Tuesday, April 27, 2010

Program TV tingkatkan jualan Ayamas

KUALA LUMPUR 27 April - KFC Holdings (Malaysia) Bhd. menyasarkan jualan produk makanan dalam tin Ayamas akan meningkat sehingga 25 peratus pada April hingga Oktober ini berbanding tempoh yang sama 2009 berikutan usaha syarikat memperkenalkan resipi baru di televisyen (TV)

Pengarah Urusan KFC Holdings, Jamaludin Md. Ali berkata, rancangan TV yang menampilkan tukang masak terkenal, Chef Wan di Itali itu dapat memperkenalkan produk Ayamas kepada pengguna untuk mempelbagaikan hidangan mereka.

''Ayamas telah membelanjakan lebih RM1 juta untuk membiayai produksi dan promosi program masakan ini (di Itali),'' katanya dalam satu kenyataan.

KFC Holdings merupakan pembekal produk berasaskan ayam yang dipasarkan di bawah jenama Ayamas dan menerusi Kedai Ayamas serta rangkaian kedai serbaneka dan restoran RasaMas.

Dalam rancangan masakan 'Mmm... Sedapnya bersama Ayamas' musim ketujuh itu membabitkan 13 episod dengan setiap tayangan memakan masa selama setengah jam.

Jamaludin yang tidak mengulas lanjut berkata, bagi mengembangkan perniagaan, pihaknya akan sentiasa mengeluarkan produk baru.

Mutiara Goodyear mahu majukan projek RM3 bilion

KUALA LUMPUR 27 April 2010 - Mutiara Goodyear Development Bhd., (Mutiara Goodyear), merancang memajukan beberapa projek hartanah di atas tanah simpanan miliknya yang melibatkan kos hampir RM3 bilion, dalam beberapa tahun akan datang.

Pengerusi Eksekutifnya Hamidon Abdullah berkata, Mutiara Goodyear mahu membangunkan beberapa projek hartanah mewah dan bercampur di Lembah Klang dan Pulau Pinang di atas tanah berjumlah 400 hektar.

Antara projek-projek yang bakal dibangunkan dan dilancarkan ialah di Taman Melawati, Kajang, Bandar Sunway serta di Bukit Gambir Pulau Pinang.

"Kesemua projek itu dimajukan di atas tanah simpanan kami dan lebih banyak simpanan tanah yang bersesuaian akan diperoleh pada masa depan kerana kesemua tanah tersebut akan habis dimajukan apabila projek yang dirancang siap," katanya selepas taklimat media di sini hari ini.

Menurut Hamidon, beliau kini mengenalpasti beberapa lokasi untuk meningkatkan bilangan simpanan tanah sedia ada dan sedang berunding dengan pihak-pihak tertentu untuk membelinya.

Beliau berkata, ada 40 hektar tanah yang berpotensi untuk dimajukan di sekitar Lembah Klang untuk dibeli oleh Mutiara Goodyear bagi tujuan pembangunan pada masa depan.

"Kita masih berunding dan berharap keputusan dapat dicapai dalam jangka masa terdekat ini," katanya.

Antara projek yang pernah dijalankan Mutiara Goodyear di Lembah Klang adalah Lagenda Mas di Cheras, Kondominium Dataran Prima di Kelana Jaya, Kondominium Vila Lagenda di Selayang, Kondominium Mutiara Upper East di Ampang dan Taman Mutiara Gombak di Gombak.

Hamidon berkata, Mutiara Goodyear melihat prospek hartanah di negara ini akan kembali positif berikutan perkembangan industri yang dilihat begitu pesat.

Ujarnya, pasaran hartanah dijangka kembali rancak berikutan ekonomi yang semakin pulih selain pemaju-pemaju mula menawarkan insentif-insentif serta rekaan yang memenuhi cita rasa pembeli.

"Ini satu perkembangan positif untuk industri hartanah negara dan berharap ia akan kekal untuk tempoh beberapa tahun akan datang," katanya.

Monday, April 26, 2010

Ken Holdings cadang bina hotel butik eksklusif

2010/04/27
KEN Holdings Bhd, pemaju hartanah berskala sederhana, bercadang meneroka industri perhotelan dengan membangunkan sebuah hotel butik eksklusif bertaraf lima atau enam bintang di Batu Ferringhi, Pulau Pinang.

Pengarah Urusannya, BK Tan, berkata hotel itu apabila siap bakal menawarkan harga penginapan paling berdaya saing berbanding rangkaian hotel eksklusif sedia ada di kawasan berkenaan. “Kami bercadang mempelbagaikan sumber perniagaan kumpulan melalui meneroka industri perhotelan dengan pembinaan sebuah hotel butik di Pulau Pinang tahun depan. “Bagi merealisasikan rancangan itu, kami kini sedang dalam peringkat pembersihan tanah bagi memudahkan akses ke kawasan itu dan akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri berhubung rancangan pembinaan hotel berkenaan tidak lama lagi,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung syarikat itu kali ke-26 di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Tan, hotel itu bakal dibina berkonsepkan ala nusantara dan dianggap bersesuaian dengan status Pulau Pinang sebagai antara negeri utama destinasi tarikan pelancongan negara.

Katanya, bagi meningkatkan status hotel butik kumpulan itu di peringkat antarabangsa, pihaknya merancang melantik operator hotel butik ternama dari Thailand atau Bali, Indonesia menguruskan hotel berkenaan.

“Kami kini sedang meninjau pihak (operator hotel butik) yang berpotensi untuk dilantik bagi menguruskan hotel butik yang akan dibina syarikat,” katanya.

Sementara itu, Tan berkata, pihaknya akan melancarkan projek pangsapuri perkhidmatan eksklusifnya, Ken Bangsar, yang terletak di Bukit Bandaraya pada Mei ini.

Katanya, projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM120 juta itu terdiri daripada satu blok bangunan 14 tingkat dengan 80 unit.

Beliau berkata, semasa pelancaran tidak rasminya tahun lalu, kira-kira 50 peratus daripada unit kediaman itu telahpun dijual.

“Ken Bangsar adalah pangsapuri perkhidmatan eksklusif pertama negara menerima pensijilan Green Mark daripada Pihak Berkuasa Pembangunan dan Pembinaan (BCA) Singapura serta standard Indeks Bangunan Hijau (GBI).

“Justeru, dengan kelebihan persijilan hijau yang dimiliki Ken Bangsar, kami yakin dapat menjual semua unit kediaman itu dalam tempoh yang singkat selepas pelancarannya nanti,” katanya.

Selain unit kediaman itu, Ken Holdings turut sibuk dengan pembinaan ibu pejabat barunya di Taman Tun Dr Ismail dengan membabitkan pelaburan RM80 juta.

Tan berkata, projek yang bakal bermula tidak lama lagi dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun akan mempunyai bangunan setinggi 12 tingkat

Wednesday, April 21, 2010

Upin, Ipin ke India Mei selepas tawan Indonesia

2010/04/22
FILEM animasi Geng: Pengembaraan Bermula, yang menampilkan ikon terkenal Upin dan Ipin, dijangka menembusi pasaran India bulan depan selepas menempa kejayaan di Indonesia.

Pengarah Urusan Les' Copaque Sdn Bhd, Burhanuddin Mohd Radzi, berkata kejayaan Upin dan Ipin ketika ditayangkan di Indonesia menambahkan keyakinan pihaknya untuk meneroka pasaran India dan mengenal-pasti negara Amerika Latin sebagai sasaran seterusnya. Katanya, sambutan di Indonesia adalah lebih tiga kali ganda berbanding di Malaysia dengan penonton di sana begitu meminati Upin dan Ipin termasuk sanggup berbaris panjang di panggung wayang bagi menonton filem berkenaan. “Tayangan perdana Geng: Pengembaraan Bermula akan diadakan pada 14 Mei ini, diikuti tayangan di 600 panggung wayang di negara berkenaan. Kerja mengalih bahasa filem berkenaan kepada 11 dialek di India sudah dilakukan sejak tahun lalu dan sudah siap sepenuhnya.

“Jika Upin dan Ipin dapat diterima masyarakat di sana, kami akan meneruskan perancangan menembusi pasaran Amerika Latin dengan proses alih bahasa kepada bahasa Sepanyol sedang dilakukan ketika ini di ibu pejabat kami di Shah Alam,” katanya ketika menghadiri Program Ikon Inspirasi: Upin dan Ipin, di sini, semalam.

Program berkenaan diadakan sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) yang berlangsung ketika ini di Padang Tempat Letak Kereta, Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, Sarawak sehingga 24 April hadapan.

Turut serta dalam program berkenaan adalah pemegang watak opah dalam filem itu iaitu Ainon Ariff yang juga isteri kepada Burhanuddin selain memegang jawatan Pengarah Kreatif di Les' Copaque.

Burhanuddin berkata, pihaknya berharap Upin dan Ipin dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda di negara ini kerana terdapat banyak nilai positif diterapkan di dalam filem dan animasi bersiri watak berkenaan.

“Ketika ini kami sedang menyiapkan 42 episod animasi bersiri Upin dan Ipin sebelum memulakan projek sambungan filem animasi Geng yang dijangka menemui penonton di Malaysia, Singapura dan Indonesia menjelang 2012,” katanya.

"Kali ini kami akan menampilkan Upin dan Ipin sebagai watak utama filem animasi berkenaan selepas mereka hanya memainkan peranan pembantu dalam filem terdahulu selepas melihat popularitinya yang sangat besar," katanya

Pernec sertai sektor tenaga mesra alam

Oleh Zuraidah Mohamed
zmohamed@bharian.com.my
2010/04/22
PERNEC Corporation Bhd, syarikat pelaburan kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) memperluaskan aktiviti perniagaannya bagi meliputi tenaga mesra alam, dengan tumpuan kepada tenaga solar dan angin.

