BSN perkenal kad Zing PLUSMiles
Oleh Mohd Zin Ali
mdzin@bharian.com.my
2011/05/12
Pengguna dapat rebat tol 20 peratus
BANK Simpanan Nasional (BSN) memperkenalkan kad BSN Zing PLUSMiles yang menggabungkan ciri kad Touch 'n Go dan kad Program PLUSMiles.
Kad yang dilancarkan dengan kerjasama Touch ‘n Go Sdn Bhd (Touch ‘n Go) dan PLUS Express-way Bhd (PLUS) itu menjadikan BSN bank pertama di negara ini menawarkan kemudahan tambah nilai Touch ‘n Go secara automatik serta membolehkan lima kad Zing dihubungkan kepada satu kad kredit BSN Visa/MasterCard.
Setiap kali nilai dalam kad BSN Zing PLUSMiles kurang RM50 ketika melalui lorong tol, ia akan ditambah nilai RM100 secara automatik dan dicaj ke akaun pemegang kad kredit BSN.
Pemegang kad juga berpeluang menikmati keistimewaan di bawah Program PLUSMiles yang diperkenalkan PLUS sejak 2009 seperti rebat tol lima peratus, diskaun sehingga 30 peratus daripada rakan niaga PLUSMiles, Mata Ganjaran PLUSMiles yang boleh ditukar kepada tambah nilai percuma dan pelbagai ganjaran lain.
Pemegang kad juga layak menikmati rebat tol 20 peratus di bawah Program Rebat Pengguna Kerap Lebuh Raya yang ditaja kerajaan Malaysia untuk semua pengguna kad Touch ‘n Go yang memenuhi syarat dan menggunakan kad itu bagi pembayaran tol di semua lebuh raya.
Ketua Eksekutif BSN, Datuk Adinan Maning, berkata kad berkenaan adalah inisiatif BSN untuk memberi keselesaan, keistimewaan eksklusif dan penjimatan dalam memenuhi keperluan pemandu di negara ini.
Beliau berkata, ia juga boleh digunakan bersama SmartTAG dan untuk pengangkutan awam, tempat letak kereta, urusan runcit atau di mana saja yang mempamerkan lambang Touch ‘n Go.
Katanya, BSN akan terus memperkenalkan pelbagai kemudahan berfaedah untuk menarik pelanggan baru memohon kad kredit BSN serta terus menghargai pemegang kad kredit BSN sedia ada.
“Berbanding kad Zing lain, pemegang kad kredit BSN Visa/MasterCard boleh memohon sehingga lima kad BSN Zing PLUSMiles untuk berkongsi kemudahan bersama keluarga tersayang.
“Justeru, BSN menjadi bank pertama di Malaysia memperkenalkan lima kad Zing yang dihubungkan kepada satu kad kredit dan kami menyasar 30,000 kad BSN Zing PLUSMiles dikeluarkan dalam masa 12 bulan akan datang,” katanya selepas pelancaran kad berkenaan di Kuala Lumpur, semalam.
Sementara itu, sempena pelancaran itu, BSN mengadakan kempen Happy Driving Dengan Kad BSN Zing PLUSMiles dengan pemegang kad kredit BSN layak untuk satu kad Zing percuma dan pengecualian caj tambah nilai.
Seramai 88 pemegang kad kredit BSN yang pertama memohon dan mengaktifkan kad layak menerima satu unit SmartTAG percuma.
Begitu juga pemegang kad yang menggunakan tol minimum RM100 dalam tempoh sebulan di lebuh raya PLUS, ELITE, BKE dan LINKEDUA (tidak termasuk di Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, Bangunan Sultan Iskandar dan Tanjung Kupang) layak menerima satu unit SmarTAG.
Peraduan bulanan juga diadakan untuk pemegang kad kredit BSN yang memohon kad Zing dengan berpeluang memenangi iPAD dan SmarTAG sepanjang tempoh kempen yang berakhir 30 September ini.
Sunday, May 15, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment