Sunday, January 30, 2011

PROTON, PERODUA tolak cadangan bergabung

Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2011/01/30

Dua pengeluar kereta nasional gagal capai kata sepakat

CADANGAN penggabungan dua pengeluar kereta nasional Proton Holdings Bhd (Proton) dengan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) bertujuan meningkatkan daya saing industri automotif negara, mungkin tidak akan menjadi kenyataan.
Sumber industri berkata, ini berikutan kegagalan kedua-dua syarikat itu untuk mencapai kata sepakat berhubung bidang penggabungan yang disyorkan se- lepas beberapa siri pertemuan dan perbincangan mengenainya.

Katanya, perkara seperti kos penggabungan, persoalan mengenai peranan pemegang saham utama selepas penggabungan serta sinergi operasi minimum hasil daripada penggabungan itu menjadi antara punca utama kegagalan cadangan berkenaan.

“Cadangan penggabungan PROTON dengan PERODUA gagal dimuktamadkan buat masa ini, kerana ada pihak yang keberatan untuk memenuhi beberapa syor yang diketengahkan.

“Sebab lain ialah kerana ada pihak yang melihat prospek penggabungan itu tidak membawa manfaat besar kepadanya, dan hanya menawarkan sinergi operasi yang minimum, selain akan turut menimbulkan ketidak-selesaan dikalangan pemegang sahamnya.
“Justeru, selepas penelitian dan perbincangan terperinci di kalangan pihak yang terbabit baru-baru ini, cadangan penggabungan itu digugurkan buat masa ini,” katanya pada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Cadangan penggabungan PROTON-PERODUA yang diutarakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak awal tahun lalu itu bagi memastikan kedua-dua pengeluar kereta nasional itu terus berdaya saing dalam pasaran tempatan dan antarabangsa, sekali gus memberikan manfaat besar kepada ekosistem industri automotif secara keseluruhannya.

Bagi melihat sama ada cadangan penggabungan itu boleh dilaksanakan atau tidak, kerajaan mengarahkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengetuai program bagi menjalankan kajian daya maju mengenainya.

Difahamkan, kajian daya maju itu dilaksanakan oleh firma penyelidikan Frost & Sullivan yang bertindak sebagai ejen rasmi MITI.

Firma itu mengambil masa kira-kira empat bulan bagi mengumpul maklum balas dan kajian, termasuk mengenal pasti bidang yang boleh PROTON dan PERODUA bekerjasama bagi memastikan ekosistem industri automotif negara beroleh manfaat besar daripadanya.

Laporan itu dikatakan telah diserahkan kepada MITI untuk diperhalusi pada Disember lalu.

Menteri MITI, Datuk Seri Mustapa Mohamed pada Selasa minggu lalu berkata, cadangan penggabungan PROTON dan PERODUA tidak membabitkan unsur paksaan atau desakan, sebaliknya perlu dipersetujui oleh kedua-dua pemegang saham syarikat berkenaan.

“Sebenarnya, ada banyak kaedah untuk bekerjasama antara dua syarikat automotif tempatan itu seperti pembangunan vendor atau penyumberan komponen. Namun, ia bukan proses yang mudah,” katanya.

Analisis Saham: Sime Darby perluas sektor minyak, gas

Oleh Suffian A Bakar
suffian@bharian.com.my
2011/01/30
ECM Libra sasar harga cecah RM11.80

DENGAN prospek sektor minyak dan gas (O&G) yang bertambah baik, tidak menghairankan Sime Darby Holdings Bhd memperhebatkan usahanya meluaskan perniagaan dalam segmen berkenaan.
Terbaru ialah pengesahan yang ia membida projek pembangunan gas Telok. Laporan baru-baru ini menyebut pembangunan gas Telok sudah dimulakan dengan diketuai ExxonMobil dan PETRONAS Carigali.