Pengarah Urusannya, Abdul Karim Abdul Sallam, berkata kumpulan itu yang lebih dikenali sebagai antara peneraju utama sektor telekomunikasi sudah memperkenal rangkaian telefon awam berbayar menggunakan tenaga solar. “Kami kini mahu menceburi sistem penjanaan mesra alam. Kami sudah pun menggunakan tenaga solar pada sebahagian telefon awam berbayar kami dan merancang memperkenalkannya ke seluruh 35,000 rangkaian ‘helo’ di seluruh negara,” katanya sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2010 di Kuching, semalam. Beliau berkata, Pernec sudah mengenal pasti tenaga solar dan sistem turbin tenaga angin sebagai penggerak kepada perniagaan mesra alam kumpulan, selain mengenal pasti rakan kongsi global yang menawarkan kepakaran dan teknologi yang terbukti untuk dikongsikan bersama pelanggan tempatan.

Katanya, kajian menunjukkan kurang daripada dua peratus penjanaan tenaga diperoleh daripada sumber mesra alam seperti hidro, angin atau solar di Malaysia, selebihnya daripada fosil.

“Kerajaan komited untuk mengurangkan pencemaran karbon sebanyak 40 peratus menjelang 2020 dan sebagai organisasi berkaitan kerajaan, Pernec berasakan perlu melaksanakan pelbagai usaha bagi mencapai matlamat berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Pernec juga menjalankan ujian sistem turbin angin di tiga lokasi berbeza di Kuching, Sarawak termasuk Kuching, Waterfront sempena MSAM 2010 serta beberapa lokasi di Johor dan Sabah.

“Turbin angin kami adalah lebih cekap dari segi menjana lebih tenaga kerana strukturnya yang menegak berbanding turbin angin konvensional yang mempunyai kedudukan melintang,” katanya sambil menambah Pernec juga sedang berbincang dengan beberapa agensi kerajaan termasuk Felcra, Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Felda dan swasta yang berminat menyertai projek ini.

Sempena berlangsungnya MSAM, pengunjung boleh melihat turbin angin berpaksi tegak yang dipamerkan di gerai Pernec bagi mendapatkan gambaran jelas dan pelbagai maklumat mengenai produk itu yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Menerusi pameran itu, Pernec menyasarkan untuk menarik agensi kerajaan seperti Felcra dan Sirim untuk memperkenalkan perkhidmatan itu khususnya di kawasan pedalaman dan kepulauan, terutama di sesetengah kawasan Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai bekalan elektrik

Tuesday, April 20, 2010

AirAsia tawar percutian khas penumpang terkandas

Oleh Meor Hisham Zulkifli dan Hanisah Selamat
bhnews@bharian.com.my
2010/04/21
KUALA LUMPUR: Air-Asia menawarkan promosi khas pakej percutian dengan harga istimewa ke mana-mana destinasi kepada penumpang yang terkandas di lapangan terbang sementara menanti penerbangan pulang ke Eropah.

Ketua Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Dr Tony Fernandes, berkata tawaran itu dibuka berikutan ramai penumpang yang tidak mempunyai arah tujuan selepas penangguhan operasi pesawat disebabkan debu hitam letusan gunung berapi di Iceland. “Langkah ini diharap dapat mengurangkan tekanan kepada penumpang yang tidak pasti bila situasi dapat kembali normal malah ia bukan hanya membabitkan destinasi di Kuala Lumpur malah semua laluan kami. “Kita akan memaklumkan promosi ini kepada penumpang di setiap lapangan terbang yang disinggahi untuk membolehkan mereka merehatkan fikiran ke destinasi berhampiran, mungkin dalam seminggu hingga keadaan pulih,” katanya.

Mengulas mengenai kerugian yang ditanggung AirAsia X berikutan penangguhan penerbangan ke London sejak 15 April lalu, beliau berkata, pihaknya tidak terjejas teruk kerana destinasi terbabit hanya satu daripada lebih 600 laluan mereka.

“Kita mempunyai banyak lagi destinasi dalam negara dan di seluruh rantau ini. Ada sedikit kesulitan sejak penangguhan operasi penerbangan ke London tetapi ia tidak menjejaskan kami.

“Berikutan ribuan penumpang terkandas di lapangan terbang, AirAsia mengambil keputusan menawarkan promosi khas pada kadar terendah,” katanya.

Jelajah amal Proton 9 Julai

2010/04/21
KUALA LUMPUR: Proton Holdings Berhad akan menganjurkan siri Jelajah Malaysia Amal Proton, 9 Julai ini sebagai penghargaan kepada pengguna setia bersempena sambutan ulang tahun Ke-25 syarikat berkenaan.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Syed Zainal Abidin Mohamed Tahir, berkata program terbabit adalah sebagai tanggungjawab sosial syarikat membantu golongan memerlukan selain menghayati kembali sejarah penubuhan Proton sebelum mencipta nama dalam pasaran. “Kita bekerjasama dengan kelab permotoran kenderaan Proton yang akan mengetuai konvoi ke seluruh negara berserta pengisian aktiviti amal membantu pertubuhan yang memerlukan, termasuk rumah anak yatim, orang kurang upaya (OKU) serta pusat kebajikan orang tua,” katanya ketika mengetuai lawatan ke Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamad Shukor Ibrahim.

Rombongan selama dua jam itu membabitkan seramai 12 pihak pengurusan tertinggi Proton Holding Berhad dalam usaha mengukuhkan hubungan baik dan kerjasama antara kedua-dua pihak.

Hadir meraikan rombongan ialah Ketua Pegawai Eksekutif NSTP), Datuk Anthony Firdauz Bujang; Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST) Sdn Bhd, Datuk Syed Nadzri Syed Harun dan Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Mahfar Ali

Monday, April 19, 2010

RM10j naik taraf gedung kasut

Oleh Che Wan Badrul Alias
chewan@bharian.com.my
2010/04/20
Inisiatif Bata perkenal jenama produk kepada pengguna di seluruh negara

BATA Shoe Organization, menerusi anak syarikatnya, Bata (Malaysia) Sdn Bhd, akan melabur RM10 juta tahun ini bagi mengukuhkan kehadirannya di pasaran Malaysia dengan menaik taraf antara 24 hingga 40 gedung kasutnya di seluruh negara.

Pengerusinya, Thomas George Bata, berkata pelaburan itu bagaimanapun tidak termasuk peruntukan untuk meningkatkan kadar penembusan produknya di pasaran tempatan yang membabitkan pembukaan kira-kira 10 lagi gedung lagi di Malaysia. Katanya, setakat kini empat daripada 10 gedung berkenaan sudah dibuka iaitu dua di Semenanjung serta masing-masing satu di Sabah dan Sarawak, sekali gus meningkatkan jumlah cawangan syarikat itu kepada 260 di seluruh negara. “Tahun ini, pelaburan di Malaysia lebih kepada memperkenalkan jenama produk kami kepada pengguna tempatan bagi memperbetulkan pandangan umum yang sebelum ini tidak mengetahui Bata turut menawarkan produk berkualiti lain, termasuk segmen wanita dan lelaki.

“Kedai konsep Bata akan menerima suntikan rekaan ala Eropah yang mana ia dilaksanakan dengan tujuan memberikan imej baru mengikut cita rasa pengguna, daripada golongan kanak-kanak sehingga ke peringkat eksekutif,” katanya pada sidang media sempena lawatannya di Malaysia di Damansara Perdana, semalam.

Bata sebelum itu melawat operasi syarikat di Menara Bata dengan diiringi Pengarah Urusan Kumpulan Bata bagi Asia Timur, Marcello Pace dan Pengarah Urusan Bata Malaysia, Luciano Bagnobianchi.

Jenama global bagi kasut itu kini mempunyai 70 syarikat di 60 negara serta memiliki lebih 4,700 gudang di seluruh dunia membabitkan empat konsep iaitu Bata City Stores, Bata Superstores, Athletes World dan gudang keluarga.

Bata menambah, pasaran Malaysia adalah antara yang terpenting di Asia Tenggara yang mana tahun lalu Bata Malaysia menjual hampir sembilan juta pasang kasut, sekali gus hampir menyamai jumlah jualan di Indonesia.

Dengan memberikan nafas baru dalam imej kedai konsepnya, beliau yakin bata dapat menarik minat lebih ramai pelanggan di kalangan golongan muda bagi meningkatkan penguasaan pasaran di Malaysia yang ketika ini sebanyak 11 peratus.

Sementara itu, Pace berkata, Malaysia adalah satu-satunya negara di Asia Tenggara yang dipilih untuk merintis projek pemasaran dalam taliannya yang akan dilancarkan di beberapa negara seluruh dunia, Oktober ini.

Katanya, menerusi laman web itu pengguna bukan saja boleh menempah atau membeli hasil setiap rekaan kasut Bata atau jenama di bawah syarikat itu, malah setiap pembelian turut ditawarkan perkhidmatan penghantaran terus ke kediaman pengguna.

CCM bakal pengeluar baja utama

Oleh Azli Ayob
azliayob@bharian.com.my
2010/04/20
Pembukaan kilang terbaru tingkat pengeluaran kepada 670,000 tan setahun

CHEMICAL Company of Malaysia Bhd (CCM) bakal muncul sebagai pengeluar baja terbesar di negara ini apabila kilangnya di Lahad Datu, Sabah, mula beroperasi pada suku pertama tahun depan sebagai pelengkap kepada dua kilang sedia ada di Shah Alam dan Bintulu.

CCM yang menguasai 30 peratus daripada pasaran baja di negara ini juga mempunyai sebuah kilang memproses baja di Medan, Indonesia bagi memenuhi permintaan daripada sektor perladangan di Sumatera. Pengarah Urusan Kumpulan CCM, Datuk Dr Mohd Hashim Tajudin, berkata pembukaan kilang baja terbaru berharga kira-kira RM60 juta di Sabah itu menjadikan jumlah pengeluaran baja keseluruhan syarikat sebanyak 670,000 tan setahun. “Ini akan menjadikan CCM pengeluar baja terbesar di negara ini, khususnya bagi memenuhi keperluan sektor perladangan sawit,” katanya pada temu bual bersama rakan media Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2010 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, kilang baja CCM di Lahad Datu itu didirikan khusus bagi membekalkan baja bagi keperluan ladang kelapa sawit di Sabah dan Kalimantan Timur.

“Ini berikutan pembukaan semakin banyak ladang kelapa sawit di kedua-dua kawasan ini,” katanya.

Mohd Hashim menambah, perkembangan pesat industri minyak sawit di negara ini dan juga di Indonesia bakal meningkatkan permintaan terhadap baja keluaran CCM.

