Thursday, May 19, 2011

Weststar tembusi Asia Tenggara

Weststar tembusi Asia Tenggara
Oleh Faiza Zainudin

2011/05/20
Muktamad kontrak RM100j menjelang suku ketiga tahun ini

SYARIKAT pengangkutan udara tempatan, Weststar Aviation Services Sdn Bhd menjangka menembusi pasaran Asia Tenggara dengan memuktamadkan kontrak bernilai RM100 juta menjelang suku ketiga tahun ini.

Pengarah Pembangunan Perniagaannya, Anuar Noordin berkata kontrak itu adalah bagi penyediaan perkhidmatan helikopter untuk kerja membabitkan operasi pesisir dan luar pesisir khususnya dalam sektor minyak dan gas.
Tanpa mendedah kontrak dan negara berkenaan, beliau menegaskan syarikatnya sedang berusaha ke arah itu menerusi perancangan rapi.
“Kami sedang berusaha menembusi pasaran Asia Tenggara dan dijangkakan kontrak akan dapat dimuktamadkan serta menjadi kenyataan menjelang suku ketiga tahun ini.

“Weststar Aviation sedang berkembang dan bakal menerima tempahan bagi dua helikopter Augusta Westland AW 139 berharga AS$30 juta dari Milan, Itali, tahun depan.

“Buat masa ini, kami mempunyai 17 helikopter iaitu 12 digunakan untuk perkhidmatan penerbangan luar pesisir,” katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata demikian selepas syarikatnya menerima anugerah emas dari sebuah syarikat minyak terkemuka atas kejayaan menyediakan perkhidmatan cemerlang dengan tidak merekod sebarang kemalangan sepanjang tempoh dua tahun perkhidmatan.
Kejayaan itu adalah kali kedua diterima selepas menerima pengiktirafan pada 2009.

Anuar berkata kejayaan yang diraih amat bermakna kerana bulan lalu, syarikatnya memperoleh urus niaga bernilai RM4.2 bilion bagi menyedia perkhidmatan helikopter luar pesisir pantai untuk firma minyak dan gas bagi tempoh 10 tahun.

Menerusi kontrak itu, Weststar Aviation iaitu anak syarikat Kumpulan Weststar akan menyediakan sembilan helikopter kepada Petronas Carigali Sdn Bhd, ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc, Newfield (Malaysia) Inc, Petrofac (Malaysia-PM304) Ltd dan Talisman (Malaysia) Ltd.

Sebelum ini, iaitu pada 2008, syarikat berkenaan dianugerah kontrak bernilai AS$100 juta oleh Carigali Hess untuk menyedia perkhidmatan helikopter antara Kota Bharu, Kelantan dengan kawasan pembangunan sekitar Thailand-Malaysia

No comments:

Post a Comment