Thursday, April 28, 2011

Projek hartanah futuristik Hatten

Projek hartanah futuristik Hatten
Oleh Nur Aishah Zainal
bhbiz@bharian.com.my
2011/04/29

JUNE TENG menunjukkan model bangunan Hatten City yang dijadual siap menjelang 2019 selepas sidang media di Melaka, semalam.
Firma labur RM2b dua fasa

KUMPULAN Hatten akan membangunkan projek hartanah berbentuk futuristik dikenali sebagai Hatten City membabitkan kos bernilai RM2 bilion di pesisir pantai bandar raya Melaka.
Pengarah Eksekutif Kumpulannya, Colin Tan June Teng, berkata projek di tapak seluas lapan hektar dan bakal menjadi mercu tanda baru itu, dijadual siap pembinaannya menjelang 2019.
Katanya, projek di Taman Melaka Raya itu akan dilaksanakan dalam dua fasa dan membabitkan gabungan enam elemen utama iaitu perniagaan runcit, kondominium, hotel antarabangsa, menara pejabat, resort dan kompleks perniagaan.

“Fasa pertama projek membabitkan kos sebanyak RM500 juta dan dijadual siap pada 2014, manakala fasa kedua yang membabitkan kos RM1.5 bilion dijangka disiapkan pada 2019,” katanya pada sidang media di Melaka, semalam.

June Teng berkata, fasa pertama projek berkenaan terbahagi kepada dua bahagian, iaitu sebanyak 280 hingga 360 unit kediaman dan mempunyai anggaran keluasan kira-kira 2.4 hektar, manakala fasa kedua pula membabitkan kompleks beli-belah.

Katanya, projek hartanah berkenaan menggabungkan semua elemen di dalam satu bangunan yang sama bagi memudahkan pengguna menikmati semua keselesaan dan keistimewaan tanpa perlu bergerak jauh ke tempat lain.
“Selain memiliki ciri keunikan yang menjadi keutamaan pengguna, Hatten City yang dibangunkan ini turut memiliki pelbagai keistimewaan lain seperti dewan majlis, gimnasium, spa, kolam renang, landskap taman dan 2,000 kawasan letak kenderaan.

“Konsep gabungan semua elemen yang diketengahkan adalah ikon baru bagi Melaka dan setakat ini ia belum pernah dibangunkan di Malaysia,” katanya.

June Teng yakin Hatten City akan menjadi tarikan pelancongan terbaru di Melaka pada masa depan.

Pelancaran pecah tanah projek ini dijadual dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Sabtu ini

Wednesday, April 27, 2011

MAVCAP labur RM5.5 juta

MAVCAP labur RM5.5 juta


2011/04/28
MALAYSIA Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) membuat pelaburan secara langsung RM5.5 juta dalam anak syarikat Tricubes Bhd, Tam Tam Sdn Bhd.

Pengerusinya, Datuk Dr Abdul Samad Alias, berkata portfolio perniagaan Tam Tam termasuk menyediakan perkhidmatan perisian mudah alih yang dikenali sebagai ‘Sales Force Automation Software’ yang disasarkan untuk perusahaan kecil dan sederhana.
Beliau berkata, sebagai syarikat modal teroka terbesar di dalam negara, MAVCAP akan kekal pada komitmennya untuk memangkinkan perkembangan industri modal teroka Malaysia dan merangsangkan pertumbuhan syarikat teknologi, maklumat dan komunikasi.
Terdahulu, dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Tricubes Bhd, mengumumkan pelaburan MAVCAP dalam Tam Tam itu membabitkan langgan sehingga 400,000 saham keutamaan boleh tukar boleh tebus (RCPS) 10 sen setiap satu dengan premium RM13.65 setiap satu untuk sejumlah RM5.5 juta. – BERNAMA

U Mobile tawar internet tanpa had

U Mobile tawar internet tanpa had
Oleh Sophia Ahmad
sophia@bharian.com.my
2011/04/28
Pengguna telefon pintar dikenakan caj RM28 sebulan bagi 100 minit, 30 SMS