Katanya, bahagian pengeluaran baja CCM amat bergantung kepada harga minyak sawit mentah (MSM).

“Dilihat daripada harga semasa MSM pada sekitar RM2,500 hingga RM2,800 setan, kami menjangkakan bahagian ini mencatatkan prestasi lebih baik tahun ini berbanding tahun lalu,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, di sebalik pengembangan bahagian pengeluaran baja, sumbangan utama kepada pendapatan kumpulan itu adalah daripada bahagian farmaseutikal.

CCM adalah antara pengeluar ubat-ubatan dan vitamin yang disahkan halal terbesar di negara ini menerusi jenama seperti Champs, Proviton dan Flavettes.

Sementara itu, mengulas pembabitan CCM pada MSAM kali ini, Mohd Hashim berkata, pihaknya akan melancarkan satu program penjagaan kesihatan khusus untuk penduduk luar bandar dan pedalaman di Sarawak.

“Tahap penjagaan kesihatan penduduk pedalaman dan luar bandar tidak sebagus penduduk bandar. Justeru, kami akan melancarkan satu program penjagaan kesihatan luar bandar bagi melengkapi usaha bagi tujuan itu yang dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya

Sunday, April 18, 2010

Pasar raya Giant ke-16 Sabah di Penampang

2010/04/19
GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, pengendali pasar raya Giant mengembangkan lagi pelaburannya dalam sektor peruncitan di Sabah dengan pembukaan pasar raya ke-16 di negeri itu, di Megalong Mall, Donggongon, Penampang membabitkan kos RM20 juta.

Pengarah Pemasarannya, Ho Mun Hao, berkata pelaburan Giant di Sabah bukan saja menyediakan kemudahan peruncitan moden dan selesa, malah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sabah, terutama dalam sektor berasaskan pertanian dan perkhidmatan selain menyediakan pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Giant memberi keutamaan kepada pembekal tempatan untuk membekalkan hampir 90 peratus produk makanan yang dijual di semua pasar rayanya di Sabah. “Langkah ini menjana peluang kepada peniaga dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) membekalkan barangan dan perkhidmatan terutama makanan dan produk segar.

“Ia secara tidak langsung mengembangkan aktiviti ekonomi berasaskan pertanian dan perkhidmatan di negeri ini,” katanya pada majlis pembukaan pasar raya Giant Megalong Mall di Donggongon, Penampang, minggu lalu.

Ho berkata, pasar raya baru itu menawarkan lebih 100,000 barangan merangkumi produk segar, keperluan harian dan barangan pengguna dengan keluasan lantai kira-kira 25,000 kaki persegi, selain dilengkapi kira-kira 700 ruang letak kereta percuma untuk kemudahan pelanggan

ETCM perkenal Navara Calibre 4X2

2010/04/19
EDARAN Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) memperkenalkan model terbaru rangkaian Trak Utiliti Sukan Premium (SUT) Navara, iaitu Navara Calibre 4X2 Automatik.

Sama seperti model Navara 4X4 Automatik yang memenangi pelbagai anugerah, Navara Calibre 4X2 adalah kombinasi prestasi terbaik yang didatangkan dengan gaya lebih berani serta ciri-ciri dipertingkatkan.

Ia dilengkapi enjin berkuasa, tetapi menjimatkan minyak dan mampu menempuh apa saja permukaan jalan sama ada di bandar atau di kawasan pedalaman. ETCM dalam kenyataannya berkata, Navara Calibre 4X2 baru itu didatangkan dalam model enjin diesel 2.5 liter. Enjin itu, katanya, dipadankan dengan transmisi automatik lima kelajuan yang dikawal secara elektronik, membuatkan SUT ini sangat ideal bagi pemanduan di bandar dan lasak.

“Di sebalik penampilan luarnya yang kelihatan maskulin dan agresif, ia menawarkan bahagian dalaman luas serta memberikan keselesaan seperti sebuah kereta,” katanya.

Sementara itu, bagi memastikan keselamatan penumpang, Navara Calibre 4X2 dibina menggunakan konsep ‘Zone Body’ yang menawarkan perlindungan optimum dengan membahagikan kabin kepada ‘zon remuk’ dan ‘zon selamat’.

Ia boleh didapati dalam warna emas istimewa (Desert Gold), selain warna hitam (Supreme Black), perak (Tungsten Silver) dan kelabu (Twilight Gray).

Harga di atas jalan termasuk insurans, cukai jalan, yuran pendaftaran dan yuran tuntutan pemilikan bagi Semenanjung bermula RM89,900 seunit.

Pengarah Eksekutif Edaran Tan Chong Motor, Datuk Dr Ang Bon Beng, berkata syarikat itu yakin Navara Calibre 4X2 akan mendapat sambutan kerana ia sempurna bagi mereka yang mahukan pikap pada harga berpatutan selain menjimatkan minyak.

9Bio cadang bina kilang vaksin halal

Oleh Che Wan Badrul Alias
chewan@bharian.com.my
2010/04/19
Pengeluaran produk dijangka pertama di dunia

NINEBIO Sdn Bhd (9Bio), sebuah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan akan membina kilang pengeluaran vaksin pertama di negara ini di tapak seluas 25.1 hektar di Taman Perindustrian Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.

Selain menjadi kilang terbesar di taman teknologi berkenaan, ia juga bakal muncul kilang vaksin pertama di dunia yang mengeluarkan vaksin halal. Ketua Eksekutif 9Bio, Prof Dr Mohd Azmi Mohd Lila, berkata pembangunan kilang itu akan dibahagikan kepada tiga fasa dengan fasa pertama membabitkan pelaburan antara RM70 juta dan RM80 juta. Katanya, apabila fasa pertama kilang itu beroperasi sepenuhnya, ia bakal menjadi pengeluar pelbagai vaksin penting dan utama di bawah Kementerian Kesihatan bagi menampung keperluan negara sebelum menembusi pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, usaha membina dan mengeluarkan vaksin halal itu adalah langkah proaktif kerajaan untuk menjaga kepentingan rakyat tanpa bergantung kepada negara luar bagi memperoleh bekalan vaksin ketika berlakunya wabak.

“Kita mengambil inisiatif membina kilang yang menepati piawaian itu, cuma bagi mengurangkan beban kos pembangunan yang terlalu tinggi, kilang ini akan dibangunkan mengikut fasa yang mana fasa pertama akan dibina bagi mengeluarkan vaksin untuk keperluan negara dulu,” katanya dalam temu bual bersama Berita Harian minggu lalu.

Mohd Azmi berkata, selain peruntukan kerajaan, pihaknya bercadang meninjau pelabur berpotensi dari dalam dan luar negara untuk bekerjasama membangunkan projek itu pada saiz lebih besar.

“Saiz pengeluaran bergantung kepada peruntukan kerajaan dan kalau ada pelabur yang berminat kita alu-alukan,” katanya yang enggan mengulas tarikh kilang itu bakal beroperasi kerana ia bergantung kepada kelulusan kerajaan.

Sementara itu, sumber memberitahu Berita Harian, Kementerian Kesihatan sudah membeli tanah di kawasan Enstek itu.

Katanya, pembangunan kilang itu adalah antara projek strategik negara membabitkan dua kementerian iaitu Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan serta kerjasama Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Produk SimplySiti ke pasaran ASEAN akhir tahun

Siti Nurhaliza menunjukkan produk kosmetik dan penjagaan kulit jenama SimplySiti.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 18 April 2010 - Produk kosmetik dan penjagaan kulit SimplySiti dijangka berada di pasaran negara-negara ASEAN selepas berjaya mengukuhkan jenama itu sebagai satu produk Malaysia.

Presiden SimplySiti Sdn. Bhd., Datuk Siti Nurhaliza Tarudin berkata, syarikat itu kini sedang melancarkan promosi agresif untuk meletakkan jenama SimplySiti pada landasan kukuh dalam industri kosmetik negara.

''Untuk tempoh dua bulan ini, kita akan melaksanakan pelbagai program promosi untuk memastikan semua wanita menyedari kehadiran SimplySiti di pasaran,'' katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.

Sekiranya proses itu berjaya, SimplySiti Sdn. Bhd. mahu meneroka pasaran Indonesia dan Singapura.

Siti Nurhaliza berkata, mengikut perancangan, SimplySiti akan berada di pasaran kedua-dua negara itu sebelum akhir tahun ini.

Malah, katanya, proses perbincangan mengenai pengedaran dan penjualan SimplySiti juga masih dijalankan, namun tidak menolak kemungkinan akan menjual produk kosmetik dan kecantikan itu sama seperti di Malaysia.

Di Malaysia, produk SimplySiti boleh didapati di lebih 200 cawangan Watson di seluruh negara sementara Jusco tidak lama lagi.

Siti Nurhaliza berkata, tidak hanya Indonesia dan Singapura, syarikat itu turut menimbang untuk memasuki pasaran Timur Tengah dan India pada masa akan datang.

Bagaimanapun, jelas beliau, kosmetik dan produk penjagaan kulit SimplySiti perlu menghasilkan kandungan yang berbeza, mengikut cuaca penduduk di negara terbabit.

''Jadi, perkara-perkara begini perlu diambil kira sebelum kita meluaskan produk ini ke negara lain,'' tambahnya.

Dalam pada itu, Siti Nurhaliza berkata, biarpun SimplySiti tidak sampai sebulan diperkenalkan di pasaran tetapi jualannya sungguh memberangsangkan.

Jelasnya, perkembangan positif itu merangsang SimplySiti Sdn. Bhd. untuk terus memastikan produk berkenaan dijual di lokasi yang tepat untuk memudahkan setiap wanita mencubanya.

Beliau menambah, SimplySiti adalah produk untuk semua dan selaras dengan itu, kosmetik dan rangkaian penjagaan kulit jenama itu dijual pada harga kompetitif, meskipun kualitinya setanding jenama antarabangsa.

Siti Nurhaliza menambah, SimplySiti bakal mengeluarkan minyak wangi tidak lama lagi, selain produk makanan tambahan.

Volvo jadikan Malaysia hab ASEAN

Oleh JOHARDY IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 18 April 2010 - Pengeluar kereta mewah Sweden, Volvo dalam proses memindahkan operasi pemasangan tempatan (CKD) bagi kenderaan sedannya dari Thailand ke Malaysia, seiring dengan matlamatnya menjadikan negara ini sebagai hab pemasangan dan pengedaran kenderaan Volvo di rantau ASEAN.

