Tuesday, August 31, 2010

MySpace seragam kemas kini laman web dengan Facebook

2010/09/01
MYSPACE kini membolehkan penggunanya menyeragamkan kemas kini laman masing-masing dengan Facebook.

Facebook kini adalah peneraju rangkaian sosial, mengambil alih tempat itu yang sebelum ini dikuasai oleh MySpace. “Fungsi penyeragaman baru ini sebahagian usaha berterusan kami menjadikannya lebih mudah untuk pengguna berkongsi kemas kini di luar MySpace dan membenarkan rakan atau peminat mereka berinteraksi dengan isi kandungan itu di seluruh web,” kata MySpace dalam kenyataannya semalam. MySpace, yang dimiliki oleh News Corporation sudah membenarkan penggunanya berkongsi kemas kini dalam bentuk komen, pemerhatian dan pendapat dalam laman perkhidmatan mikro blog, Twitter.

Arahan berkaitan cara untuk menyeragamkan perkhidmatan MySpace dengan Facebook boleh didapati pada pautan myspace.com/guide/sync.

Menerusi perkongsian ke dalam Facebook, pengguna MySpace boleh berkongsi muzik, video, permainan, gambar dan isi kandungan digital lain dengan rakan masing-masing di Facebook.

“Ini perkara menarik untuk jutaan pemuzik yang memiliki MySpace yang kini boleh melengkapi fungsi MySpace Music masing-masing dan berkongsi koleksi isi kandungan masing-masing,” kata MySpace.
Sejak diambil alih kedudukan penguasaannya oleh Facebook dua tahun lalu, MySpace berusaha menempatkan dirinya sebagai sebuah platform untuk pemuzik dan peminat mereka.

Facebook mempunyai kira-kira 500 juta ahli, manakala pengguna MySpace dilaporkan sebahagian daripada jumlah itu.

Eksekutif MySpace dalam persidangan Julai lalu melancarkan pelan untuk menjadi ‘lebih muda, lebih belia’ dengan meletakkan keutamaan terhadap ‘kreativiti dan ekspresi diri’.

Lebih banyak penekanan, contohnya akan diletakkan dalam MySpace sebagai destinasi permainan video kasual, seperti dibentangkan eksekutif terbabit. – AFP

3M sasar buka 30 pusat pemasangan akhir tahun

2010/09/01
3M Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat 3M Company Ltd, konglomerat teknologi multinasional berpangkalan di Amerika Syarikat, menyasar membuka lebih 30 pusat pemasangan lapisan perlindungan cermin kereta 3M di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Pengurus Perniagaan Bahagian Tenaga Boleh Diperbaharui 3M, Ben Heng, berkata langkah agresif itu mencerminkan keyakinan syarikat terhadap pasaran di negara ini. Beliau berkata, 3M menyasarkan menjadi peneraju pasaran menerusi produk lapisan perlindungan cermin kereta keluarannya yang dikenali sebagai 3M Crystalline. Ia adalah produk pertama syarikat itu yang dibangunkan menggunakan teknologi nano.

“Setakat kini, tujuh cawangan pusat kenderaan berdaftar 3M sudah dibuka merangkumi enam di sekitar Lembah Klang manakala satu di Pulau Pinang dengan peruntukkan pelaburan lebih RM100,000 bagi setiap cawangan.

“Kami masih aktif walaupun lama menyepi. Menerusi cabang perniagaan baru ini, kami yakin ia akan diterima baik pengguna walaupun lapisan perlindungan itu ditawarkan pada harga premium.

“Kami mempunyai beberapa pelan jangka panjang bagi operasi segmen perniagaan ini termasuk menjadi pengeluar komponen tulen (OEM) kepada pengeluar kenderaan Korea,” katanya pada pelancaran cawangan pusat kenderaan berdaftar 3M di Jaya One dan pelancaran produk lapisan 3M Crystalline di Petaling Jaya.
Hadir sama Pengurus Besar Keselamatan dan Perniagaan Grafik 3M, Lewis Wong dan Ketua Jabatan Rawatan Radio dan Oncology Pusat Kanser UKM-Makna, Datuk Fuad Ismail.

3M Malaysia menawarkan pelbagai tawaran istimewa kepada pengguna yang memasang 3M Crystalline antaranya jaminan lapisan perlindungan sehingga lima tahun menerusi e-warranty dan pengenalan produk tulen

QSR Brands mahu teroka ternakan ayam di Kemboja

Oleh Shahrizan Salian
shahrizan@bharian.com.my
2010/09/01
Kumpulan rancang urus kos bahan mentah, tingkat untung

QSR Brands Bhd, yang menjadi pemegang francais utama rangkaian restoran KFC di Kemboja merancang meneroka perniagaan huluan di negara itu dengan melabur dalam bidang penternakan ayam. Operasi QSR di Kemboja mencatat peningkatan jualan yang menggalakkan, tetapi keuntungan yang diperolehnya masih rendah berikutan peningkatan kos produk ayam tempatan dan bahan mentah yang diimport. Pengarah Urusan QSR, Jamaludin Md Ali, berkata langkah menceburi bidang perniagaan huluan membolehkan kumpulan menguruskan kos bahan mentah dan meningkatkan keuntungan operasinya di negara terbabit.

Katanya, rancangan itu juga akan membolehkan kumpulan memiliki bekalan ayam mencukupi untuk menampung pertambahan bilangan cawangan restoran KFC yang dikendalikannya di Kemboja, sekali gus meningkatnya permintaan di pasaran itu.

“Rancangan itu juga berikutan harga ayam yang semakin meningkat, justeru, pembabitan QSR dalam perniagaan huluan membolehkan kumpulan mengawal kenaikan harga komoditi itu,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat agung tahunan anak syarikat QSR Brands, KFC Holdings (M) Bhd di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

QSR, yang mengendalikan restoran KFC di Kemboja menerusi pembukaan cawangan pertamanya di Phnom Penh pada 2008 kini mempunyai lapan cawangan di negara itu iaitu tujuh di ibu negaranya dan satu lagi di pusat pelancongan terkemuka, Siem Reap.
Kumpulan itu akan membuka 10 lagi cawangan restoran KFC di Kemboja sebelum akhir tahun ini berikutan sambutan memberangsangkan yang diterima di pasaran terbabit.

Selain rangkaian restoran KFC, kumpulan itu turut mengendalikan restoran Pizza Hut di Kemboja menerusi anak syarikatnya, Kampuchea Food Corporation Co Ltd.