Berikutan pengesahan bidaan itu, firma penyelidikan ECM Libra Investment Research mengekalkan saranan ‘beli’ bagi saham Sime Darby dengan sasaran harga RM11.80.

“Projek itu kini berada pada peringkat akhir kejuruteraan dan reka bentuk. Telok akan dibangunkan melalui dua platform satelit jarak jauh yang akan dihubungkan dengan hab gas Guntung sedia ada,” kata ECM Libra dalam nota penyelidikannya.

Platform itu dijangka dibina di limbungan Pasir Gudang Sime Darby di Johor.
Skop projek membabitkan pemerolehan, pembinaan dan sambungan dan pentauliahan bahagian permukaan dan jaket Telok A dan Telok B.

“Dengan mengambil kira tempoh kerja 18 bulan, kami memandang kontrak ini boleh mencapai nilai antara RM500 juta dan RM800 juta,” kata firma penyelidikan itu.

Ia menjangka kontrak akan diberikan kepada kontraktor berjaya April depan.

Minggu lalu, Bahagian Tenaga dan Utiliti Sime Darby dan Mustang, sebuah syarikat Wood Group, menubuhkan Mustang Sime Darby, syarikat usaha sama yang akan menyediakan perkhidmatan pengurusan projek, reka bentuk dan sokongan pemerolehan bagi industri O&G.

Usaha sama itu dijangka akan memperkasa portfolio perkhidmatan Sime Darby untuk menawarkan perkhidmatan penuh dan berkualiti tinggi kepada industri O&G, selain dapat meraih peluang selanjutnya dengan Mustang di Asia Tenggara.

Mustang adalah syarikat kejuruteraan dan pengurusan projek O&G terkemuka dunia menyediakan perkhidmatan pengurusan projek, kejuruteraan konseptual dan terperinci, serta pengurusan pembinaan.

Pengalaman Mustang dalam pengurusan projek dan kejuruteraan, digabung keupayaan perkhidmatan penuh dan tenaga kerja berkemahiran Sime Darby serta reputasinya yang kukuh di rantau ini akan membolehkannya meningkatkan penawaran dalam pasaran O&G Asia Tenggara.

Wood Group menyediakan perkhidmatan tenaga antarabangsa beroperasi di 50 buah negara di seluruh dunia dan menjana jualan kira-kira AS$5.0 bilion serta menyediakan 29,000 pekerjaan dalam tiga perniagaan teras, iaitu perkhidmatan kejuruteraan dan kemudahan pengeluaran, perkhidmatan sokongan bagi telaga minyak dan perkhidmatan turbin gas.

ECM Libra turut mengenal pasti Sime Darby Engineering (SDE) sebagai sasaran pengambilalihan berikutan saranan untuk menyatukan keenam-enam fabrikasi berlesen untuk menjadikannya kepada dua atau tiga.

“Jika bahagian itu dapat meningkatkan tempahan projek, kami percaya Sime Darby pasti mendapat harga menarik bagi pelaburan mereka,” katanya, sambil menyatakan jualan SDE adalah langkah Sime Darby yang baik kerana kumpulan itu dapat mengetepikan sumbernya dan memberi fokus pada perniagaan perladangan dan melupakan segmen minyak dan gas.

SDE kini memiliki tempahan kerja bernilai RM800 juta bagi kerja Perbadanan Minyak dan Gas Asli India.

"SDE kini membida kerja di dalam dan luar Malaysia seperti Pembangunan Semula Tapis, bahagian air cetek Kebabangan, platform A-18 di Thailand, dan kerja B-193 di India di mana mereka menjalin usaha sama dengan Swiber

Tuesday, January 25, 2011

SME Factors, MBSB bantu PKS laksana projek kerajaan

2011/01/26
SME Factors Sdn Bhd, syarikat yang menyediakan pembiayaan pemfaktoran kepada kontraktor dan pembekal bagi kontrak kerajaan akan memperluaskan perkhidmatannya bagi meliputi kontraktor serta pembekal kontrak swasta bermula pertengahan tahun ini.

