Wednesday, June 29, 2011

Voir sasar 10 peratus pertumbuhan pendapatan

2011/06/29
VOIR Holdings Bhd menyasar mencatatkan 10 peratus pertumbuhan pendapatan pada tahun kewangan semasa berakhir 31 Disember depan menerusi pengembangan pasaran eksport ke Ghana dan Pakistan serta perniagaan makanan dan minuman (F&B), kata Pengarah Urusannya, Ham Hon Kit.

Voir yang terbabit dalam reka bentuk, membangunkan, penjenamaan, pemasaran dan peruncitan pakaian dan aksesori, meneroka perniagaan F&B di bawah jenama Garden Lifestyle Store and Cafe.
Hon Kit berkata, syarikat akan memperluaskan pasaran eksportnya di Ghana dan Pakistan pada separuh kedua tahun ini manakala negara Afrika, Asia Barat dan Asia dikenal pasti sebagai pasaran eksport yang berpotensi untuk tahun depan.
“Kami menjalin pakatan dengan pengedar tempatan untuk memasarkan kasut kami,” katanya selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) syarikat di Kuala Lumpur, semalam.
Memandangkan pengembangan ditumpukan kepada jenama, Voir tidak menyuntik sebarang pelaburan memandangkan ia akan dilaksanakan rakan kongsi tempatan.

“Kami berharap mengekalkan sumbangan pasaran eksport kepada pertumbuhan dua peratus tahun ini,” katanya.

Sementara itu, syarikat memperuntukkan RM4.5 juta untuk perbelanjaan modal bagi pengembangan empat rangkaian kedai F&B tahun ini, katanya.
Sehingga Jun 2011, Voir mempunyai lima kedai dengan keluasan 23,000 kaki persegi.

“Bagi tahun ini, kami membuka tiga kedai dan yang berikutnya di Alamanda, Putrajaya tidak lama lagi, menjadikan keseluruhannya enam outlet F&B bagi syarikat.

“Dengan operasi sepenuhnya keenam-enam outlet F&B, kami menjangka sumbangan perniagaan F&B tahun ini meningkat antara tujuh dan lapan peratus dari lima peratus sekarang ini,” jelas beliau.

Perniagaan teras Voir, segmen fesyen yang menguasai 95 peratus perolehannya, mempunyai 333,000 kaki persegi ruang perniagaan.

“Fesyen dan F&B akan memenuhi jumlah ruang seluas 360,000 kaki persegi.
Sekiranya tiada halangan, kami menjangka peningkatan 15 hingga 20 peratus ruang perniagaan fesyen dan F&B menjelang akhir 2012,” katanya. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment