Wednesday, November 9, 2011

Kawasaki lancar tiga model baru

Oleh Hazwan Faisal Mohamad

2011/11/10

KAWASAKI Versys 1000 antara model baru dijangka dilancarkan.
KAWASAKI Malaysia akan melancarkan tiga model terbaru motosikal berkuasa tinggi pada Karnival NST-Maybank COTY2U Autoshow yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Matrade, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada Sabtu ini.

Pengeluar motosikal itu bagaimanapun masih belum mendedahkan jenis model baru terbabit dan hanya memaklumkan genre motosikal masing-masing bagi tiga model berkenaan adalah dalam kategori Super Sports, Sports dan Dual Purpose.
Berita Harian difahamkan, ketiga-tiga model itu berkemungkinan besar adalah versi terbaru ZX14, W800 dan Versys 1000.
Bagi model Versys 1000, ia baru saja dilancarkan globalnya di Eropah Selasa lalu dan pengenalannya di Malaysia hujung minggu ini adalah yang pertama di Asia.

Pengeluar motosikal itu tidak dapat dihubungi bagi mengesahkan perkara itu, bagaimanapun Pengerusi Panel Hakim COTY 2011, Yamin Vong, berkata majlis pelancaran ketiga-tiga model terbaru Kawasaki itu dijadual dibuat pada jam 3 petang di Dewan C, Bangunan Matrade, Kuala Lumpur sempena pameran itu.

“Selain itu, terdapat juga pelbagai aktiviti yang akan berlangsung sepanjang dua hari pameran itu antaranya seminar berkaitan peluang pekerjaan dalam industri automotif, hak pengguna dalam insuran automotif, bual bicara anti kecurian dan kualiti udara kabin kereta.

“Pengunjung juga berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik seperti GPS Gophers, baucar J-Glaze, barangan premium Peugeot dan PROTON menerusi permainan ‘Wheel of Fortune’ anjuran akhbar New Straits Times,” katanya di Kuala Lumpur, semalam.
Katanya, kepada pembaca sisipan CBT dan BH Auto, terdapat juga aktiviti khusus seperti sesi bertemu pembaca, selain daripada berpeluang menyaksikan perhimpunan kereta klasik Asia pada hari Ahad dari iaitu dari jam 10 pagi sehingga 6 petang.

Bersempena dengan karnival itu juga, sebanyak 50 model kereta dalam 14 kategori akan bertanding dalam persaingan menentukan siapa paling berhak mengungguli anugerah New Straits Times (NST)-Maybank Car of The Year 2011 (COTY 2011) yang dijadualkan berlangsung pada 25 November ini, di Hotel Saujana, Petaling Jaya.

Antara 14 kategori yang dipertandingkan ialah kompak, kompak premium, keluarga, eksekutif, eksekutif premium bawah RM300,000, eksekutif premium melebihi RM300,000, prestasi, coupe atau cabriolet, mesra alam, limosin, kenderaan pelbagai guna (MPV), kenderaan utiliti sukan (SUV) bawah RM150,000, SUV melebihi RM150,000 dan trak.

Daripada keseluruhan kategori, pengeluar tempatan, PROTON mengetengahkan model Saga FLX (kategori kompak) dan Inspira (kategori keluarga) manakala Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua) dengan model Myvi 1.5 dan Myvi 1.3 (kategori kompak) untuk bersaing bersama model keluaran import.

Antara model import yang turut bersaing termasuk Honda, Toyota, Peugeot, KIA, BMW, Mercedes, Nissan, Chevrolet dan Audi. Tahun lalu, Volkswagen Passat CC dinobatkan sebagai juara, manakala Peugeot 308 Turbo adalah juara 2009.

Berdasarkan senarai juara bermula acara ini diperkenalkan sembilan tahun lalu, Perodua menerusi model Kelisa menjadi pengeluar kenderaan tempatan pertama menjuarai COTY iaitu pada 2002 sebelum ia dikuasai sepenuhnya model import.
Bagi pertanyaan berkaitan COTY2U Autoshow, boleh hubungi CBT di talian 03-22876320.

Thursday, November 3, 2011

FELDA buka ladang di Kemboja

2011/11/03

KEPAKARAN sektor perladangan FELDA diperluas ke luar negara termasuk Kemboja.
Syarikat sedang runding tawaran Hun Sen ketika melawat Malaysia

FELDA yang kini memiliki dua ladang di Indonesia, sedang menimbang membuka ladang di Kemboja dalam usaha mengembangkan lagi operasinya di luar negara.
Pengerusinya, Tan Sri Isa Samad, berkata pihaknya kini sedang berunding dengan pihak berkaitan di Kemboja selepas mendapat tawaran untuk membuka ladang seluas kira-kira 161,800 hektar di negara itu.
Beliau berkata, FELDA telah diberikan dokumen dan butiran yang diperlukan serta hasil kajian oleh beberapa organisasi mengenai potensi langkah berkenaan, untuk dipertimbangkan.