Pengarah Urusannya, Syed Zed Al Qudsy, berkata SME Factors bersama rakan strategiknya, Malaysia Building Society Bhd (MBSB) ketika ini menyediakan dana berjumlah RM500 juta untuk disalurkan dalam bentuk pembiayaan pemfaktoran kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mendapat kontrak kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membantu mereka dari segi aliran tunai. Katanya, bagi menyediakan ruang pertumbuhan kepada sektor PKS yang berdaya saing di negara ini, sya-rikat itu merancang meluaskannya liputan tawaran produk pembiayaannya. “Kami menjangka mula menawarkan kemudahan pembiayaan yang sama kepada kontraktor serta pembekal PKS yang berurus niaga dengan syarikat swasta menjelang pertengahan tahun ini.

“Kami masih berbincang dengan beberapa institusi kewangan untuk tujuan itu dan menjangka mengumumkan kerjasama itu dalam beberapa bulan akan datang,” katanya pada taklimat media di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau menjelaskan, SME Factors yang beroperasi sejak lebih tiga tahun lalu menawarkan perkhidmatan penyelesaian aliran tunai kepada syarikat PKS dengan membeli akaun boleh diterima daripada syarikat berkenaan.

Tangguh roboh tembok 2km

Oleh Siti Haliza Yusop

2011/01/26


RAJA Nong Chik bersama penerima sumbangan 1Malaysia di Pusat Komuniti dan Komersial Bandar Tun Razak, semalam.Maju Holdings mohon injuksi halang tindakan dekat TBS-BTS

KUALA LUMPUR: Tindakan meroboh tembok sepanjang dua kilometer (km) bersebelahan Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) di sini, yang sepatutnya dilaksanakan hari ini, terpaksa ditangguhkan berikutan tindakan pemaju memohon perintah injunksi daripada mahkamah.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin, berkata disebabkan perintah mahkamah dipohon Maju Holdings Sdn Bhd itu, tindakan merobohkan tembok hanya boleh ditentukan selepas ini. “(Pemaju) sudah membawa kes itu ke mahkamah dan tindakan meroboh tembok yang sepatutnya dilaksanakan kerajaan esok (hari ini), terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.“Kerajaan berhasrat keputusan ‘menang-menang’ dicapai membabitkan isu ini kerana kita mahu penduduk dapat (mengakses) kemudahan taman itu selain memastikan ia tidak menjejaskan pemaju sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan 1Malaysia kepada 250 golongan miskin termasuk ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas bersempena Tahun Baru Cina di Dewan Komuniti dan Komersil, Bandar Tun Razak, di sini.

Selain menerima wang tunai RM300, semua penerima sumbangan itu turut membawa pulang barangan keperluan asas.

Raja Nong Chik berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan merobohkan tembok yang dibina mengelilingi tasik yang sepatutnya menjadi taman awam dan lima banglo mewah milik Pengarah Eksekutif Kumpulan Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed.
Beliau sebelum ini berkata, syarikat itu mungkin berdepan tindakan ditarik semula lesen mengendalikan TBS-BTS, jika pemajunya terus tetap enggan merobohkan tembok berkenaan seperti diarahkan kerajaan.

“Kita berharap pemaju bersetuju tanpa menimbulkan soal mahkamah (dalam hal membabitkan tindakan meroboh tembok itu),” katanya

Monday, January 24, 2011

Sime Darby mula tanam sawit di Liberia April

Oleh Mohd Zin Ali

2011/01/25
ANAK syarikat perladangan Sime Darby Bhd, Sime Darby Plantation Sdn Bhd akan memulakan kerja penanaman di ladang seluas 220,000 hektar yang diperolehnya di Liberia pada April ini.

