Thursday, May 27, 2010

Compugates teroka bidang penanaman pokok gaharu

2010/05/28
SYARIKAT berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi, Compugates Holdings Bhd mempelbagaikan perniagaannya dengan meneroka bidang penanaman gaharu.

Menerusi anak syarikatnya, Compugates Marketing Sdn Bhd, ia akan menanam kira-kira 27,000 pokok gaharu di tanah seluas 54 ekar di Kuala Kangsar, Perak. Pengarah Urusan Compugates Marketing, Goh Kheng Peow, berkata syarikat itu memutuskan meneroka bidang perniagaan berkenaan berikutan potensi besar pasaran dan produk berasaskan gaharu yang mana ketika ini negara pengeluar hanya mampu membekalkan kira-kira 30 peratus daripada keperluan dunia. “Justeru, pembabitan kami dalam bidang ini dijangka mampu menjana pulangan tinggi kepada syarikat pada masa akan datang,” katanya pada majlis memeterai perjanjian dengan Envirotech Management Sdn Bhd di Petaling Jaya, Selangor, semalam.

Compugates Marketing diwakili Pengerusi Compugates Holdings, Tan Sri Asmat Kamaludin, manakala Envirotech Management oleh Pengarah Urusannya, David Ho Kwan Meng.

Menerusi perjanjian itu, Envirotech Management akan menyediakan perkhidmatan lengkap mengenai keseluruhan aspek perniagaan berkaitan gaharu kepada Compugates Marketing.

Goh berkata, Compugates Marketing akan menanam kira-kira 500 pokok gaharu bagi setiap ekar ladangnya di Kuala Kangsar yang mana nilai setiap pokok ketika dituai pada usia lima tahun dianggarkan antara RM3,000 hingga RM6,000 bergantung kepada kualiti.

Cargill labur RM162 juta bina kilang baru

27/05/2010 3:33pm


PELABUHAN KLANG 27 Mei 2010 - Cargill Palm Products Sdn. Bhd. (Cargill), syarikat penapis dan pengeluar produk nilai tambah minyak sawit serta sayuran akan meningkatkan kapasiti pengeluarannya sebanyak 950,000 tan metrik setahun apabila kilang terbaharunya beroperasi sepenuhnya pada pertengahan tahun depan.

Jangkaan itu berdasarkan memorandum persefahaman yang dimeterai Cargill dan pihak berkuasa Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) berhubung pajakan tanah seluas 8.1 hektar di sini bagi tempoh 30 tahun. - Utusan

Wednesday, May 26, 2010

Alstom sertai pasaran solar

KUALA LUMPUR 26 Mei - Alstom, syarikat pemimpin global dalam perkhidmatan dan peralatan penjanaan berkata, ia akan melengkapkan portfolio kukuhnya dalam tenaga boleh diperbaharui, menerusi usaha sama dengan BrightSource Energy Inc. untuk memasuki pasaran tenaga solar yang mencatatkan pertumbuhan tinggi.

Alstom mengumumkan ia akan melabur sehingga US$55 juta (RM176 juta) dalam BrightSource, kepentingan ekuiti yang akan meletakkannya sebagai antara pemegang saham utama dalam syarikat.

Ia adalah hasil daripada suntikan modal sebanyak US$150 juta (RM480 juta) oleh BrightSource.

Syarikat milik persendirian itu ialah pakar dalam mereka bentuk, membangun dan mengurus operasi loji tenaga termal solar berasaskan menara dengan operasi di Australia, Amerika Syarikat dan Israel.

Presiden Alstom Power, Philippe Joubert berkata: "Menerusi perjanjian ini, Alstom dan BrightSource berhasrat menjalin hubungan industri yang bermakna yang akan meningkatkan kedudukan BrightSource sebagai pemimpin dalam pasaran tenaga solar,".

Keupayaan Penyepadu loji Alstom, kejuruteraan terbukti, pemerolehan dan kemahiran pembinaan dan asas pelanggan globalnya, akan membantu BrightSource menjadikan tenaga solar berkos efektif dan bahan api fosil dengan memajukan, membangunkan, memiliki dan mengurus projek tenaga solar berskala besar yang boleh dipercayai dan berkos efektif, katanya dalam satu kenyataan.

Jourbet berkata, usaha sama dengan BrightSource merupakan usaha baharu dalam strategi tenaga bersih Alstom.

Beliau berkata, teknologi perintis tenaga termal menara solar BrightSource melengkapkan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui Alstom, yang dibangunkan atas kekuatan dalam penyelesaian hidro, geotermal, angin, tenaga ombak, biomas dan sisa kepada tenaga.

Teknologi BrightSource menggunakan beribu-ribu cermin untuk memantulkan cahaya matahari ke atas puncak menara penerima berpusat untuk menghasilkan haba suhu tinggi pada tahap kecekapan tenaga yang paling tinggi.

Haba kemudiannya disalurkan ke dalam turbin haba dan penjana yang menghasilkan tenaga elektrik. Ini disebabkan teknologi menara BrightSource boleh beroperasi pada julat suhu haba tertinggi, sistem itu memperoleh manfaat daripada kecekapan dan prestasi tertinggi dan oleh itu menghasilkan teknologi solar pada kos paling rendah bagi setiap MW.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden BrightSource, John M. Woolard berkata: "pelaburan Alstom dalam BrightSource membuktikan peranan penting teknologi Luz Power Tower kami dalam memenuhi permintaan global untuk kecekapan, kebolehpercayaan tinggi serta keupayaan industri dan tenaga bebas karbon selain komitmen perkongsian kami dalam kepimpinan inovasi dan alam sekitar yang menjadikannya sesuai secara semula jadi.

"Kami menyambut baik Alstom dan kami menunggu untuk memperkukuh hubungan ini ketika kami terus berkembang dalam pasaran solar Amerika Syarikat dan peluasan di peringkat antarabangsa," katanya. - BERNAMA

Projek Casabella dijangka dapat sambutan baik

KUALA LUMPUR 26 Mei 2010 - Bertam Alliance Bhd. optimis bahawa projek banglo mewahnya, Casabella, di Kota Damansara, akan terjual kesemuanya berdasarkan sambutan sehingga ini.

Pengerusi Eksekutifnya, Ng Sing Hwa berkata, pelancaran tidak rasmi projek itu dilaksanakan dua bulan lepas manakala pelancaran penuhnya ditetapkan Julai ini.

"Dengan ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang lebih 5.0 peratus bagi tahun ini, kami optimis bahawa pasaran perumahan akan rancak semula.

"Ini dapat dilihat dari pengumuman baru-baru ini mengenai jualan pasti yang besar yang dicapai oleh sesetengah pemaju utama di negara ini.

"Keadaan pasaran perumahan semasa sudah tentu baik bagi pelancaran Casabella," katanya kepada para pemberita selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) kumpulan itu di sini hari ini.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2009, Bertam mencatatkan keuntungan pracukai RM4.188 juta berbanding dengan RM5.788 juta yang dicapai sebelum ini.

Perolehannya juga merosot kepada RM39.759 juta berbanding dengan RM45.182 juta sebelum ini.

"Ini adalah berikutan kelewatan pelancaran projek Casabella kerana kesemua keperluan kelulusan diperolehi pada suku terakhir 2009.

"Saya berkeyakinan bahawa berdasarkan perkembangan (pelancaran Casabella) baharu itu, kumpulan itu akan kekal mencatatkan keuntungan bagi tahun kewangan semasa," katanya. - BERNAMA

AirAsia bantu pulihkan Bangkok

2010/05/27
Syarikat lancar kempen serlahkan semula tarikan destinasi tumpuan pelancong

AIRASIA melancarkan kempen untuk membantu Bangkok menghidupkan semula industri perjalanan dan pelancongannya selepas ibu kota Thailand itu dilanda keganasan terburuk yang menyaksikan 85 orang terbunuh dan 1,400 orang tercedera. Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Tony Fernandes, berkata syarikat itu komited untuk membantu Bangkok memikat pelancong dan menyerlahkan semula tarikannya sebagai destinasi tumpuan pelancong dunia. Syarikat penerbangan tambang murah itu akan bergiat memasarkan Bangkok dan tempat tarikan pelancong lain di Thailand dengan menawarkan tambang murah dan promosi menarik dengan slogan ‘It’s OK, Bangkok! AirAsia’s Behind You!’

“AirAsia adalah syarikat penerbangan Asean dan kami merasa bertanggungjawab menyokong komuniti di rantau ini, termasuk Thailand. Kami akan berusaha membantu Thailand pulih,” katanya pada sidang media di Bangkok.

Tony berkata, AirAsia menghadapi banyak krisis sebelum ini, termasuk wabak kesihatan, tsunami dan gempa bumi, tetapi berupaya pulih.

AirAsia akan menawarkan 10,000 tempat duduk percuma ke Bangkok dengan tempoh tempahan lima hari iaitu dari esok dan tempoh perjalanan di antara 7 Jun dengan 31 Ogos, katanya.
Syarikat itu akan juga menggalakkan pelancong berkunjung ke Thailand, melalui laman webnya yang mencatatkan 30 juta pengunjung sebulan.

“Kami juga akan menggunakan pesawat kami untuk memperkenal Thailand tetapi saya tidak boleh memberikan perinciannya kerana ia belum diluluskan,” jelas beliau.

Tony berkata, AirAsia mengendalikan 973 penerbangan seminggu ke 11 destinasi dalam Thailand termasuk Bangkok, Phuket, Chiang Mai, Chiang Rai, Hat Yai dan Krabi.

Katanya, syarikat penerbangan itu yakin 6.2 juta penumpang akan ke Thailand dengan menaiki penerbangan AirAsia tahun ini berbanding enam juta penumpang tahun lalu meskipun dalam keadaan huru hara di negara itu.

Tegasnya, dua juta penumpang menaiki AirAsia ke Thailand dalam suku pertama tahun ini, dan yakin jumlah penumpang akan pulih dalam suku ketiga dan keempat tahun ini meskipun berlaku penyusutan sebanyak lima peratus dalam dua bulan kebelakangan ini.

AirAsia mencatatkan kadar tempat duduk sebanyak 82 peratus dalam suku pertama dan menyasarkan mencapai 78 peratus bulan ini dengan kempen promosi.

“Kami tidak menjangkakan kesan besar kepada unjuran kami disebabkan krisis politik itu. Krisis sentiasa datang dan pergi,” katanya

Sunday, May 23, 2010

Mitraland bangun hotel RM350 juta

Gerrard Guillouet (kiri) bertukar-tukar dokumen perjanjian dengan Chuah Theong Yee sambil diperhatikan oleh Johan Ariffin (tengah) selepas majlis memeterai perjanjian membangunkan hotel dan kediaman di Cheras, baru-baru ini.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 23 Mei - Pemaju hartanah Kumpulan Mitraland kini mengorak langkah menceburi bidang perhotelan apabila membangunkan projek hotel bertaraf tiga bintang di Cheras Selatan, di sini bernilai RM350 juta.