Jamaludin berkata, QSR masih belum menetapkan tempoh untuk memulakan perniagaan dalam bidang huluan di Kemboja tetapi sudah berunding dengan pihak yang berkemampuan bekerjasama dengannya di negara itu.

“Jika semuanya mengikut perancangan, kami mahu memulakan rancangan itu secepat mungkin,” katanya.

Pertengahan tahun ini, QSR memeterai perjanjian dengan konglomerat utama Kemboja, Royal Group of Co Ltd (RGC) untuk menubuhkan sebuah syarikat usaha sama bagi perniagaan pengeluaran pemprosesan di negara terbabit.

Perjanjian itu juga dijangka membolehkan QSR memulakan perniagaan penternakan ayam di Kemboja seperti yang dilaksanakan oleh anak syarikat KFCH, Ayamas Food Corporation Sdn Bhd di Malaysia.

Bagi separuh pertama tahun ini, QSR meraih keuntungan sebelum cukai RM124.1 juta, meningkat 20.7 peratus daripada RM102.9 juta sebelumnya, manakala margin keuntungan sebelum cukai meningkat daripada 7.8 peratus kepada 8.5 peratus berikutan program kawalan kos yang berkesan.

Ia meraih pendapatan sebanyak RM1.45 bilion sepanjang tempoh dikaji, meningkat sebanyak 11.2 peratus daripada RM1.31 bilion yang diperoleh sepanjang tempoh sama tahun lalu

Sime Darby rancang senarai unit perladangan

Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2010/09/01


SIME Darby akan mengukuhkan operasi perladangan sebelum menyenaraikan entiti itu di pasaran saham.Konglomerat kaji inisiatif jana nilai di Bursa Malaysia, pasaran asing

SIME Darby Bhd yang minggu lalu mengumumkan cadangan penyusunan semula operasinya dengan membentuk enam entiti berdasarkan perniagaan terasnya, akan mengambil langkah pertama dengan menyenaraikan unit perladangannya dalam tempoh dua tahun ini. Sumber berkata, konglomerat itu sedang mengenalpasti beberapa peluang penyenaraian yang boleh menjanakan nilai unit perlada-ngannya itu, sama ada di Bursa Malaysia atau di pasaran saham asing. “Wujud peluang yang besar untuk unit perladangan Sime Darby sama ada di Indonesia atau di Malaysia bagi tujuan penyenaraian kerana (apabila disenaraikan) ia akan membantu kumpulan menjana nilai anak syarikatnya itu menerusi kepelbagaian aktiviti perniagaan sama ada dalam industri huluan atau hiliran, sekali gus membantu kumpulan mengekalkan momentum sumbangan daripada segmen perladangan,” katanya kepada Berita Harian.

Difahamkan, selain Bursa Malaysia, konglomerat itu turut mengenalpasti Bursa Indonesia sebagai lokasi bagi penyenaraian unit perladangannya.

Minggu lalu, Pemangku Presiden dan Ketua Eksekutif Sime Darby, Datuk Mohd Bakke Salleh, ketika mengumumkan langkah itu pada satu sidang media berkata, antara cadangan penyusunan semula yang akan dilaksanakan bermula 1 Januari ini, ialah penyenaraian semula beberapa unit perniagaannya.

Sumber itu bagaimanapun berkata, penyenaraian itu akan direalisasikan sejurus selepas Sime Darby mengukuhkan kecekapan operasi entiti perladangannya.
“Kumpulan itu kini sedang sibuk memberi tumpuan terhadap mengukuhkan kecekapan operasi perniagaan perladangannya sama ada di Malaysia atau di Indonesia selain berusaha meningkatkan margin operasi loji pengeluaran minyak sawit mentah dan ladang.

“Selepas semuanya selesai kelak, mungkin tahun depan atau 2012, barulah kumpulan itu akan menimbang menyenaraikan entiti perladangannya itu di pasaran saham,” jelasnya sambil menambah kumpulan itu tidak akan menyenaraikan unit perladangan berkenaan secara terburu-buru sebelum memastikan hasil aktiviti perlada-ngannya itu berupaya menjana nilai yang konsisten kepada pemegang saham.

Kumpulan Sime Darby yang lahir hasil gabungan tiga ikon perladangan negara iaitu Sime Darby, Kumpulan Guthrie, dan Golden Hope pada November 2007, kini memiliki ladang seluas 524,626 hektar di Semenanjung, Sarawak dan Sabah serta di Sumatera, Kalimantan dan Sulawesi, Indonesia.

“Sime Darby masih lagi belum menjadi peserta utama yang serius dalam aktiviti perniagaan hiliran.

“Justeru, dengan mengukuhkan kecekapan operasi unit perladangan yang ketika ini banyak memberi penumpuan kepada huluan itu, ia dijangka akan membantu kumpulan muncul peserta utama dalam industri itu di dalam dan luar negara,” kata sumber itu

Sunday, August 29, 2010

Tune Hotels sasar London

Oleh Azli Ayob
azliayob@bharian.com.my
2010/08/30
Syarikat rancang buka 15 hotel di United Kingdom menjelang 2015

TUNE Hotels menyasarkan membuka sehingga 15 hotel di United Kingdom (UK) menjelang 2015 sebagai antara strategi pengembangan pasaran kumpulan itu di luar negara. Kumpulan itu membuka operasi sulung hotelnya di negara berkenaan pada Jumaat lalu, sekali gus secara keseluruhannya menjadi hotel ke-10 sejak ia mula beroperasi di Kuala Lumpur pada 2007. Hotel pertama Tune Hotels di kota London itu terletak di Westminster Bridge Road, berhampiran stesen Waterloo dan berdekatan pusat kebudayaan London, South Bank.

Selain London, Tune Hotels kini mempunyai tujuh hotel di Malaysia dan dua di Bali, Indonesia.

Tune Hotels dalam kenyataannya berkata, kadar penginapan hotel terbarunya itu bermula pada harga £35 (RM171) dan ia dibangunkan berasaskan struktur harga tambang syarikat penerbangan tambang murah yang mana harga bilik ditawarkan pada kos lebih rendah tetapi mempunyai kelengkapan asas bermutu setanding hotel lima bintang.

