Sunday, July 25, 2010

EKUINAS minat kuasai Carrefour

Oleh Kamarulzaidi Kamis dan Zuraidah Mohamed

2010/07/26
Rakan kongsi sesuai diperlu untuk bidaan menjangkau lebih RM200j

EKUITI Nasional Bhd (EKUINAS) berminat untuk mengambil alih rangkaian pasar raya besar Carrefour di Malaysia jika ada pihak lain yang bersedia bekerjasama dengannya dalam pembelian itu.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata EKUINAS tidak boleh membuat bidaan secara bersendirian kerana pengurus dana ekuiti persendirian milik kerajaan itu hanya boleh melabur maksimum sebanyak RM200 juta dalam sesebuah syarikat. Beliau menegaskan, pengambilalihan itu wajar dipertimbangkan kerana ia termasuk dalam enam sektor tumpuan pelaburan EKUINAS iaitu peruncitan, pendidikan, pelancongan, penjagaan kesihatan, minyak dan gas serta perkhidmatan. Seperti yang kita tahu, Carrefour mempunyai rancangan untuk menjual perniagaannya di Malaysia, Singapura dan Thailand, dan saya pasti ramai yang membuat bidaan tetapi harga yang ditawarkan mungkin menjangkau kemampuan EKUINAS.

Kami belum membuat sebarang keputusan setakat ini dan jika ada peluang EKUINAS tidak akan membuat bidaan secara solo tetapi menerusi rakan kongsi yang sesuai. Pihak kami akan menilai perkara ini terlebih dulu, katanya kepada Berita Harian ketika ditemui di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Pemerhati pasaran berkata, pemilikan pasar raya besar seperti itu akan membolehkan EKUINAS meningkatkan penyertaan Bumi-putera khususnya dalam rantaian bekalan serta pemasaran produk.

Awal bulan ini, Carrefour dilaporkan berhasrat menjual perniagaannya di Malaysia, Singapura dan Thailand.
Agensi berita REUTERS yang memetik kenyataan sumber berkata, harga jualan bagi cabang perniagaannya di tiga negara di Asia Tenggara itu dijangka mampu mencecah AS$1 bilion (RM3.22 bilion).

Pemilik pasar raya itu juga dikatakan sudah mengadakan perbincangan dengan bank pelaburan Goldman Sachs dan UBS bagi mengatur urusan penjualan itu.

Carrefour, peruncit kedua terbesar dunia berpangkalan di Perancis, dalam tempoh beberapa tahun lalu menutup perniagaannya di Jepun dan Korea, bagi memberi tumpuan kepada pasaran lebih besar dan sedang pesat berkembang seperti di India.

Di Indonesia, REUTERS melaporkan ING-JP Morgan, konglomerat yang mempunyai kepentingan dalam sektor perbankan dan media, mahu meraih dana menerusi terbitan bon pada peringkat antarabangsa tahun ini bagi membiayai pembelian kepentingan dalam Carrefour.

The Bangkok Post pula melaporkan, Carrefour sudah bertemu dengan pembeli berpotensi dan akan membuka tawaran bagi penjualan itu awal September depan.

Carrefour beroperasi di 38 lokasi di Thailand dengan aset keseluruhan miliknya di negara itu dianggarkan bernilai antara AS$500 juta (RM1.6 bilion) dan AS$600 juta (RM1.9 bilion).

Di Malaysia, syarikat yang merancang memiliki 40 rangkaian menjelang 2012 itu memiliki aset bernilai RM1.5 bilion, iaitu berdasarkan anggaran industri peruncitan.

Ketika ini, Carrefour beroperasi menerusi 23 cawangan dan empat lagi dijangka dibuka tahun ini.

Wednesday, July 21, 2010

TM rancang tingkat kemahiran usahawan kembang pasaran

2010/07/22
TELEKOM Malaysia Bhd (TM) kini dalam proses meningkatkan lagi kemahiran lebih 1,000 usahawan dan vendor di bawah Program Pembangunan Usahawan TM (PPU TM) bagi mengembangkan lagi pasaran pelbagai produk telekomunikasi di bawah kumpulan itu.

Pengerusinya, Datuk Dr Halim Shafie berkata, langkah itu sejajar falsafah TM untuk menyumbang ke arah pembinaan keupayaan serta memperkasa kualiti usahawan Bumiputera di bawah TM. Beliau berkata, TM mempunyai perancangan jangka panjang dalam program pembangunan usahawan di bawahnya dengan tumpuan utama diberikan kepada usaha meningkatkan mutu perkhidmatan selain menjadikan mereka lebih kreatif dan inovatif. “Usaha membangunkan usahawan ini penting kerana mereka adalah sebahagian daripada ekosistem perniagaan TM, justeru kumpulan sentiasa berhasrat mewujudkan hubungan strategik ‘sama-sama menang’ antara kedua-dua belah pihak,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian anugerah usahawan TM 2010 di Kuala Lumpur, malam tadi.