Melalui kerjasama dengan Kumpulan Accor, sebuah konglomerat hotel terkemuka dan pemilik hotel jenama premium seperti Pullman, Sofitel dan Novotel, Mitraland berhasrat untuk menjadikan projek itu yang dikenali sebagai C180 sebagai hotel ekonomi premium.

Pengerusi Mitraland, Datuk Johan Ariffin berkata, selain projek C180, pihaknya sendiri juga merancang untuk melibatkan diri di dalam industri perhotelan di masa depan.

"Industri perhotelan mungkin agak baru bagi kami tetapi melalui kepakaran serta pengalaman di dalam memajukan pelbagai projek hartanah mewah dan sederhana, kami percaya ia akan meningkatkan portfolio kami di dalam indsutri ini pada masa depan," katanya pada pelancaran hotel itu di sini baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Kumpulan Mitraland, Chuah Theong Yee dan Naib Presiden Accor Malaysia, Indonesia dan Singapura Gerrard Guillouet.

Menurut Johan, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk menceburi secara serius di dalam bidang perhotelan jika mendapat tawaran atau mampu menyediakan kemudahan seperti yang dikehendaki oleh industri.

Bagaimanapun, kata beliau, kerja-kerja pengurusan hotel mungkin memerlukan kerjasama pihak lain seperti mana yang dilakukan terhadap Hotel C180 yang diuruskan oleh Kumpulan Accor.

Beliau berkata, projek C180 juga dilihat bakal merubah senario persekitaran selatan Cheras yang sebelum ini dilihat agak ketinggalan berbanding bandar-bandar lain yang berhampiran dengan pusat bandar Kuala Lumpur.

"C180 mengandungi enam komponen utama selain dari hotel terdapat juga projek komersial, peruncitan, pejabat dan kediaman yang mana fasa satu dan dua telah pun habis ditempah," katanya.

Sementara itu, Guillouet berkata, hotel ekonomi premium dijangka menarik antara 60 hingga 65 peratus kadar penginapan apabila hotel itu siap pada suku ketiga 2012 nanti.

Dengan menawarkan 140 buah bilik, beliau berkata, pihaknya masih belum menentukan sebarang harga untuk disewa tetapi berkemungkinan di sekitar RM140 se malam.

"Hotel tiga bintang bertaraf ekonomi premium merupakan yang terbaru diuruskan oleh Kumpulan Accor dan saya teruja untuk melihatnya berkembang dan bersaing di dalam industri nanti," katanya.

Sime Darby bakal distruktur semula

Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
ainul.ahsan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 23 Mei - Sime Darby Bhd. (Sime Darby) sedang menimbang untuk menstruktur semula syarikat konglomerat itu termasuk meneliti semula tumpuan perniagaan terasnya.

Pengerusinya, Tun Musa Hitam berkata, perkara berkenaan dalam perbincangan lembaga pengarah dan setiap pertimbangannya akan dipastikan dilaksanakan secara rasional.

''Memang perkara ini (fokus kepada perniagaan teras) menjadi perkiraan Lembaga Pengarah dan pengurusan. Kita mengkaji semula semua ini (perniagaan teras). Perniagaan teras mungkin ditambah, walaupun saya tidak begitu menyenanginya.

''Penambahan boleh dilakukan tetapi kita mesti tahu rasionalnya. Kita (sudah pun) tahu Sime Darby adalah sebuah syarikat perladangan yang membuat duit dan keuntungan tetapi perniagaan lain yang berkaitan juga perlu diambil kira," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Utusan Malaysia difahamkan sejak lima tahun lalu, Sime Darby telah melupuskan lebih 30 perniagaannya dan berjaya meraih sebanyak RM2.08 bilion.

Ditanya tentang dakwaan bahawa kerugian yang dialami oleh Sime Darby berpunca daripada syarikat konglomerat itu terlalu besar dan hilang tumpuan, Musa berkata, masalah yang timbul dalam Sime Darby, memang sudah pun dijangkakan.

Musa mengakui, beliau pernah menentang cadangan penggabungan Golden Hope Bhd., Guthrie Bhd. dan Sime Darby Bhd. melalui Synergy Drive bagi membentuk sebuah syarikat gergasi di Malaysia.

Beliau menyifatkan cadangan penggabungan itu bukan idea yang baik kerana ia membabitkan satu pembentukan syarikat yang besar.

''Syarikat yang besar akan mewujudkan masalah birokrasi dan pengurusan. Ternyata telahan saya benar dan berlaku sekarang," kata Musa.

Beliau berkata, Sime Darby yang ada sekarang adalah lima kali ganda daripada saiznya yang asal.

Musa berkata, terdapat banyak bekas kegiatan dan perniagaan dalam kumpulan lain terpaksa dimasukkan secara automatik dalam Sime Darby akibat penggabungan itu termasuklah Bahagian Tenaga dan Utiliti yang kini berdepan dengan masalah,

''Kita melihatnya dalam senarai sahaja (sewaktu penggabungan) dan proses untuk mengambil tahu (lebih mendalam) semuanya mengambil masa, jadi kita hanya tengok apa yang ada di hadapan kita melalui kaedah yang ditetapkan,'' kata beliau.

Menurut Musa, di bawah kaedah itu, kesemua enam divisyen yang mewakili enam perniagaan teras akan mempunyai Naib Presiden Kanan dan Jawatankuasa Pengelola yang mana pengerusinya adalah ahli lembaga pengarah.

Katanya:''Jadi setiap mesyuarat Lembaga Pengarah Sime Darby , Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) akan mengemukakan laporan naib presiden kanan semata-mata dan satu-satu hubungan Lembaga Pengarah dengan pihak pengurusan Sime Darby hanyalah melalui Presiden dan CEOnya, Datuk Seri Zubir Murshid.''

Ditanya tentang maklum balas para pelabur asing berhubung permasalahan yang timbul, Musa mengakui reaksi yang diterima adalah positif.

''Kebanyakan pelabur berpuas hati dengan pendedahan kerugian yang dibuat oleh Sime Darby sendiri kerana berjaya menjelaskan keraguan yang timbul sebelum ini.

''Malah, mereka berharap Sime Darby akan lebih fokus untuk masa depan yang lebih terjamin," tambah beliau lagi.

Tesla, Toyota bergabung hasil kereta elektrik

2010/05/24
PENGELUAR kereta elektrik Amerika Syarikat (AS), Tesla Motors, kini bekerja keras dan bersedia untuk menghasilkan sesuatu lebih besar selepas menjalin usaha sama dengan Toyota, sebelum menyenaraikan sahamnya pada masa depan.

Tesla, dengan hanya beberapa ratus pekerja, dan Toyota Khamis lalu mengumumkan pengambilalihan AS$50 juta kepentingan oleh gergasi automotif Jepun itu dalam pengeluar kereta kerdil berpangkalan di Palo Alto, California. “Pengumuman itu adalah sesuatu yang bersejarah,” kata pensyarah di University of California, Berkley, Harley Shaiken. “Ia memberikan Tesla banyak kredibiliti. Toyota sangat konservatif,” tambah beliau, justeru pengumuman itu adalah baik “buat pelabur dan Tesla.”

Pelaburan Toyota dalam Tesla susulan pengambilalihan kepentingan lebih lima peratus setahun lalu oleh pengeluar kereta mewah Daimler dalam syarikat berkenaan; pinjaman AS$465 juta daripada Jabatan Tenaga AS, dan pelepasan cukai AS$31 juta daripada negeri California.

Kaya dengan tunai, Tesla Khamis lalu mengumumkan ia membeli kilang usaha sama Toyota-General yang ditutup dekat San Francisco dengan potensi pengeluaran 500,000 unit setahun.

Kepentingan Toyota dan pengambilalihan kilang pengeluaran berkenaan bakal menjadikan tawaran awam permulaan (IPO) Tesla lebih bernilai.
Bagaimanapun, penganalisis automotif di Edmunds.com, Michelle Krebs, memberi amaran penyenaraian Tesla belum pasti, terutama dalam persekitaran pasaran saham yang tidak menentu ketika ini.

“Mereka perlu masa menimbangkannya,” kata Krebs sambil menambah Tesla bukan keseorangan untuk disenaraikan.

General Motors dan Chrysler bangkit daripada muflis tahun lalu dan bercadang menjual lebih banyak saham mereka di pasaran. – AFP

CIMB Junior pelan khusus pelaburan kanak-kanak

2010/05/24
CIMB Bank mengukuhkan barisan produknya dengan melancarkan CIMB Junior, pelan nilai tambah bersepadu, yang dibangunkan khusus untuk kanak-kanak 12 tahun ke bawah dengan rangkaian produk perbankan khas seperti akaun simpanan, pelaburan dan bancassurance.

Ketua Perbankan Runcit CIMB, Peter England, berkata CIMB Junior direka bentuk khusus untuk membantu ibu bapa merancang kewangan anak masing-masing pada peringkat awal. Katanya, perancangan kewangan pada peringkat awal adalah satu langkah penting bagi membantu anak-anak mencapai impian mereka. “Justeru, menerusi CIMB Junior, masih belum terlewat untuk memulakan simpanan serta mendidik mereka mengenai tabungan,” katanya selepas pelancaran CIMB Junior di Kuala Lumpur, kelmarin.

Pelancaran CIMB Junior disempurnakan oleh Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak.

Angkasawan pertama negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor turut hadir untuk menceritakan pengalamannya di angkasa lepas kepada kanak-kanak daripada beberapa persatuan yang dijemput pada majlis itu.

England berkata, antara produk yang ditawarkan menerusi pelan CIMB Junior termasuk Junior Savers Account yang membolehkan pemegang akaun menikmati faedah keseluruhan berganda untuk sepanjang tahun, jika minimum simpanan sebanyak RM100 dimasukkan setiap bulan.
“Pelan ini adalah pakej kewangan menyeluruh yang boleh menimbulkan keseronokan menyimpan di kalangan kanak-kanak dan ia adalah peluang untuk mereka menabung serta lebih bertanggungjawab terhadap wang masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, menerusi pelan itu, ibu bapa dan anak-anak juga boleh memperoleh faedah daripada Program Penebusan Mata Junior.

Katanya, purata baki suku tahun sebanyak RM1,500 dalam pelan simpanan itu memberikan pendeposit mata ‘junior’ yang boleh digunakan untuk mendapatkan barangan mainan dan sebagainya.

Maklumat mengenai CIMB Junior boleh menghubungi 1-300-880-900 atau mengunjungi mana-mana 323 cawangannya di seluruh negara

Friday, May 21, 2010

AirAsia terbang ke Lembah Silikon India

KUALA LUMPUR 20 Mei 2010 - AirAsia terbang ke Lembah Silikon India hari ini menerusi pelancaran sulung penerbangan sektor Bangalore-Kuala Lumpur.

Dengan pelancaran itu, Bangalore menjadi destinasi ketujuh bagi AirAsia di India selepas Trivandrum, Kolkata, Chennai, Kochi, Tiruchirappali dan Mumbai, kata syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam satu kenyataan.