“Sama seperti syarikat penerbangan tambang murah, tetamu dinasihatkan membuat tempahan awal di laman web bagi mendapatkan kadar penginapan lebih rendah pada harga promosi bermula £9 (RM44) semalam,” katanya.
Sebagai tambahan kepada katil kelas lima bintang seperti yang digunakan di hotel bertaraf lima bintang, tetamu Tune Hotels London juga mendapat jaminan keselamatan menerusi penggunaan kad kunci elektronik, kawalan keselamatan menerusi CCTV dan orang luar tidak boleh memasuki lobi tanpa kad elektronik selepas tengah malam.

Ketua Eksekutif Kumpulan Tune Hotels, Mark Lankester, berkata pembukaan hotel itu adalah satu pencapaian bagi Tune Hotels sejak pembukaan hotel pertamanya tiga tahun lalu.

“Ini perkembangan menarik dan ia menunjukkan konsep perkhidmatan ‘bayar ke atas apa yang digunakan’ diterima baik di seluruh dunia,” katanya.

Lankester berkata, Tune Hotels bercadang mempunyai 1,500 bilik hotel di kota London menjelang 2017 menerusi 15 hotel miliknya di United Kingdom.

Tune Hotels di UK dikendalikan menerusi kerjasama strategik dengan Queensway Group Ltd, sebuah kumpulan pelaburan berpangkalan di negara itu yang menguruskan aset perhotelan di UK, Eropah dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Thursday, August 26, 2010

Sistem BET jimat masa perjalanan hingga 50 peratus

2010/08/27
DALAM usaha menjadikan perkhidmatan bas lebih menarik dan mudah dicapai pengguna, RapidKL memperkenalkan sistem Bus Expressway Transit (BET) yang dimulakan pada 12 Januari lalu.

BET adalah sistem di mana perkhidmatan bas menggunakan laluan lebuh raya yang kurang sesak bagi menghubungkan kawasan berkepadatan penduduk tinggi dengan pusat bandar. Dengan menggunakan lebuh raya, masa perjalanan dapat dijimatkan sehingga 50 peratus kerana kurang sesak berbanding jalan biasa. Operasi pada masa ini membabitkan empat laluan iaitu;

•Penchala Link (Kota Damansara ke Pasar Seni).

•New Pantai Expressway (Subang Mewah ke Pasar Seni).

•Grand Saga (Bandar Sungai Long ke Pasar Seni).

•KESAS (Sri Muda ke Pasar Seni).

Bagaimanapun pada 14 Jun lalu laluan ini tidak lagi menggunakan Lebuh raya KESAS bagi memperluaskan operasi disamping memendekkan waktu perjalanan sebanyak 15 minit (dari 90 minit ke 75 minit).

Monday, August 23, 2010

Kerjasama perkukuh industri halal global

2010/08/24
HALAL Foundation (Malaysia) menjalinkan kerjasama dengan AsureQuality Ltd of New Zealand bagi memperkukuhkan infrastruktur industri halal global menerusi pengembangan perkhidmatan serta kaedah pelaksanaan piawaian status halal.

Menerusi kerjasama berkenaan, AsureQuality, syarikat milik penuh kerajaan New Zealand akan menyediakan kepakaran teknikal dalam ujian makmal asas tani serta jaminan kualiti halal kepada Halal Foundation. Pengasas dan Pengerusi Halal Foundation, Datuk Mohamad Alayuddin Che Hassan, berkata kerjasama itu bertujuan membangunkan satu platform halal global bagi membolehkan peserta industri melakukan inovasi produk dan perkhidmatan sekali gus mengembangkannya ke peringkat antarabangsa. Katanya, ia juga bagi memenuhi keperluan halal global bagi produk makanan dan bukan makanan berdasarkan nilai keselamatan, kebersihan dan kualiti.

CIMB Group labur RM1.1b bangunkan 1Platform

2010/08/24
CIMB Group memperuntukkan pelaburan RM1.1 bilion untuk menggantikan sistem perbankan sedia adanya kepada platform perbankan teras serantau baru yang dikenali sebagai 1Platform.

Ketua Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Nazir Razak berkata, 1Platform, adalah asas kepada penyatuan rangka kerja operasi dan teknologi maklumat (IT) CIMB Group dan membolehkan ia bersaing sebagai bank serantau yang sebenar. Ia akan dilaksanakan di seluruh cawangan dan anak syarikat kumpulan perbankan berkenaan di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand. Dengan kos keseluruhan lebih RM1.1 bilion untuk tempoh lima tahun akan datang, 1Platform akan menjadi komponen terbesar pelan induk transformasi operasi serantau kumpulan yang dijangkakan menelan belanja RM2.1 bilion.

Empat komponen lain pelan induk itu adalah laporan kewangan dan sistem pengurusan, integrasi sistem pengurusan sumber manusia, sistem pengurusan jualan baru dan sistem urus niaga perbankan serantau, katanya dalam kenyataan semalam.

Bank kedua terbesar Malaysia dari segi aset itu semalam memeterai perjanjian dengan empat rakan teknologi utama bagi projek berkenaan iaitu Silverlake Axis, IDS Scheer, IBM Malaysia and Accenture Solutions.

Pada majlis itu CIMB Group diwakili Ketua Informasi dan Operasi Kumpulannya, Iswaraan Suppiah, sementara Silverlake Axis diwakili Pengerusinya, Goh Peng Ooi; Accenture oleh Pengarah Urusan Perkhidmatan Kewangan Asean, Thean Nam Yew; IDS Sheer oleh Pengarah Urusan Asean, Lars Bengtsson dan IBM oleh Pengarah Urusan IBM Malaysia, Ramanathan Sahtiamutty.
Menerusi perjanjian itu, Silverlake, syarikat IT tempatan, akan membangunkan sistem perbankan teras, manakala IDS Sheer, IBM dan Accenture masing-masing membekalkan penyelesaian pengurusan proses perniagaan, infrastruktur IT dan sebagai perunding utama pengurusan program.

Nazir berkata, 1Platform mencerminkan komitmen CIMB Group untuk menubuhkan sistem dalaman dan proses bagi membolehkan kumpulan beroperasi sebagai sebuah entiti.

Susulan skala pelaksanaan projek yang besar, pelaksanaan 1Platform dilaksanakan berperingkat bermula di Thailand dan diikuti Malaysia, Indonesia dan Singapura. Keseluruhan kumpulan beroperasi dengan 1Platform menjelang 2015, katanya.