Naib Presiden Eksekutif Sime Darby Plantation, Franki Anthony, berkata buat permulaan ia akan membabitkan penanaman sawit di kawasan seluas 10,000 hektar. Beliau berkata, sebagai pelabur utama di negara di benua Afrika itu, kerajaan Liberia sentiasa memerhatikan perkembangan Sime Darby Plantation Liberia Inc (SDPLI), iaitu anak syarikat milik penuh Sime Darby Plantation. “Dengan pilihan raya di Liberia yang semakin hampir, kerajaannya sedang memerhatikan perkembangan SDPLI dan berharap pembukaan kawasan ladang berkenaan dapat membantunya menangani masalah pengangguran di negara itu dengan menyediakan kira-kira 25,000 peluang pekerjaan.

“Justeru, kami akan memulakan penanaman bermula April ini dengan permulaan membabitkan kawasan ladang seluas 10,000 hektar,” katanya ketika lawatan media ke ladang sawit syarikat itu di Pulau Carey, Selangor, semalam.

Pada 2009, Sime Darby Plantation memperoleh konsesi selama 63 tahun bagi memajukan tanah seluas 220,000 hektar di benua Afrika itu untuk ditanam dengan kelapa sawit dan getah.

Di bawah konsesi itu, SDPLI dibenarkan membuka ladang sawit dan getah di beberapa wilayah republik itu, iaitu di Bomi, Grand Cape Mount, Gbarpolu dan Bong.
Mengenai sama ada Sime Darby Plantation mempunyai cadangan meluaskan perniagaannya ke negara Afrika lain, Anthony berkata, pihaknya belum memutuskan untuk berbuat demikian.

“Saya tidak menolak ada beberapa negara Afrika yang turut berpotensi, tetapi buat masa ini tumpuan kami ialah di Liberia.

“Jika keadaan dan situasi mengizinkan, ia tidak mustahil.

“Namun, satu kajian daya maju perlu dilakukan terlebih dulu untuk melihat keberkesanannya dalam jangka panjang,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Sime Darby Plantation bercadang menambah kawasan ladang sawitnya di Indonesia berikutan mempunyai baki 80,000 hektar daripada simpanan tanahnya yang berjumlah sebanyak 287,391 hektar di republik itu.

Sunday, January 23, 2011

Mitsubishi rancang lancar 8 model kereta mesra alam

2011/01/24
FIRMA automotif Jepun, Mitsubishi Motors Corp (MMC) akan melancarkan lapan model kereta mesra alam menjelang Mac 2016 dan pada masa sama bercadang meningkatkan pengeluarannya di Brazil, Russia dan pasaran sedang muncul Asia.

Mitsubishi akan melancarkan lapan kenderaan elektrik dan hibrid bermula dengan kenderaan komersial mini, MINICAB-MiEV, kata syarikat itu ketika ia mengumumkan pelan perniagaan jangka sederhananya bermula April. Pengeluar kenderaan keempat terbesar Jepun itu melancarkan i-MiEV, kenderaan elektrik komersial pertama dunia pada 2009. Lapan model itu termasuk kenderaan hibrid elektrik-gas bahan bakar pertama Mitsubishi yang akan dikeluarkan pada tahun kewangan bermula April 2012.

Mitsubishi berkata, ia akan ‘menyelaraskan’ pengeluaran dan kapasiti ke paras yang sesuai dalam pasaran matang, sambil meningkatkan pengeluaran di pasaran sedang muncul.

“MMC akan mengukuhkan kapasiti pengeluarannya di pasaran sedang muncul seba-gai maklum balas kepada peningkatan permintaan di rantau berkenaan,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Presidennya, Osamu Masuko, berkata Mitsubishi akan turut mengukuhkan lagi perniagaannya di China menerusi kerjasama dengan rakan kongsi di republik itu.
“Ada permintaan domestik yang besar di China dan standard hidup rakyatnya juga meningkat dengan pesat. Saya percaya tiada keraguan bahawa China akan terus berkembang,” katanya.