UMOBILE Sdn Bhd, penyedia perkhidmatan mudah alih dan rumusan data 3G tempatan, memperkenalkan perkhidmatan internet Mudah Alih Tanpa Had (UMI) terbarunya yang disasarkan kepada pengguna telefon pintar pada kadar harga terendah di pasaran.
Ketua Eksekutifnya, Dr Kaizad Heerjee, berkata produk yang memberi tumpuan kepada penyediaan saling hubungan antara internet mudah alih dan pengguna itu, ditawarkan pada harga berpatutan iaitu RM28 sebulan, dengan 100 minit masa berbual dan 30 perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) sebulan.
Jumlah minit dan pesanan ringkas yang sama ditawarkan untuk setiap isian semula dan pengguna boleh mengumpul jumlah minit dan pesanan ringkas itu selama 60 hari berbanding hanya 30 hari oleh penyedia perkhidmatan mudah alih lain.

Bagaimanapun, kadar panggilan sembilan sen seminit akan dikenakan, jika pelanggan membuat panggilan melebihi tempoh 100 minit yang ditawarkan itu.

“Menerusi UMI, kami menyediakan penyelesaian untuk memenuhi keperluan pengguna internet mudah alih, pada kadar yang paling rendah di pasaran,” katanya pada majlis pelancaran UMI di Kuala Lumpur, semalam.

Kaizad berkata, sejak pengenalan U Mobile pada 2007, ia telah mampu mengikuti permintaan semasa pengguna generasi teknologi terkini.
“Kami sudah bekerjasama dengan peneraju global dalam pembangunan infrastruktur dan rangkaian perkembangan serta memanfaatkan kepakaran dan keupayaan domestik.

“Bulan lalu, kami telah memuktamadkan pembangunan sokongan akhir dan rangkaian kami ini sekurang-kurangnya setaraf dengan penyedia perkhidmatan mudah alih yang lain di Malaysia,” katanya.

Susulan perkembangan itu liputan perkhidmatan U Mobile dapat dikembangkan ke seluruh negara menjelang akhir tahun ini serentak dengan penggunaan yang semakin meluas, khususnya golongan profesional muda yang inginkan liputan internet tanpa had.

Kaizad berkata, syarikat itu sentiasa menjalankan kerja menaik taraf liputan rangkaian 3G dan 2G supaya ia boleh diakses pelanggannya tanpa sebarang masalah.

Katanya, buat masa ini liputan 3G kumpulan itu tertumpu kepada lokasi sekitar Pulau Pinang, Lembah Klang, Johor dan Ipoh, Perak.

Ia susulan semua kawasan itu mencatatkan penggunaan 3G pada skala lebih besar berbanding lokasi lain di Malaysia.

“U Mobile adalah antara peserta utama di negara ini yang mengkhusus dalam aspek pembekal data dan liputan 3G mudah alih walaupun kami masih baru di pasaran.

“Operasi meluaskan rangkaian dilakukan secara berterusan baik dari aspek liputan atau kapasiti data,” katanya.

Caterham Car mahu keluar kereta sport mampu milik

Caterham Car mahu keluar kereta sport mampu milik
Daripada Meor Hisham Zulkifli di London
bhnew@bharian.com.my
2011/04/28

ANTARA model kereta yang mungkin dihasilkan Caterham.
Fernandes, Kamarudin, SM Nasaruddin ambil alih firma British

SELEPAS mencipta nama dalam industri penerbangan, Datuk Seri Tony Fernandes kini meninjau peluang untuk mengeluarkan kereta sport ‘mampu milik’ susulan pengambilalihan pengeluar kenderaan ikonik British, Caterham Car Ltd.
Beliau yang juga Ketua Eksekutif AirAsia Bhd itu semalam mengesahkan sudah membeli 100 peratus ekuiti pengeluar kereta sport yang berpangkalan di Darfford, Kent itu.
Katanya, beliau bersama rakan kongsinya iaitu Datuk Kamarudin Meranum dan SM Nasaruddin, mengambil alih kepentingan ekuiti dalam Caterham daripada Corven Ventures, sebuah firma ekuiti yang sudah membiayai syarikat itu sejak 2005.

Fernandes, bagaimanapun tidak mendedahkan nilai pelaburan yang terbabit dalam urus niaga berkenaan.

“Kami memiliki pengetahuan, komposit dan teknologi Formula Satu (F1). Kami merasakan mampu membina satu lagi perniagaan dalam bidang automotif menghasilkan kereta murah tetapi berprestasi tinggi,” katanya di London semalam.