Sunday, August 22, 2010

Astro mahu beli 49 peratus kepentingan NDTV Lifestyle

Oleh Ahmad Farizal Hajat

2010/08/23
ASTRO All Asia Networks Plc (Astro), pengendali perkhidmatan TV berbayar tunggal di Malaysia bercadang membeli sehingga 49 peratus ekuiti dalam New Delhi Television Lifestyle Holding (NDTV Lifestyle) bernilai AS$40 juta (RM125 juta), dalam usahanya mengukuhkan operasi di negara yang memiliki jumlah penduduk kedua paling ramai di dunia itu.

Jika urus niaga itu menjadi kenyataan, ia adalah pengambilalihan pertama syarikat milik tokoh perniagaan T Ananda Krishnan itu sejak ia dijadikan syarikat persendirian dan digugurkan daripada penyenaraian di Bursa Malaysia pada 14 Jun lalu.
NDTV Lifestyle adalah firma penyiaran persendirian yang mengendalikan perniagaan seperti hiburan am dan penerbitan filem khususnya berkaitan gaya hidup. Ia juga mengendalikan NDTV Good Times, iaitu salah satu saluran televisyen utama di India.

Sumber berkata, pembelian itu akan menyediakan landasan kukuh kepada Astro untuk mengembangkan lagi pasarannya di India.

Astro memang sedang meninjau peluang pelaburan strategik dalam usaha menjadi pemain utama dalam industri penyiaran di rantau Asia yang mana antaranya adalah menerusi menjalinkan kerjasama di pasaran seperti India, Hong Kong dan China.

Sebagai permulaan, Lembaga Pengarah Astro sedang meneliti cadangan kerjasama di India yang dijangka mengambil sedikit masa sebelum membuat keputusan terbaik untuk kepentingan syarikat sebelum memuktamadkan pembelian tidak lama lagi, katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur.
Katanya, Astro akan menggunakan syarikat pelaburan persendirian milik penuhnya yang ditubuhkan di Mauritius, iaitu South Asia Creative Assets Ltd bagi melaksanakan pembelian berkenaan.

Difahamkan, New Delhi Television Group memulakan rundingan penjualan saham dengan Astro itu selepas kegagalan dalam rundingan pertama dengan sebuah firma media terkenal yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Scripps Networks Interactive Inc.

Dalam pada itu, New Delhi Television Group menerusi kenyataan kepada Bursa Saham Bombay kelmarin, mengesahkan ia sedang mengadakan rundingan pakatan strategik membabitkan perniagaan berkaitan keperluan gaya hidupnya dengan sebuah firma TV terkenal.

Cadangan menjalinkan pakatan strategik itu masih lagi di peringkat awal. Kelulusan daripada pihak berkuasa juga perlu diperoleh untuk meneruskan transaksi berkenaan yang mana permohonan untuknya sudah pun dibuat, katanya.

Astro tidak asing di India kerana syarikat berkenaan pada 2007 telah pun menjalin kerjasama dengan Sun TV Network Ltd (Sun TV) dan Kavery Kalanithi bagi membekalkan perkhidmatan televisyen satelit digital (DTH) terus ke rumah-rumah di India

Wednesday, August 18, 2010

TM, Sony anjur pertandingan fotografi sempena merdeka

19/08/2010 12:15pm


KUALA LUMPUR 19 Ogos – Telekom Malaysia Berhad (TM) dengan kerjasama Sony Malaysia mempelawa rakyat Malaysia menyertai pertandingan fotografi sempena sambutan kemerdekaan negara ke-53.

Ketua Pegawai Pemasaran TM, Rozalila Abdul Rahman berkata, pertandingan itu, yang bermula Ahad lepas sehingga 9 September ini, diharap dapat meningkatkan kesedaran mengenai inti pati dan maksud di sebalik sambutan merdeka dan konsep 1Malaysia.

"Melalui pertandingan ini, kami berharap dapat membangkitkan semangat 1Malaysia di kalangan rakyat melalui kuasa fotografi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Rozalila berkata, pertandingan itu juga terbuka kepada pelanggan TM dan Sony, di mana mereka yang berminat hanya perlu membeli kad panggilan prabayar iTalk dengan nilai minimum RM10 yang membolehkan mereka memuat naik gambar-gambar mereka di laman web pertandingan iaitu www.tm.com.my/ap/sony/Pages.contest.aspx.

"Setiap nilai RM10 kad panggilan prabayar iTalk ini melayakkan peserta kepada satu kemasukan, contohnya RM10 bagi 1 kemasukan, RM20 bagi 2 kemasukan dan seterusnya,” katanya.

Rozalila berkata, peserta hanya perlu mengisi borang penyertaan dengan maklumat peribadi mereka dan nombor 12 digit kad panggilan prabayar iTalk sebelum memuat naik gambar yang mesti bersaiz kurang daripada 500KB dan dalam format jpeg.

Mereka boleh memuat naik seberapa banyak gambar yang dikehendaki berdasarkan nilai kad iTalk dan setiap penyertaan hendaklah mengandungi elemen-elemen seperti logo atau produk TM dan Sony dan bendera kebangsaan.

Pemenang akan dipilih berdasarkan gambar paling kreatif yang menggabungkan ketiga-tiga elemen itu dan memaparkan semangat 1Malaysia.

Maklumat lanjut mengenai pertandingan itu, peserta boleh melayari www.tm.com.my. – Bernama

Mydin rancang tambah 41 cawangan

Oleh Ahmad Farizal Hajat

2010/08/19
MYDIN Mohamed Holdings Bhd (Mydin), merancang membuka 41 lagi pasar raya besar dan beberapa pasar raya mini Mydin di seluruh negara dalam tempoh dua tahun ini membabitkan nilai pembangunan kasar kira-kira RM1.6 bilion.

Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin, berkata pembukaan cawangan berkenaan akan membantu Mydin memperkukuhkan lagi kedudukannya dalam industri peruncitan di negara ini.
Kami merancang meluaskan lagi rangkaian pasar raya besar Mydin dan pasar raya mini dalam tempoh dua tahun ini sebagai usaha membantu dan memberi peluang usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera memasarkan produk keluaran mereka. Kini kami sudah membeli 14 bidang tanah bernilai RM165 juta di beberapa lokasi utama di seluruh negara bagi tujuan pembinaan cawangan baru Mydin itu, katanya pada sidang media selepas pelancaran Program Komuniti AmBank-MyKasih di Pasar Raya Mydin USJ Subang Jaya, semalam.

