NadiBiz: Kendali AJ Petroleum seperti keluarga
Oleh Mohd Zaky Zainuddin
zaky@bharian.com.my
2011/05/16
•
Ahmad Janidi
•
PRODUK bebola injap dikeluarkan AJ Petroleum Sdn Bhd
Ketua kena bertanggungjawab, cekap atasi masalah timbul
FALSAFAH mengendalikan perniagaan ibarat menguruskan keluarga menjadi kunci kepada kejayaan Ahmad Janidi, pengasas syarikat pembekal bebola injap untuk industri minyak dan gas, AJ Petroleum Sdn Bhd.
Sesebuah keluarga memerlukan seorang ketua yang bijak, berwibawa, bertanggungjawab, amanah serta adil dan ciri itu juga perlu dimiliki peneraju sesebuah syarikat.
Elemen itulah menjadikan Ahmad, 42 tahun sebagai ketua yang berfikiran luas dan sentiasa menyedari bahawa perniagaan memerlukan pengorbanan.
“Keluarga memerlukan bimbingan ketua. Jika ketua kurang berwibawa dan bijak dalam menyelesaikan masalah, ia akan menjurus ke arah kepincangan. Begitu juga dengan perniagaan yang mana ketua perlu berperanan besar,” katanya.
Walaupun tidak memiliki latar belakang perniagaan, namun pemegang Diploma Sains Komputer dari Institut Teknologi MARA (kini UiTM) ini memulakan langkah dalam bidang mencabar itu bersandarkan pengalaman bekerja dengan syarikat petroleum sejak 1991.
Bagaimanapun, perjalanan perniagaan yang dimulakan sembilan tahun lalu itu tidak mudah kerana hanya bergantung kepada simpanan sendiri sebagai modal. “Dengan modal yang kecil dibandingkan dengan perniagaan yang akan dijalankan, saya memulakannya dengan langkah demi langkah,” katanya.
Namun, ia hanya halangan kecil kepada usahawan berasal dari Bukit Merah, Perak ini kerana sepanjang lima tahun penubuhan AJ Petroleum, pelbagai perkara terpaksa dilaluinya untuk membuktikan cabang perniagaan yang kurang mendapat sambutan Bumiputera itu dapat diuruskan dengan baik.
Tiga tahun pertama penubuhan syarikat itu digunakannya untuk menyempurnakan proses akaun dan membangunkan pemasaran sebelum memperoleh lesen penuh daripada Petronas pada 2005 seterusnya mendapat tender dan pesanan pelanggan bagi mendapatkan bebola injap yang dihasilkan sepenuhnya syarikatnya.
Lesen daripada Petronas itu membolehkan AJ Petroleum membekalkan bebola injap kepada syarikat minyak dan gas di negara ini sekali gus menjadikannya satu-satunya syarikat Bumiputera yang menghasil, pengeluar dan mengedar produk itu sepenuhnya di negara ini.
Bagi menghasilkan produk berkualiti, Ahmad yang juga Pengarah Urusan AJ Petroleum berkata, syarikatnya melaksanakan pelbagai penyelidikan dan pembangunan selain bekerjasama dengan firma dari Amerika Syarikat dan mengimport bahan mentah iaitu keluli dari Itali.
Maybank turut menyalurkan pinjaman RM3 juta bagi melengkapkan operasi permulaan syarikat.
“Pada 2007 barulah AJ Petroleum mendapat pendapatan pertama selepas lima tahun memerah keringat untuk menghasilkan bebola injap berkualiti tetapi ia dilaksanakan kecilan,” katanya.
Rezeki AJ Petroleum tidak terhenti setakat itu apabila pada 2009 bermulanya perjalanan sebenar syarikat anak tempatan itu selepas produknya mendapat pengiktirafan daripada Institut Petroleum Amerika (API).
Pengiktirafan itu menjadikannya sebagai syarikat Bumiputera pertama mendapat lesen API yang mana membolehkannya membekalkan bebola injap ke serata dunia.
Pada tahun sama, syarikatnya mula mendapat perhatian SME Bank yang menyalurkan kemudahan kilang dan jentera bernilai RM2 juta menerusi skim bantuan bagi menampung keperluan pengeluaran AJ Petroleum.
“Bantuan ini banyak membantu saya dalam mengembangkan perniagaan ini, namun saya masih memerlukan sumber kewangan bagi memperbesarkan perniagaan untuk tempoh jangka panjang, ” katanya.
Mengenai pelan jangka panjang AJ Petroleum, Ahmad berkata pihaknya menyasar mengeksport 35 peratus pengeluaran bebola injap menjelang 2013.
Setakat ini syarikatnya menguasai 10 peratus pasaran tempatan yang mana hampir keseluruhan pengeluaran bebola injapnya untuk pasaran tempatan adalah bagi memenuhi permintaan syarikat minyak dan gas termasuk Petronas dan Shell.
Katanya, antara 10 peratus hingga 15 peratus pendapatan syarikat itu diperuntukkan untuk kejuruteraan bagi meningkatkan kualiti perniagaan dan pengeluaran.
“Sehingga kini, pasaran tempatan menyumbang kepada pendapatan utama syarikat, namun kami juga mengeksport produk secara kecil-kecilan ke Pakistan dan dalam proses melantik ejen untuk memasarkan bebola injap untuk pasaran Indonesia dan Brunei, ” katanya.
Ahmad yang menguruskan syarikat dengan bantuan 16 pekerja yang memiliki kepakaran dalam kejuruteraan amat mementingkan kualiti dalam menghasilkan bebola injap kerana elemen itu menentukan perjalanan syarikat untuk terus berdaya saing dan maju selain dapat memenuhi keperluan pelanggan.
“Bukan mudah untuk menepati kehendak pelanggan terutama syarikat gergasi petroleum, namun setakat ini produk yang dihasilkan kami penuh ketelitian dan dapat memenuhi keperluan mereka,” katanya.
Setiap syarikat mempunyai impian tersendiri dalam perniagaan pada masa hadapan dan AJ Petroleum tidak terkecuali.
“Impian saya adalah untuk menjadikan syarikat ini sebagai organisasi bertaraf antarabangsa dalam industri minyak dan gas.
“Namun semua ini tidak akan dapat dicapai jika usaha ini datangnya daripada satu pihak kerana syarikat yang maju dan berdaya saing memerlukan pandangan, idea, komitmen dan tanggungjawab dari semua pihak dalam organisasi yang ditubuhkan ini,” katanya.
INFO
AHMAD JANIDI
• Lulusan Diploma Sains Komputer dari Institut Teknologi MARA (kini UiTM).
• Berpengalaman kerja: 11 tahun dalam syarikat petroleum.
• Berasal dari Bukit Merah, Perak
Sunday, May 15, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment