Wednesday, June 29, 2011

Prestariang teroka Asia Barat

Oleh Mohd Zaky Zainuddin
zaky@bharian.com.my
2011/06/29
Sedia khidmat latihan, persijilan ICT babit sektor kewangan Islam

PRESTARIANG Bhd, penyedia perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia 27 Julai ini, bercadang meneroka pasaran Asia Barat dalam memperkenalkan perkhidmatan latihan dan persijilan ICT membabitkan sektor kewangan Islam menjelang akhir tahun ini.
Ketua Eksekutifnya, Dr Abu Hasan Ismail, berkata syarikat yang dijangka meraih RM19.8 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) itu, masih berbincang dengan rakan niaga daripada negara Asia Barat untuk tujuan itu.
Ia katanya adalah sebahagian daripada pelan pengembangan untuk mengukuhkan capaian perniagaan pada peringkat global.

Beliau berkata, pelan itu disokong pelancaran program persijilan pembangunan dalaman ICT dikenali IC CITIZEN hasil usaha sama dengan Certiport dari Amerika Syarikat (AS) yang mana menjadi model perniagaan terbaik dalam memberi akses pantas kepada rangkaian 10,000 pusat di 142 negara.

Menerusi program itu, katanya, Prestariang memeterai kontrak dengan Industri Teknologi Maklumat dan Komunikasi Brunei bagi program perintis kepada blogger serta guru di negara berkenaan.

“Syarikat juga sedang membangunkan program lain termasuk Inggeris Vokasional, Kewangan Islam dan Teknologi Maklumat (IT) Hijau yang dijangka akan dilancarkan pada separuh kedua tahun ini hingga separuh kedua 2012,” katanya selepas melancarkan prospektus IPO syarikat itu di Kuala Lumpur, semalam.
Ia disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed. Hadir sama Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif AmInvestment Bank Bhd, TC Kok.

Prestariang yang ditubuhkan pada 2003 menjalankan perniagaan dengan menyediakan latihan dan persijilan ICT bagi keperluan industri, mengedar dan menguruskan lesen perisian.

Tahun ini, Prestariang menerusi anak syarikatnya Prestariang Systems Sdn Bhd, memperoleh kontrak tiga tahun daripada Kementerian Pelajaran untuk membekal dan menguruskan lesen perisian Microsoft kepada Jabatan Akademik Daerah, Institut Pendidikan Perguruan dan agensi lain kementerian terbabit.

Mengenai IPO Prestariang, Abu Hasan, berkata ia membabitkan tawaran jualan 99 juta saham biasa baru bernilai 10 sen pada harga tawaran 90 sen sesaham.

Daripada jumlah 99 juta saham yang ditawarkan itu, 22 juta ditawarkan untuk langganan awam, 40 juta untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih, 22 juta untuk penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera, lapan juta untuk permohonan rakyat Malaysia dan selebihnya diperuntukkan kepada pengarah, kakitangan, sekutu perniagaan dan anak syarikat Prestariang yang layak.

No comments:

Post a Comment