AirAsia menggunakan pesawat Airbus A320 baru bagi laluan Kuala Lumpur-Bangalore dengan 100 peratus muatan bagi penerangan pertama itu.

"Sektor itu sudahpun menyaksikan faktor muatan hampir 85 peratus dalam beberapa minggu pertama," katanya.

Ketua Serantau AirAsia (Komersial), Kathleen Tan dalam kenyataannya di sini berkata, perkhidmatan harian dijangka menampung jumlah trafik yang besar, termasuk pengguna perniagaan dan pelancong selain pelajar dari dan ke pusat teknikal di selatan India itu.

Perkhidmatan itu juga dijangka menampung serta mempromosikan pelancongan perubatan di Bangalore apabila syarikat penerbangan itu mencatat permintaan yang tinggi daripada sektor kesihatan, dengan pesakit mendapatkan bantuan perubatan dari institusi di Bangalore, katanya.

Mengenai penerbangan hari ini, AirAsia membawa 15 kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung kongenital yang akan menjalani pembedahan jantung terbuka di Institut Jantung Narayana Hrudayalaya, hospital jantung terbesar dunia untuk kanak-kanak.

AirAsia menawarkan tambang serendah RM25 bagi tetamu yang terbang dari Bangalore sebagai sebahagian daripada tawaran promosi satu juta tempat duduk percuma baru-baru ini

Wednesday, May 19, 2010

Bank Islam, Barclays bangunkan produk kewangan Islam

KUALA LUMPUR 19 Mei 2010 - Bank Islam Malaysia Bhd. dan Barclays Bank plc hari ini menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bagi menawarkan produk pelaburan dan penyelesaian lindung nilai Islam.

Kedua-dua bank baru-baru ini menyertai urus janji berlandaskan Syariah, dengan Barclays berperanan sebagai pihak pelengkap dalam transaski produk pelaburan, bernilai RM110 juta, yang ditawarkan oleh Bank Islam kepada pelanggan Barclays.

Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat berkata, menerusi usaha sama itu, kedua-dua bank akan menawarkan platform kerjasama yang cekap.

"Perjanjian itu meliputi penyelesaian pengurusan risiko berlandaskan Syariah dan akan merasmikan usaha sama yang sudah terjalin antara kedua-dua bank.

"Untuk masa depan, kami berharap melancarkan lebih banyak produk secara bersama dengan Barclays," katanya selepas menandatangani MOA pada Forum Ekonomi Islam Dunia Keenam, di sini hari ini.

Zukri berkata, lebih banyak produk inovatif seperti pelaburan berstruktur, akan diperkenalkan dalam pasaran bagi menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelanggan.

Beliau berkata, menerusi MoA, Bank Islam dan Barclays, antara lain, akan bekerja bersama-sama untuk membangunkan produk Perbendaharaan Islam.

Selain itu, beliau berkata, Bank Islam sedang mengenal pasti jalinan usaha sama dengan Barclays bagi membangunkan produk untuk tujuan dan strategi lindung nilainya sendiri.

"Setiap pihak dalam perjanjian itu menawarkan set unik kepakaran dan pengetahuan, yang jika digabungkan, akan mewujudkan sinergi yang boleh melonjakkan lagi perbankan Islam ke tahap yang lebih tinggi," katanya. - Bernama

Facebook lancar laman baru untuk pengguna telefon selular

2010/05/19
WASHINGTON: Facebook hari ini bekerjasama dengan pengendali telefon selular di lebih 50 negara untuk menawarkan versi laman baru yang lebih pantas dan
percuma untuk capaian laman sosial popular itu.

“Kami menawarkan semua versi grafik, gambar dan video dengan satu 'klik' saja di telefon bimbit dan akan terbentang laman kami yang lebih pantas dan menarik," kata Henri Moissinac, ketua perniagaan bahagian telefon bimbit Facebook. Laman baru untuk telefon bimbit itu ialah - 0.facebook.com - yang dijana dengan kepantasan yang hebat dan percuma.
Moissinac berkata, laman terbaru itu direka khusus untuk memudahkan pengguna telefon bimbit mencapai laman internet.

"Ia kini boleh didapati membabitkan 56 pengendali telefon selular di 47 negara.
“Kita menjangkakan jumlah pengguna untuk semua pengendali telefon selular ini mencapai 500 juta pengguna," katanya.

Beliau berkata, jumlah pengguna Facebook menerusi telefon selular ketika ini di seluruh dunia ialah 100 juta

PayPal bakal buka pusat operasi perkhidmatan kedua Asia di Malaysia

2010/05/19
KUALA LUMPUR: Penyedia kaedah pembayaran dalam talian, PayPal, merancang membuka pusat operasi perkhidmatan Asianya yang kedua di Kuala Lumpur dalam tempoh enam bulan ini.

Ia bagi menampung permintaan yang kian meningkat untuk e-perdagangan, terutamanya di rantau Asean. Naib Presiden PayPal Asia Pasifik, Farhad Irani, berkata syarikat pada masa ini sedang meninjau lokasi yang bersesuaian dan seterusnya mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkenaan. "Kami hanya boleh membuat pengumuman yang khusus dalam tempoh tiga bulan ini. Kami juga berharap pusat itu boleh beroperasi menjelang hujung tahun," tambah beliau apabila ditanya mengenai pelaburan oleh syarikat itu untuk pusat berkenaan.

Irani berkata, pusat itu akan mengambil pekerja antara 250 hingga 400 orang dengan kemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa supaya dapat disesuaikan dengan pelbagai negara di Asean.

"Pada masa ini, syarikat mempunyai operasi perkhidmatan di Shanghai, China, dengan 450 pekerja," katanya.

Beliau berkata, pembukaan pusat di Kuala Lumpur ini adalah sebahagian daripada rancangan jangka panjang syarikat untuk mengukuhkan lagi tapaknya di Malaysia.
Terdahulu, Irani telah memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan eBay.

Perjanjian MoU itu akan menyaksikan PayPal dan eBay menganjurkan beberapa siri seminar, bengkel dan menyediakan perkhidmatan sokongan perundingan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir turut hadir menyaksikan majlis berkenaan.

Pelaksanaan eBay untuk Program Perniagaan, akan menyaksikan PKS mendapatkan pengetahuan bagaimana mengendalikan penyelidikan pasaran secara berkesan, mengendalikan penyumberan dan pemasaran produk serta menyediakan perkhidmatan pengguna untuk sektor pedagang.

Irani berkata, PayPal dan eBay kekal yakin dengan prospek e-perdagangan.

"Dengan 15.8 juta pengguna internet dan e-perdagangan dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun melebihi 28 peratus dari tahun 2006 hingga 2010, potensi untuk Malaysia kekal menggalakkan," jelas beliau.

eBay, contohnya, Malaysia ialah antara pasaran yang paling aktif di Asia Tenggara.

"Jumlah nilai produk yang dijual ke pasaran seberang laut seperti Amerika Syarikat atau Eropah oleh penjual eBay Malaysia saja, berkembang sebanyak 69 peratus tahun atas tahun pada Januari 2010," kata beliau.

Dilaporkan yang PayPal memproseskan lebih daripada AS$6 bilion dari segi jumlah pembayaran di Asia Pasifik pada tahun 2009.

Irani berkata, dengan kerjasama istimewa dengan Matrade ini, ahli-ahli yang melanggan akaun PayPal akan mendapat manfaat diskaun 25 peratus ke atas semua yuran transaksi untuk 100 transaksi pertama yang dibuat dalam tempoh tiga bulan mereka mendaftar.

Selain daripada itu, eBay akan turut mengenepikan yuran kemasukan bagi 100 penyenaraian pertama yang diwujudkan oleh ahli-ahli Matrade.

PayPal, adalah syarikat eBay, menguruskan lebih daripada 84 juta akaun aktif di 190 pasaran dan 24 mata wang seluruh dunia. - Bernama

Tuesday, May 18, 2010

AEON kaji format runcit lebih kecil penuhi permintaan

KUALA LUMPUR 18 Mei 2010 - AEON Co.(M) Bhd. kini sedang meninjau format runcit yang baharu seperti pusat beli-belah kejiranan yang lebih kecil di Mahkota Cheras, bagi menampung permintaan.

Pengerusinya, Datuk Abdullah Mohd Yusof hari ini berkata, pusat-pusat konsep baharu ini berserta dengan kompleks beli-belah masa depannya akan membantu meningkatkan pendapatan di celah-celah persaingan sengit dalam pasaran runcit.

AEON, syarikat pegangan untuk pasaraya, pusat beli-belah dan perkhidmatan kewangan, pada masa ini mempunyai 23 gedung beli-belah.

"Selepas Bandar Raya Melaka dan Mahkota Cheras, kami mempunyai rancangan untuk pusat-pusat beli-belah baharu tetapi ia masih belum diluluskan," kata Abdullah selepas mesyuarat agung tahunan syarikat di sini.

Walaupun AEON pada umumnya telah mendahului pertumbuhan ekonomi tempatan, perniagaannya masih lagi bergantung kepada keadaan ekonomi dan saingan yang berterusan.

"Dek kerana saingan yang sengit, kami mengimbanginya dengan membuka gedung-gedung baharu agar pendapatan kami meningkat," kata beliau.

Abdullah juga berkata, Model Ekonomi Baru yang dicetuskan oleh kerajaan untuk meningkatkan pendapatan per kapita akan membantu perniagaan mereka kerana pendapatan boleh guna orang ramai akan meningkat.

Untuk pengembangan serantau, beliau berkata, yang mereka masih lagi meninjau pelbagai negara seperti Indonesia dan mungkin mengambil rakan niaga tempatan itu usaha berkenaan.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan bagi Kewangan Korporat dan Hubungan Pelabur, Poh Ying Loo berkata, perbelanjaan modal untuk tahun 2010 adalah RM100 juta dan RM150 juta termasuk pengubahsuaian untuk gedung-gedung sedia ada. - Bernama

RHB yakin Easy jana 20 peratus pendapatan

2010/05/19
RHB Banking Group kini agresif meluaskan konsep perbankan komunitinya, Easy di seluruh negara, menyasarkan segmen itu menyumbang 20 peratus kepada pendapatannya dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Tajuddin Atan, berkata RHB menyasarkan mewujudkan sehingga 120 cawangan Easy di seluruh negara tahun ini, daripada 55 cawangan sedia ada. Katanya, Easy kini hanya menawarkan produk kewangan konvensional akan memperluaskan perkhidmatannya kepada produk berlandaskan syariah sebelum suku ketiga tahun ini. “Kami yakin Easy mampu meningkatkan asas pelanggan dan merealisasikan hasrat kami menjadi antara tiga penyedia perkhidmatan kewangan terbaik di Malaysia dan Asean.

“Easy adalah komitmen jangka panjang dan selain Tesco sebagai rakan strategik, kami juga merancang mengembangkan Easy dengan syarikat lain,” katanya selepas perasmian kaunter perkhidmatan Easy di Tesco Ampang, Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Tesco, Tjeerd Jegen dan Pengarah Perbankan Runcit RHB, Renzo Viegas.

