Monday, May 9, 2011

Sinergi Perdana mulakan operasi

Sinergi Perdana mulakan operasi
Oleh NORLAILI ABDUL RAHMAN
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 9 Mei – Selepas 10 bulan ditubuhkan, Sinergi Perdana Sdn. Bhd. (Sinergi Perdana), konsortium yang ditubuhkan bagi menyelaraskan dan meningkatkan fungsi tiga agensi kerajaan, Felda, Felcra dan RISDA mengumumkan projek pertamanya.
Syarikat itu hari ini memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Diversatech (M) Sdn. Bhd. (Diversatech) bagi meneroka kerjasama di dalam perniagaan baja.
Pengerusi Sinergi Perdana, Datuk Abdul Jabar Che Nai berkata, MOU tersebut akan meneroka peluang bagi aktiviti pengeluaran dan pemasaran baja kimia lepas-terkawal dan baja kimia lepas-perlahan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) di dalam bidang pertanian dan perladangan.
“Baja lepas terkawal ini, contohnya dapat mengurangkan penggunaan baja dan sekali gus menjimatkan kos bagi tanaman sawit dan getah,” katanya semasa berucap pada majlis pemeteraian MoU dengan Diversatech di sini hari ini.
Sinergi Perdana diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Zaid Abdul Jalil manakala Presiden Diversatech, Syed Osman Syed Rastan, mewakili syarikat baja itu.
Majlis disaksikan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Tambah Abdul Jabar, aktiviti yang diceburi Sinergi Perdana akan meningkatkan pendapatan per kapita negara kasar kepada RM35,000 pada 2015.
Dalam pada itu, Syed Osman berkata, kerjasama pintar di antara kedua-dua syarikat akan memberi peluang kepada Diversatech untuk meluaskan pasaran dan meningkatkan kapasiti.
Ketika ini, syarikat tersebut mengeluarkan kira-kira 65,000 tan metrik baja setahun dan memasarkannya di dalam dan luar negara.
“Kerjasama ini akan membolehkan kami meningkatkan kapasiti kerana untuk melakukannya secara sendirian, ia menelan modal yang besar.
“Sinergi Perdana pula boleh menggunakan kepakaran serta teknologi yang kami ada untuk mengeluarkan baja bermutu tinggi dan dengan pengeluaran berskala besar, pastinya harga produk dapat diturunkan sekali gus memberi manfaat kepada pengguna,” katanya.
Kerjasama ini bakal menyaksikan sebahagian ekuiti Diversatech akan dimiliki Sinergi Perdana, namun kedua-dua pihak masih membisu mengenai pengambilalihan ini.
“Sinergi Perdana mahu memiliki kesemua ekuiti tetapi kami tidak boleh benarkan sebab syarikat ini sudah lama dan ada pasarannya sendiri, kami akan jual sebahagian sahaja,” ujarnya.
Diversatech beroperasi sejak 1998 dan mempunyai kilang di Pelabuhan Klang yang juga kilang baja lepas terkawal pertama di Malaysia menggunakan teknologi Agglomerasi dan salut polimer dari Jerman.

No comments:

Post a Comment