Anugerah berkenaan diwujudkan bagi menghargai dan mengiktiraf usahawan di bawah PPU TM yang diwujudkan sejak 1993.

Anugerah disampaikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir. Hadir sama Ketua Eksekutif TM, Datuk Zamzamzairani Mohd Isa.

Sementara itu, Mukhriz dalam ucapannya berkata, kemunculan pembekal perkhidmatan baru yang memberikan saingan hebat kepada TM menuntut kumpulan telekomunikasi itu menjadi lebih peka terhadap kehendak pengguna.
“Pengguna mahukan pilihan yang banyak serta menarik daripada pembekal perkhidmatan dan pada masa sama menuntut mutu perkhidmatan yang tinggi pada kadar bayaran yang rendah,” katanya.

Pada majlis malam tadi, Duramine Sdn Bhd dipilih sebagai pemenang Anugerah Usahawan Terbaik 2010.

Angkasa rancang buka 'koopshop' di Felda

KUANTAN 21 Julai 2010 - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) akan mewujudkan pusat perniagaan koperasi iaitu 'Koopshop' di tanah rancangan Felda.

Ia menggunakan sistem perkongsian pemasaran bagi membantu pusat jualan koperasi dalam bidang perniagaan.

Presiden Angkasa, Datuk Mohd. Ali Baharum berkata, Koopshop akan berperanan sebagai pembekal utama barangan jualan kepada 260 pusat jualan koperasi di tanah rancangan Felda.

''Koopshop juga akan mendapatkan bekalan barangan jualan secara terus daripada pengeluar utama iaitu Felda," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Seminar Kepenggunaan Dalam Koperasi yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Ishak Muhammad di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Angkasa, Datuk Abdul Fatah Abdullah dan Naib Yang Dipertua Angkasa, Armi Zainudin serta 212 ahli koperasi seluruh negeri.

Mohd. Ali berkata, jika Koopshop berjaya diwujudkan, ia dapat menyelesaikan pelbagai masalah bekalan yang dihadapi oleh koperasi ketika ini termasuk mendapatkan bekalan barangan jualan pada harga yang lebih murah.

Menurutnya, ketika ini, kebanyakan pusat jualan koperasi mendapat barangan daripada pembekal luar dan terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah termasuk kekurangan bekalan serta harga yang tidak menentu.

Dalam pada itu, beliau menjangkakan 300 Kooshop akan diwujudkan di tanah rancangan Felda di seluruh negara yang mampu menampung keperluan bekalan barangan semua pusat jualan koperasi sedia ada.

Sehingga ini tambahnya, Angkasa mempunyai 260 pusat jualan koperasi di kawasan Felda dan menjangkakan sebanyak 200 pusat jualan baru akan diwujudkan sehingga akhir tahun depan.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Ishak menggesa orang ramai menjadi pengguna yang bijak dan tidak tertipu dengan penggunaan logo halal pada produk makanan.

''Isu penggunaan logo halal pada produk makanan dan campuran bahan kimia pada sesetengah produk lain turut membuatkan pengguna ragu-ragu dan tidak membeli barangan berkenaan kerana tidak mahu menanggung risiko," katanya.

Tuesday, July 20, 2010

Maybank sasar tingkat pelanggan mudah alih

2010/07/21
MALAYAN Banking Bhd (Maybank) menyasarkan pelanggan perbankan mudah alih meningkat 53 peratus dalam tempoh setahun susulan pelancaran Perkhidmatan Perbankan Mudah Alih (M2U Mobile) ditingkatkan.

Pengguna boleh mengakses portal bank kumpulan itu, Maybank2u.com menggunakan sebarang model telefon bimbit atau pengendali mudah alih bagi tujuan perbankan, pembayaran bil atau transaksi e-dagang. Timbalan Presiden Maybank dan Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Lim Hong Tat, berkata M2U Mobile yang ditingkatkan itu bakal menyokong peningkatan 40 peratus purata transaksi bulanan bagi perkhidmatan berkenaan kepada 100,000 berbanding 70,000 dalam tempoh setahun.
Beliau berkata, perkhidmatan itu kini berubah daripada platform berasaskan aplikasi Java terhad kepada platform dengan keupayaan pelayar web digunakan secara meluas.