“Saya percaya kita akan melihat tawaran itu kerana ia adalah satu peluang yang baik," katanya di Yangon, Myanmar, semalam.

Isa berkata, Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen yang melawat Malaysia sebelum ini mencadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya FELDA membuka ladang di negara itu.

Beliau berkata, FELDA akan melihat kesesuaian tanaman yang boleh diusahakan, sama ada sawit atau tanaman lain.
Salah satu daripada ladang FELDA di Indonesia diusahakan secara bersama dengan Lembaga Tabung Haji, manakala satu lagi diusahakan dengan syarikat tempatan.

Isa berkata, FELDA juga sedang berusaha untuk meningkatkan jualan produk keluarannya ke seluruh dunia.

“Sebagai contoh, kita telah mempunyai kilang di Turki bagi menembusi pasaran di Eropah Timur," katanya, sambil menyatakan FELDA juga sedang melakukan usaha yang sama di Afrika tanpa memberi penjelasan lebih terperinci mengenai perkara itu.

Langkah itu, katanya, bertujuan menambah bilangan pasaran produk keluarannya yang kini menembusi pasaran 13 negara di seluruh dunia.

Secara keseluruhannya, beliau berkata, FELDA mencatatkan jualan kira-kira RM16 bilion setahun melalui pengeksportan kira-kira tiga juta tan minyak sawit ke seluruh dunia. – BERNAMA

Friday, September 23, 2011

MAHB meterai perjanjian projek KLIA2 RM530.3j

2011/09/23
MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) telah memeterai perjanjian konsesi dengan WCT Bhd serta Segi Astana Sdn Bhd (SASB) bagi projek pembinaan, pembangunan dan pembiayaan Kompleks Bersepadu di Terminal Tambang Murah (KLIA2) di Sepang, Selangor bernilai RM530.3 juta.

Pengendali lapangan terbang itu turut memeterai perjanjian pemegang saham dengan anak syarikat milik penuh WCT, WCT Land Sdn Bhd (WCTL) yang memperlihatkan MAHB menguasai 30 peratus pegangan dalam SASB.
“Perjanjian konsesi itu dimeterai hasil proses tender yang dikeluarkan kumpulan.
“Menerusinya, konsep bina-kendali-pindah (BOT) membabitkan tempoh 25 tahun dengan pilihan melanjutkannya 10 tahun lagi akan diguna pakai bagi melaksanakan projek berkenaan,” katanya dalam kenyataan di Bursa Malaysia semalam.

MAHB berkata, mengikut perjanjian konsesi itu, SASB akan dilantik bagi membina kompleks bersepadu yang akan menjadi hab bagi pengangkutan kereta api Express Rail Link (ERL), bas, teksi, perkhidmatan kereta sewa dan pengangkutan persendirian.

Naza sasar 16 model baru 2015

Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar
bhbiz@bharian.com.my
2011/09/23

MUKHRIZ dan SM Nasarudin di hadapan model Kia Forte sempena majlis meraikan keluaran kenderaan ke-150,000 NAM di Gurun, Kedah, semalam.
Mahu keluar 170,000 kenderaan

KUMPULAN Naza menerusi anak syarikatnya, Naza Automotive Manufacturing Sdn Bhd (NAM), menyasarkan mengeluarkan sehingga 170,000 unit kenderaan dan melancarkan 16 model baru menjelang 2015.
NAM yang ditubuhkan tujuh tahun lalu dan sudah mengeluarkan kenderaan 150,000 unit kenderaan setakat semalam, turut menyasarkan mengeksport 10,000 kenderaan keluarannya di beberapa negara terpilih menjelang tahun depan.
Sejak tujuh tahun lalu, ia sudah mengeluarkan 18 model, antaranya Ria, Citra, Sorento, Spectra, Suria, Bestari, Forza, Sportage, Spectra 5, Optima, Rondo, Picanto, Forte, Peugeot 407, Peugeot 308 dan Peugeot 3008.

Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimudin, berkata dengan pelancaran 16 model baru dalam tempoh empat tahun akan datang itu, ia akan membantu kumpulan itu mencapai sasaran ditetapkan.

"Kami menyasarkan untuk mengeksport 10,000 kenderaan ke negara Afrika, Australia dan New Zealand menjelang tahun depan.