Populariti Caterham yang diasaskan oleh keluarga Nearn itu muncul selepas ia mengambil alih pengeluaran model terkemuka Lotus Seven yang dihasilkan Lotus Group pada 1973.
Antara model kereta dalam siri Caterham Super 7, yang dianggap kereta ketiga terpantas di atas jalan raya, dijual pada harga kurang 14,000 pound (RM68,000) seunit.

Fernandes berkata, langkah menceburi bidang automotif itu juga adalah selaras dengan falsafah perniagaan yang menjadi pencetus kejayaan AirAsia iaitu berasaskan kadar harga mampu milik.

"Kami tidak perlu mengubah falsafah ini dan pengambilalihan ini memungkinkan kami menghasilkan kereta lebih murah untuk pasaran sukan permotoran Asia yang baru berkembang dan dahagakan jentera mampu milik.

"Kami bukan mahu bersaing dengan Ferrari atau kereta kategori sport lain tetapi kami menawarkan kereta kompetitif pada harga lebih murah," katanya.

Sambil menganggap Caterham sebagai ‘berlian yang belum digilap’, Fernandes turut membayangkan hasrat untuk memperkenalkan satu siri perlumbaan jentera Caterham selain daripada menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran kereta itu untuk rantau Asia.

“Kita akan melakukan selangkah demi selangkah, mungkin dengan pengenalan model baru mampu milik dalam tempoh terdekat,” katanya.

Corven sebelum ini menyediakan dana untuk membolehkan dua bekas eksekutif kumpulan Lotus, Ansar Ali dan Gideon Wigger memiliki syarikat berkenaan.

Caterham dilaporkan menjual beratus kereta setahun terutama untuk pasaran Amerika Syarikat, Perancis, Jepun dan Jerman selain laporan modal pusingan syarikat melebihi ratusan juta ringgit.

Tuesday, April 26, 2011

Takaful Ikhlas yakin raih kutipan premium RM900j

Takaful Ikhlas yakin raih kutipan premium RM900j
Oleh Zuraidah Mohamed
zmohamed@bharian.com.my
2011/04/26
Syarikat terus catatkan pertumbuhan baik dari tahun ke tahun

TAKAFUL Ikhlas Sdn Bhd, iaitu anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Bhd yakin meraih kutipan premium RM900 juta dalam tahun kewangan semasa berakhir 31 Mac 2012, sekali gus mengekalkan kedudukannya antara tiga syarikat takaful terbaik di negara ini. Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman, berkata ia adalah pertumbuhan 25 peratus daripada RM760 juta dicatatkan tahun kewangan sebelumnya, sejajar pertumbuhan ekonomi yang lebih baik. Katanya, 70 peratus daripada kutipan premium itu disasarkan disumbangkan daripada produk takaful keluarga, manakala 30 peratus lagi adalah produk takaful am.

“Kami melihat banyak peluang yang ada dalam industri takaful ini, dengan syarikat terus mencatatkan pertumbuhan baik dari tahun ke tahun. Malah, kami juga yakin mencapai kutipan premium RM1 bilion menerusi perkembangan positif ini,” katanya menerusi temu bual di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Takaful Ikhlas adalah antara syarikat di bawah Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang turut serta dalam pameran bersempena Minggu Saham Amanah (MSAM) 2011 yang sedang berlangsung di Ipoh.

Syed Moheeb berkata, ketika ini, Takaful Ikhlas berada pada kedudukan ketiga dalam industri takaful dengan menguasai kira-kira 17 peratus pasaran perniagaan takaful di negara ini.
“Kami berharap untuk meningkatkan penguasaan pasaran syarikat atau setidak-tidaknya terus mengekalkannya tahun ini.

“Bagaimanapun, cabaran sebenar mungkin dapat dilihat mulai tahun depan apabila syarikat takaful baru mula memperlihatkan pertumbuhan perniagaan mereka selepas lebih setahun beroperasi,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Takaful Ikhlas akan mengkaji semula 12 produk sedia adanya dan dilancarkan semula bagi memenuhi keperluan dan kehendak pasaran.

“Dalam hal ini, kami tidak pasti berapa produk yang akan diluluskan Bank Negara Malaysia. Bagaimanapun, dalam masa terdekat ini kami sedang menunggu kelulusan bagi dua produk utama iaitu berkaitan perubatan dan kemalangan peribadi,” katanya sambil me-nambah syarikat itu ketika ini menawarkan lebih 90 pelan perlindungan kewangan berlandaskan syariah.

