Wednesday, June 29, 2011

Sasar 200,000 langgan Instanet

Oleh Hazwan Faisal Mohamad
bhbiz@bharian.com.my
2011/06/28
Produk dijangka bantu Celcom muncul peneraju utama jalur lebar mudah alih

CELCOM Axiata Berhad (Celcom) menyasarkan meraih 200,000 pelanggan menggunakan ‘Instanet’, perkhidmatan jalur lebar mudah alih prabayar, menjelang akhir tahun ini.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Shazalli Ramly, berkata menerusi perkhidmatan baru itu, Celcom dijangka mampu mencapai sasaran untuk muncul peneraju utama segmen jalur lebar mudah alih dengan peningkatan kepada 1 juta pengguna berbanding 864,000 pada suku keempat lalu.
“Celcom kini menguasai 51 peratus dalam pasaran jalur lebar mudah alih seperti dilaporkan pada laporan suku akhir lalu dan dengan pengenalan Instanet diharap dapat mengukuhkan lagi kedudukan kami di tempat pertama penyedia perkhidmatan itu menjelang akhir tahun ini,” katanya pada majlis pelancaran Instanet di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama Ketua Operasi, Data Dimajukan Celcom, Afizulazha Abdullah dan Ketua Pemasaran Celcom, Zalman Aefendy Zainal Abidin.

Shazalli berkata, Instanet disasarkan kepada golongan yang menggunakan perkhidmatan internet secara berkala termasuk golongan muda yang baru bekerja, suri rumah, pelancong, pelajar dan ahli perniagaan yang merantau selain pekerja berpendapatan rendah.

"Terdapat tiga pelan pilihan iaitu harian, mingguan atau bulanan. Terserah kepada pelanggan untuk memilih pelan yang bersesuaian dan tidak perlu risau dengan bebanan bil kerana mereka membayar apa yang digunakan.
"Selain itu, pelanggan tidak perlu gusar untuk menambah nilai kerana boleh membeli kad tambah nilai yang biasa digunakan untuk membuat panggilan di lebih 11,000 kedai dan peruncit seluruh negara atau secara dalam talian," katanya.

Celcom juga, katanya, bakal memperkenalkan pendaftaran secara dalam talian menjelang akhir tahun ini bagi membolehkan pelanggan mendapatkan perkhidmatan itu dengan lebih pantas dan mudah.

Terdapat dua pakej diperkenalkan iaitu pakej modem berserta pek prabayar dan kad sim pada kadar RM108 atau pek prabayar dan kad sim saja berharga RM12.50 sekali dengan nilai tambah RM10.

No comments:

Post a Comment