Mitsubishi berkata, ia akan membina kilang ketiga di Thailand bagi menjadikannya hab eksport kedua terbesar syarikat itu selepas Jepun.

Ia akan turut meningkatkan kapasiti pengeluaran di China dan Brazil serta pengeluaran berskala penuh untuk kenderaan utiliti sport di Russia.

Nisbah pengeluaran di luar negara kepada output keseluruhan syarikat itu dijangka meningkat kepada 54 peratus pada 2013 berbanding 44 peratus pada 2010.
Pengeluaran global dijangka melonjak kepada 1.58 juta unit daripada 1.1 juta unit se-panjang tempoh sama, kata syarikat itu.

Bagi kebanyakan firma automotif Jepun, peningkatan nilai yen berbanding dolar dan euro menjejaskan keuntungan dan menjadikan pengeksportan kenderaan dari Jepun kurang menguntungkan.

Lebih banyak syarikat sedang menimbang untuk memindahkan pengeluaran ke luar negara untuk kekal kompetitif berbanding pesaing berikutan mata wang yang lemah di negara sendiri. – AFP

Projek sosial majukan Telenor

Oleh Azli Ayob

2011/01/24
TELENOR Group, syarikat telekomunikasi global yang mempunyai kepentingan dalam DiGi.Com Bhd, menyifatkan pembabitan kumpulan itu dalam aktiviti kemasyarakatan menjadi antara penyumbang kepada kejayaannya di pasaran Asia.

Selain di Malaysia, gergasi telekomunikasi dari Norway itu mempunyai operasi telekomunikasi mudah alih di Thailand menerusi DTAC, Grameenphone (Bangladesh), Uninor (India) dan Telenor Pakistan. Telenor menjalankan pelbagai kegiatan kemasyarakatan di negara di mana ia beroperasi dengan sesetengah daripada program itu dirangka khusus bagi memajukan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup penduduk setempat. Pengarah Bahagian Tanggungjawab Korporat Telenor Group, Ola-Jo Tandre, berkata pembabitan dan sumbangan kumpulan itu dalam memajukan masyarakat di mana ia beroperasi turut menjadikan Telenor syarikat pilihan pelabur.

“Semakin ramai pelabur berminat dan memilih melabur dalam syarikat yang mempamerkan tanggungjawab sosial yang baik.

“Justeru, sesebuah syarikat itu bukan saja perlu mempunyai tadbir urus korporat yang baik, tetapi benar-benar melakukan sumbangan kepada masyarakat,” katanya dalam satu temubual dengan Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tandre berkata, antara kegiatan kemasyarakatan yang pernah dijalankan Telenor di Asia adalah membantu peniaga wanita di kawasan luar bandar Bangladesh menjalankan perniagaan berkaitan telefon secara kecil-kecilan.
“Sebagai sebuah syarikat telekomunikasi, program sosial Telenor tertumpu kepada usaha melaksanakan tanggungjawab kami bagi membantu masyarakat berkomunikasi tidak kira di mana mereka berada,” katanya.

Selepas melaksanakan projek sosial itu, Tandre berkata, pasaran Grameenphone di Bangladesh semakin berkembang sehingga menjadi penyedia telekomunikasi mudah alih terbesar di negara itu hari ini dengan jumlah pelanggan kira-kira 23 juta orang.

Telenor mempunyai 55.8 peratus kepentingan dalam Grameenphone.

Tandre berkata, sejak memasuki pasaran Asia pada 1997, kumpulan itu tidak pernah mengabaikan aspek tanggungjawab sosial yang ternyata memberi banyak manfaat kepada kumpulan selain dapat meningkatkan kesedaran pengguna mengenai jenamanya.

“Matlamat kami untuk cuba memahami kehendak masyarakat setempat dan seterusnya membangunkan produk dan perkhidmatan serta merangka program yang boleh memberikan sumbangan positif kepada mereka,” katanya.