Wednesday, June 29, 2011

ATM Bank Rakyat jadi tukun tiruan

2011/06/28
PULAU TIOMAN: Bukan setakat membantu golongan memerlukan, Bank Rakyat kini melangkah setapak ke depan menerusi program tanggungjawab sosial korporatnya dengan menyemai rasa cinta dan tanggungjawab kepada alam sekitar terutama penjagaan lautan.

Berbekalkan matlamat itu, bertempat di Pantai Pesisiran Kampung Genting di sini, Bank Rakyat melabuhkan tukun tiruan yang diperbuat daripada mesin juruwang automatik (ATM) miliknya di dasar laut supaya menjadi tempat pembiakan ikan dan terumbu karang di pulau antara 10 tercantik di dunia itu.
Ketua Wilayah Selatan Bank Rakyat, Nazaruddin Zainal Abidin, berkata usaha berkenaan yang pertama seumpamanya dilakukan institusi kewangan di negara ini adalah khusus bagi pemeliharaan dan pemuliharaan hidupan laut, terutama terumbu karang yang terkenal di pulau peranginan itu.
“Program itu adalah lanjutan daripada usaha bank itu melabuhkan tukun sama di Taman Laut Pulau Perhentian, Terengganu pada April lalu,” katanya ketika merasmikan program itu, di sini, kelmarin.

Menerusi program berkenaan, tukun tiruan daripada mesin ATM terpakai Bank Rakyat yang sudah diubah suai bagi menyesuaikannya dengan habitat asal hidupan dan terumbu karang dilabuhkan kira-kira 500 meter dari pantai bertujuan menjadikannya tempat pembiakan khazanah laut.

“Tahun lalu, kami turut mengadakan program menyemai karang laut di Pulau Redang, Terengganu serta melabuh tukun tiruan di Pulau Payar, Langkawi serta di Pulau Karuman dekat Labuan,” katanya.

CIMB tambah premis sertai program Pay wit Points

2011/06/28
CIMB Bank menyasar untuk menggandakan penyertaan rakan niaganya kepada 200 menjelang akhir tahun ini menerusi Pay wit Points, program yang membenarkan pemegang kad kreditnya membayar menggunakan mata ganjaran, justeru meningkatkan akses kepada pelanggannya.

Ketua Pembiayaan Peribadi dan Bahagian Kad Kumpulannya, Yap Yoke Yuen, berkata pihaknya sedang berunding dengan pelbagai rakan niaga termasuk beberapa pasar raya besar terkemuka di Malaysia untuk mengadakan kerjasama.
“Sehingga kini kami menjalinkan kerjasama dengan 100 syarikat untuk Pay wit Points dan menjangkakan jumlah itu terus meningkat selepas beberapa siri rundingan dengan rakan niaga lain,” katanya selepas melancarkan program Pay wit Points di restoran KFC, di Petaling Jaya, semalam.
Mengulas mengenai kerjasama program Pay wit Points dengan KFC, Yoke Yuen berkata, CIMB menyasar 30 peratus daripada jumlah jualan produk di restoran makanan segera terkemuka itu disumbangkan pemegang kad kreditnya menjelang akhir tahun ini.

Menerusi program itu, katanya, institusi kewangan kedua terbesar itu menawarkan tujuh bilion mata untuk ditebus pemegang kad kredit CIMB Bank, CIMB Islamic dan Direct Access di 525 restoran KFC di seluruh negara.

“Kami menjangka 10 juta mata akan ditebus pemegang kad kredit yang membuat pembelian di KFC setiap bulan dengan nilai jualan RM50,000 dengan pembelian minimum RM20 untuk 4,000 mata. Dalam masa sama, mereka menikmati diskaun lima peratus daripada hidangan di restoran KFC,” katanya.

CIMB dan KFC mula menjalinkan kerjasama sejak Mei 2007 dengan menyediakan terminal kad kredit CIMB di restoran KFC bagi kemudahan kepada pelanggan membuat pembayaran.
Sementara itu, Pengarah Operasi Restoran KFC, Mohammad Alwi, berkata pemegang kad kredit CIMB menyumbang 22 peratus daripada purata jualan syarikat makanan segera itu daripada Januari hingga Mei berjumlah RM1 juta.

“Kami yakin dapat menarik lebih ramai pemegang kad kredit CIMB ke restoran KFC menerusi program Pay wit Points kerana inisiatif ini menawarkan penjimatan hebat kepada mereka, ” katanya.

