Tuesday, September 20, 2011

Produk FELDA masuk Turki

Oleh Mahanum Abdul Aziz
mahanum@bharian.com.my
2011/09/20

MEHMET bersama produk minyak bunga matahari dan jagung yang dipasarkan oleh syarikatnya di Turki.
FIGS labur AS$20j bina kilang penapis, pembungkusan produk sawit

KUMPULAN FELDA Global melangkah setapak lagi pada peringkat antarabangsa dengan memperkenalkan produk berasaskan lemak minyak sawitnya di pasaran Turki bermula tahun depan.
Pengenalan produk itu sejajar hasrat kumpulan itu untuk muncul pengeluar produk berasaskan lemak tumbuhan kedua terbesar di negara itu menjelang 2016.
Menerusi anak syarikatnya, FELDA Iffco Gida Saneyi (FIGS), kumpulan itu menyasarkan produk berkenaan kepada pelanggan industri dan makanan di Turki selepas menjual minyak sawit secara pukal di negara berkenaan sejak Disember tahun lalu.

Ketua Pegawai Operasi FIGS, Mehmet Sahin, berkata syarikat itu melabur AS$20 juta bagi membina kilang penapisan dan pembungkusan produk lemak berasaskan minyak sawit di Izmir, iaitu bandar ketiga terbesar di negara berkenaan.

“Kami melihat produk lemak berasaskan minyak sawit adalah produk tambah nilai dan ia akan membezakan kami dengan pesaing lain dalam pasaran berasaskan lemak tumbuhan di negara ini,” katanya ketika ditemui media Malaysia pada sesi lawatan suai kenal anjuran Kumpulan FELDA Global di Izmir, Turki, baru-baru ini.

Mehmet berkata, kilang penapisan dan pembungkusan produk lemak berasaskan minyak sawit itu kini dalam pembinaan dan ia dijangkakan siap awal tahun depan.
Beliau menjelaskan, apabila kilang itu siap sepenuhnya, pihaknya mempunyai kapasiti pengeluaran tambahan tahunan sebanyak 300,000 tan setahun.

Katanya, ketika ini FIGS mempunyai kemudahan menapis dan membungkus minyak bunga matahari dan jagung dengan kapasiti tahunan 150,000 tan.

“Menjelang tahun depan, kapasiti pengeluaran kami akan berganda dan kami menjangkakan ia akan meningkat tiga kali ganda menjelang 2016,” katanya.

Beliau menjelaskan, pembekalan minyak sawit di pasaran Turki ketika ini adalah sebanyak 500,000 tan setahun.

FIGS adalah anak syarikat FELDA Iffco Sdn Bhd, iaitu syarikat usaha sama antara FELDA Global Ventures Holdings Sdn Bhd dan Iffco Group.

FELDA Global Ventures adalah antara pengeluar minyak sawit mentah terbesar dunia manakala Iffco adalah peneraju pengeluaran makanan di 84 negara termasuk di Eropah, Asia Barat, Amerika Syarikat dan Australia.

Turki adalah negara yang mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang paling pantas di dunia tahun ini dengan ekonominya berkembang 10.2 peratus pada separuh pertama tahun ini dipacu oleh pelaburan swasta.

No comments:

Post a Comment