Thursday, April 28, 2011

Projek hartanah futuristik Hatten

Projek hartanah futuristik Hatten
Oleh Nur Aishah Zainal
bhbiz@bharian.com.my
2011/04/29

JUNE TENG menunjukkan model bangunan Hatten City yang dijadual siap menjelang 2019 selepas sidang media di Melaka, semalam.
Firma labur RM2b dua fasa

KUMPULAN Hatten akan membangunkan projek hartanah berbentuk futuristik dikenali sebagai Hatten City membabitkan kos bernilai RM2 bilion di pesisir pantai bandar raya Melaka.
Pengarah Eksekutif Kumpulannya, Colin Tan June Teng, berkata projek di tapak seluas lapan hektar dan bakal menjadi mercu tanda baru itu, dijadual siap pembinaannya menjelang 2019.
Katanya, projek di Taman Melaka Raya itu akan dilaksanakan dalam dua fasa dan membabitkan gabungan enam elemen utama iaitu perniagaan runcit, kondominium, hotel antarabangsa, menara pejabat, resort dan kompleks perniagaan.

“Fasa pertama projek membabitkan kos sebanyak RM500 juta dan dijadual siap pada 2014, manakala fasa kedua yang membabitkan kos RM1.5 bilion dijangka disiapkan pada 2019,” katanya pada sidang media di Melaka, semalam.

June Teng berkata, fasa pertama projek berkenaan terbahagi kepada dua bahagian, iaitu sebanyak 280 hingga 360 unit kediaman dan mempunyai anggaran keluasan kira-kira 2.4 hektar, manakala fasa kedua pula membabitkan kompleks beli-belah.

Katanya, projek hartanah berkenaan menggabungkan semua elemen di dalam satu bangunan yang sama bagi memudahkan pengguna menikmati semua keselesaan dan keistimewaan tanpa perlu bergerak jauh ke tempat lain.
“Selain memiliki ciri keunikan yang menjadi keutamaan pengguna, Hatten City yang dibangunkan ini turut memiliki pelbagai keistimewaan lain seperti dewan majlis, gimnasium, spa, kolam renang, landskap taman dan 2,000 kawasan letak kenderaan.

“Konsep gabungan semua elemen yang diketengahkan adalah ikon baru bagi Melaka dan setakat ini ia belum pernah dibangunkan di Malaysia,” katanya.

June Teng yakin Hatten City akan menjadi tarikan pelancongan terbaru di Melaka pada masa depan.

Pelancaran pecah tanah projek ini dijadual dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Sabtu ini

No comments:

Post a Comment