"Walaupun berlaku kelembapan ekonomi, kami yakin ia tidak akan menjejaskan penjualan dan pengeluaran kenderaan yang kami keluarkan. Malah bagi tahun ini kami menyasarkan mengeluarkan 15,640 unit kenderaan dan 30,050 unit bagi 2012," katanya pada sidang media selepas majlis meraikan sambutan keluaran kenderaan ke-150,000 NAM di Gurun, Kedah semalam.
Majlis itu disempurnakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir yang menaiki kereta ke-150,000 keluaran NAM itu, model Naza Forte 1.6SX bersama Nasarudin sebagai gimik pelancarannya.

Nasarudin berkata, sejak NAM ditubuhkan di Gurun pada 2004 kenderaan keluarannya tidak hanya dijual di pasaran tempatan malah turut menembusi pasaran Bangkok dan Jakarta.

"Kenderaan dikeluarkan NAM bukan saja berada di jalan raya di negara ini, tetapi juga di Thailand dan Indonesia. Justeru kami merancang untuk mengeksport kenderaan ke pasaran lebih luas lagi tahun depan," katanya.

Sementara itu, SM Nasarudin berkata, pihaknya akan memperkenalkan dua model baru tahun depan.

Katanya, dalam tempoh lima tahun sehingga 2016, NAM akan mengeluarkan sehingga 60,000 unit model sedan baru Peugeot yang buat masa ini hanya dikenali dengan kod T73.

"Daripada jumlah itu, kira-kira 60 peratus akan dieksport ke negara di Asia dengan konsep pemanduan di sebelah kanan," katanya.

Tuesday, September 20, 2011

Pemaju Malaysia majukan Funtasy Island Singapura

2011/09/21
FUNTASY Island Development Group, pemaju resort yang diasaskan ahli perniagaan Malaysia, akan memajukan projek Funtasy Island di Singapura yang dijangka menarik minat pembeli hartanah serta kedatangan pelancong dari seluruh dunia.

Pengasas Funtasy Island, Michael Yong, berkata fasa pertama pembinaan resort yang mempunyai reka bentuk menarik dan villa eksklusif, dikenali sebagai ‘Aqua Villas’ itu dijangka siap pada 2013.
Beliau berkata, antara kemudahan yang akan disediakan termasuk taman tema ekologi terbesar dunia, kelab sukan air ‘FIDO DIDO’, zon pembiakan akuatik, restoran, kedai jualan, kafe dan daya tarikan lain.
“Kami juga akan membina Kota Hiburan Funtasy yang dilengkapi pawagam mega dengan pemandangan tropika mempunyai dua fungsi iaitu satu bertemakan Hollywood manakala bahagian kedua pula boleh digunakan sebagai lokasi untuk penggambaran filem,” katanya.

Funtasy Island akan dimajukan di kawasan seluas 3.28 juta hektar persegi membabitkan enam pulau tropika di selatan Pulau Sentosa dan berhampiran dengan Pulau Batam.

MTD sasar raih RM80j

Oleh Suffian A Bakar
suffian@bharian.com.my
2011/09/21
Hasil operasi terminal pukal arang batu di Indonesia

MTD Capital Bhd, satu daripada peserta utama pembangunan infrastruktur di Malaysia, menyasar meraih AS$27 juta (RM80 juta) setahun daripada operasi pengendalian terminal pukal arang batu yang baru diceburinya di Indonesia.
Presiden yang juga Ketua Eksekutifnya, Datuk Azmil Khalid, berkata fasa pertama terminal di Pelabuhan Cigading, Celepon, iaitu kira-kira 100 kilometer ke barat Bandaraya Jakarta itu kini sudah beroperasi dan berupaya mengendalikan enam juta tan arang batu setahun.
“Berdasarkan kos pengendalian yang dikenakan sebanyak AS$4.50 bagi setiap satu tan, kami menjangka meraih pendapatan sekitar AS$27 juta setahun untuk fasa pertama.

“Ia satu konsep baru yang kami perkenalkan di Indonesia. Jika sebelum ini arang batu dari Kalimantan dan Sumatera dihantar secara 'transshipment' iaitu pemindahan daripada tongkang ke kapal di laut yang terdedah kepada ancaman lanun dan kualiti rendah kerana arang batu tidak diproses, perniagaan pengendalian terminal pukal laut dalam ini amat berpotensi diperkembangkan, khususnya di Indonesia selaku satu daripada pengeluar dan pengeksport arang batu terbesar dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Terminal Pukal Antarabangsa Cigading di Celegon daerah Banten itu, semalam.

Hadir sama, Pengerusi MTD Capital Bhd, Datuk Dr Nik Hussain Abdul Rahman; Kaunselor Ekonomi Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Syahril Syazli Ghazali; serta wakil gabenor daerah Banten.
Terminal itu dikendalikan PT Cigading International Bulk Terminal (CIBT) yang 95 peratus kepentingannya dikuasai Sinomast Metacorp (Labuan) Ltd, syarikat usaha sama 50:50 antara Metacorp Bhd dan PT Bintang Sinomast (Hong Kong) Ltd. Metacorp adalah anak syarikat milik penuh MTD Capital.

