Monday, May 9, 2011

Analisis: Gabungan bank tingkat daya saing

Analisis: Gabungan bank tingkat daya saing
Oleh Kamarulzaidi Kamis
kamarulzaidi@bharian.com.my
2011/05/10
Pengambilalihan aset EONCap oleh HLBB cetus tekanan bank saiz kecil, sederhana

PENYELESAIAN pengambilalihan aset perbankan EON Capital Bhd (EONCap) oleh Hong Leong Bank Bhd (HLBB) minggu lalu mungkin menjadi permulaan kepada satu lagi pusingan penggabungan dalam sektor perbankan di negara ini.
Urus niaga yang mengambil masa 15 bulan untuk diselesaikan setelah mendapat bantahan daripada pemegang saham terbesar EONCap itu dilihat bakal mencetuskan tekanan khususnya di kalangan bank bersaiz sederhana dan kecil untuk turut meninjau melakukan penggabungan bagi meningkatkan daya saing.
Jumaat lalu, HLBB mengumumkan sudah menyelesaikan pengambilalihan aset dan liabiliti EON EONCap dalam urus niaga bernilai RM5 bilion, sekali gus meningkatkan jumlah asetnya kepada RM140 bilion dan melonjakkan kedudukannya sebagai kumpulan perbankan keempat terbesar di negara ini mengatasi kumpulan RHB Capital Bhd dan AMMB Holdings Bhd, tetapi di belakang Malayan Banking Bhd (Maybank), CIMB Group Holdings Bhd dan Public Bank Bhd.

Ia juga mengurangkan lagi jumlah bank komersial tempatan daripada sembilan kepada lapan.

Seorang penganalisis di sebuah firma penyelidikan ekuiti tempatan berkata, pihaknya kini bertambah optimis rundingan antara beberapa bank lain juga akan turut dimulakan tahun ini.

Ia seiring perubahan persekitaran perniagaan semakin sengit mendorong bank, khususnya yang besar mengambil alih bank kecil, tetapi berpotensi untuk mengukuhkan kedudukan dalam industri, sekali gus mampu berdaya saing.
Tempoh semakin singkat susulan kemasukan bank asing beroperasi di negara ini selaras liberalisasi sektor kewangan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada April 2009 serta penubuhan pusat kewangan Islam bersepadu, KL International Financial District (KLIFD), memerlukan rundingan penggabungan dan pengambilalihan (M&A) dilaksanakan segera untuk tidak ketinggalan dalam persaingan.

Sehingga Jun tahun lalu, Bank Negara Malaysia memberi lima lagi lesen perbankan komersial baru kepada institusi kewangan asing dalam usaha meningkatkan kepelbagaian dalam industri perkhidmatan kewangan di negara ini.

Lesen itu dikeluarkan kepada BNP Paribas SA, Perancis; Mizuho Corporate Bank, Jepun; National Bank of Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu; PT Bank Mandiri (Persero) Tbk, Indonesia dan Sumitomo Mitsui Banking Corporation, Jepun.
Kemasukan lima bank baru itu, akan meningkatkan jumlah bank asing komersial yang beroperasi di Malaysia kepada 19 berbanding 14 ketika ini.

Selain itu, kerajaan juga meluluskan lesen kepada sebuah bank India dan Industrial and Commercial Bank of China Ltd (ICBC) dari China untuk beroperasi di negara ini.

Di bawah liberalisasi itu juga, kerajaan mempelawa pelabur asing menubuhkan dua bank Islam mega di negara ini dengan modal berbayar lebih AS$1 bilion setiap satu bagi mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam utama antarabangsa.

Di laporkan sebuah konsortium antarabangsa sudah menyatakan minat menubuhkan bank berkenaan dan ia akan menjadi kenyataan tidak lama.

Pemerhati pasaran berkata, lazimnya bank yang menjadi sasaran pengambilalihan adalah bank kecil dan bank berkenaan adalah seperti Alliance Financial Group Bhd (AFGB) and Affin Holdings Bhd (Affin).

Walaupun bank berkenaan adalah kecil dari segi saiznya, ia memiliki kedudukan kewangan yang kukuh.

No comments:

Post a Comment