“Ini bermakna M2U Mobile kini boleh digunakan ke semua peralatan mudah alih yang mempunyai akses internet menjadikannya lebih versatil, mudah dan selesa untuk pengguna meneruskan urus niaga Maybank2u.com mereka,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Lim berkata, dengan keupayaan yang ditingkatkan pelanggan kini boleh mengakses Maybank2u.com menerusi pelayar mudah alih untuk mendapatkan perkhidmatan seperti penyata akaun, pertanyaan baki, pemindahan dana, pembayaran bil untuk bil berdaftar, pembayaran kad kredit selain tukaran asing dan kadar deposit.

Katanya, pelanggan perlu mendaftar sebagai pelanggan Maybank2u.com percuma. Katanya, pelanggan digalakkan mendaftar akaun pihak ketiga yang utama atau bil bagi membolehkan mereka melaksanakan transaksi M2U Mobile lebih selesa.

Friday, July 16, 2010

MAS tambah destinasi baru

Oleh Haika Khazi
mfaizul@bharian.com.my
2010/07/17


DR MUNIR (kiri) dan Kong meraikan penumpang yang menggunakan khidmat penerbangan pertama MAS ke Bandung, Indonesia, di KLIA, semalam.88 penerbangan ke Indonesia

SEPANG: Perluasan rangkaian penerbangan Penerbangan Malaysia (MAS) ke Bandung, destinasi kedua syarikat berkenaan tahun ini adalah selaras dengan peningkatan permintaan daripada penumpang di Malaysia dan Indonesia, kata Pengerusinya, Tan Sri Dr Munir Majid. Katanya, awal tahun ini, MAS sudah memperkenalkan penerbangan ke Damman, iaitu pusat pengeluaran minyak dan gas di Arab Saudi dan penerbangan ke Bandung melengkapkan rancangan pertumbuhan rangkaiannya dengan pelan penambahan pesawat syarikat.
“Kami ingin menambah kekerapan dan kapasiti penerbangan di samping memperkenalkan destinasi baru serta pesawat baru ke laluan Indonesia.

“Kami juga berhasrat meluaskan bahagian pasaran antara Indonesia dan Malaysia, selain menggalakkan pengembara menaiki penerbangan kami untuk ke destinasi seperti Singapura, Thailand, Vietnam, Kemboja, China, Australia, United Kingdom dan Eropah,” katanya pada majlis pelancaran destinasi terbaru itu, di sini semalam.

Dengan penerbangan tujuh hari seminggu ke Bandung, MAS kini mempunyai 88 penerbangan mingguan ke Indonesia iaitu Bandung, Jakarta, Surabaya, Jogjakarta, Denpasar dan Medan.

Pada masa sama, Munir berkata, MAS merancang memperkenalkan beberapa destinasi baru tahun ini terutama di Asia Tenggara yang akan disokong pembelian beberapa pesawat untuk memenuhi permintaan penumpang.
Katanya, MAS sudah memesan sehingga 55 pesawat B738-800, 25 pesawat A330 dan enam pesawat A380 yang akan diterima bermula tahun ini hingga 2015.

“Menjelang 2015, kami akan mempunyai pesawat paling baru dan mesra alam di rantau ini. Pesawat B737-800 akan digunakan untuk laluan domestik dan serantau,” katanya.

“Pesawat A330-300 pula akan digunakan untuk mengangkut penumpang di pasaran yang sedang berkembang seperti Asia Selatan, China, Asia Utara, Australia dan Timur Tengah, manakala pesawat A380 akan digunakan untuk penerbangan ke Sydney dan London,” katanya.

Friday, July 9, 2010

Mah Sing maju 3 bidang tanah di lokasi strategik

2010/07/10
MAH Sing Group Bhd membeli tiga bidang tanah baru di lokasi strategik Lembah Klang yang akan dimajukannya dengan projek kediaman, komersial serta perindustrian dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM1.1 bilion.

Kumpulan pemaju hartanah itu dalam kenyataannya berkata, tanah di Puchong itu seluas 50.9 hektar, di koridor Damansara Utara-Subang-Sungai Buloh seluas 7.2 hektar dan di Bukit Jelutong, Shah Alam seluas 4.43 hektar. Katanya, tanah di Puchong itu akan dibangunkannya sebelum akhir tahun ini sebagai projek kediaman pertengahan dan mewah akan dikenali sebagai Kinrara Residence dengan GDV RM730 juta. Bagi tanah di koridor Damansara Utara-Subang-Sungai Buloh, Mah Sing berkata ia akan dibangunkan sebagai projek komersial Star Avenue, membabitkan pembinaan rangkaian kedai tiga tingkat, lot peruncitan dan pejabat dengan GDV RM280 juta yang bakal dilancarkan pada separuh pertama tahun depan.

