakan bagi membangunkan satu laman web hanya RM365 bagi tempoh setahun.

"Pakej yang begitu murah iaitu pada kadar RM1 sehari dan ia adalah percuma untuk tahun berikutnya," katanya.

Menurutnya, ciri-ciri mesra pengguna menjadi asas kepada reka bentuk setiap halaman bagi memudahkan peniaga yang tiada kepakaran dalam bidang teknologi untuk menggunakannya.

"Setiap halaman web itu direka secara profesional yang menekankan ciri-ciri mesra pengguna bagi memudahkan sesiapa yang mengenali Internet," katanya.