Mengenai rancangan untuk memperluaskan operasi takaful menerusi rakan strategik berpotensi di luar negara, beliau berkata, Takaful Ikhlas mahu menumpukan kepada pasaran tempatan kerana masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.

“Masih banyak peluang di sini dan kami tidak mempunyai sumber untuk memberi fokus dalam usaha mengembangkan sayap di luar negara. Kami kini lebih bersedia menjadi sebagai perunding menawarkan kepakaran teknikal, tanpa sebarang pegangan ekuiti kepada pihak yang memerlukan perkhidmatan kami di luar negara,” katanya.

Syed Moheeb berkata, menerusi langkah itu ia bakal mewujudkan aliran pendapatan baru iaitu pendapatan berasaskan yuran kepada syarikat.

Baru-baru ini, katanya, ada empat syarikat, insurans dan bank dari Indonesia, Afrika dan Asia Barat menyatakan minat sama untuk menjadi rakan strategik dan khidmat rundingan, tetapi belum ada lagi keputusan konkrit daripada mereka

Monday, April 25, 2011

Mydin labur RM208 juta buka empat premis baru

Mydin labur RM208 juta buka empat premis baru
Oleh Mohd Zin Ali
mdzin@bharian.com.my
2011/04/25
Kenal pasti kawasan berpotensi, terus bantu PKS pasar produk

PENGENDALI pasar raya besar Mydin, Mydin Mohamed Holdings Bhd, akan membuka empat premis perniagaan baru di negara ini sehingga akhir tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM208 juta. Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin, berkata dua daripada premis berkenaan akan dibuka di sekitar Ipoh manakala dua lagi di di Seremban dan Johor Bahru. “Premis di Seremban terletak di Terminal 2 Kompleks Era Baru dan di Nusajaya, Johor Bahru dijangka dibuka untuk perniagaan pada akhir Julai.

“Kami menyewa bangunan di kedua-dua lokasi terbabit, justeru pelaburan kami adalah rendah dengan masing-masing sebanyak RM10 juta dan RM8 juta,” katanya selepas membentangkan kertas kerjanya di Simposium PNB-MIDF sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2011 di Ipoh, Perak, semalam.

Ameer Ali berkata, premis yang akan dibina di Meru Raya, Ipoh berhampiran plaza tol Jelapang, Lebuh Raya Utara-Selatan akan menjadi premis Mydin pertama di bandar raya berkenaan serta terbesar di negara ini.

“Dengan kos sebanyak RM140 juta, premis Mydin di Meru Raya ini akan menjadi pasar raya besar terbesar kami dengan keluasan binaan sebanyak 700,000 kaki persegi. “Usaha pembinaannya sudah bermula dan kami berharap dapat menyelesaikannya pada akhir tahun ini,” katanya sambil menambah pembukaan premis di Meru Raya akan menyediakan kira-kira 600 pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Selain itu, Ameer Ali berkata, pihaknya sudah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa pada minggu lalu untuk membuka pasar raya baru di Ipoh, yang akan bertempat di Manjoi.

‘Premis ini tidak sebesar di Meru Raya dan kami hanya membelanjakan kira-kira RM50 juta,” katanya.

Selain menyediakan pekerjaan bagi penduduk tempatan, Ameer Ali berkata, premis di Meru Jaya akan memberikan peluang perniagaan terutama untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Terdapat banyak ruang perniagaan untuk mereka. Pelanggan tidak hanya berbelanja di pasar raya besar Mydin, tetami juga boleh mendapatkan khidmat menggunting rambut atau menikmati makanan nasi kandar di premis berkenaan," katanya.

Selain keempat-empat premis baru itu, Ameer Ali berkata, syarikat juga sudah mengenalpasti sebanyak 26 lokasi untuk membuka pasar raya besar baru di seluruh negara.

"Kami sudah mengenalpasti lokasi baru. Ia adalah sebahagian daripada rancangan pengembangan kami," katanya yang kini mempunyai sebanyak 80 pasar raya besar Mydin di seluruh negara.

Sementara itu, beliau berkata, Mydin akan terus membantu PKS tempatan dengan memberi akses kepada produk mereka untuk dijual di pasar raya besar Mydin.