Presiden Rantau Asianya, Goran Larsson berkata, pihaknya sudah melepaskan kepentingan dalam operasi pemasangan di Thailand dan mula membawa masuk peralatan dan perkakasan yang diperlukan ke negara ini yang dijangka mula beroperasi sepenuhnya tahun depan.

Pada masa ini ujarnya, Volvo memasang empat model kenderaan iaitu S80, S40, V50 dan XC90 di kilang miliknya Swedish Motor Assemblies di Seksyen 15 di sini dan seterusnya akan memasang model XC60, S60 dan V60 kelak.

Menurutnya, keputusan Volvo memilih Malaysia itu adalah sejajar dengan fakta bahawa negara ini adalah pasaran kereta penumpang terbesar di rantau ini.

''Selain itu, kami juga mahu mengambil kesempatan daripada dasar automotif ASEAN mengikut Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) yang bakal membolehkan kereta-kereta kami dijual pada harga yang lebih berdaya saing.

''Malaysia akan menjadi hab bagi Volvo untuk pengedaran di rantau ASEAN," katanya semasa wawancara eksklusif bersama Utusan Malaysia di bilik pameran Volvo di Taman Perindustrian Glenmarie di sini baru-baru ini.

Larsson yang baru ditukar ke Malaysia dari Taiwan pada Ogos lalu berkata, Volvo memiliki 'warisan' yang tebal di Malaysia, malah pihaknya mendirikan kilang di Shah Alam sejak 1965.

Beliau juga maklum bahawa beberapa model seperti Volvo 940 misalnya, cukup popular pada 1990-an, malah digunakan oleh ketua-ketua jabatan kerajaan Malaysia.

''Maka itu, kami perlu menyegarkan kembali jenama ini, ditambah lagi kami sudah memiliki barisan model baru yang segar. Langkah menumpukan operasi CKD ke Malaysia adalah sesuatu yang logik," katanya lagi.

Ditanya mengenai kos pemindahan, beliau bagaimanapun, enggan mengulas lanjut sebaliknya berkata, kosnya tidak begitu tinggi kerana ia membabitkan peralatan sahaja kerana kilang Volvo sudah ada.

''Kilang Volvo di Shah Alam memiliki kapasiti 5,000 kenderaan setahun dan ia belum pun digunakan sepenuhnya," jelasnya.

Ditanya mengenai pengambil alihan automotif China iaitu Geely ke atas Volvo, Larsson berkata, para pelanggan di Malaysia tidak perlu bimbang mengenainya.

''Ini kerana pengerusi Geely sendiri sudah menyatakan model operasi Volvo nanti adalah sama seperti semasa Volvo di bawah kumpulan Ford iaitu bergerak bebas dan diberi fokus dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D)," katanya.

Sunday, April 11, 2010

MAS tambah 5 lagi destinasi ke China

2010/04/12
PENUMPANG Penerbangan Malaysia (MAS) kini boleh mengunjungi lima lagi destinasi di China, selain enam laluan sedia ada ke Guangzhou, Beijing, Shanghai, Kumning, Xiamen dan Hong Kong.

Pengurus Besar Kanan bahagian pengurusan rangkaian dan hasil MAS, Dr Amin Khan, berkata destinasi baru itu ialah Chengdu, Wuhan, Guilin, Nanning dan Changsha yang boleh disambungkan melalui pengurusan perkongsian kod antara MAS dan China Southern Airlines.
Katanya, penumpang yang pergi ke Ghangzhou boleh disambungkan ke lima destinasi baru ini. “Ia lebih mudah sekarang bagi pelanggan kami untuk melawat China. Kerjasama yang dikembangkan dalam perkongsian kami dengan China Southern memudahkan pelanggan kami untuk terbang ke 95 destinasi dari Guangzhou dan 38 dari Beijing.

“Pelanggan juga akan menikmati perkhidmatan yang hebat kerana mereka kini boleh disambungkan terus dengan destinasi terakhir dengan perkhidmatan ‘melalui daftar masuk’ yang ditawarkan, katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, MAS melangkah ke depan bagi menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan di rantau ini dengan menawarkan tambang udara kompetitif kepada pelajar dari Selatan India.

Bagi memenuhi aliran pelajar yang berkembang dari Tamil Nadu, untuk mereka yang ingin mendapatkan kursus yang diiktiraf di peringkat antarabangsa di Malaysia, MAS memeterai satu memorandum persefahaman dengan Pusat Pengajian Malaysia (MSC) – satu bahagian daripada AEC Business School India.
“Sudah pasti dengan inisiatif kerjasama itu, pelajar berkenaan boleh menikmati hubungan yang tidak putus ke Malaysia dengan kadar tambang udara berpatutan bersama dengan insentif tambahan bagi memastikan perjalanan yang selesa.

“Perkembangan ini selaras dengan pendekatan yang mementingkan pengguna bagi menawarkan khidmat dan faedah bernilai melalui penerbangan kami,” kata Pengurus MAS bagi rantau Asia Selatan Azahar Hamid, pada majlis itu di Chennai, semalam.

Menerusi kerjasama itu, pelajar MSC layak mendapat diskaun tambang udara kira-kira 50 peratus bagi penerbangan MAS dengan konsesi tambahan, termasuk elaun lebihan bagasi sebanyak 30 kilogram bagi pelajar kali pertama. - Bernama

Thursday, April 8, 2010

Hong Leong rancang buka 10 cawangan lagi

PUCHONG 8 April 2010 - Hong Leong Bank Bhd. (HLBB) merancang membuka 10 buah cawangan dalam tempoh 18 bulan dengan pelaburan berjumlah RM20 juta.

Kini bank itu mempunyai 186 cawangan di seluruh negara.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Yvonne Chia berkata, pembukaan cawangan baru itu sejajar dengan strategi bank untuk memperluaskan perniagaan dan pengaruhnya di negara ini.

Jelasnya, selain membuka bank baru, peruntukan sebanyak RM20 juta itu membabitkan kerja-kerja pengubahsuaian bank-bank cawangan sedia ada.

"Kami mahu perniagaan berkembang di negara ini sejajar dengan pemulihan ekonomi negara.

"Selain itu, HLBB mahu membuka bank-bank cawangan di kawasan pertumbuhan baru dan berhampiran dengan komuniti,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian dua buah cawangan HLBB di Bandar Puteri Puchong dan Kelana Jaya di sini hari ini.

Hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Eksekutif IOI Corporation Bhd, Tan Sri Lee Shin Cheng.

Ketika ditanya mengenai pertumbuhan dalam segmen pinjaman, pihaknya menyasarkan pertumbuhan sebanyak sembilan hingga 10 peratus tahun ini.

Katanya, kadar itu meningkat berikutan keyakinan orang ramai selain perkhidmatan yang ditawarkan HLBB semakin meluas.

"Kami ingin berkembang secara dalaman (organik) dan memberi perhatian terhadap perbankan pengguna dan korporat,'' ujarnya.

Selain itu, Chia menambah, asas pelanggannya kini sebanyak 2 juta orang di negara ini setakat Mac lalu.

Katanya, pihaknya turut menjangkakan pertumbuhan sebanyak lapan peratus asas pelanggan pada tahun ini.

Naza Group labur RM25j buka pusat servis motosikal

2010/04/09
NAZA Group akan melabur RM25 juta untuk membuka pusat sehenti motosikal “Naza World of Bikes” di setiap negeri yang akan mempamerkan semua jenama motosikal yang dijualnya.

Naib Presiden Eksekutif Operasinya, Datuk SM Zulkifli SM Amin, berkata pembukaan cawangan Naza World of Bikes di setiap negeri yang membabitkan pelaburan kira-kira RM2 juta bagi setiap cawangan kecuali di Lembah Klang, dijangka selesai menjelang suku pertama tahun depan.

Katanya, syarikat merancang membuka cawangan pertama Naza World of Bikes di Pulau Pinang, diikuti Kuala Lumpur, Kota Bharu, Kuantan, Johor Baru dan Melaka. “Untuk Lembah Klang saja, kami merancang membuka lima cawangan Naza World of Bikes,” katanya pada pelancaran motosikal Ducati Hypermotard 796 oleh anak syarikat Naza Group, Next Bike Sdn Bhd di Kuala Lumpur, semalam.

Next Bike dilantik sebagai pengedar motosikal Ducati sejak 2004 dan setakat ini sudah menjual lebih 800 unit motosikal berkenaan.

Hypermotard 796 yang juga model Ducati pertama dilancarkan oleh Next Bike tahun ini, ditawarkan pada harga RM79,000.

SM Zulkifli menambah, walaupun menghimpunkan semua jenama di bawah satu bumbung, setiap jenama motosikal yang dipamerkan di Naza World of Bikes akan menampilkan identiti korporat mereka tersendiri.

Mengenai jualan Ducati, katanya, Next Bike mendapat pengiktirafan sebagai pengedar kedua terbaik di Asia Pasifik dari segi pertumbuhan jualan dan kepuasan pelanggan tahun lalu.

Beliau berkata, tahun lalu Next Bike menjual 92 unit Ducati dan tahun ini menyasarkan peningkatan hampir sekali ganda iaitu 160 unit.

“Sasaran itu mampu dicapai kerana pengeluar motosikal Ducati di Itali sudah bersetuju untuk memperuntukkan kami dengan jumlah motosikal sebanyak itu,” katanya.

“Kami turut menyediakan pakej pembiayaan menarik untuk bakal pembeli seperti kadar faedah menarik dan tempoh bayaran balik pinjaman yang panjang,” katanya mendedahkan setakat suku pertama tahun ini saja, Next Bike sudah menjual 52 unit motosikal Ducati.

Wednesday, April 7, 2010

Julie's mula bertapak di utara China

Su Chin Hock menunjukkan pelbagai jenis biskut Julie's di Alor Gajah, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



ALOR GAJAH 7 April - Pengeluar biskut jenama Julie's, Perfect Food Manufacturing Sdn. Bhd. kini meluaskan pasarannya ke utara China selepas mula menembusi bahagian selatan republik itu sejak 20 tahun lalu.