Sasar 200,000 langgan Instanet

Oleh Hazwan Faisal Mohamad
bhbiz@bharian.com.my
2011/06/28
Produk dijangka bantu Celcom muncul peneraju utama jalur lebar mudah alih

CELCOM Axiata Berhad (Celcom) menyasarkan meraih 200,000 pelanggan menggunakan ‘Instanet’, perkhidmatan jalur lebar mudah alih prabayar, menjelang akhir tahun ini.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Shazalli Ramly, berkata menerusi perkhidmatan baru itu, Celcom dijangka mampu mencapai sasaran untuk muncul peneraju utama segmen jalur lebar mudah alih dengan peningkatan kepada 1 juta pengguna berbanding 864,000 pada suku keempat lalu.
“Celcom kini menguasai 51 peratus dalam pasaran jalur lebar mudah alih seperti dilaporkan pada laporan suku akhir lalu dan dengan pengenalan Instanet diharap dapat mengukuhkan lagi kedudukan kami di tempat pertama penyedia perkhidmatan itu menjelang akhir tahun ini,” katanya pada majlis pelancaran Instanet di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama Ketua Operasi, Data Dimajukan Celcom, Afizulazha Abdullah dan Ketua Pemasaran Celcom, Zalman Aefendy Zainal Abidin.

Shazalli berkata, Instanet disasarkan kepada golongan yang menggunakan perkhidmatan internet secara berkala termasuk golongan muda yang baru bekerja, suri rumah, pelancong, pelajar dan ahli perniagaan yang merantau selain pekerja berpendapatan rendah.

"Terdapat tiga pelan pilihan iaitu harian, mingguan atau bulanan. Terserah kepada pelanggan untuk memilih pelan yang bersesuaian dan tidak perlu risau dengan bebanan bil kerana mereka membayar apa yang digunakan.
"Selain itu, pelanggan tidak perlu gusar untuk menambah nilai kerana boleh membeli kad tambah nilai yang biasa digunakan untuk membuat panggilan di lebih 11,000 kedai dan peruncit seluruh negara atau secara dalam talian," katanya.

Celcom juga, katanya, bakal memperkenalkan pendaftaran secara dalam talian menjelang akhir tahun ini bagi membolehkan pelanggan mendapatkan perkhidmatan itu dengan lebih pantas dan mudah.

Terdapat dua pakej diperkenalkan iaitu pakej modem berserta pek prabayar dan kad sim pada kadar RM108 atau pek prabayar dan kad sim saja berharga RM12.50 sekali dengan nilai tambah RM10.

MAS cadang kurang muatan penerbangan jimat bahan api

2011/06/28
PENERBANGAN Malaysia (MAS) bercadang mengurangkan keupayaan muatan penerbangannya pada suku ketiga dan keempat tahun ini bagi mengurangkan kos operasi jika harga bahan api jet terus meningkat, kata Pengarah Urusan yang juga Ketua Eksekutifnya, Tengku Datuk Sri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz.

“Sekiranya kita sedia maklum ketegangan di Asia Barat dan harga bahan api meningkat, kita berkemungkinan tidak menambah kapasiti muatan penerbangan seperti sebelum ini.
“Seperkara yang kita akan lakukan adalah mengurangkannya sedikit dan berkemungkinan menyaksikan lebih banyak pengurangan kapasiti pada suku ketiga dan keempat tahun ini, berbanding pada suku kedua.
“Pada harga bahan api jet semasa, kita tidak boleh menambah kapasiti penerbangan,” katanya selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) syarikat penerbangan nasional itu di Kelana Jaya, semalam.

Suku kewangan pertama lalu menyaksikan MAS menambah kapasiti penerbangannya sebanyak 11 peratus berbanding sebelum ini.

Tengku Azmil berkata, bagi mengurangkan kos akibat kenaikan harga bahan api, MAS melindung nilai harga bahan api jetnya 25 peratus untuk tahun ini, iaitu pada AS$130.

Sementara itu, Pengerusinya, Tan Sri Dr Munir Abdul Majid, yang diminta mengulas berhubung nota penyelidikan Maybank Investment Bank mencadangkan supaya MAS dijadikan syarikat persendirian, berkata pihaknya menimbang semua opsyen perniagaan asalkan ia memberikan manfaat kepada kumpulan itu pada masa depan.
“Apa yang kita boleh lakukan ialah mengetengahkan pilihan yang ada, tetapi ia hak pemegang saham untuk memutuskannya,” katanya.

Khazanah Nasional Bhd adalah pemegang saham terbesar menguasai sekitar 69 peratus kepentingan dalam MAS, manakala Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula 11 peratus.

Maybank IB dalam nota penyelidikannya mencadangkan MAS dikeluarkan daripada penyenaraian di Bursa Malaysia dan sebaliknya menimbang menyenaraikan Firefly, MAS Engineering, MasKargo dan juga perkhidmatan terminal.

Firma penyelidikan itu berpendapat mengeluarkan MAS daripada senarai Bursa Malaysia bukan satu idea luar biasa dan sebaliknya membolehkan MAS meraih penilaian lebih tinggi apabila berhasrat disenaraikan semula kelak.