Perniagaan gula FELDA ke Bursa

Perniagaan gula FELDA ke Bursa
Oleh Kamarulzaidi Kamis
kamarulzaidi@bharian.com.my
2011/04/25

Draf prospektus IPO sudah dikemuka kepada SC, harga belum muktamad

FELDA Global Ventures Holdings Sdn Bhd, iaitu sayap komersial Kumpulan FELDA akan menyenaraikan semua perniagaan gulanya di Bursa Malaysia, yang akan dikumpulkan di bawah sebuah syarikat pegangan pelaburan baru yang dikenali sebagai MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM Holdings).
Sumber industri berkata, draf prospektus bagi tawaran awam permulaan (IPO) MSM Holdings sempena penyenaraian itu sudah dikemukakan kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk kelulusan. Katanya, walaupun harga IPO setakat ini masih belum dimuktamadkan, tetapi berdasarkan sasaran pengumpulan modal antara RM800 juta hingga RM900 juta dan tawaran jualan sehingga 234.56 juta saham, anggaran awal harganya adalah antara RM3.50 hingga RM3.80 seunit.

“Sejajar dengan cadangan penyenaraian itu, FELDA Global menyusun semula empat aset gulanya iaitu Kilang Gula Felda Perlis Sdn Bhd (KGFP) dan Malayan Sugar Manufacturing Company Bhd (MSM) serta dua anak syarikatnya iaitu MSM Properties Sdn Bhd dan Astakonas Sdn Bhd, di bawah MSM Holdings. Ia dibuat bagi mewujudkan sinergi antara kumpulan MSM dan KGFP.

“IPO itu akan menawarkan jualan sehingga 234.56 juta saham biasa MSM Holdings bernilai 50 sen sesaham iaitu kira-kira 33 peratus daripada modal terbitan dan berbayar syarikat itu yang diperbesarkan iaitu 702.98 juta saham.

“Daripada jumlah itu, 206.44 juta ditawarkan kepada pelabur institusi tempatan dan asing, termasuk pelabur institusi Bumiputera sebanyak 80.84 juta atau 11.5 peratus, manakala baki 28.12 juta lagi ditawarkan untuk langganan pelabur runcit termasuk pelabur Bumiputera dan bukan Bumiputera masing-masing sebanyak 7.03 juta saham,” kata sumber itu kepada Berita Harian semalam.
Sumber itu berkata, FELDA Global sudah melantik CIMB Investment Bank Bhd sebagai Penasihat Prinsipal dan Pengatur Tunggal Global bagi IPO itu.

“FELDA Global sedang berunding dengan bank pelaburan untuk menentukan harga tawaran IPO yang akan dibuat menerusi binaan bida oleh pelabur institusi dan setakat ini harganya masih belum ditetapkan lagi.

“Harga muktamad hanya akan ditentukan selepas harga institusi ditetapkan pada tarikh yang akan ditentukan kelak,” katanya.

Matlamat IPO itu adalah untuk membolehkan MSM Holdings mengembang dan mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju industri gula; meningkatkan kecekapan pengurusan kos dan bersedia untuk meraih peluang perniagaan lebih besar; mewujudkan kecairan sahamnya dan memberi peluang kepada pelabur untuk menyertai industri itu yang memiliki prospek yang luas.

Sementara itu, penganalisis berkata, penyenaraian MSM Holdings itu akan meningkatkan kedudukan FELDA sebagai peneraju dalam industri gula.

"Ia akan membolehkan FELDA merealisasikan pelaburannya dan pada masa yang sama mengekalkan kawalan ke atas aset," kata Kenanga Research dalam nota penyelidikannya baru-baru ini.

MSM Holdings terbabit dalam pengeluaran, pemasaran dan penjualan gula dengan keupayaan pengeluaran 1.1 juta tan setahun. Ia melaksanakan aktivitinya menerusi dua anak syarikat iaitu MSM dan KGFP dan pada tahun lalu mengeluarkan 945,000 tan gula yang mewakili 57 peratus pengeluaran gula negara.

Secara keseluruhannya, kumpulan itu meraih pendapatan terkumpul RM2.17 bilion tahun lalu, meningkat 32.3 peratus berbanding RM1.64 bilion pada 2009.