Mydin kini beroperasi dengan 57 cawangan termasuk empat pasar raya besar, 18 emporium, 24 pasar raya mini (MyMYDIN), tiga kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam (My Mart) dan selebihnya enam kedai francais Mydin Mart.

Ameer Ali, antara lokasi utama yang bakal dibina cawangan baru Mydin termasuk di Kuching, Kota Kinabalu, Sungai Petani, Bukit Mertajam, Kota Bharu, Kuantan, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Seremban dan Kajang.

Kami kini sedang mengkaji beberapa pilihan untuk membiayai pelan perkembangan ini yang mana antara lain termasuk menggunakan dana dalaman syarikat, menerusi pinjaman bank atau bina dan pajak, katanya.
Mengenai prospek jualan tahun ini, Ameer Ali berkata, pihaknya mengunjurkan jualan meningkat kepada RM1.6 bilion berbanding RM1.35 bilion tahun lalu.

Katanya, unjuran pertumbuhan jualan itu dibuat sejajar peningkatan aliran pertumbuhan ekonomi domestik yang menyaksikan pemulihan dalam perbelanjaan pengguna.

Beliau menambah, operasi perniagaan Mydin di Lembah Klang terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan jualan syarikat, disusuli operasi perniagaan di Melaka.

Bagi menyemarakkan lagi jualan produk PKS, Ameer Ali berkata, Mydin akan menggiatkan kempen termasuk menyediakan ruang pameran khas bagi menempatkan produk PKS di semua premisnya di seluruh negara.

Setakat ini, kami berpuas hati dengan produk PKS yang menepati kriteria tetapi PKS mesti memikirkan produk lain yang diperlukan pasaran, katanya sambil menggesa peserta PKS untuk mempelbagaikan hasil keluaran produk mereka dengan menceburi pengeluaran kraftangan, pakaian dan aksesori dan tidak hanya menumpukan kepada produk hasil makanan.

Tuesday, August 17, 2010

Pharmaniaga mahu teroka dua negara

2010/08/18
Oleh Ahmad Fiesal Othman
fsal@bharian.com.my

PHARMANIAGA Bhd menyasarkan untuk mengembangkan pasarannya ke Thailand dan Myanmar menjelang separuh kedua tahun depan. Pengarah Urusannya, Mohamad Abdullah, berkata Thailand dan Myanmar adalah pasaran eksport baru berpotensi untuk syarikat itu berdasarkan kepada kurangnya persaingan dan permintaan yang tinggi terhadap produk perubatan dan generik di negara terbabit.

Beliau berkata, permintaan bagi produk perubatan dan generik sentiasa meningkat setiap tahun dan syarikat berharap penerokaan pasaran eksport baru dapat membantunya meningkatkan lagi sumbangan eksport kepada pendapatan keseluruhan syarikat yang kini sekitar 13 peratus.

“Kami dalam proses mendaftarkan produk kami di negara terbabit dan proses pendaftaran produk kebiasaannya mengambil masa sehingga dua tahun,” katanya pada taklimat media di Puchong, Selangor, semalam.

Pharmaniaga ialah antara syarikat penjagaan kesihatan tempatan bersepadu terbesar yang mana perniagaan terasnya termasuk pengilangan produk farmaseutikal generik dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta penyediaan gudang simpanan dan pengedaran produk farmaseutikal dan perubatan.
Syarikat milik Boustead Holdings Bhd itu turut membekalkan kelengkapan perubatan dan hospital untuk pasaran tempatan dan eksport.

Pasaran eksportnya ketika ini ialah Indonesia dan Vietnam. Ia turut mempunyai pejabat pemasaran di kedua-dua negara itu.

Dalam tempoh suku kedua berakhir 30 Jun 2010, Pharmaniaga mencatatkan kemerosotan keuntungan sebelum cukai 16.5 peratus kepada RM20.3 juta daripada RM24.3 juta dicatatkan suku sama tahun lalu.

Pendapatannya bagaimanapun meningkat 5.1 peratus kepada RM350.3 juta daripada RM333.2 juta tahun lalu.

Mohamad berkata, untuk baki tahun ini, syarikat itu menjangkakan meraih pendapatan dan keuntungan lebih tinggi dibantu usaha dan strategi meningkatkan pengeluaran dan pasaran produknya.

Katanya, syarikat juga optimis dengan pertumbuhan industri farmaseutikal antara lapan hingga 10 peratus setahun.

“Kami merancang membangun dan memperkenalkan 92 produk baru untuk lima tahun akan datang sebagai tambahan kepada kira 60 produk yang kami ada sekarang,” katanya.

Monday, August 16, 2010

Puncak Niaga, P&C Construction jalin usaha sama

2010/08/17
PUNCAK Niaga Holdings Bhd menjalinkan usaha sama dengan P&C Constructions (P) Ltd dari India untuk turut serta dalam tender antarabangsa bagi projek sistem pengangkutan talian paip di Mangalore.

Perjanjian bagi usaha sama yang tidak diperbadankan itu dimeterai kedua-dua syarikat itu semalam yang mana Puncak Niaga bertindak sebagai rakan kongsi utama dengan pegangan saham 70 peratus.
Usaha sama itu akan menyertai tender yang dikeluarkan oleh Mangalore Special Economic Zone Ltd dan untuk melaksana dan menyiapkan projek itu jika ia memperolehnya. Puncak Niaga dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia semalam, usaha sama itu sinergi kepada pelan perkembangan perniagaan kumpulan itu di India.

Bagi rakan kongsi dari Indianya itu, syarikat itu berkata P&C menyediakan sokongan kepada syarikat induknya, S P Periasamy & Co bagi projek besar dan kontrak kejuruteraan awam.

B-Retail giat usaha kembang operasi

Oleh Shahrizan Salian
shahrizan@bharian.com.my
2010/08/17
BERJAYA Retail Bhd (B-Retail), syarikat yang menjadi entiti penyenaraian bagi Singer (Malaysia) Sdn Bhd dan 7-Eleven Malaysia Sdn Bhd akan giat melaksanakan pelan pengembangannya tahun ini menerusi pembukaan cawangan baru kedua-dua cabang perniagaannya itu.