MAS mencatat kerugian bersih RM242.339 juta pada suku kewangan pertama berakhir 31 Mac lalu berbanding keuntungan bersih RM310.047 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

Berkongsi bangunkan projek

Oleh Shahrizan Salian
shahrizan@bharian.com.my
2011/06/28
Khazanah, Temasek tubuh M+S Pte Ltd, Pulau Indah majukan Iskandar Malaysia

KHAZANAH Nasional Bhd dan Temasek Holdings Pte Ltd bekerjasama menubuhkan dua anak syarikat bagi membangunkan projek di Iskandar Malaysia, Johor dan Singapura dengan nilai pembangunan kasar terkumpul mencecah RM30 bilion.
Bagi pembangunan projek di Singapura, kedua-dua sayap pelaburan itu menubuhkan syarikat perkongsian, M+S Pte Ltd bagi membangunkan enam bidang tanah di Marina South dan Ophir-Rochor, Singapura.
Sementara itu, sebuah lagi syarikat perkongsian, Pulau Indah Ventures Sdn Bhd ditubuhkan bagi melaksanakan projek di Medini North dan Medini Central, Iskandar Malaysia, Johor.

Semua projek berkenaan akan dibangunkan secara berperingkat dan dijangka siap dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dalam kenyataannya malam semalam, Khazanah berkata, ia memiliki 60 peratus kepentingan dalam M+S dan 50 peratus kepentingan dalam Pulau Indah.

M+S, katanya, akan melaksanakan projek pembangunan bersepadu di Marina South, di mana anak syarikatnya UEM Land Holdings Bhd dan anak syarikat Temasek, Mapletree Investments Pte Ltd masing-masing dilantik untuk memantau pembangunan dan pelan pemasaran projek berkenaan.
Bagi tapak di Ophir-Rochor pula, tanggungjawab itu dilaksanakan UEM Land dan sebuah lagi anak syarikat Temasek, CapitaLand Ltd.

“Khazanah dan Temasek masing-masing komited menjayakan usaha mengkomersialkan bidang tanah berkenaan yang terdiri daripada pembinaan ruang pejabat, kediaman, hotel dan runcit,” katanya.

Nilai pembangunan kasar projek di Singapura dengan ruang lantai kasar sehingga 500,000 kaki persegi itu dianggarkan mencecah RM27 bilion, bergantung kepada pelan pembangunan dan reka bentuk.

Sementara itu, Khazanah berkata Pulau Indah akan membangunkan pangsapuri servis, sebuah pusat latihan korporat dan ruang komersial, runcit, kediaman serta pusat kesihatan di Iskandar Malaysia.

“Kedua-dua pihak kini berunding dengan beberapa rakan kongsi serta pengendali berpotensi dalam pelbagai komponen pembangunan untuk memaksimumkan potensi komersial lokasi berkenaan,” katanya.

Nilai pembangunan kasar projek di Iskandar Malaysia itu dianggarkan mencecah RM3 bilion, bergantung kepada pelan reka bentuk dan pembangunan.

Mengulas kerjasama itu, Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar, berkata pihaknya berbangga melaksanakan projek pembangunan yang menarik bersama Temasek di kawasan utama Singapura dan Iskandar Malaysia.

Katanya, pembangunan di Iskandar Malaysia bersama Temasek itu sangat melengkapkan serta membina momentum daripada projek sedia ada dan dirancang di wilayah pembangunan itu, di mana Khazanah terbabit sejak lima tahun lalu.

“Kedua-dua projek itu menandakan pelaburan pertama bersama kami dengan Temasek dan Khazanah memandang ke depan ke arah kerjasama erat serta membuahkan hasil di kedua-dua kawasan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah dan Ketua Eksekutif Temasek, Ho Ching, berkata kedua-dua syarikat berusaha keras dan bekerjasama rapat untuk menghasilkan idea yang terbaik untuk projek kerjasama itu.

“Kami beruntung mendapatkan sokongan profesional dan pakar syarikat hartanah sebenar seperti UEM Land, Mapletree dan CapitaLand selain khidmat nasihat serta sokongan peneraju industri yang memimpin pembangunan Singapura,” katanya.

Prestariang teroka Asia Barat

Oleh Mohd Zaky Zainuddin
zaky@bharian.com.my
2011/06/29
Sedia khidmat latihan, persijilan ICT babit sektor kewangan Islam

PRESTARIANG Bhd, penyedia perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia 27 Julai ini, bercadang meneroka pasaran Asia Barat dalam memperkenalkan perkhidmatan latihan dan persijilan ICT membabitkan sektor kewangan Islam menjelang akhir tahun ini.
Ketua Eksekutifnya, Dr Abu Hasan Ismail, berkata syarikat yang dijangka meraih RM19.8 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) itu, masih berbincang dengan rakan niaga daripada negara Asia Barat untuk tujuan itu.
Ia katanya adalah sebahagian daripada pelan pengembangan untuk mengukuhkan capaian perniagaan pada peringkat global.