Kumpulan perbankan keempat terbesar itu turut menjalin pakatan strategik dengan Tesco Store (Malaysia) Sdn Bhd bagi membuka 22 cawangan Easy di lokasi terpilih pasar raya besar terbabit di seluruh negara.

Tajuddin berkata, RHB kini mempunyai 230,000 pelanggan Easy yang mendapatkan pelbagai perkhidmatan termasuk kad kredit dan pinjaman peribadi, dengan RM300 juta pinjaman disalurkan menerusi kaunter Easy setakat ini.

Dalam pada itu, katanya kerjasama terbaru dengan Tesco itu adalah susulan pelancaran dua produk kewangan tahun lalu, iaitu kad kredit dan debit Tesco-RHB, yang menerima sambutan menggalakkan.

“Sejak pelancarannya, kami telah meluluskan kira-kira 220,000 kad setakat April lalu, yang mana 51 peratus adalah kad kredit dan 49 peratus adalah kad debit,” katanya.

Sementara itu, Jegen berkata enam cawangan baru Tesco yang akan dibuka tahun ini dijangka menyumbang kira-kira 15 peratus kepada pendapatan syarikat itu bagi tahun kewangan yang berakhir 28 Februari ini.

Katanya, daripada enam cawangan itu, dua sudah dibuka awal tahun ini di Rawang, Selangor dan Bukit Indah, Johor Bahru.

“Empat lagi akan dibuka di Melaka, Kepong, Jalan Klang Lama dan Kulim, yang mana Tesco akan melabur antara RM80 juta hingga RM90 juta setiap satu bergantung kepada keluasan pasaraya,” katanya

Panasonic rancang buka 36 Stesen Lumix awal 2011

Oleh Shahrizan Salian
shahrizan@bharian.com.my
2010/05/19
Pusat penyelesaian produk digital satu bumbung bantu pengguna

PANASONIC Malaysia Sdn Bhd terus mengukuhkan rangkaian pengedarannya di Malaysia dengan rancangan membuka 36 Stesen Lumix baru di seluruh negara menjelang suku pertama tahun depan. Stesen Lumix diperkenalkan Panasonic Malaysia sebagai pusat penyelesaian untuk semua produk digital pengguna keluaran Panasonic di bawah satu bumbung. Konsep pusat penyelesaian itu adalah satu-satunya di dunia dan buat masa ini Panasonic Malaysia sudah membuka 14 Stesen Lumix di seluruh negara, yang mana 11 daripadanya terletak di Semenanjung.

Pengarah Urusan Panasonic Malaysia, Jeff Lee, berkata pihaknya menyasar memiliki sehingga 50 cawangan Stesen Lumix di seluruh negara pada 2011 dengan tumpuan di kawasan berkepadatan tinggi.

“Ini bagi membolehkan lebih ramai pengguna dapat menikmati penggunaan produk digital terbaru yang dikeluarkan oleh Panasonic,” katanya pada majlis pembukaan Stesen Lumix ke-14 di Plaza Low Yat Kuala Lumpur, semalam.

Stesen Lumix itu dimiliki Amara Beta Sdn Bhd. Hadir sama, Pengarah Urusan Panasonic Marketing & Sales Company China & Sales Company China, Tony Endohdan Pengarah Urusan Amara Beta, Tan Ngaip Soon.

Stesen Lumix kini dibuka di Ipoh, Pulau Pinang, Kedah, Kota Bharu, Klang, Kuala Lumpur, Melaka dan Lapangan Terbang Antara-bangsa Kuala Lumpur (KLIA), selain dibuka di Kota Kinabalu, Kuching dan Sibu.

Setiap satu Stesen Lumix itu berukuran di antara 300 hingga 900 kaki persegi.

Lee berkata, Panasonic Malaysia menawarkan tawaran dagang eksklusif serta lanjutan tempoh jaminan produk dibeli bagi menarik lebih ramai pelanggan.

“Pada masa sama, menerusi pendekatan sama kami berharap lebih dekat dengan pengguna,” katanya.

Di Stesen Lumix, pengguna boleh mendapatkan produk seperti kamera Lumix, perakam video, televisyen Viera, pemain Blu-ray serta set teater rumah.

Selain itu, pengguna juga boleh mendapatkan aksesori pengimejan seperti digital kanta serupa, lensa kamera, bateri kamera dan kad memori bagi membantu meningkatkan pengalaman fotografi.

Stesen itu juga menyediakan kemudahan mencetak yang lengkap bagi membolehkan pengunjung mencetak gambar dengan pantas.

Monday, May 17, 2010

Sunway raih kontrak

KUALA LUMPUR 17 Mei 2010 - Sunway Holdings Bhd. melalui operasi Sunway Creative Stones Sdn. Bhd. (Cawangan Abu Dhabi) telah menerima surat anugerah bagi kontrak kecil bernilai RM65.69 juta, kata Sunway Holdings.

Kontrak itu adalah daripada Silver Coast-Sunway Innopave Joint Venture bagi pembekalan, penghantaran dan pemasangan batu dan jubin bagi Pembangunan Arzanah, yang dicadangkan di Sektor W-57, Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Sunway Creative telah diarahkan memulakan kerja-kerja persediaan pada 1 April 2010 bagi projek yang dicadangkan itu sementara menunggu surat anugerah rasmi daripada Silver Coast-Sunway Innopave Joint Venture, kata beliau dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia hari ini.

TDM mahu tingkatkan hasil sawit

Roslan Awang Chik (kiri) bersama-sama Badrul Hisham Mahari pada sidang media di Pulau Duyung, Kuala Terengganu, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA TERENGGANU 17 Mei 2010 - TDM Bhd., syarikat milik kerajaan Terengganu, sedang merancang meningkatkan pengeluaran hasil sawit setiap hektar ladang miliknya bagi meningkatkan keuntungan syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif TDM, Badrul Hisham Mahari berkata, untuk tujuan itu TDM akan mengurangkan kos pengeluaran setiap tan sawit dan mengembangkan lagi tanah ladang yang kini berjumlah 35,000 hektar di seluruh Terengganu.

"Untuk tujuan itu, fokus kita untuk mengusahakan ladang sawit di Kalimantan yang kini sudah ditanam sehingga 700 hektar, akan meningkat kepada 2,000 hektar menjelang akhir tahun."

"Kita mahu hala tuju kita akan berkembang manakala kos pengeluaran semakin menurun dan dalam masa yang sama perkembangan ladang semakin membesar," katanya pada sidang media bersama Pengerusi TDM, Senator Datuk Roslan Awang Chik selepas majlis perasmian mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini hari ini.

Badrul Hisham berkata, TDM telah ditawarkan tanah seluas 40,000 hektar di Kalimantan, tetapi ia akan memajukan antara 20,000 hektar dan 25,000 hektar dalam tempoh 15 tahun dan mampu mengeluarkan hasil antara 25 dan 30 tahun.

"Ini kerana, daripada 40,000 hektar tanah yang ditawarkan itu, ada yang berpaya, ada yang mengandungi bijih arang batu, emas dan sebagainya yang akan diambil balik sebahagiannya oleh kerajaan," katanya.

Begitu juga dengan perniagaan berkaitan kesihatan di mana TDM kini mempunyai tiga buah hospital pakar iaitu Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Pusat Kesihatan Kuantan Sdn Bhd (KMC) dan Hospital Pakar Kuala Terengganu Sdn Bhd (KTS) yang berkembang sebanyak 18 peratus setahun.

Roslan pula berkata, TDM turut memberi tumpuan kepada bidang kesihatan memandangkan ia kehendak masyarakat.

"Apa yang lebih penting ialah dari segi keupayaan pelanggan datang ke hospital kita. Ini berikutan keadaan ekonomi negara yang bertambah baik, maka sebab itu mereka mampu datang menerima rawatan di hospital kita," katanya.

Roslan berkata, walau pun TDM berdepan dengan keadaan ekonomi dunia yang mencabar dan pasaran domestik yang tidak menentu, tetapi TDM berjaya mencatat keuntungan sebelum cukai RM77.49 juta bagi tahun kewangan 2009 di mana 79 peratus hasil dari bahagian perladangan.

Anak syarikat MISC rancang beli 50 peratus ekuiti VTTI

2010/05/18
ANAK syarikat milik penuh MISC Bhd, MTTI Sdn Bhd, bercadang untuk mengambil alih 50 peratus kepentingan VTTI BV, syarikat yang diperbadankan di Belanda, dengan nilai AS$735 juta (kira-kira RM2.371 bilion).

VTTI ialah anak syarikat milik penuh Vitol Holdings BV. “Pelaburan dalam VTTI seiring dengan strategi MISC untuk mengembangkan perniagaan terminal tangki dan seterusnya mengukuhkan portfolio pengangkutan tenaga dan logistiknya,” kata MISC dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia, semalam. Pertimbangan pembelian akan dilunaskan keseluruhannya dengan tunai dan akan dibiayai menerusi dana dalaman, katanya.

Aktiviti utama VTTI adalah memiliki (secara keseluruhan ataupun sebahagian), mengendali dan menguruskan rangkaian terminal penyimpanan dan loji pembersihan produk minyak di lima benua dan 11 negara, termasuk Belanda, Emiriah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat (AS).

Pengambilalihan itu akan menyediakan MISC dengan akses serta-merta ke aset terminal tangki yang secara strategiknya terletak di Amsterdam dan Rotterdam, Belanda; Fujairah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Port Canaveral, Florida, AS.

“Ini akan membantu MISC bergerak lebih rapat ke arah matlamatnya menjadi penyedia pengangkutan berasaskan tenaga dan perkhidmatan logistik terkemuka di dunia,” katanya.
MISC berkata, perniagaan tangki adalah pelaburan yang menarik yang menyediakan pulangan yang stabil.

“Penyertaan MISC dalam perniagaan terminal tangki akan membezakan MISC daripada pesaing perkapalan tradisinya, sekali gus membolehkan MISC menjual dan memasarkan secara silang peluang pasaran menerusi kedua-dua segmen perniagaan,” katanya.

Ketika ini, VTTI menguruskan rangkaian terminal produk petroleum dengan kapasiti kasar yang digabungkan kira-kira enam juta meter padu.

Menjelang 2013, kapasiti akan terus meningkat kepada hampir tujuh juta meter padu menerusi program pengembangan dan pembinaan baru.

Pada masa ini, VTTI ialah antara 10 penyedia terminal tangki persendirian terkemuka di dunia.

Cadangan pengambilalihan itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas pendapatan dan pendapatan sesaham MISC untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2011, tetapi dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan MISC

Sunday, May 16, 2010

Ivory bangun kondominium eksklusif The Peak Residences

PULAU PINANG 16 Mei 2010 - Selepas menjadi penyelamat kepada beberapa projek, Ivory Properties Group (Ivory) sekali lagi menggunakan kepakarannya untuk membangunkan The Peak Residences di Mount Erskine, Tanjung Tokong di sini.

