Wednesday, June 29, 2011

MAS cadang kurang muatan penerbangan jimat bahan api

2011/06/28
PENERBANGAN Malaysia (MAS) bercadang mengurangkan keupayaan muatan penerbangannya pada suku ketiga dan keempat tahun ini bagi mengurangkan kos operasi jika harga bahan api jet terus meningkat, kata Pengarah Urusan yang juga Ketua Eksekutifnya, Tengku Datuk Sri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz.

“Sekiranya kita sedia maklum ketegangan di Asia Barat dan harga bahan api meningkat, kita berkemungkinan tidak menambah kapasiti muatan penerbangan seperti sebelum ini.
“Seperkara yang kita akan lakukan adalah mengurangkannya sedikit dan berkemungkinan menyaksikan lebih banyak pengurangan kapasiti pada suku ketiga dan keempat tahun ini, berbanding pada suku kedua.
“Pada harga bahan api jet semasa, kita tidak boleh menambah kapasiti penerbangan,” katanya selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) syarikat penerbangan nasional itu di Kelana Jaya, semalam.

Suku kewangan pertama lalu menyaksikan MAS menambah kapasiti penerbangannya sebanyak 11 peratus berbanding sebelum ini.

Tengku Azmil berkata, bagi mengurangkan kos akibat kenaikan harga bahan api, MAS melindung nilai harga bahan api jetnya 25 peratus untuk tahun ini, iaitu pada AS$130.

Sementara itu, Pengerusinya, Tan Sri Dr Munir Abdul Majid, yang diminta mengulas berhubung nota penyelidikan Maybank Investment Bank mencadangkan supaya MAS dijadikan syarikat persendirian, berkata pihaknya menimbang semua opsyen perniagaan asalkan ia memberikan manfaat kepada kumpulan itu pada masa depan.
“Apa yang kita boleh lakukan ialah mengetengahkan pilihan yang ada, tetapi ia hak pemegang saham untuk memutuskannya,” katanya.

Khazanah Nasional Bhd adalah pemegang saham terbesar menguasai sekitar 69 peratus kepentingan dalam MAS, manakala Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula 11 peratus.

Maybank IB dalam nota penyelidikannya mencadangkan MAS dikeluarkan daripada penyenaraian di Bursa Malaysia dan sebaliknya menimbang menyenaraikan Firefly, MAS Engineering, MasKargo dan juga perkhidmatan terminal.

Firma penyelidikan itu berpendapat mengeluarkan MAS daripada senarai Bursa Malaysia bukan satu idea luar biasa dan sebaliknya membolehkan MAS meraih penilaian lebih tinggi apabila berhasrat disenaraikan semula kelak.

MAS mencatat kerugian bersih RM242.339 juta pada suku kewangan pertama berakhir 31 Mac lalu berbanding keuntungan bersih RM310.047 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

No comments:

Post a Comment