Beliau berkata, pelan itu disokong pelancaran program persijilan pembangunan dalaman ICT dikenali IC CITIZEN hasil usaha sama dengan Certiport dari Amerika Syarikat (AS) yang mana menjadi model perniagaan terbaik dalam memberi akses pantas kepada rangkaian 10,000 pusat di 142 negara.

Menerusi program itu, katanya, Prestariang memeterai kontrak dengan Industri Teknologi Maklumat dan Komunikasi Brunei bagi program perintis kepada blogger serta guru di negara berkenaan.

“Syarikat juga sedang membangunkan program lain termasuk Inggeris Vokasional, Kewangan Islam dan Teknologi Maklumat (IT) Hijau yang dijangka akan dilancarkan pada separuh kedua tahun ini hingga separuh kedua 2012,” katanya selepas melancarkan prospektus IPO syarikat itu di Kuala Lumpur, semalam.
Ia disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed. Hadir sama Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif AmInvestment Bank Bhd, TC Kok.

Prestariang yang ditubuhkan pada 2003 menjalankan perniagaan dengan menyediakan latihan dan persijilan ICT bagi keperluan industri, mengedar dan menguruskan lesen perisian.

Tahun ini, Prestariang menerusi anak syarikatnya Prestariang Systems Sdn Bhd, memperoleh kontrak tiga tahun daripada Kementerian Pelajaran untuk membekal dan menguruskan lesen perisian Microsoft kepada Jabatan Akademik Daerah, Institut Pendidikan Perguruan dan agensi lain kementerian terbabit.

Mengenai IPO Prestariang, Abu Hasan, berkata ia membabitkan tawaran jualan 99 juta saham biasa baru bernilai 10 sen pada harga tawaran 90 sen sesaham.

Daripada jumlah 99 juta saham yang ditawarkan itu, 22 juta ditawarkan untuk langganan awam, 40 juta untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih, 22 juta untuk penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera, lapan juta untuk permohonan rakyat Malaysia dan selebihnya diperuntukkan kepada pengarah, kakitangan, sekutu perniagaan dan anak syarikat Prestariang yang layak.

Voir sasar 10 peratus pertumbuhan pendapatan

2011/06/29
VOIR Holdings Bhd menyasar mencatatkan 10 peratus pertumbuhan pendapatan pada tahun kewangan semasa berakhir 31 Disember depan menerusi pengembangan pasaran eksport ke Ghana dan Pakistan serta perniagaan makanan dan minuman (F&B), kata Pengarah Urusannya, Ham Hon Kit.

Voir yang terbabit dalam reka bentuk, membangunkan, penjenamaan, pemasaran dan peruncitan pakaian dan aksesori, meneroka perniagaan F&B di bawah jenama Garden Lifestyle Store and Cafe.
Hon Kit berkata, syarikat akan memperluaskan pasaran eksportnya di Ghana dan Pakistan pada separuh kedua tahun ini manakala negara Afrika, Asia Barat dan Asia dikenal pasti sebagai pasaran eksport yang berpotensi untuk tahun depan.
“Kami menjalin pakatan dengan pengedar tempatan untuk memasarkan kasut kami,” katanya selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) syarikat di Kuala Lumpur, semalam.
Memandangkan pengembangan ditumpukan kepada jenama, Voir tidak menyuntik sebarang pelaburan memandangkan ia akan dilaksanakan rakan kongsi tempatan.

“Kami berharap mengekalkan sumbangan pasaran eksport kepada pertumbuhan dua peratus tahun ini,” katanya.

Sementara itu, syarikat memperuntukkan RM4.5 juta untuk perbelanjaan modal bagi pengembangan empat rangkaian kedai F&B tahun ini, katanya.
Sehingga Jun 2011, Voir mempunyai lima kedai dengan keluasan 23,000 kaki persegi.

“Bagi tahun ini, kami membuka tiga kedai dan yang berikutnya di Alamanda, Putrajaya tidak lama lagi, menjadikan keseluruhannya enam outlet F&B bagi syarikat.

“Dengan operasi sepenuhnya keenam-enam outlet F&B, kami menjangka sumbangan perniagaan F&B tahun ini meningkat antara tujuh dan lapan peratus dari lima peratus sekarang ini,” jelas beliau.

Perniagaan teras Voir, segmen fesyen yang menguasai 95 peratus perolehannya, mempunyai 333,000 kaki persegi ruang perniagaan.

“Fesyen dan F&B akan memenuhi jumlah ruang seluas 360,000 kaki persegi.
Sekiranya tiada halangan, kami menjangka peningkatan 15 hingga 20 peratus ruang perniagaan fesyen dan F&B menjelang akhir 2012,” katanya. – BERNAMA