Pada masa sama, syarikat pemaju hartanah itu juga berjaya melonjakkan nilai pembangunan kasar (GDV) projek terbengkalai yang pada mulanya diberi nama Fettes Villa iaitu daripada RM80 hingga RM100 juta kepada RM415.7 juta.

Fettes Villa merupakan projek pembinaan apartmen kos sederhana rendah oleh Gewaris Sdn. Bhd., namun setelah berdepan masalah, pembiaya projek, Malaysia Building Society Bhd. (MBSB) telah meminta Ivory mengambil alih.

Diberi nama The Peak Residences dan bakal ditransformasi kepada kondominium eksklusif dengan semua unit mempunyai pemandangan laut, pembinaan projek itu bakal dimulakan pada bulan Jun dan dijangka siap sepenuhnya tahun 2013.

Pengarah Urusan Ivory, Datuk Low Eng Hock berkata, projek yang terletak di Lebuhraya Halia itu akan dibangunkan di atas tanah seluas kira-kira 13.7 ekar dengan membabitkan dua fasa.

''Fasa pertama melibatkan pembinaan tiga blok kondominium 38 tingkat yang mengandungi 609 unit termasuk 30 unit ruang niaga dua tingkat yang terletak di bahagian bawah tempat letak kereta dan satu blok 38 tingkat dengan 564 unit kos sederhana rendah pada fasa 1A.

''Fasa kedua pula membabitkan pembinaan dua blok 38 tingkat mengandungi 292 unit kondominium dan lapan unit empat tingkat kedai pejabat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Birch House di sini baru-baru ini.

Ivory sebelum ini berjaya meyakinkan MBSB mengenai kemampuan syarikat tersebut menyelamatkan projek The View Twin Towers di Batu Uban selain Tanjung Park di Tanjung Tokong dan Plaza Ivory di Bukit Gambir.

Mengulas lanjut, katanya, The Peak Residences juga menitikberatkan alam sekitar di mana mengikut pelan perancangan sebuah taman bakal dibangunkan di tingkat atas kondominium selain kemudahan lain bakal dinikmati pembeli.

Antara kemudahan berkenaan, jelasnya, adalah kolam renang, taman permainan, tempat barbeku, laluan joging, kelab sukan dan jakuzi.

Selain itu, kawasan tersebut juga strategik kerana perjalanan ke pusat membeli-belah dan tempat makan hanya memakan masa lima mini.

Monday, May 10, 2010

Gedung Harrods dibuka di China

GEDUNG membeli-belah Harrods yang tersergam indah di London. - AFP

--------------------------------------------------------------------------------

LONDON 10 Mei 2010 - Syarikat pelaburan keluarga diraja Qatar, kini merancang untuk membuka cawangan gedung Harrods di Shanghai setelah berjaya mengambil alih syarikat itu Sabtu lalu, menurut laporan Financial Times hari ini.

Qatar Holdings yang mengambil alih syarikat terkemuka di London itu dengan harga AS$2.2 bilion (RM7.1 bilion), merancang untuk memasuki pasaran China dalam usaha untuk mengeksport produknya ke luar negara.

"Biasanya, bukan satu keputusan yang bijak untuk membuka cawangan di Paris, New York atau Madrid kerana penduduk di situ mudah untuk datang ke London.

"Sebelum ini sudah ada perbincangan sama ada hendak membuka cawangan Harrods di Shanghai ataupun tidak," kata seorang pakar pelaburan kepada akhbar itu.

Mengembangkan kejayaan Harrods ke luar negara merupakan satu daripada empat perkara yang dibincangkan oleh Qatar Holdings dalam kajian selama tiga bulan mereka terhadap syarikat itu, lapor Financial Times.

Perkara lain yang dibincangkan adalah pembangunan gedung mewah dalam talian; mempelbagaikan jenama Harrods serta mengubah suai gedung di London untuk membesarkan ruang jualan.

Jutawan Mesir, Mohamed Al-Fayed menjual gedung mewah di daerah Knightsbridge hujung minggu lalu, selepas lebih suku abad memilikinya.

Bagaimanapun, beliau yang kini berusia 77 tahun dan juga merupakan pemilik kelab bola sepak Fulham dan Hotel Ritz Paris akan terus mempromosi gedung berkenaan sebagai pengerusi kehormat syarikat itu.

Pemilik baru Harrods adalah pelabur utama Qatar Investment Authority yang bertindak sebagai wakil jualan negara teluk itu dalam urusan pelaburan serta pengurusan sumber minyak dan gas. - AFP

Jelajah SimplySiti ke One Utama

KUALA LUMPUR 10 Mei - Kemunculan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin sempena mempromosikan produk kecantikan SimplySiti di ruang legar pusat beli-belah One Utama dekat sini semalam menarik ribuan pengunjung.

Walaupun kurang sihat, Siti Nurhaliza tetap berusaha untuk tidak menghampakan peminatnya dengan beramah- mesra bersama mereka serta turut menyampaikan lagu Biarlah Rahsia.

Beliau yang ditemani suami, Datuk Seri Khalid Jiwa melahirkan rasa terharu dengan kehadiran peminat yang membanjiri destinasi keempat promosi bergerak produk kecantikannya itu.

"Sebelum ini, kami telah menjelajah ke Kuantan, Seberang Perai dan Ipoh sebelum ke sini bagi mempromosikan produk SimplySiti ini.

"Selepas ini kami akan mengadakan promosi bergerak ke Melaka bermula 19 Mei ini dan saya berharap sambutannya turut menggalakkan seperti yang saya terima di sini," ujarnya ketika ditemui.

Pada majlis itu, Siti Nurhaliza turut mengadakan pelbagai aktiviti buat golongan ibu bersempena dengan sambutan Hari Ibu.

Ujar Presiden SimplySiti Sdn. Bhd. itu, walaupun produk kecantikannya baru sebulan dipasarkan, sambutannya melebihi sasaran dan beliau berharap ia akan terus konsisten.

Beliau kini turut merangka strategi untuk memasarkan produk itu ke Indonesia, Singapura dan Brunei.

Tambah Siti Nurhaliza, SimplySiti yang menggunakan teknologi Korea ini sesuai untuk semua lapisan umur dan dijamin halal dengan pengesahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Produk SimplySiti yang terdiri daripada alat solek dan produk kecantikan boleh didapati di Watson dengan harga produknya bermula serendah RM18.90 sehingga RM69.90.

AirAsia perkenal bagasi berjimat

2010/05/11
AIRASIA Bhd memperkenalkan bayaran bagasi ‘Pre-booked Baggage Supersize’, yang membolehkan pelanggannya berjimat hingga 50 peratus, apabila mereka mendaftarkan bagasi dengan berat berlebihan melalui internet.

Syarikat penerbangan tambang murah itu dalam kenyataannya, berkata langkah mengubah suai struktur bayaran bagasi itu bertujuan menawarkan kadar lebih mampu kepada pelanggannya yang membawa bagasi antara 20 kilogram (kg) hingga 30kg. Menerusi opsyen "Supersize" dalam talian, bagasi seberat 20kg ditawarkan pada kadar RM30, manakala bagi "bukan Supersize" bayaran RM30 dikenakan bagi 15kg pertama dan hingga RM20 bagi setiap kilogram berikutnya di kaunter, katanya. Ketua Bahagian Pendapatan Sampingannya, Rafizah Amran, berkata pelanggan sering menghadapi masalah berat bagasi berlebihan dan bayaran bagasi yang terlalu tinggi, dan tahun lalu 660,000 orang membayar RM91 juta bagi berat bagasi berlebihan. – Bernama

Sunday, May 9, 2010

White Space tinjau luaskan operasi

Oleh SARAH NADLIN ROHIM
sarah.rohim@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 9 Mei 2010 - White Space Sdn. Bhd. (White Space), penggendali butik pejabat sedang meninjau beberapa lokasi baru untuk perkembangan perniagaannya menjelang suku kedua tahun ini.

Pengarahnya, Leslie Jeyam berkata, antara lokasi yang menjadi sasaran mereka adalah beberapa kawasan di Lembah Klang, Ipoh, Johor Bahru, Singapura dan Hong Kong.

''Setakat ini, kami telah mengenalpasti sebuah kawasan di Kia Peng, di sini dan kami sedang melakukan beberapa perkara untuk memulakan operasi di situ,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Tambah Jeyam, penubuhan butik pejabat ini bertujuan menyediakan kemudahan kepada syarikat-syarikat yang tidak mempunyai pejabat di Malaysia untuk menjalankan urusan mereka.

''Pada kebiasaannya syarikat-syarikat ini memerlukan kelengkapan seperti bilik mesyuarat atau kelengkapan pejabat yang lain untuk menguruskan perniagaan mereka.

''Dengan kehadiran White Space, masalah berkenaan dapat diatasi melalui penawaran beberapa pakej menarik untuk menyewa ruang, kelengkapan pejabat dan perkara-perkara lain pada kadar sewa sangat menarik,'' katanya sambil menyatakan ibu pejabatnya adalah bertempat di Mont Kiara, di sini.

Antara pakej ahli yang ditawarkan adalah Partner bernilai RM99 sebulan dengan kelebihan alamat perniagaan, perkhidmatan telefon dan faks, senarai syarikat-syarikat, khidmat pesanan ringkas (SMS), perkhidmatan kurier, pengiriman, dokumen, bantuan pengurusan perniagaan dan akses kepada perkhidmatan rakan niaga White Space.

Pakej kedua Professional bernilai RM199 mengandungi semua perkhidmatan di bawah pakej Partner tetapi ditambah penggunaan percuma bilik mesyuarat kecil selama dua jam dan ditawarkan kad akses.

Pakej kedua adalah Premier pada harga RM299 sebulan mengandungi kemudahan pakej Professional tetapi ditambah pula penggunaan percuma bilik mesyuarat besar selama dua jam dan diskaun 50 peratus bagi penggunaan bilik mesyuarat dan sebagainya yang disediakan di White Space.

Selain itu, Jeyam berkata, apa yang ditawarkan White Space ini bersesuaian dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutama mereka yang baru memulakan perniagaan dengan kos yang rendah.

''Dengan penawaran pakej yang murah, PKS ini dapat menjimatkan kos dan mendapatkan perkhidmatan terbaik tanpa memikirkan keperluan untuk memiliki atau menyewa pejabat.

''Untuk menarik minat PKS, kami bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) untuk mencari rangkaian PKS dan untuk diperkenalkan,'' katanya.

Bergerak ke hadapan White Space juga ingin menjadi syarikat yang menyediakan perkhidmatan khidmat nasihat.

''Antara perkhidmatan itu termasuklah khidmat guaman, perakaunan dan sebagainya. Ia mudah ditawarkan ekoran kehadiran rakan-rakan niaga White Space pada masa ini,'' katanya.

Ditubuhkan pada Januari 2009, White Space menyasarkan jumlah dagangan sebanyak RM3 juta dalam tempoh dua tahun.