Tanah di Bukit Jelutong pula, katanya akan dimajukan sebagai projek pembangunan perindustrian i-Parc 3 @ Bukit Jelutong, yang mana ia akan membangunkan rangkaian kilang berkembar berkepadatan rendah dengan anggaran GDV RM82 juta dan akan dilancarkan pada separuh pertama 2011.

Mengulas perkembangan itu, Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata syarikat itu sedang membina barisan produk bagi tahun depan dan seterusnya.

“Bagaimanapun, kami tidak menetapkan sasaran pembelian tanah untuk tahun ini kerana perlu berhati-hati dengan pemilihan kriteria seperti akses yang sempurna menerusi hubungan jalan dan lebuh raya, kemudahan baik dan kawasan yang tersedia ada,” katanya.
Bagi enam bulan pertama tahun ini, nilai keseluruhan pembangunan Mah Sing adalah RM1.9 bilion.

Tahun lalu, syarikat itu membangunkan enam bidang tanah dengan GDV keseluruhan mencecah RM2.2 bilion

Tutti Frutti sasar pasaran India

2010/07/10
NAZA Tutti Frutti (Malaysia) Sdn Bhd, pemegang lesen utama Tutti Frutti, pengeluar dadih beku berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), menyasar mengembangkan pasaran ke India menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Urusan Tutti Frutti Trading Sdn Bhd, Nor Diana SM Nasimuddin, berkata ia adalah berikutan kejayaan kumpulan itu meneroka pasaran Singapura dan Kemboja baru-baru ini. “Kami kini sedang berunding dengan beberapa syarikat di India dan berharap dapat dimuktamadkan tidak lama lagi. “Sementara itu, dua cawangan Tutti Frutti akan dibuka bagi urus niaga di Singapura dan satu di Kemboja dalam tahun ini,” katanya pada majlis memeterai perjanjian lesen pengedaran pertama Tutti Frutti di Kuala Lumpur, semalam.

Untuk tahun depan, Nor Diana berkata, pihaknya bercadang membuka tiga cawangan di Kemboja dan lima di Singapura.

Di dalam negara pula, katanya, Tutti Frutti kini berada pada landasan kukuh bagi mengendalikan sekurang-kurangnya 20 cawangan daripada sembilan cawangan sekarang ini.

“Pada tahun 2011, kami merancang untuk membuka 10 hingga 15 cawangan yang akan termasuk cawangan di Sabah dan Sarawak," katanya.

Thursday, July 8, 2010

MOL Global urus kredit maya komuniti Facebook

Oleh Shahrizan Salian

2010/07/09
ANAK syarikat Berjaya Corporation Bhd, MOL Global mengukuhkan lagi rangkaian perkhidmatannya apabila dilantik sebagai syarikat pertama di Asia bagi menyediakan kemudahan pembayaran untuk pengguna Facebook di rantau ini untuk membeli apli-kasi dan permainan dalam talian yang ditawarkan laman sosial paling popular di dunia itu.

Menerusi perjanjian yang dimeterai dengan Facebook semalam, MOL Global menerusi syarikat milik penuhnya, MOL AccessPortal Bhd akan menjadi penyedia pembayaran bagi Facebook Credits yang membolehkan pengguna Facebook membeli kredit MOLPoints untuk menggunakan aplikasi serta permainan maya Facebook. Ia akan membolehkan MOL Global meneroka pasaran baru yang cukup luas menerusi Facebook ketika ini mempunyai 400 juta pengguna berdaftar aktif yang majoritinya adalah di Asia. Ketua Eksekutif Kumpulan MOL Global, Ganesh Kumar Bangah, berkata pengguna Facebook di Asia boleh mendapatkan Facebook Credits menggunakan mata MOL yang dibeli menerusi rangkaiannya di negara seperti Malaysia, Singapura, Filipina, India, Australia dan New Zealand.

Beliau berkata, MOL Global kini memiliki 540,000 saluran bayaran fizikal di seluruh dunia selain sambungan kepada 88 perkhid-matan perbankan dalam talian di sembilan negara.

Di samping itu, katanya pengguna juga boleh mendapatkan mata berkenaan menerusi cawangan 7-Eleven serta rangkaian perbankan dalam talian MOL yang boleh diakses di negara terbabit.

Kerjasama dengan Facebook ini mencerminkan peranan MOL Global yang semakin luas sebagai peneraju perkhidmatan pembayaran di Asia, katanya selepas memeterai perjanjian itu di Kuala Lumpur, semalam