Wednesday, June 29, 2011

CIMB tambah premis sertai program Pay wit Points

2011/06/28
CIMB Bank menyasar untuk menggandakan penyertaan rakan niaganya kepada 200 menjelang akhir tahun ini menerusi Pay wit Points, program yang membenarkan pemegang kad kreditnya membayar menggunakan mata ganjaran, justeru meningkatkan akses kepada pelanggannya.

Ketua Pembiayaan Peribadi dan Bahagian Kad Kumpulannya, Yap Yoke Yuen, berkata pihaknya sedang berunding dengan pelbagai rakan niaga termasuk beberapa pasar raya besar terkemuka di Malaysia untuk mengadakan kerjasama.
“Sehingga kini kami menjalinkan kerjasama dengan 100 syarikat untuk Pay wit Points dan menjangkakan jumlah itu terus meningkat selepas beberapa siri rundingan dengan rakan niaga lain,” katanya selepas melancarkan program Pay wit Points di restoran KFC, di Petaling Jaya, semalam.
Mengulas mengenai kerjasama program Pay wit Points dengan KFC, Yoke Yuen berkata, CIMB menyasar 30 peratus daripada jumlah jualan produk di restoran makanan segera terkemuka itu disumbangkan pemegang kad kreditnya menjelang akhir tahun ini.

Menerusi program itu, katanya, institusi kewangan kedua terbesar itu menawarkan tujuh bilion mata untuk ditebus pemegang kad kredit CIMB Bank, CIMB Islamic dan Direct Access di 525 restoran KFC di seluruh negara.

“Kami menjangka 10 juta mata akan ditebus pemegang kad kredit yang membuat pembelian di KFC setiap bulan dengan nilai jualan RM50,000 dengan pembelian minimum RM20 untuk 4,000 mata. Dalam masa sama, mereka menikmati diskaun lima peratus daripada hidangan di restoran KFC,” katanya.

CIMB dan KFC mula menjalinkan kerjasama sejak Mei 2007 dengan menyediakan terminal kad kredit CIMB di restoran KFC bagi kemudahan kepada pelanggan membuat pembayaran.
Sementara itu, Pengarah Operasi Restoran KFC, Mohammad Alwi, berkata pemegang kad kredit CIMB menyumbang 22 peratus daripada purata jualan syarikat makanan segera itu daripada Januari hingga Mei berjumlah RM1 juta.

“Kami yakin dapat menarik lebih ramai pemegang kad kredit CIMB ke restoran KFC menerusi program Pay wit Points kerana inisiatif ini menawarkan penjimatan hebat kepada mereka, ” katanya.

No comments:

Post a Comment