Dengan membelanjakan RM5 juta untuk tujuan promosi pada Ogos tahun lalu, Perfect Food Manufacturing yakin mampu menarik pengguna di kawasan tersebut berdasarkan keunikan produk daripada segi bentuk dan rasa.

Pengarah Urusan Perfect Food Manufacturing, Su Chin Hock berkata, penyelidikan yang dilakukan mendapati kebanyakan penduduk di utara China seperti Shanghai, Beijing dan Hangzau lebih menggemari biskut rasa manis.

''Berbeza dengan penduduk selatan negara China, mereka lebih menggemari biskut perisa gandum.

''Walaupun berbeza, keadaan ini memudahkan penjualan biskut keluaran Julie's yang menawarkan pelbagai perisa untuk dijual di pasaran negara tersebut kerana China sebuah negara yang besar," katanya di kilang biskut Julie's di Klemak di sini, hari ini.

Syarikat itu yang mula mengeluar biskut pada 1980 kini menawarkan lapan jenis biskut pelbagai perisa.

Pada sidang akhbar itu, Chin Hock turut mengumumkan lawatan 41 ahli perniagaan dari China yang akan bekerjasama meningkatkan penjualan biskutnya di negara komunis itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya sedang merancang beberapa strategi seperti melakukan demonstrasi rasa sebenar biskut Julie's di pasar raya - pasar raya.

''Kita menyasarkan jualan sebanyak RM20 juta dalam tempoh setahun hingga akhir tahun ini dan mungkin jumlah itu lebih dari apa yang dijangkakan,'' katanya.

AirAsia tawar laluan baru

SEPANG 7 April 2010 - AirAsia, syarikat penerbangan tambang murah, akan memperkenalkan laluan baru dari Pulau Pinang ke Langkawi mulai 13 Mei ini.

Dengan laluan terbaru itu, AirAsia menawarkan tambang serendah RM9.

AirAsia dalam kenyataannya di sini berkata, tawaran bagi tempoh empat hari mulai 8 hingga 11 April itu, hanya boleh dibeli secara eksklusif dalam talian www.airasia.com bagi penerbangan mulai 13 Mei hingga 13 Februari 2011.

Sebagai tambahan, airasiago.com turut menawarkan hotel dari serendah RM100 semalam untuk hotel bertaraf tiga hingga lima bintang yang mengambil bahagian dalam promosi berkenaan.

Hotel-hotel tersebut adalah Hotel Eagle Bay, Hotel Grand Continental Langkawi, Bayview Hotel Langkawi dan Rebak Island Resort Langkawi.

Buat masa ini, Pulau Pinang menerima 123 penerbangan domestik dan antarabangsa seminggu termasuk dari negeri itu ke Kuala Lumpur, Kuching, Kota Kinabalu dan Johor Bahru.

Manakala penerbangan antarabangsa pula Bangkok, Jakarta, Medan, Hong Kong, Macau, Singapura dan Chennai.

WRS mahu keluarkan produk di Malaysia

KUALA LUMPUR 7 April 2010 - Worldwide Retail Store S.L., (WRS) merancang menghasilkan produk- produk seperti pakaian, buku dan beg berjenama National Geographic di Malaysia dalam tempoh setahun atau dua tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Pere Matamales berkata, pada masa ini, produk-produknya direkabentuk di Eropah tetapi dikeluarkan di China sebelum diedarkan ke kedai-kedai di seluruh dunia.

Beliau berkata, rancangan itu sejajar dengan hasratnya untuk membuka antara 30 hingga 40 kedai National Geographic pada tahun ini.

"Kami mempunyai pengeluaran cukup untuk mula mengeluarkan produk di Asia," katanya selepas pembukaan kedai National Geographic di Lot 10, di sini hari ini.

Worldwide Retail Store merupakan rakan niaga Persatuan National Geographic yang berpusat di Barcelona, bertanggungjawab mengendalikan kedai National Geographic di seluruh dunia.

Matamales berkata, pihaknya memperuntukan kira-kira euro U7 juta (RM29.4 juta) untuk pelaburan jangka panjang bagi tujuan pengembangan operasi.

Katanya, dalam dua tahun ini, pihaknya mahu mengukuhkan kedudukan di Eropah dan Asia serta mula meneroka pasaran Amerika Latin.

"Pada tahun ini, kami akan membuka kedai-kedai di Mumbai, India pada bulan Jun; Sau Paulo, Brazil (September) dan mungkin Mexico, Chile dan Argentina, kedai utama di Barcelona, Sepanyol sebelum akhir tahun serta beberapa buah lagi di kebanyakan lapangan terbang di Sepanyol.

"Sementara itu, pada tahun depan kami mahu membuka kedai di Panama dan seterusnya mengembang ke Itali, Jerman, kedai induk di Tokyo, Jepun dan New York, Amerika Syarikat," jelas beliau.

Di China, katanya, WRS sedang memajukan dan berbincang dengan beberapa pihak-pihak yang terlibat dalam peruncitan untuk membuka beberapa ratus kedai kecil dengan keluasan bersaiz kira-kira 100 meter persegi.

"Kami bercadang membuka empat kedai utama menjelang tahun ini di Shanghai dan Dalian dengan keluasan 3,000 meter persegi dan di Shenzhen (9000 meter persegi) yang merangkumi sebuah muzium, ruangan interaktif dan kafe," ujarnya.

Menurut Matamales, pihaknya menjangka antara 40 hingga 45 peratus sumbangan dari Asia terhadap perolehan syarikatnya.

"Asia adalah pasaran terbesar di dunia dan dijangka menjadi nombor satu. Kami mahu mempunyai kehadiran di hampir semua negara di rantau itu," tegasnya.

Mengenai kedai di Lot 10, beliau menjelaskan, ia merupakan kedai kedua di Asia dan keempat di dunia selepas Regent Street di London, United Kingdom; Vivo City, Singapura dan lapangan terbang di Malaga, Sepanyol.

"Kedai ini dibuka secara usaha sama dengan YTL Corporation Bhd. yang lazimnya, kami memegang kira-kira 33 peratus kepentingan sebagaimana kerjasama dengan pihak lain dari negara lain.

"Ia meliputi kawasan seluas 450 meter persegi, menampilkan ruang runcit serta ruang pameran dan kafe ala Sepanyol yang menyajikan hidangan lazat," tambahnya.

Sehingga kini, Persatuan National Geographic mempunyai lebih 360 juta ahli dari seluruh dunia menerusi rancangan televisyen, program dalam talian dan majalahnya.

TM perkenal perkhidmatan iTalk Whoa

Oleh Che Wan Badrul Alias
chewan@bharian.com.my
2010/04/08
Pelanggan ditawar kadar serendah 11 sen seminit bagi panggilan antarabangsa guna internet

TELEKOM Malaysia Bhd (TM), menambah nilai perkhidmatan prabayar iTalk dengan memperkenalkan iTalk Whoa, yang menawarkan panggilan antarabangsa pada kadar serendah 11 sen seminit menerusi internet.

iTalk Whoa, adalah laman web khas yang berfungsi bagi memudahkan pengguna membuat panggilan, menghantar SMS dan emel serta kemudahan interaktif lain, termasuk rangkaian sosial tersendiri. Naib Presiden Eksekutif Pengguna TM, Jeremy Kung, berkata menerusi pengenalan tambah nilai pada perkhidmatan iTalk itu, pihaknya menyasarkan untuk memperoleh 500,000 pengguna iTalk menjelang akhir tahun.

Katanya, pengenalan kemudahan baru itu menepati cita rasa pengguna, khususnya golongan muda dan eksekutif profesional yang lebih cenderung menggunakan saluran internet untuk berhubung dan membuat panggilan antarabangsa.

“Bagi menarik golongan ini, kami menawarkan panggilan komputer peribadi (PC) ke PC percuma, panggilan ke seluruh negara serendah 18 sen seminit dan kadar panggilan antarabangsa terendah meliputi 79 negara.

“Kewujudan banyak ‘hotspot WiFi’ dan kemudahan jalur lebar antara elemen penting yang mengukuhkan keyakinan kami untuk me-wujudkan perkhidmatan ini,” katanya pada pelancaran perkhidmatan baru itu di Petaling Jaya, semalam.

iTalk Whoa turut menawarkan kadar SMS dari PC sebanyak 10 sen untuk setiap SMS tempatan, manakala 60 sen untuk setiap SMS antarabangsa. Panggilan antarabangsa bermula serendah 11 sen.

Selaian itu, TM turut melancarkan kempen dengan menawarkan kredit iTalk percuma bernilai RM5 kepada 8,000 pengguna terawal yang berdaftar untuk mencuba laman web iTalk Whoa yang boleh diakses menerusi www.italkwhoa.com.

Kung berkata, perkhidmatan iTalk Whoa itu akan dibangunkan dalam fasa kedua menjelang suku ketiga tahun ini bagi menawarkan pelbagai perkhidmatan interaktif menarik lain, termasuk panggilan Video dan e-dagangan.

Katanya, perkhidmatan ini akan dibangunkan dengan kerjasama dengan syarikat lain, khususnya bagi memenuhi keperluan dan permintaan pasaran.

BMW unjur jualan Siri X meningkat 20 peratus

Oleh Ahmad Fiesal Othman
fsal@bharian.com.my
2010/04/08
Model terbaru BMW X1 dijangka paling dapat sambutan

BMW Malaysia Sdn Bhd menjangka jualan kenderaan BMW Siri X di negara ini akan meningkat 20 peratus tahun ini berikutan pengenalan model terbarunya BMW X1.

Pengarah Urusannya, Geoffery Briscoe, berkata BMW X1 yang direka bagi memenuhi keperluan gaya hidup moden, adalah sebuah Kenderaan Aktiviti Sports (SAV) yang menumpukan kepada elemen kenderaan sports kontemporari, bergaya, ruang dalaman premium serta prestasi enjin yang unggul dengan kecekapan bahan api yang mengagumkan. Beliau berkata, BMW X1 yang diramalkan menjadi model paling mendapat sambutan di kalangan rangkaian BMW siri X, juga dijangka menetapkan penanda aras contoh baru kepada kenderaan yang mengeluarkan asap rendah di Malaysia kerana ia adalah yang pertama seumpamanya melepaskan karbon dioksida di bawah 170 gram bagi setiap kilometer.