Anak syarikat Berjaya Corporation Bhd (BCorp) itu merancang menambah kira-kira 100 francaisi baru kedai serbaneka 7-Eleven serta sehingga 20 cawangan kedai Singer baru tahun ini.
Pengarah Eksekutif 7-Eleven Malaysia Sdn Bhd, Ng Su Onn, berkata kumpulan yang ketika ini mempunyai 1,127 cawangan 7-Eleven di seluruh negara dengan 58 dikendalikan francaisi akan menjadikan program francais sebagai pelan pengembangannya untuk tahun ini. Beliau berkata, perbelanjaan modal bagi setiap cawangan 7-Eleven ialah antara RM200,000 hingga RM250,000 dengan separuh daripada cawangan baru berkenaan akan dibuka di Lembah Klang.

“Rancangan pengembangan bergantung kepada permintaan, justeru, selagi ada permintaan daripada khalayak maka kami akan memenuhinya,” katanya selepas majlis penyenaraian B-Retail di Pasaran Utama Bursa Malaysia semalam.

Hadir sama, Pengerusi B-Retail, Tan Sri Tan Kok Ping dan Pengarah Urusan Singer (Malaysia), Yeap Dein Wah.

B-Retail membuat kemunculan sulung yang baik di Bursa Malaysia apabila urus niaga sahamnya dibuka pada dua peratus lebih tinggi pada 51.5 sen berbanding harga tawarannya, 50 sen untuk mencatatkan premium 1.5 sen.
Pada jam 5 petang, saham B-Retail ditutup sama dengan harga tawaran 50 sen dan ia muncul saham paling aktif didagangkan, menyaksikan sebanyak 61.157 juta saham bertukar tangan.

Mengenai kemungkinan kerjasama sinergi antara 7-Eleven dan Singer, Ng berkata kedua-dua syarikat mempunyai segmen pasaran runcit yang berbeza dari segi operasi perniagaan dan pelanggan.

“Bagaimanapun, memandangkan gedung 7-Eleven di luar negara boleh melaksanakan pembayaran bil, satu kemungkinan yang mungkin boleh dilaksanakan ialah kutipan bil untuk rangkaian barangan Singer.

“Kami perlu membuat pelaburan besar dalam sistem gedung 7-Eleven bagi membolehkannya menjadi kenyataan. Jika sistem itu sudah disediakan, maka kami akan mempertimbangkan kerjasama seperti itu,” katanya.

Sementara itu, Yeap berkata, selain rancangan untuk membuka cawangan baru, kumpulan turut merancang untuk memoden dan menaik taraf semua 561 cawangan kedai Singer di seluruh negara.

Sunday, August 15, 2010

Icapital.Biz sasar ganda nilai aset

2010/08/16
ICAPITAL.BIZ Bhd menyasar menggandakan nilai asetnya dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.

Pengarah Urusannya, Tan Teng Boo, berkata syarikat itu mencatat pertumbuhan keuntungan lebih 130 peratus sejak disenaraikan pada 2005. “Jika kami tidak menyimpang daripada pelaburan yang memiliki nilai dan melabur dalam saham berharga menarik, pulangan dalam tempoh empat hingga lima tahun adalah sangat menarik. “Selepas syarikat melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) pada 2005, kami menyasar menggandakan aset dalam tempoh empat hingga lima tahun dan kami sudah melepasi sasaran itu,” katanya.

Mengenai Hari Pelabur yang dianjurkan kumpulan itu, Tan berkata, ia diadakan bagi mendidik individu mengenai pelaburan.

“Kami menjemput syarikat yang mana kami sudah melabur, untuk memberi taklimat kepada orang awam, agar mereka boleh memahami mengenai perniagaan dan melabur secara betul,” katanya.

Beliau berkata, jika seseorang individu itu membuat pelaburan dengan betul, maka tiada alasan mengapa mereka tidak boleh meraih keuntungan daripada aktiviti itu.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei lalu, syarikat itu mencatat keuntungan sebelum cukai RM37.644 juta, meningkat daripada RM7.489 juta yang dicatat pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Pencapaian didorong peningkatan pendapatan kepada RM42.223 juta daripada RM11.414 juta. – BERNAMA

Hovid buka kilang di luar negara

2010/08/16
Syarikat mahu tingkat kapasiti pengeluaran, rangsang pertumbuhan produk

HOVID Bhd, syarikat farmaseutikal tempatan, bercadang mengembangkan operasi luar negaranya dengan pembukaan kilang pertama kumpulan itu di seberang laut menjelang 2013 bagi menampung permintaan kukuh untuk mendapatkan produknya. Pengarah Urusannya, David Ho, berkata kumpulan itu sudah memiliki pejabat di lebih 50 negara, membolehkannya meneroka peluang untuk membuka kilang. “Jika kami mempunyai kilang di sesebuah negara, kami bukan menjadi syarikat pengeksport di negara berkenaan kerana mengeluarkan produk di situ.
“Keadaan itu akan merangsang pertumbuhan kami di pasaran berkenaan,” kata Ho baru-baru ini.

Katanya, aktiviti pengeluaran kilang sedia ada sudah mencapai kapasiti pengeluaran 100 peratus dan Hovid sedang mengkaji meningkatkan lagi pengeluarannya.

“Jika kami tidak boleh meningkatkan pengeluaran dari kilang berkenaan, saya rasa adalah realistik untuk membina kilang baru,” katanya.
Hovid, sebuah syarikat berpangkalan di Perak, yang dahulunya lebih dikenali sebagai Ho Yan Hor Herbal Tea pada 1940-an, sebelum beralih menjadi sebuah syarikat farmasi pada 1980-an.

Syarikat itu kini memiliki dua kilang iaitu di Ipoh dan Chemor. Ia terbabit dalam aktiviti pembangunan dan pengeluaran ubat-ubatan generik, makanan tambahan dan produk pengguna.

Sistem penyampaian bio yang digunakan sudah dipertingkatkan dan dipatenkan.
Ho berkata, kumpulan itu sudah menerima beberapa permintaan dari negara Afrika untuk membina kilang, selain mempertimbangkan membinanya di beberapa negara Asia Tenggara termasuk Filipina dan Indonesia.

Syarikat itu juga katanya berminat membina kilang di China, sekali gus membolehkannya mengakses pasaran negara berkenaan.

“Syarikat itu belum ada di China kerana ia suatu langkah yang agak kompleks. Sementara itu, langkah mengimport produk farmaseutikal dari China juga adalah sukar,” katanya.