Domino's Pizza tambah kemudahan dalam talian

Oleh Shahrizan Salian
shahrizan@bharian.com.my
2010/05/10
Restoran perkenal perkhidmatan permudahkan tempahan

DOMMAL Food Services Sdn Bhd, pengendali rangkaian restoran Domino's Pizza, yakin dapat menggandakan jumlah tempahan secara dalam taliannya menerusi pelbagai kemudahan tambah nilai yang ditawarkannya untuk perkhidmatan berkenaan. Ketua Pegawai Operasinya, Ba U Shan-Ting, berkata peningkatan jumlah tempahan secara dalam talian juga bakal mengukuhkan jenama Domino’s Pizza yang kini adalah penyedia perkhidmatan penghantaran piza terbesar Malaysia. Katanya, pada masa ini, secara purata Domino’s Pizza menerima 500 hingga 2,000 tempahan secara talian setiap hari di semua 42 cawangan di seluruh negara yang merangkumi 86 peratus daripada jualan keseluruhannya.

“Ada peningkatan dalam arah aliran penggunaan kemudahan tempahan secara dalam talian sejak perkhidmatan ini mula diperkenalkan di Malaysia pada 2002.

“Perkembangan teknologi yang pesat juga membuka ruang kepada kami mempelbagaikan kemudahan berkenaan bagi memudahkan pelanggan membuat tempahan,” katanya dalam satu temubual di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Shan-Ting menambah, syarikat akan melancarkan satu lagi perkhidmatan tambah ke atas kemudahan dalam taliannya, Domino’s Pizza Tracking iaitu sistem pengesanan tempahan piza yang memudahkan pelanggan mendapatkan maklumat masa sebenar mengenai proses tempahan mereka.

Katanya, perkhidmatan itu yang diperkenalkan rangkaian Domino’s Pizza global dan pertama seumpamanya di Malaysia serta rantau Asia Tenggara akan dilancar pada 17 Mei ini di seluruh rangkaian restoran miliknya.

“Perkhidmatan ini akan dibangunkan secara berperingkat dan ia bukti komitmen kami untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shan-Ting berkata, Domino’s Pizza sudah bersedia untuk meneroka pasaran baru dengan rancangan membuka cawangan pertamanya di luar lokasi sedia ada, yang mana ia bakal direalisasikan akhir tahun ini.

Beliau berkata, syarikat akan membuka cawangan pertama seumpama itu di sebuah negeri di Pantai Barat Semenanjung, sekali gus meluaskan lagi rangkaian restorannya di negara ini.

Difahamkan, cawangan terbabit akan dibuka di Ipoh, Perak.

“Kami juga meninjau dua lokasi baru dengan satu daripadanya dibuka sebelum akhir tahun ini dan satu lagi tahun depan,” katanya.

Shan-Ting berkata, syarikat merancang melabur kira-kira RM5 juta bagi membuka 10 lagi cawangan baru restoran Domino’s Pizza tahun ini, terutama di sekitar Lembah Klang.

“Kami memperuntukkan kira-kira RM500,000 untuk pembukaan setiap cawangan baru itu, selain melaksanakan strategi pemasaran lebih agresif,” katanya.

Daripada 42 cawangan Domino’s Pizza ketika ini, 34 daripadanya terletak di Lembah Klang dan baki masing-masing di Johor Bahru, Pulau Pinang dan Seremban.

Beliau berkata, syarikat juga akan memperkenalkan rangkaian produk barunya pada awal separuh kedua tahun ini bagi mencapai sasaran pertumbuhan jualan dua angka.

Petronas perluas operasi serbaneka Mesra Shoppe

Oleh Che Wan Badrul Alias
chewan@bharian.com.my
2010/05/10
Kedai 24 jam baru dibuka di luar operasi stesen minyak

PETRONAS Dagangan Bhd merancang memperluaskan rangkaian Petronas Mesra Shoppe, kedai serbaneka 24 jam baru yang tidak menawarkan operasi stesen minyak di seluruh negara, tidak lama lagi. Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutifnya, Mohd Sabarudin Mohd Amin, berkata ia berikutan sambutan menggalakkan terhadap projek perintis kedai serbaneka 24 jam baru itu sejak ia dibuka di beberapa lokasi terpilih, Februari lalu. Katanya, di bawah projek perintis itu, lima rangkaian Mesra Shoppe dibuka di KLCC, Stesen Bas Klang dan Masjid Jamek, Kuala Lumpur; Laman Seri Seksyen 13, Shah Alam; serta JB Sentral di Kompleks Kastam dan Kuarantin, Johor Bahru.

Beliau berkata, sambutan terhadap kedai Mesra Petronas yang disediakan di stesen minyak syarikat semakin meningkat kebelakangan ini, namun tidak semua kawasan berpotensi tinggi boleh dibina stesen minyak.

“Justeru, kami membuka segmen baru dengan memperkenalkan Mesra Shoppe iaitu kedai serbaneka 24 jam tanpa operasi stesen minyak, untuk mengembangkan rangkaian konsep kedai berkenaan di kawasan berpotensi tinggi dan tumpuan ramai.

“Bagi tahun kewangan semasa, kami merancang membuka antara lima hingga 10 kedai serbaneka berkonsepkan Mesra Shoppe di seluruh negara, khususnya di kawasan berpotensi tinggi,” katanya dalam temu bual dengan Berita Harian, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mohd Sabarudin menambah, setiap barang yang ditawarkan dalam kedai serbaneka Mesra Shoppe turut mengambil kira permintaan dan lokasi kedai.

Sebagai contoh, katanya, jika kedai berkenaan terletak berhampiran kawasan perumahan, berkemungkinan besar barangan keperluan dapur akan turut dijual.

Selain menawarkan harga berpatutan, beliau berkata, Mesra Shoppe turut menawarkan perkhidmatan ‘Food To Go Offering’ sebagai kiosk makanan pilihan, kiosk makanan segar bagi pelbagai buah dan salad segar, perkhidmatan E-Pay serta mesin ATM.

“Malah, pelanggan Mesra Shoppe turut berpeluang mengumpul mata ganjaran kad Mesra Petronas bagi setiap pembelian, menebus mata ganjaran serta berpeluang mengambil bahagian dalam promosi dan peraduan anjuran Petronas.

Mohd Sabarudin berkata, kedai serbaneka baru itu beroperasi mengikut sistem pengendali berlesen, konsep sama seperti pengendali stesen minyak Petronas ketika ini.

Katanya, sekiranya permohonan berjaya, pengusaha perlu memenuhi syarat yang ditetapkan Petronas Dagangan, termasuk menyediakan modal permulaan RM150,000 untuk operasi kedai dan bersedia mengendalikan kedai secara sepenuh masa.

Maklumat lanjut mengenai Mesra Shoppe, boleh diperoleh dengan menghubungi Jabatan Kedai Mesra, Bahagian Perniagaan Peruncitan, Petronas Dagangan di 03-23314359.

Beliau berkata, pihaknya akan bertanggungjawab memilih lokasi, menyediakan kedai, menjalankan kajian potensi pasaran dan tanggungan modal pembangunan kedai sepenuhnya bagi memastikan cawangan Mesra Shoppe mampu berdaya saing.

“Pemohon yang berminat, perlu menepati syarat asas iaitu warga negara Malaysia, berumur 25 tahun ke atas dan kelayakan minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Maklumat lanjut mengenai Mesra Shoppe, boleh diperoleh dengan menghubungi Jabatan Kedai Mesra, Bahagian Perniagaan Peruncitan, Petronas Dagangan di 03-23314359.

Exasquare ke Asia Tenggara

Oleh WAN NAJIB WAN DAUD
najib.daud@utusan.com.my

Nazim Rahman menunjukkan peralatan telekomunikasi jalur lebar menggunakan talian tenaga elektrik di Kelana Jaya, Selangor, baru-baru ini. – UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH

--------------------------------------------------------------------------------

PETALING JAYA 9 Mei 2010 – Exasquare Corporation, pembekal dan penyedia jalur lebar menerusi talian tenaga elektrik mahu mengukuhkan kedudukan di Indonesia sebelum memasuki pasaran Asia Tenggara.

Jalur lebar menerusi talian tenaga elektrik atau BPL merupakan satu lagi alternatif kepada jalur lebar tanpa wayar (WiFi) selain memiliki kelajuan tingi dan stabil.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Nazim Rahman berkata selain BPL, pihaknya juga turut menyediakan penyelesaian komunikasi termasuk internet, data VoIP data, VOD dan IPTV menerusi grid talian tenaga, rangkaian gentian optik dan medium transmisi lain.

Beliau berkata, ketika ini syarikat itu sedang menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat dari Indonesia iaitu PT Indo Comnet Plus (IComPlus) bagi menyediakan perkhidmatan jalur lebar menerusi talian tenaga elektrik.

Katanya, perkhidmatan itu kini dinikmati oleh penduduk di Pulau Jawa dan Bali.

“Indonesia merupakan sebuah pasaran yang besar dan luas dengan kadar penembusan jalur lebar kira-kira 0.3 peratus sahaja ketika ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Pada masa ini, sejumlah 4,000 rangkaian gentian optik telah dipasang di seluruh Indonesia.

Katanya, apa yang menguja syarikat itu memasuki pasaran Indonesia adalah komitmen pemerintah memberikan insentif kepada mana-mana pihak yang melaksanakan jalur lebar.

Nazim berkata, teknologi Broadband Over Power Line (BPL) telah beberapa tahun diperkenalkan di Kanada tetapi baru kini mula dikomersialkan berikutan penggunaan serta pelaksanaannya dilihat menjimatkan kos.

Sebagai contoh katanya, BPL amat sesuai digunakan di kawasan pendalaman kerana ia bergantung kepada ibu sawat pencawang tenaga elektrik untuk dipasang peralatan tersebut.

Beliau berkata, prospek pasaran di Indonesia amat cerah dan berpotensi kerana tahun ini ia boleh diluaskan ke selatan Jakarta merangkumi Surabaya, Bali dan Jogjakarta dan memberi tempoh lima tahun akan datang ke Semarang dan Betawi.

Selain itu, Exasquare kini dalam peringkat awal perbincangan dengan kerajaan Filipina bagi menyediakan BPL ke negara tersebut khususnya dengan syarikat pembekal telekomunikasi dan utiliti.

“Filipina merupakan satu lagi potensi pasaran penembusan jalur lebar kerana ketika ini hanya 1.6 peratus kadar penembusan di negara itu,” katanya.

Nazim berkata, bagi tempoh lima tahun akan datang Exasquare merancang untuk menebusi pasaran di Vietnam dan Kemboja selain beberapa negara lain.

Mengulas lanjut katanya, bagi pasaran tempatan Exasquare sedang berusaha mendapatkan kelulusan dari Tenaga Nasional Bhd. (TNB) bagi memasang peralatan tersebut untuk disalurkan kepada pengguna-pengguna di kawasan pendalaman.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengintai beberapa peluang baru untuk bekerjasama dengan pemaju-pemaju hartanah bagi memasang kemudahan ini di perbandaran yang baru hendak diwujudkan.