“Ia sebuah SAV yang memberi kepuasan kepada pemandu, pada masa sama menjimatkan serta mengurangkan pencemaran alam sekitar,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran BMWX1 di Kuala Lumpur, semalam.

Pelancaran BMW X1 terbabit disempurnakan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Beliau berkata buat masa ini, BMW X1 didatangkan dengan enjin diesel iaitu BMW X1 xDrive20d. Ia ditawarkan pada harga atas jalan RM299,800 termasuk pakej BMW Service dan pembaikan selama tiga tahun.

BMW Malaysia merancang memperkenalkan enjin petrol BMW X1 sDrive menjelang Jun ini yang akan ditawarkan pada harga harga atas jalan RM263,800.

Briscoe berkata, selain perspektif kejuruteraan dan keselamatan, BMW X1 juga meraih pengiktirafan bagi reka bentuk kontemporarinya dan adalah sebuah daripada enam model yang dibangunkan BMW Group yang menerima anugerah Red Dot, iaitu anugerah utama di dunia bagi mengiktiraf reka bentuk produk yang hebat untuk pelbagai sektor daripada automotif hinggalah kepada seni bina, barangan rumah dan peralatan elektronik kediaman, sains hayat dan perubatan.

“BMW X1 xDrive20d serba baru ini memaparkan teknologi diesel terkini BMW dengan enjin turbo Diesel 2 liter empat silinder yang sangat berkuasa, manakala BMW X1 sDrive18i yang menggunakan pacuan belakang memiliki enjin petrol 1.8 liter,” katanya.

Tuesday, April 6, 2010

Meterai pakatan baharu

Mohd. Khamil Jamil Pengarah Urusan DRB-HICOM Bhd

--------------------------------------------------------------------------------

SHAH ALAM 6 April 2010 – DRB-HICOM Bhd. (DRB-HICOM) kini memasuki fasa baharu perkembangan operasinya apabila menjalinkan kerjasama strategik dengan Potenza Sports Car Ltd. (PSC) dari United Kingdom untuk mengimport dan mengedarkan kereta sport jenama Potenza di rantau Asia Pasifik.

Kerjasama itu terjalin dengan termeterainya memorandum persefahaman hari ini antara DRB-HICOM dengan PSC, pereka dan pengeluar kereta sports jenama Westfield dan GTM (gambar) yang dipasarkan di seluruh dunia.

‘‘Perjanjian itu juga membolehkan kedua-dua pihak mengadakan kajian teknikal dan komersial untuk melihat sebarang kemungkinan untuk mengeluarkan kereta sports Potenza bagi pasaran Asia Pasifik,’’ kata Pengarah Urusan Kumpulan itu, Datuk Seri Mohd. Khamil Jamil dalam kenyataannya di sini.

Beliau menjelaskan, kerjasama itu akan membuka jalan kepada DRB-HICOM menjadi pengimport eksklusif, pengeluar dan pengedar kereta sport Potenza termasuk kenderaannya yang berkuasa elektrik atau hibrid bagi pasaran pemanduan sebelah kanan di rantau ini.

Mohd Khamil berkata, pakatan itu juga menyaksikan kemungkinan pihaknya menjadi rakan untuk projek pembangunan kenderaan baru termasuk memperoleh komponen tempatan serta mendapatkan faedah insentif yang disediakan oleh kerajaan.

‘‘Kedua-dua pihak akan meneroka pelbagai kemungkinan dalam kerjasama ini dan kami begitu positif terhadap keputusannya,’’ kata beliau lagi.

Mohd Khamil memberitahu Utusan Malaysia, apa yang menjadi minat Kumpulan DRB-HICOM adalah teknologi dan juga hak pengeluaran secara bersama di negara ini serta pemasarannya di peringkat serantau.

‘‘Pembangunan teknologi yang berlaku akan dapat meningkatkan usaha pembangunan dan penyelidikan (R&D) serta penghasilan komponen tempatan,’’ jelas beliau.

Mohd Khamil menjangkakan, kerjasama kedua-dua pihak akan bermula pada suku ketiga tahun ini dengan kos permulaan bersama berjumlah RM25 juta sebelum usaha R&D dilaksanakan sepenuhnya.

‘‘Potenza telah memajukan teknologi kereta elektrik sambil turut memiliki prototaipnya sekali. Insya-Allah, teknologi ini juga merupakan sebahagian daripada pakej kerjasama kami,’’ tambah beliau.

Sementara itu, Pengarah Urusan Westfield Sportscars, Julian Turner yang optimis dengan kerjasama itu berkata, dengan penggunaan infrastruktur pengeluaran dan pengedaran DRB-HICOM, kombinasi jualan dijangka mampu meningkat lima kali ganda berbanding keluaran semasa sebanyak 400 buah kereta setahun dalam tempoh tiga tahun lagi.

Sebelum ini, Kumpulan DRB-HICOM telah menjalinkan kerjasama strategik dengan beberapa peserta global dan kini mengedar dan memasang kenderaan jenama asing seperti Audi, Mercedes Benz, Honda, Suzuki, Mitsubishi, Isuzu dan Mahindra, selain Proton dan Hicom Perkasa.

Jenama-jenama kenderaan itu berjaya menguasai 18 peratus daripada jumlah keseluruhan industri.

Sunday, April 4, 2010

Pepsi laksana penjenamaan semula

KUALA LUMPUR 4 April 2010 - Jenama minuman ringan, Pepsi kini sedang mengalami fasa penjenamaan semula dengan meletakkan sandaran tahun ini sebagai permulaan kepada 'Dekad Remaja' yang menjanjikan perubahan.

Penjenamaan semula itu dengan moto 'Dunia Lebih Segar' (Refresh your World) menunjukkan perubahan yang dibuat serta rekaan semula logo menjadikan salah satu langkah permulaan transformasi.

Pengurus Pemasaran Minuman Ringan Pepsico (Malaysia) Sdn. Bhd., Melati Abdul Hai berkata, pasaran remaja berubah bagi setiap generasi, oleh itu Pepsi juga perlu menilai dan menterjemah semula bagaimana untuk berhubung dengan pelanggan utama mereka.

''Kami sentiasa melihat ke hadapan dan memastikan jenama Pepsi terus relevan, menyeronokkan dan berkesan.

''Ia merupakan isyarat visual kepada semua pelanggan. Proses penjenamaan semula di peringkat global dimulakan pada penghujung tahun lalu dan merupakan pelbagai inisiatif strategi untuk meningkatkan perolehan dan penguasaan pasaran,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai penjenamaan semula Pepsi di sini baru-baru ini.

Hadir sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Permanis Sdn. Bhd. (Permanis), Erwin Selvarajah dan Pengurus Pemasaran Permanis Sandilands Sdn. Bhd. Hemalatha Ragavan.

Permanis merupakan pemegang francais utama yang membotolkan dan mengedar Pepsi di Malaysia.

Tambah Melati, Pepsi akan meneruskan pelbagai inisiatif untuk membina tradisi mereka dengan menyokong program berkaitan remaja seperti bola sepak dengan pelbagai projek menarik pada tahun ini.

''Selain itu, Pepsi juga terkenal dengan personaliti terkenal sama ada tempatan atau antarabangsa yang membawa jenama produk kami dan pada dalam masa terdekat ini Pepsi akan memperkenalkan personaliti baru bagi penjenamaan semula Pepsi.

''Kami percaya dengan pengenalan personaliti ini dapat membantu menarik lebih banyak lagi penggemar dan pelanggan Pepsi,'' katanya.

Jenama Pepsi telah berkembang secara berterusan sejak diperkenalkan pada 1898, dengan logo reka bentuk semula dilakukan pada 1929.

Pada 1929, logo tersebut ditukar lagi dan akhir sekali pada 2007 apabila Pepsi meletakkan lebih daripada 30 latar belakang pada setiap tin.

Reka bentuk tersebut merupakan yang ke-15 bagi jenama identiti Pepsi.

Katanya, pengguna Malaysia yang terbuka dan Pepsi percaya mereka dapat mengetahui logo terbaru ini adalah relevan, menarik dan berkesan.

Melati berkata, Pepsi adalah salah satu jenama dikenali di dunia dan akan terus berkembang dan berinovasi dalam usaha kekal positif kepada pelanggan utama.

Identiti global terbaru ini, merupakan sebahagian daripada proses kreatif dan strategik sejajar dengan falsafah 'Refresh Your World'.

Selain itu, Selvarajah berkata, bagi Permanis mereka akan memperuntukkan sekitar RM6 juta untuk proses penjenamaan semula Pepsi dan ia akan dilakukan pada setiap tahun bagi jenama Pepsi.

''Kami akan memulakan program promosi selepas sambutan perayaan tahun baru Cina dan melalui promosi yang akan dilaksanakan nanti menyaksikan pertumbuhan digit berganda bagi jualan produk tersebut.

''Penguasaan pasaran Pepsi bagi segmen minuman ringan kola adalah sebanyak 35 peratus di Malaysia dan dengan penjenamaan baru ini Permanis menyasarkan pertumbuhan melebihi 10 peratus bagi jualan dan penguasaan pasaran untuk tempoh 12 bulan akan datang,'' jelasnya.

Pada masa ini, produk-produk Pepsi menyumbangkan kira-kira 25 peratus kepada perolehan keseluruhan Permanis.

Bergerak ke hadapan, Permanis menyasarkan untuk mengeluarkan satu hingga dua produk terbaru untuk syarikat mereka selain meneruskan usaha meningkatkan jualan dan penguasaan pasaran bagi produk Pepsi.

Perniagaan, minat dorong Maxis sertai perlumbaan Lotus

SEPANG 4 April 2010 - Peluang perniagaan dan minat mendorong Maxis Bhd. mengambil bahagian sebagai penaja rasmi Perlumbaan Lotus.

Tidak wujud unsur campur tangan politik dalam keputusan yang dibuatnya, kata Ketua Pegawai Operasi Maxis, Jean-Pascal Van Overbeke, kepada pemberita semasa majlis makan tengah hari bersama media di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Syarikat-syarikat Malaysia haruslah membantu satu sama lain, lebih-lebih lagi apabila melibatkan maruah negara, katanya.