Ho berkata, Hovid berkemungkinan memasuki pasaran China dengan mengeksport teh herba kerana jenama kumpulan itu sudah terkenal di negara berkenaan, khususnya di selatan.

Mengenai pasaran Eropah Ho berkata, syarikat itu sedang berunding dengan beberapa syarikat di rantau berkenaan untuk mengembangkan produknya.

“Syarikat mungkin memasuki pasaran berkenaan dengan produk makanan tambahan kesihatan,” katanya. – BERNAMA

Monday, August 9, 2010

Scomi tinjau bekal 200 bas bagi Melaka

2010/08/10
SCOMI Engineering Bhd, anak syarikat Scomi Group Bhd, meninjau potensi memperoleh kontrak bagi membekalkan 200 unit bas menerusi program memperbaharui dan menggantikan bas lama di bandar raya Melaka.

Presidennya, Syahrunizam Samsudin, berkata menerusi program itu kerajaan Melaka sudah memperuntukkan dana bernilai kira-kira RM36 juta bagi membiayai syarikat yang mahu menukar ganti bas lama mereka kepada bas baru yang lebih canggih. Katanya, pemerolehan kontrak bernilai RM2.4 juta bagi membekalkan 10 bas baru-baru ini menjadi asas kukuh kepada syarikat untuk membuktikan keupayaan menghasilkan bas yang berkualiti. Beliau berkata, program penggantian itu adalah untuk meningkatkan industri pelancongan Melaka, justeru, semua 10 unit bas Midi berukuran panjang sembilan meter akan direka khas dengan dua pintu berbanding satu pintu sebelum ini, selain reka bentuk yang canggih menggunakan teknologi terkini.

“Scomi memang meninjau untuk memperoleh kontrak bagi menggantikan kesemua bas itu, justeru kami perlu berusaha melakukan yang terbaik untuk kontrak 10 bas ini dan jika mereka berpuas hati berkemungkinan kami akan dianugerahkan dengan kontrak yang lain.

“Lawatan Exco kerajaan Melaka ke kilang Scomi, semalam, bagi meninjau proses pemasangan bas turut mewujudkan kerjasama erat di mana kami yakin mampu menyiapkan kesemua tempahan 10 bas menjelang Oktober ini,” katanya selepas lawatan Scomi Group ke Balai Berita, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), di Kuala Lumpur, semalam.

Lawatan 14 kakitangan Scomi selama tiga jam itu diketuai Ketua Eksekutif Kumpulan Scomi, Shah Hakim Zain, diiringi Presiden Scomi International, Kanesan Veluppillai; Presiden Scomi Engineering Bhd, Syahrunizam Samsudin dan Ketua Kakitangan Kumpulan Scomi, Rohaida Ali Badaruddin.
Hadir sama meraikan lawatan itu ialah Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa; Pengarang Kumpulan, New Straits Times Sdn Bhd, Datuk Syed Nadzri Syed Harun; Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar.

Wednesday, August 4, 2010

BHPetrol mahu buka 15 lagi stesen

2010/08/05
BOUSTEAD Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol), merancang membuka 15 stesen minyak baru di seluruh semenanjung tahun depan.

Pengarah Urusannya, Tan Kim Thiam, berkata setiap stesen minyak itu akan membabitkan pelaburan antara RM5 juta hingga RM7 juta. "Pembukaan stesen minyak baru ini adalah sebahagian daripada rancangan peluasan kami untuk memberikan perkhidmatan dan penjagaan yang lebih baik kepada pelanggan kami," katanya kepada Bernama pada Cabaran Golf Pelanggan BHPetrol 2010 di Shah Alam semalam. Setakat ini, BHPetrol mempunyai 320 stesen minyak di seluruh Semenanjung Malaysia.

Sebelum itu, Tan menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Yaya-san MyKasih untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik. – BERNAMA

Al Rajhi tawar perbankan mewah

Oleh Che Wan Badrul Alias
chewan@bharian.com.my
2010/08/05
Pusat sehenti pembiayaan, pelaburan khusus golongan berpendapatan tinggi

AL RAJHI Bank Malaysia Bhd akan menubuhkan pusat perbankan mewah pertamanya di Malaysia yang menawarkan semua perkhidmatan perbankannya termasuk deposit, pembiayaan dan pelaburan khusus untuk pelanggannya dari kalangan golongan berpendapatan tinggi. Naib Presiden Kanan Pembiayaan Peribadi Bahagian Perbankan Runcitnya, Ronnie Chai Ching Beng, berkata pusat perbankan sehenti itu akan dibuka di Bangsar Shopping Centre di Bangsar Kuala Lumpur Oktober ini. Katanya, bank itu memperuntukkan pelaburan yang besar bagi membuka pusat berkenaan bagi memberikan kemudahan dan keselesaan kepada pelanggan dari golongan berkenaan melaksanakan pelbagai urusan perbankan mereka.

“Kami tidak dapat menyatakan jumlah pelaburan untuk cawangan baru itu, tetapi ia adalah tanda komitmen kami untuk bertapak kukuh di Malaysia.

“Pembukaan pusat perbankan mewah itu nanti adalah tambahan daripada perancangan kami untuk membuka dua hingga tiga cawangan baru tahun ini,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian hadiah utama bagi promosi Pembiayaan Peribadi bank itu di Kuala Lumpur, semalam.

Di bawah promosi itu, Al Rajhi menawarkan 20 hadiah utama termasuk televisyen 55 inci kepada pemenang bertuah yang membuat pembiayaan lebih RM20,000 sepanjang tempoh promosi dari Mei hingga Jun lalu.
Sementara itu, Chai berkata bank itu kini berada pada landasan kukuh untuk mencapai pertumbuhan aset pembiayaan peribadi sebanyak 60 peratus akhir tahun ini.

Setakat ini, katanya nilai aset pembiayaan peribadi bank itu sudah pun mencecah lebih RM1 bilion daripada RM980 juta akhir tahun lalu.

Beliau berkata, pertumbuhan itu akan dirangsang pengenalan pelbagai produk pembiayaan peribadi baru selain pembukaan lebih banyak cawangan dan pusat perbankan.

Katanya, langkah memperkenalkan produk pembiayaan peribadi sesuai dengan musim perayaan juga akan menyumbang secara positif kepada pertumbuhan aset pembiayaan peribadi itu.