Azmil berkata, CIBT diberi hak eksklusif oleh PT Krakatau Bandar Samudera, pengendali Pelabuhan Cigading, untuk membangun, mengurus dan mengendali terminal pukal arang batu untuk tempoh 32 tahun.

“Ia boleh mengendalikan 18 juta tan arang batu setahun apabila semua tiga fasa siap sepenuhnya,” katanya sambil menambah pihaknya bercadang memanfaatkan penggunaan terminal itu untuk mengendalikan perkhidmatan tambah nilai lain seperti minyak sawit, bijirin dan pemprosesan arang batu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pihaknya menjangkakan meraih pulangan modal AS$42 juta yang dilaburkan dalam projek berkenaan dalam tempoh lima.

MTD Capital yang beroperasi di 13 negara adalah pemegang konsesi Lebuhraya Karak, selain terbabit antaranya dalam pembangunan hartanah di Malaysia dan Australia.

Pusat alga terbesar di Rompin

Oleh Che Wan Badrul Alias
chewan@bharian.com.my
2011/09/20

SYED ISA (dua dari kanan) berkata sesuatu kepada Khoo selepas meterai memorandum kerjasama sambil diperhatikan Pengarah Pahang Biodiesel, Hashim Zainudin (kiri) dan Ketua Pengarah Eksekutif Algaetech, Nurul Azhar M Harris (kanan) di Kuala Lumpur, semalam.
Projek bernilai RM1.2 bilion dibangunkan untuk hasilkan biodiesel

PAHANG Biodiesel Corporation Sdn Bhd, bakal memajukan pusat pengeluaran alga terbesar dunia di Rompin, Pahang membabitkan pelaburan RM1.2 bilion.
Kemudahan di tapak seluas kira-kira 2,023 hektar dan dikenali Pusat Integrasi Alga Malaysia (MIAV) itu akan meletakkan Malaysia sebagai antara pengeluar bahan api bio berasaskan alga utama di dunia apabila ia beroperasi pada awal 2013.
Ketua Bahagian Perancangan Korporat Pahang Biodiesel, Hashim Zainuddin, berkata MIAV akan dibangunkan bagi pengeluaran alga secara besar-besaran untuk penghasilan biodiesel serta produk berkaitan alga lain seperti produk makanan kesihatan dan produk bernilai tinggi.

Katanya, kelulusan kerajaan negeri bagi projek itu sudah diperoleh dan pihaknya sedang menyediakan pelan induknya sebelum memulakan pembangunan kawasan terbabit yang dijangka dimulakan selewat-lewatnya suku pertama tahun depan.

“Pembangunannya bagi meraih sebahagian pasaran produk berasaskan bio global yang tahun lalu saja dianggarkan bernilai AS$125 bilion. Nilainya dijangka terus meningkat berdasarkan potensi alga sebagai bahan api bio.

“Bagi menjayakannya, kami bekerjasama dengan Algaetech International Sdn Bhd untuk mendapatkan kepakaran berkaitan penyelidikan alga dan teknologi penghasilannya,” katanya pada sidang media selepas memeterai memorandum kerjasama dengan Algaetech di Kuala Lumpur, semalam.
Pada majlis itu, Pahang Biodiesel diwakili Pengarahnya, Tommy Khoo, manakala Algaetech International, Ketua Eksekutif Kumpulannya, Syed Isa Syed Alwi.

Turut berlangsung, majlis memeterai memorandum kerjasama antara Algaetech dengan BM Nagano Industries Sdn Bhd bagi menyediakan teknologi pencahayaan menggunakan LED dalam penghasilan alga.

Sementara itu, Syed Isa berkata, MIAV mampu menjana pendapatan sekitar RM100 juta setahun dalam tahun pertama operasinya.

Katanya, mengikut perancangan, 85 peratus daripada alga dihasilkan akan digunakan untuk pengeluaran bahan api bio, manakala 15 peratus lagi produk bernilai tinggi dan makanan berasaskan kesihatan.

“Namun, jika dilihat dari segi pendapatan yang bakal dijana kedua-dua produk ini, kami jangkakan produk bernilai tinggi dan makanan berasaskan kesihatan mampu memberikan margin lebih besar.

“Manfaat pembangunan MIAV ini bukan hanya kepada syarikat tetapi juga negara dan kawasan setempat kerana ia akan menjana peluang pekerjaan dan potensi perniagaan yang berupaya mengubah sosioekonomi Rompin,” katanya.

Pahang Biodiesel Corporation adalah usaha sama Transturbo Industries Sdn Bhd dengan pegangan ekuiti sebanyak 70 peratus, Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) Negeri Pahang (20 peratus) dan Almal Sdn Bhd (10 peratus).