Beliau berkata, syarikat itu menerima banyak respons positif terhadap penglibatannya dalam Formula One dan merasa pasti ini akan membawa faedah kepada Maxis dan pelanggannya.

Formula One biasanya menarik 400 juta hingga 600 juta peminat yang menonton televisyen di seluruh dunia, menjadikannya acara sukan global yang menarik jumlah penonton ketiga terbesar selepas Piala Dunia FIFA dan Sukan Olimpik.

Maxis adalah penyedia perkhidmatan komunikasi terkemuka Malaysia dengan lebih 12.3 juta langganan mudah alih setakat akhir 2009.

"Kami amat komited, bukan sahaja menaja malah juga dari aspek pertukaran teknologi, kejuruteraan, penyelidikan dan pembangunan, dan segalanya," kata Van Overbeke.

Sejak 2009, Maxis telah menjadi penyedia rasmi perkhidmatan sambungan tepat masa jalur lebar besar yang boleh dipercayai dan berkelajuan tinggi bagi SIC , yang membolehkan ahli-ahli pasukan perlumbaan berkomunikasi dengan lancar.

Naib Presiden dan Ketua Bahagian Perniagaan Enterpris Maxis, Fitri Abdullah berkata, permintaan bagi sambungan daripada kumpulan media serta pasukan yang mengambil bahagian amat menggalakkan.

"Tahun lepas, kami mula memasang wayar gentian optik di Litar Sepang. Tahun ini kami menandatangani kontrak lima tahun sebagai pemasang wayar utama.

"Sepang juga merupakan litar Formula One pertama yang menggunakan Internet metro," jelasnya.

Bagi pelanggan Maxis, Ketua Perkhidmatan Pembangunan Produk dan Perkhidmatan Infohiburan Maxis, T. Kugan berkata, mereka akan menerima capaian serta merta kepada berita dan maklumat Perlumbaan Lotus serta prestasi pasukan melalui peranti mudah alih dan komputer mereka.

Mereka boleh menikmati perkhidmatan ini pada bila-bila masa dan di mana sahaja melalui peringatan SMS/MMS, jalur lebar serta melalui portal khas Maxis, Malaysian GP Wap Portal. - BERNAMA

Flora Bliss bangunkan kediaman eksklusif dalam bandar

KUALA LUMPUR 4 April 2010 - Syarikat pegangan pelaburan pembangunan, Flora Bliss Property Development Sdn. Bhd,. (Flora Bliss) merancang melaksanakan lagi projek kediaman eksklusif dalam bandarnya selepas berjaya membangunkan projek pertamanya, The Pearl@KL City Centre.

Projek The Pearl@KL City Centre yang berharga RM793 juta mendapat sambutan menggalakkan.

Jurucakap jualan Flora Bliss, Siti Mariam Mohd. Desa berkata, pembangunan projek seumpama itu, menjanjikan pulangan menarik selain mencipta imej dan prestij pembangunan terbaik di ibu kota.

Beliau berkata, sentimen pembeli pada waktu ini juga semakin positif terhadap konsep kediaman mewah dalam bandar khususnya di kalangan ahli perniagaan, profesional, para pelabur dan sebagainya.

"Pembangunan kediaman dalam bandar kami berbeza kerana menampilkan ruang yang luas, moden dan kontemporari selain lokasi pembangunan juga strategik iaitu terletak di ibu kota,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Flora Bliss adalah syarikat usaha sama pelaburan tiga institusi kewangan di bawah konsep musyarakah melibatkan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat), Kuwait Finance House Bhd. (KFH) dan Inai Berkat Sdn. Bhd.

Siti Mariam berkata, projek The Pearl yang bermula awal tahun lalu dan dijangka siap pada tahun depan.

The Pearl@KL City Centre setinggi 41 tingkat mengandungi 178 buah kediaman yang mempunyai keluasan daripada 288.8 meter persegi (3,109 kaki persegi) sehingga 1,030.01 meter persegi (11,087 kaki persegi).

Harga terendah yang ditawarkan melalui The Pearl@KL City Centre adalah dari RM2.5 juta hingga RM31.6 juta sebuah.

Kondominium mewah turut menawarkan empat buah rumah penthouse.

Bagi penthouse berkeluasan 739.34 meter persegi, dua buah kediaman itu ditawarkan pada harga RM22.67 juta sebuah manakala bagi 1,030.01 meter persegi, dua buah kediaman ditawarkan pada harga RM31.60 juta sebuah.

Siti Mariam berkata, pihaknya menyasarkan untuk menjual semua kediaman yang ditawarkan sehingga akhir tahun ini.

Katanya, sambutan itu digalakkan oleh keyakinan ramai terhadap pemulihan ekonomi tempatan.

"Sehingga kini, 60 peratus daripada 178 buah kediaman sudah dijual dan 40 peratus lagi dijangka dapat dihabiskan sehingga akhir tahun ini.

"Sebanyak 70 peratus pembeli merupakan rakyat tempatan manakala 30 peratus lagi warga asing,'' ujarnya.

Siti Mariam berkata, selain melantik penasihat pemasarannya iaitu Pan-Asia Property Management Sdn. Bhd., Flora Bliss merancang mengadakan siri jelajah Asia bagi mempromosi The Pearl@KL City Centre di persada antarabangsa.

Sehingga kini, katanya, Flora Bliss sudah mengadakan jelajah ke India dan menyaksikan sambutan yang baik daripada kalangan usahawan dan korporat di sana.

"Kami turut menerima tempahan daripada beberapa orang kenamaan dari negara itu,'' ujarnya.

Selain India, Flora Bliss dijangka akan mengadakan jelajah ke Singapura dan Hong Kong pada suku kedua tahun ini.

Siti Mariam berkata, pihaknya turut merancang mempromosi kediaman mewah itu di Sabah dan Sarawak kerana yakin ramai pembeli berpotensi dari Malaysia Timur yang terdiri daripada ahli perniagaan yang mempunyai pejabat dan urusan di sini.

Doubletree letak sasaran penginapan 70 peratus

Oleh Zuraidah Mohamed
zmohamed@bharian.com.my
2010/04/05
Hotel peruntuk RM500,000 laksana promosi mantapkan jenama

DOUBLETREE by Hilton Kuala Lumpur menyasarkan kadar kunjungan dan penginapan antara 60 hingga 70 peratus dalam tahun pertama operasinya nanti.

Pengurus Besarnya, Ian Barrow, berkata pihaknya memperuntukkan RM500,000 bagi melaksanakan pelbagai strategi pemasaran dan promosi bagi memantapkan kehadiran jenama hotel itu di Malaysia.

Katanya, hotel terletak di Jalan Tun Razak yang sebelum ini dikenali hotel Crown Princess menjalani proses pengubahsuaian membabitkan kos kira-kira RM100 juta yang dilaksanakan MGPA, syarikat perunding pelaburan hartanah di Kepulauan Bermuda. Malaysia adalah pasaran yang dinamik bagi perniagaan serta pelancongan dan dijangkakan terus mengukuh tahun ini, mengambil kira persekitaran ekonomi global bertambah baik.

Justeru, kami yakin penerokaan kami di pasaran negara ini akan mengukuhkan lagi jenama Doubletree by Hilton di Asia Pasifik memandangkan kami sudah membuka empat hotel di China sebelum ini, katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Pemasaran dan Komunikasinya, Cindy Wong.

Barrow berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan menguruskan hotel baru atau sedia ada di Malaysia menerusi jenama Doubletree by Hilton jika ada permintaan kukuh ke arah itu.
Doubletree by Hilton Kuala Lumpur yang akan dilancarkan pada suku kedua tahun ini menyediakan 540 bilik penginapan mewah dengan harga korporat daripada RM350 selain lebih 20,000 kaki persegi ruang mesyuarat dengan dua dewan besar, pusat perniagaan canggih serta lima restoran bagi pilihan pelanggan.

Ia adalah sebahagian projek hartanah bercampur bertaraf dunia The Intermark di Jalan Tun Razak merangkumi podium perniagaan dan menara pejabat mewah yang dijangkakan siap sepenuhnya menjelang akhir 2012.

Hotel berkenaan termasuk dalam rancangan pembangunan dan pengubahsuaian empat mercu tanda di sepanjang Jalan Tun Razak membabitkan Bangunan Empire Tower, City Square, Plaza Ampang dan hotel Crown Princess yang sudah berusia antara 14 hingga 17 tahun.

Keseluruhan projek bernilai RM1.3 bilion yang bakal dikenali sebagai The Intermark itu antara lain akan merangkumi perubahan wajah Empire Tower yang dinaik taraf menjadi bangunan pejabat gred A setinggi 62 tingkat dan akan dikenali sebagai Vista Tower.

Barrow berkata pihaknya juga sedang memberi tumpuan bagi pengambilan 420 pekerja bagi mengisi keperluan hotel itu.

Kami sedang mencari tenaga kerja berpotensi dan memberi tumpuan kepada usaha prapembukaan hotel ini dari segi melatih dan membangunkan pasukan kerja baru untuk menyemaikan budaya unik dan gaya perkhidmatan jenama Dou-bletree by Hilton, katanya.

Hotel Doubletree by Hilton Kuala Lumpur itu adalah di bawah Hilton Worldwide, syarikat hospitaliti terkemuka yang mempunyai 227 hotel dengan 57,650 bilik penginapan di bawah jenama Doubletree dan Doubletree by Hilton di seluruh dunia.

Hilton Worldwide turut mempunyai perancangan membuka 18 cawangan lagi menerusi jenama Doubletree dan Doubletree by Hilton termasuk dua lagi di Asia Pasifik pada masa depan

Cadangan tubuh francais Ar-Rahnu X'Change Brunei

Oleh Che Wan Badrul Alias
chewan@bharian.com.my
2010/04/05
Langkah awal Bank Rakyat buka cawangan perbankan Islam

BANK Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) bercadang mengadakan kerjasama dengan koperasi utama di Brunei bagi menubuhkan francais Ar-Rahnu X'Change di negara terbabit.

Pengarah Urusannya, Datuk Kamaruzaman Che Mat, berkata kerjasama itu adalah langkah awal dalam memenuhi pelawaan kerajaan Brunei kepada Bank Rakyat untuk membuka cawangan perbankan Islamnya di negara berkenaan.