Bagaimanapun ia masih di peringkat awal dan tiada sebarang perjanjian belum dimuktamadkan.

Thursday, May 6, 2010

Bank Islam tarik 100,000 pelanggan baru

KUALA LUMPUR 6 Mei 2010 - Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) menyasarkan untuk menarik 100,000 pelanggan baru kad kredit sehingga akhir tahun ini melalui pelbagai usahasama dan promosi perniagaannya.

Setakat ini, Bank Islam mempunyai 500,000 pelanggan kad kredit.

Pengurus Besar Divisyen Perbankan Penggunanya, Khairul Kamarudin berkata, pihaknya turut melihat peluang kerjasama dengan syarikat-syarikat lain bagi meningkatkan promosi kad kredit Bank Islam.

Katanya, melalui kerjasama promosi dengan Tune Talk Sdn. Bhd. (Tune Talk), Bank Islam menjangkakan peningkatan 10 peratus pemegang kad kredit.

"Kami menganggarkan kira-kira 50,000 tambahan pelanggan kad kredit menjelang akhir tahun ini melalui Tune Talk,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman kerjasama promosi Bank Islam dan Tune Talk di sini hari ini. Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Jason Lo.

Melalui kerjasama Bank Islam dan Tune Talk, bank tersebut dijangka menggunakan platform 4,500 rangkaian pengedar Tune Talk bagi mempromosi kad kreditnya.

Selain itu, para pelanggan Tune Talk yang mendaftar ahli kad Bank Islam akan menerima bonus kadar masa ke udara percuma sebanyak RM5 setiap bulan bagi tempoh 18 bulan serta 0.3 peratus daripada pembelian runcit akan ditukarkan kepada kadar masa tambahan secara percuma setiap tiga bulan.

TUNE Talk mahu tawar panggilan terendah seluruh ASEAN

Khairul Kamarudin (kiri) bertukar-tukar dokumen dengan Jason Lo selepas menandatangani memorandum perjanjian persefahaman semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR 6 Mei 2010 – Lima tahun lagi, rakyat Malaysia boleh menghubungi sesiapa sahaja sama ada keluarga atau rakan dari negara-negara ASEAN pada kadar tempatan yang rendah melalui talian pra bayar TUNE Talk.

Panggilan itu boleh dibuat tanpa perlu menukar kad sim atau nombor telefon masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jason Lo berkata, pihaknya kini dalam perancangan untuk mendapatkan hak penyelesaian perayauan ke seluruh negara-negara ASEAN dalam tempoh lima tahun.

Katanya, untuk tahun pertama, pihaknya mahu mendapatkan hak penyelesaian itu di Singapura.

“Kami akan mendapatkan penyelesaian itu di Singapura pada pertengahan suku ketiga tahun ini dengan kos pelaburan yang minimum.

“Ia akan memudahkan pengembara atau mereka yang berhijrah ke Singapura menikmati kadar panggilan tempatan dan terendah di pasaran ketika berada di sana. Peluang yang sama akan dinikmati oleh rakyat di Malaysia apabila menghubungi keluarga atau rakan yang berada di negara jiran itu,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis memorandum perjanjian persefahaman (MoU) kerjasama di antara Bank Islam dan Tune Talk di sini hari ini.

Groupe Glon wujud ternakan ayam moden di Malaysia

Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2010/05/07
Pelaburan sedia peluang niaga bagi PKS

GROUPE Glon, firma berkaitan pertanian terbesar di Eropah bakal menyediakan beribu pekerjaan baru dan peluang perniagaan kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), apabila cadangannya membuka kemudahan lengkap rantaian pengeluaran daging ayam untuk eksport di negara ini menjadi kenyataan tidak lama lagi. Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir, berkata firma yang berpangkalan di Saint Gerand, Perancis itu kini sedang dalam rundingan akhir dengan kementeriannya bagi mengenal pasti lokasi sesuai bagi kemudahan itu yang dianggarkan membabitkan pelaburan berbilion ringgit. Beliau berkata, kemudahan itu antara lain akan turut merangkumi ladang ternakan ayam dan kemudahan pengeraman telur ayam bersistem, makmal penjagaan kesihatan ayam serta penghasilan makanan berkhasiat.

“Ia bukan saja mewujudkan ribuan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, malah bakal membuka peluang perniagaan kepada syarikat PKS negara ini sebagai pembekal atau vendor firma itu,” katanya ditemui pada Dialog Rantaian Pembekalan Halal di Petaling Jaya, semalam.

Mukhriz berkata, selain menyatakan komitmen untuk melabur di Malaysia, firma Perancis yang turut memiliki rantaian pembekalan lengkap di pasaran antarabangsa itu turut berminat membuka kemudahan secara usaha sama dengan syarikat tempatan.

“Bagi memudahkan mereka mengenal pasti syarikat tempatan yang mempunyai kepakaran sesuai, Miti sedang mengusahakan beberapa sesi padanan perniagaan dengan syarikat tempatan terpilih,” katanya.

Groupe Glon mencatatkan pendapatan 1.46 bilion euro setahun kini menguasai satu pertiga pasaran telur ayam dan mengeluarkan satu perempat daging lembu di Eropah.

Ia memiliki kepakaran menyeluruh dalam bidang penternakan dari penghasilan genetik ternakan terbaik, penternakan, pemprosesan hasil ternakan sehingga kepada proses pembekalan di pasaran antarabangsa.

Kira-kira 10 peratus pendapatannya diraih daripada aktiviti di luar Perancis yang merangkumi penghasilan genetik dan penjagaan kesihatan ternakan sehingga kepada proses penghasilan produk dan perkhidmatan bagi pasaran eksport.

Ketika ini, 80 peratus daripada pendapatan eksportnya datang daripada pasaran Afrika dan benua Asia, dan ia dieksport daripada beberapa kemudahan firma itu di Belgium, Sepanyol, Poland, Republik Czech, Vietnam, Kanada, Mauritius, Nigeria, Senegal, Mali, dan Maghribi.

Wednesday, May 5, 2010

Sasar jual 1,000 motosikal Piaggio

Oleh Ahmad Fiesal Othman
fsal@bharian.com.my
2010/05/05
Kumpulan Naza diantik pengedar eksklusif di Malaysia bagi empat jenama

KUMPULAN Naza menyasarkan menjual sehingga 1,000 unit motosikal keluaran Piaggio Group tahun ini susulan pelantikannya sebagai pengedar eksklusif di Malaysia bagi empat jenama motosikal keluaran syarikat Itali itu. Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin, berkata buat permulaan pihaknya diberi hak mengedarkan empat jenama keluaran syarikat itu, iaitu Piaggio, Aprilia, Gilera dan Vespa dengan pilihan untuk mengedarkan tiga lagi jenama keluaran syarikat itu, iaitu Moto Guzi, Scarabero dan Derbi pada masa akan datang.

Beliau berkata, pihaknya menjangka kira-kira 50 peratus daripada unjuran jualan untuk motosikal dan skuter keluaran Piaggio yang diedarkannya tahun ini akan disumbangkan Vespa, manakala bakinya dikongsi oleh Piaggio, Aprilia dan Gilera.

“Pelantikan sebagai pengedar eksklusif untuk motosikal keluaran Piaggio ini menaikkan lagi reputasi Kumpulan Naza selepas kejayaan mengedar jenama mewah lain dari Itali seperti Ducati, Ferrari dan Maserati,” katanya kepada pemberita pada majlis memeterai Perjanjian Pengedaran antara Kumpulan Naza dengan Piaggio di Kuala Lumpur, semalam.

Pada majlis itu, SM Faisal memeterai bagi pihak Kumpulan Naza, manakala Piaggio diwakili Pengarah Urusan Asia Pasifiknya, Mark Franklin.

Ia disaksikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir dan Atase Perhubungan Komersial dan Kedutaan Itali, Fabrizio Vergamini.

Selain mengedarkan motosikal keluaran Piaggio, Kumpulan Naza juga juga akan mengedarkan aksesori, barangan dan cenderahati am bagi semua jenama motosikal dan skuter di bawah Piaggio.

SM Faisal berkata, Kumpulan Naza akan melabur RM6 juta untuk menjayakan pengedaran motosikal Piaggio di negara ini yang mana ia termasuk menubuhkan bilik pameran eksklusif bagi jenama itu serta menyediakan kemudahan selepas jualan.

Beliau berkata, motosikal keluaran Piaggio itu juga akan diedarkan di bawah satu bumbung di pusat sehenti Naza World of Bikes yang akan diwujudkan.

“Pihak kami dan Piaggio juga mungkin menimbangkan kemungkinan memasang sekurang-kurangnya satu model motosikal dan skuter keluaran Piaggio untuk pasaran Asean pada masa akan datang,” katanya

Etika cari peluang ambil alih

Oleh AZMAN IBRAHIM
azman.ibrahim@utusan.com.my



Jaya JB Tan (kanan sekali) bertukar-tukar dokumen dengan Abdul Wahid Omar (kiri) sambil diperhatikan Fozia Amanulla di Kuala Lumpur, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 4 Mei 2010 - Pengeluar produk tenusu jenama Dairy Champ, Etika International Holdings Ltd. (Etika) kini meneroka peluang baru penggabungan dan pengambil alihan (M&A) di beberapa buah negara dunia termasuk Malaysia untuk mengembangkan perniagaan di peringkat antarabangsa.

Setakat ini, Etika telah mengambil alih syarikat perniagaan pemprosesan susu milik keluarga, Tan Viet Xuan Joint Stock Co., pada bernilai AS$8.7 juta (RM29.5 juta) di Vietnam sekitar Julai tahun lalu.

Malah, pada September tahun yang sama, Etika juga telah selesai mengambil alih syarikat PT Vixon Indonesia iaitu syarikat pengedar produk-produk pengguna di Indonesia.

Pengarah Eksekutif Etika, Datuk Kamal YP Tan berkata, bagi tujuan M&A, pihaknya sedang mengintai peluang di negara-negara Asean, China, India dan New Zealand.

Beliau berkata, pelaksanaan M&A boleh dilakukan di dalam negara kerana Malaysia turut menawarkan potensi yang tinggi.

''Setakat ini, kami sibuk mengintai peluang berkenaan dan berharap pelaksanaannya dapat dilakukan dalam beberapa tahun ini bagi memperluaskan perniagaan syarikat, sekali gus berusaha mencapai peneraju pasaran susu krim di rantau ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis memeterai kemudahan pembiayaan kewangan bersindiket sebanyak RM368 juta di sini hari ini.

Hadir pada majlis ialah Pengerusi Etika, Datuk Jaya JB Tan serta Presiden dan Ketua Eksekutif Malayan Banking Bhd. (Maybank), Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Hadir sama ialah Pengarah Eksekutif Etika Global Resources Sdn. Bhd., Khor Sin Kok dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif EONcap Islamic Bank Bhd., Fozia Amanulla.

Etika merupakan syarikat tempatan yang beribu pejabat di Singapura dan disenaraikan di Bursa Singapura, SGX Catalist pada 2004 yang lalu.