“Kami menerima sambutan menggalakkan bagi produk pembiayaan terbaru kami, Red Hot Raya, yang mana sebagai penghargaan kami memberikan pelanggan wang tunai segera sebanyak satu peratus daripada nilai pinjaman yang diluluskan,” katanya

Tuesday, August 3, 2010

Kad alumni UiTM dilancar

Oleh Zuraidah Mohamed
zmohamed@bharian.com.my
2010/08/04
BANK Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) melancarkan kad kredit jenama bersama, dikenali Kad Platinum MasterCard Bank Islam-Alumni UiTM dengan sasaran menarik lebih 30,000 pemegang kad itu dalam tempoh setahun.

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Zukri Samat, berkata kad berkenaan ditawarkan khusus untuk lebih 400,000 ahli alumni UiTM dan juga warga kerja pusat pengajian tinggi awam itu yang ditubuhkan sejak 54 tahun lalu. Beliau berkata, pelancarannya juga sebahagian daripada program tanggungjawab korporat bank itu membantu mengumpul dana Tabung Biasiswa UiTM–Tabung Mengubah Destinasi Anak Bangsa (MDAB) yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. “Matlamat kami mendapatkan sekurang-kurangnya 30,000 kad di bawah inisiatif jenama bersama ini dan menyumbang RM3 juta kepada tabung MDAB dalam tempoh 12 bulan akan datang,” katanya selepas pelancaran kad kredit itu di Shah Alam, semalam.

Hadir sama, Naib Canselor UiTM, Datuk Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar; Naib Presiden, Pengurus Kanan Malaysia dan Brunei MasterCard Worldwide, Jim Cheah dan Pengurus Besar Perbankan Pengguna Bank Islam, Khairul Kamaruddin.

Zukri berkata, Bank Islam akan menyumbang 0.3 peratus daripada nilai setiap transaksi runcit pemegang kad kredit dan RM60 bagi setiap kad baru yang diaktifkan.

Katanya, sumbangan terbabit dihitung menerusi jumlah transaksi runcit bulanan terkumpul dan semua kos pengurusan program Kad Platinum MasterCard Bank Islam-Alumni UiTM ditanggung oleh pihak bank.

AirAsia anjur pertandingan raikan pengguna ke-100 juta

03/08/2010 7:10pm


KUALA LUMPUR 3 Ogos - Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia, akan menganjurkan pertandingan, The Real People, Real Stories: COMMENT & WIN” bagi meraikan pengguna ke-100 juta yang menggunakan penerbangan berkenaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, AirAsia berkata, pertandingan itu terbuka kepada orang ramai.

"Peserta hanya perlu mengulas mana-mana video dalam lima kategori yang disenaraikan dalam laman YouTube AirAsia — www.youtube.com/AirAsia.

"Ulasan boleh berupa pendapat mereka mengenai video itu atau inspirasi yang diperoleh hasil daripada menonton video terbabit,” katanya.

Syarikat penerbangan itu berkata 100 ulasan terbaik berpeluang menenangi baucer e-hadiah bernilai RM5,000.

Pertandingan itu dibuka antara 4 Ogos dan 5 September 2010. - Bernama

Monday, August 2, 2010

Sistem khas maju sektor tenaga hijau

Oleh Ahmad Fiesal Othman
fsal@bharian.com.my
2010/08/03
Projek 1Malaysia PROGRES oleh Avenion Greentech tampil kerjasama awam-swasta

AVENION Greentech Sdn Bhd, penyedia perkhidmatan bersepadu dalam sektor tenaga hijau telah merangka sistem khas untuk membantu Malaysia mencapai misi kecekapan penggunaan tenaga sejajar Dasar Teknologi Hijau Negara membabitkan pelaburan keseluruhan RM25 bilion. Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Dr Izmi Che Ismail, berkata projek khas dikenali 1Malaysia PROGRES itu adalah satu program teknologi hijau untuk seluruh negara bagi tempoh 15 tahun yang akan dibangunkan menerusi konsep kerjasama awam-swasta dan pihaknya sudah mempunyai pelabur untuk membiayai pelaksanaannya. Beliau berkata, sejumlah RM20 bilion daripada keseluruhan pelaburan untuk 1Malaysia PROGRES itu adalah untuk pelaksanaannya yang membabitkan pembangunan prasarana dan sistem, manakala bakinya membabitkan komponen seperti pembangunan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk program itu, sumber manusia serta program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi mendidik mengenai tenaga hijau dan pembangunan luar bandar.

“1Malaysia PROGRES sudah dicadangkan kepada kerajaan menerusi Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air pada 20 Mei lalu dan jika diluluskan Putrajaya dan Cyberjaya bakal menjadi lokasi pertama pelaksanaannya,” katanya dalam satu temu bual di pejabatnya di Puchong, Selangor, semalam.

Avenion Greentech yang mempunyai rekod cemerlang mengilang dan membekal komponen tulen (OEM) lampu cahaya pancaran diod (LED) kepada gergasi automotif global seperti Toyota, Mercedes dan BMW sejak 13 tahun lalu giat membangunkan penyelesaian bersepadu dalam sektor tenaga hijau sebagai meneroka pasaran perniagaan baru dan menyahut seruan kerajaan ke arah pembangunan teknologi hijau di negara ini.

Syarikat 100 peratus milik Bumiputera dengan modal berbayar RM10 juta itu giat melaksanakan usaha terbabit menerusi kerjasama dengan pelbagai pihak terutama Sirim Bhd.
Selain Sirim, ia turut mempunyai rangkaian kerjasama di peringkat antarabangsa khususnya di negara popular dengan teknologi hijau seperti Jepun, Denmark.

Izmi berkata, 1Malaysia PROGRES antara lain bakal menyaksikan pelaksanaan penyumberan luar pelbagai aktiviti berkaitannya yang akan turut menyumbang ke arah pembangunan PKS tempatan dan hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab teknologi hijau serantau.

Beliau berkata, antara aktiviti yang boleh menyumbang ke arah pembangunan PKS menerusi pelaksanaan 1Malaysia PROGRES itu ialah seperti pemasangan sistem, penyenggaraan dan pemantauan sistem, logistik dan sebagai pembekal.

“Program ini bukan saja menggalakkan lagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam teknologi hijau dan latihan kepakaran dalam industri berteknologi tinggi, tetapi juga bakal mewujudkan peluang pekerjaan serta kepakaran baru,” katanya