Katanya, pelawaan terbabit disampaikan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketika lawatan kerja beliau ke sana minggu lalu selepas tertarik dengan prestasi dan produk perbankan Islam yang ditawarkan oleh Bank Rakyat. Mengikut perancangan, kami akan mulakan dengan produk Ar-Rahnu iaitu perkhidmatan pajak gadai Islam menerusi kerjasama di antara anak syarikat kami dengan koperasi di Brunei.

Bagi membuka cawangan perbankan Islam pula, kami perlu membuat kajian lanjut kerana tidak mudah bagi bank koperasi untuk membuka cawangan di luar negara, ia memerlukan banyak kelulusan daripada pihak berkuasa, katanya dalam satu temu bual di Kuala Lumpur, kelmarin.

Beliau sebelum itu mengiringi Ismail Sabri merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2010, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Bank Rakyat ketika ini mempunyai 124 cawangan dan 16 rangkaian Ar-Rahnu X'Change di seluruh negara yang semuanya menawarkan produk Pajak Gadai-i Ar-Rahnu.

Mengenai bilangan cawangan francais Ar-Rahnu X'Change yang akan ditubuhkan di Brunei, Kamaruzaman berkata, pihaknya masih mengkaji bilangan yang sesuai dengan pasaran negara ini.

Semuanya akan dikaji dalam lawatan kami ke sana nanti. Kami juga masih belum menyenarai pendek koperasi mana yang akan bekerjasama dengan kami dan akan mengada perbincangan mengenainya dalam masa yang terdekat ini, katanya

Friday, April 2, 2010

JCorp bangun kampus akademi di Kota Tinggi

Muhammad Ali Hashim (tengah) menyaksikan Pengarah Urusan Kulim (Malaysia) merangkap Pengarah Akademi JCorp Ahamad Mohamad (kiri) dan wakil Pengajian Perniagaan Universiti Oxford Dr. Paul Temporal (kanan), bertukar-tukar dokumen di Petaling Jaya, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

PETALING JAYA 2 April 2010 - Johor Corporation (JCorp) akan melabur sebanyak RM23 juta untuk membina kemudahan kampus Akademi JCorp di Ladang Basir Ismail, Kota Tinggi, Johor.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, pembangunan kampus yang memberi tumpuan kepada latihan eksekutif itu akan siap pada 2012.

''Beberapa kemudahan utama seperti dewan kuliah utama dan dewan-dewan kuliah akan siap menjelang Januari 2011. Manakala kemudahan lain akan siap sepenuhnya pada 2012.

''Akademi tersebut telah pun memulakan beberapa program dalaman dan luaran berkaitan latihan eksekutif,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) antara JCorp dan Oxford Said Business School, Universiti Oxford di sini hari ini.

MoA tersebut telah ditandatangani oleh Pengarah Akademi JCorp., Ahamad Mohamad mewakili JCorp manakala Oxford Said Business School diwakili oleh Felo Bersekutu, Dr Paul Temporal.

Muhamad Ali berkata, MoA itu adalah untuk projek penyelidikan Jihad Perniagaan yang merupakan konsep dibangunkan oleh beliau.

''Penyelidikan yang dijangka lengkap pada penghujung tahun ini, dan hasilnya akan dibentangkan di Forum Pemasaran dan Penjenamaan Islam Global Oxford pada 25 hingga 27 Julai,'' katanya.

Perniagaan Jihad, merupakan sebahagian daripada usaha JCorp meneroka alternatif dalam menjalankan perniagaan berasaskan nilai Islam dan prinsip beretika.

Ini telah menarik minat Oxford Said Business School untuk menjalankan penyelidikan mengenainya dan konsep wakaf korporat dan pelaksanaannya kerana memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti, katanya.

Sementara itu, Temporal berkata, mereka memilih JCorp kerana percaya dengan keunikan perniagaan mereka terutama dalam penjenamaan Islam.

''Kami mungkin akan melanjutkan kerjasama ini dengan memeterai memorandum persefahaman (MoU) pada masa hadapan yang juga akan melibatkan program-program lain,'' katanya.

KL Healthcare rancang buka 3 cawangan baru

Oleh Ahmad Fiesal Othman
fsal@bharian.com.my
2010/04/03
Syarikat tumpu negeri ramai penduduk bagi matlamat jangka panjang

KL Healthcare Sdn Bhd yang mengkhusus kepada perkhidmatan pencegahan penyakit terutama berkaitan jantung, menyasar untuk membuka tiga cawangan baru dalam tempoh dua tahun akan datang.

Ketua Eksekutifnya, Dr Mohd Rafik Ahmad Marican, berkata tiga lokasi yang dikenal pasti bagi tujuan itu adalah Ipoh, Melaka dan Johor Bahru.

Katanya, pembukaan cawangan baru itu sejajar matlamat jangka panjang syarikat untuk mewujudkan cawangan di lokasi menjadi tumpuan orang ramai serta mempunyai ramai penduduk. Beliau berkata, cawangan baru itu kelak akan dilengkapi kemudahan canggih bagi menawarkan perkhidmatan pencegahan penyakit, tetapi ia lebih bersifat sebagai sokongan kepada pusatnya perkhidmatan utama di Kuala Lumpur.

Daripada tiga cawangan baru terbabit, Ipoh dijangka yang pertama dibuka iaitu menjelang pertengahan tahun ini, katanya pada majlis perasmian KL Healthcare oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir di Kuala Lumpur, semalam.

KL Healthcare yang beribu pejabat di Plaza Sentral Kuala Lumpur diwujudkan dengan pelaburan RM20 j uta, termasuk RM5 juta bagi pembelian peralatan.

Pusat itu yang memulakan operasi sejak Mac 2006, menawarkan pelbagai perkhidmatan pemeriksaan dan pencegahan penyakit seperti pemeriksaan kesihatan menyeluruh, sakit jantung dan pemeriksaan kanser.

Sementara itu, Mukriz berkata Model Ekonomi Baru (MEB) yang dilancarkan Selasa lalu bagi mengubah negara menjadi ekonomi berpendapatan tinggi serta mencapai status negara maju menjelang 2020, mempunyai struktur menyeluruh ke arah memastikan kejayaan pelaksanaannya.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika mengumumkan MEB telah menyatakan dengan jelas pembaharuan strategik bagi merealisasikan program transformasi ekonomi Malaysia ke arah melonjakkan kualiti hidup rakyat semua kaum.

Bagi saya MEB mempunyai tafsiran lengkap untuk dijayakan yang mana dalam pelaksanaannya kita ada Gagasan 1Malaysia di atas dan disokong oleh Bidang Keberhasilan Utama (NKRA), Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dan MEB, manakala asasnya ialah Rancangan Malaysia Ke-10 dan Ke-11, katanya.

Beliau berkata, MEB mempunyai keseimbangan kerana selain menekankan pertumbuhan ke arah meningkatkan pendapatan perkapita rakyat, ia turut memberi perhatian rakyat berpendapatan rendah yang mewakili 40 peratus penduduk tidak terpinggir daripada arus perdana.

Mukriz berkata, cara penetapan MEB yang mengambil kira maklum balas pelbagai pihak adalah langkah luar biasa dan permulaan yang baik kepada Malaysia.

Thursday, April 1, 2010

MAHB lancar pelan lima tahun

2010/04/02
MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) melancarkan pelan lima tahun hala tuju perniagaannya yang menyaksikan pengenalan tiga teras utama untuk mencapai wawasan sebagai pengendali perniagaan lapangan terbang bertaraf dunia.

Teras berkenaan ialah:
•Meningkatkan jumlah tahunan penumpang domestik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kepada 60 juta menjelang 2014 dengan fokus memantapkan lapangan terbang itu sebagai hab generasi penerbangan masa depan; •Menyediakan perkhidmatan terbaik dengan mengekalkan tahap kualiti perkhidmatan paling tinggi dan cemerlang berbanding pengendali lapangan terbang terbaik di seluruh dunia; dan


•Pelan pembangunan komersial sebagai pemacu utama mencapai pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan amortisasi (Ebitda) melebihi RM1 bilion, serta pulangan ke atas ekuiti sebanyak 10 peratus.

Pengarah Urusan MAHB, Tan Sri Bashir Ahmad Abdul Majid, berkata pelan hala tuju yang bermula tahun ini dan berakhir 2014 itu, merangkumi beberapa aktiviti pembangunan pengurusan dan operasi lapangan terbang di dalam dan luar negara.

Beliau berkata, selain peningkatan dalam Ebitda, di akhir pelan itu pada 2014, MAHB menjangka pendapatan kumpulan turut meningkat melebihi RM3 bilion.
“Jika pemulihan dilihat di dalam pasaran kebelakangan ini berterusan pada tahun akan datang, syarikat turut berupaya mencatatkan pertumbuhan penumpang lebih tinggi daripada 60 juta seperti yang diunjurkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran pelan hala tuju lima tahun perniagaan MAHB yang dinamakan ‘Landasan Menuju Kejayaan: Membina Satu Perniagaan Lapangan Terbang Dunia 2010-2014’ di Kuala Lumpur, semalam.

Pelancaran itu disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin yang mewakili Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. Hadir sama Pengerusi MAHB, Tan Sri Dr Aris Othman.

Bashir berkata, pelan hala tuju itu bertujuan mewujudkan satu model perniagaan kukuh untuk pengembangan melangkaui Malaysia.

“Kami sedang mengkaji peluang perniagaan di seluruh dunia sambil merancang bagi melakukan pengambilalihan di masa depan,” katanya.

Beliau berkata, melalui aspirasi untuk membina ‘Perniagaan Lapangan Terbang Berkelas Dunia,’ MAHB perlu menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam memaksimumkan pendapatan dari aktiviti bukan aeronautika.

Justeru, katanya, MAHB kini sedang mencari pemaju hartanah untuk dijadikan rakan strategik bagi memajukan 1,105 hektar daripada 8,966 hektar simpanan tanah miliknya di sekitar KLIA.

“Kami menjangka dapat memuktamadkan rakan strategik untuk pembangunan tanah itu menjadi antara lain seperti kompleks komersial sebelum hujung tahun ini,” katanya