Pada hari ini, syarikat itu memeterai sindiket pembiayaan bernilai RM368 juta dengan tiga kumpulan peneraju institusi kewangan iaitu kumpulan AmBank, kumpulan EON Bank dan kumpulan Maybank untuk kegunaan modal kerja dan juga peluasan operasi.

Kumpulan AmInvestment Bank, Maybank Investment Bank Bhd. dan MIMB Investment Bank Bhd. pula menjadi penyusun utama bersama kemudahan pembiayaan itu.

Menurut Kamal, daripada RM368 juta kemudahan pembiayaan berkenaan, sebanyak RM363 juta telah ditawarkan di bawah terma pembiayaan Islam berkonsepkan Bai'Inah manakala baki RM5 juta ditawarkan melalui kemudahan kontrak tukaran wang asing konvensional.

Malah, jelas beliau, Etika memperuntukkan sebanyak RM159 juta daripada jumlah pembiayaan keseluruhan itu untuk digunakan sebagai modal kerja, manakala bakinya untuk membiaya semula pinjaman bank di Malaysia yang juga digunakan sebagai dana modal perluasan masa hadapan termasuk pelaksanaan M&A.

Ketika ditanya segmen perniagaan penyumbang terbesar kepada perolehan syarikat, Kamal berkata, segmen tenusu telah menjadi penyumbang terbesar kepada perolehan syarikat.

Kedua penyumbang terbesar ialah makanan sejuk beku, diikuti pembungkusan dan pembuatan kek dan roti.

Etika kini mempunyai kilang pengeluaran di Meru, Klang dan Glenmarie di Shah Alam, Selangor serta Seremban di Negeri Sembilan.

Sunday, May 2, 2010

HYH Pharma sasar sambutan menggalakkan

June Choo menunjukkan produk jenama TYT pada seminar dan sesi latihan penggunaan produk di sebuah hotel di Kota Bharu, baru-baru ini. - UTUSAN/Yatimin Abdullah

--------------------------------------------------------------------------------

KOTA BHARU 2 Mei 2010 - Pengeluar produk berasaskan herba berjenama TYT, Hong Yang Hoo Pharma Sdn. Bhd. (HYH Pharma) yang berada di pasaran sejak 53 tahun lalu, memperkenalkan produk terbaharu dikenali sebagai Herba Rendaman Kaki.

Pengarah Urusannya, June Choo berkata, permintaan pelanggan yang mahukan produk mampu meredakan tekanan di tempat kerja, telah membawa kepada penjualan produk tersebut pada awal tahun ini.

Sambil menyasarkan jualan kira-kira 20,000 kotak sebulan, beliau yakin unjuran itu dapat dicapai kerana herba berkenaan berupaya melancarkan perjalanan darah terutama di kalangan pengguna yang sibuk dan kurang bersenam.

''Istimewanya pengguna produk itu juga dapat meningkatkan metabolisme badan dengan tawaran harga yang berpatutan malah mudah disediakan.

''Setakat ini, ia mendapat sambutan baik dan merupakan produk ketiga yang dikeluarkan oleh HYH Pharma selepas Minyak Daun Ubat dan Mandian Herba Bersalin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar dan Sesi Latihan Produk TYT kepada 50 pelanggan produk syarikat, baru-baru ini.

Pada majlis yang sama beliau turut melancarkan Kelab Keluarga TYT yang menawarkan pelbagai keistimewaan.

Choo berkata, Kelantan terpilih sebagai lokasi perasmian kelab kerana mendapat sambutan menggalakkan di samping mencatat jualan paling tinggi dengan mencecah RM100,000 sebulan.

''Melalui kelab yang dianggotai oleh kebanyakan pelanggan setia TYT, perkongsian maklumat akan lebih mudah disalurkan malah ahli mendapat potongan harga istimewa yang ditawarkan oleh pengedar.

Pihaknya juga bercadang menawarkan ganjaran termasuk percutian ke negara China pada masa akan datang sekiranya ahli mencapai sasaran jualan yang ditetapkan.

''Kaedah ini sebagai galakan kepada pengguna untuk menjadi pengedar dalam usaha menambah pendapatan serta berpeluang mengikuti percutian ke luar negara.

''Jumlah keahlian ini akan menambah sebanyak 30 pengedar utama di seluruh negara yang memasarkan produk kami di farmasi, kedai ubat dan pasar raya besar'' katanya.

Sementara itu Choo berkata, produk Minyak Daun Ubat yang diusahakan oleh moyangnya di China dan dibawa masuk oleh datuknya ke negara ini pada tahun 1957 mendapat sambutan menggalakkan apabila kilang syarikat yang beroperasi di Pulau Pinang mengeluarkan 100,000 botol sebulan.

''Minyak herba yang diperbuat daripada serai ini terkenal di kalangan ibu-ibu selepas bersalin yang akan melakukan urutan atas perut bayi dan tubuhnya untuk mengelak dari kembung malah boleh juga digunakan untuk membantu menghentikan pengaliran darah jika mengalami luka.

''Mandian Herba Bersalin yang diperkenalkan sejak 30 tahun lalu pula membantu memulihkan tubuh ibu dalam pantang kerana disediakan mengikut formula tradisional dan terdiri daripada gabungan daun dukung anak, daun sekentut, sembung dan kulit limau bali," ujarnya

Atelier des parfums bakal hasilkan wangian halal

KUALA LUMPUR 2 Mei 2010 - Syarikat wangian dari Perancis Atelier des parfums sekali lagi bakal mempamerkan satu siri produk wangian halal bertaraf dunia di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia ke-7 (MIHAS) 2010 dari 23 hingga 27 Jun.

Syarikat itu, yang terletak di pusat industri wangian Perancis di Grasse, juga telah memutuskan untuk menubuhkan syarikat Malaysia yang dinamakan Atelier des parfums Malaysia Sdn. Bhd.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Hermann J. Portner berkata, syarikat itu kini mempunyai keupayaan dan kapasiti untuk mengeluarkan produk wangian halal bagi pasaran global di Malaysia.

Satu rangkaian pengeluaran telah ditubuhkan di Sri Damansara di mana terletaknya pejabat syarikat baharu itu. Atelier des parfums akan menggunakan unit Malaysia itu sebagai hab bagi pengguna Islam di seluruh dunia.

Pengurus besar bagi syarikat Malaysia itu dan salah seorang pemegang kepentingan Malaysia, Mustaffa Omar berkata: "Kami gembira dapat membuat produk kami di sini dengan kepakaran dan lokasi yang rapat dengan komuniti Islam,

"Kami kini mampu membawa wangian halal bertaraf dunia, dicipta di Perancis dan dihasilkan di Malaysia, kepada orang Islam di seluruh dunia pada harga yang mampu beli.

"Kami memberikan mereka bauan yang moden, segar, baharu dan lebih bermutu daripada wangian halal lain di pasaran. Pelanggan juga diberikan jaminan produk halal yang disijilkan," katanya.

Mustaffa berkata, syarikat itu buat masa ini mempunyai 22 bauan moden untuk perempuan dan kini sedang berada di peringkat akhir proses persijilan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sementara itu, melalui MIHAS yang semakin terkenal sebagai pameran produk dan perkhidmatan halal unggul dunia, Portner berkata, Atelier des parfums turut mahu mempromosi Malaysia sebagai pusat global bagi wangian halal dan kosmetik.

Persidangan dan pameran sedunia itu bertujuan menyediakan wadah bagi saintis, penyelidik, cendekiawan dan pendidik untuk berbincang dan bertukar-tukar pendapat tentang penemuan kajian terbaharu, teknologi baharu, isu-isu dan cabaran dalam industri halal global.

Portner akan menjadi penceramah pada satu sesi berkenaan peluang dalam pasaran wangian dan kosmetik halal dunia, termasuk untuk Malaysia menjadi pembekal utama produk itu.

Portner dan rakannya Olivier R. Funel, yang merupakan presiden syarikat Perancis itu, telah datang ke Malaysia hampir setiap bulan sepanjang dua tahun lepas.

Kedatangan mereka bukan sahaja bagi membincangkan rancangan untuk mengambil bahagian dalam MIHAS 2010 tetapi juga untuk mencari bakal rakan niaga yang sesuai dalam pembuatan dan pengagihan.

Untuk menunjukkan komitmen bagi membantu Malaysia menjadi hab halal sedunia bagi wangian dan kosmetik, Portner berkata, satu syarikat yang diberi nama Alpha-Experts Sdn. Bhd. telah ditubuhkan dua tahun lalu. - BERNAMA

Royal Jordanian mahu faktor muatan capai 85%

KUALA LUMPUR 2 Mei 2010 - Royal Jordanian Airlines (RJ) yang dijadual memulakan perkhidmatan dan operasi dalam taliannya di Malaysia mahu memastikan faktor muatan mencapai 85 peratus bagi tahun pertama beroperasi.

RJ akan memulakan operasi antara Amman dan Kuala Lumpur melalui Bangkok pada 2 Jun, selepas digantung berikutan sebab-sebab komersial, kata Pengurus Jualan Negaranya Wilson Chan.

Chan berkata, kajian menunjukkan trend pasaran kian menaik di dalam aktiviti pelancongan dan komersial ke Kuala Lumpur, kerana Malaysia disifatkan sebagai destinasi pelancongan yang ideal kepada dunia Arab dan negara-negara Komuniti Teluk.

Dengan memulakan penerbangan Amman-Bangkok-Kuala Lumpur, RJ kini komited untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada kesemua penumpang, terutama sekali komuniti Jordan dan Arab yang tinggal di Malaysia.

"Matlamat utama saya ialah untuk memastikan RJ terbang semula ke Kuala Lumpur dan kami juga berharap selepas ini untuk kekal selama yang mungkin," katanya.

Melalui strategi pemasaran yang kukuh, katanya laluan Amman-Bangkok-Kuala Lumpur akan berjaya kerana syarikat penerbangan itu turut merancang untuk terbang secara langsung ke Amman, ibu negara moden dan purba Jordan.

Kini, syarikat penerbangan itu sedang mengambil langkah agresif menemui agensi pengembaraan dan akan bekerja rapat dengan mereka untuk menggalakkan perkhidmatannya.

"Sebaik muatannya meningkat bagi penerbangan keluar dan masuk, kami kemudiannya akan memulakan penerbangan langsung ke Amman dan tidak melalui Bangkok," katanya.

Syarikat penerbangan itu juga menyasarkan pertumbuhan trafik pelajar dan pengembara perniagaan dan liburan.

Katanya RJ akan mengadakan penerbangan tiga kali seminggu - setiap Isnin, Rabu dan Jumaat - menggunakan pesawat A330 terbaharu, sebagai tambahan kepada pesawat jenerasi baharunya.

"Kami baru sahaja menerima dua pesawat A330 keluaran 2008 yang boleh membawa 283 penumpang yang dipajak bagi tempoh lima tahun," kata Chan.

Chan berkata, syarikat penerbangan itu juga menyasarkan untuk terbang ke Johannesburg dan China. - BERNAMA