Friday, July 9, 2010

Mah Sing maju 3 bidang tanah di lokasi strategik

2010/07/10
MAH Sing Group Bhd membeli tiga bidang tanah baru di lokasi strategik Lembah Klang yang akan dimajukannya dengan projek kediaman, komersial serta perindustrian dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM1.1 bilion.

Kumpulan pemaju hartanah itu dalam kenyataannya berkata, tanah di Puchong itu seluas 50.9 hektar, di koridor Damansara Utara-Subang-Sungai Buloh seluas 7.2 hektar dan di Bukit Jelutong, Shah Alam seluas 4.43 hektar. Katanya, tanah di Puchong itu akan dibangunkannya sebelum akhir tahun ini sebagai projek kediaman pertengahan dan mewah akan dikenali sebagai Kinrara Residence dengan GDV RM730 juta. Bagi tanah di koridor Damansara Utara-Subang-Sungai Buloh, Mah Sing berkata ia akan dibangunkan sebagai projek komersial Star Avenue, membabitkan pembinaan rangkaian kedai tiga tingkat, lot peruncitan dan pejabat dengan GDV RM280 juta yang bakal dilancarkan pada separuh pertama tahun depan.

Tanah di Bukit Jelutong pula, katanya akan dimajukan sebagai projek pembangunan perindustrian i-Parc 3 @ Bukit Jelutong, yang mana ia akan membangunkan rangkaian kilang berkembar berkepadatan rendah dengan anggaran GDV RM82 juta dan akan dilancarkan pada separuh pertama 2011.

Mengulas perkembangan itu, Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata syarikat itu sedang membina barisan produk bagi tahun depan dan seterusnya.

“Bagaimanapun, kami tidak menetapkan sasaran pembelian tanah untuk tahun ini kerana perlu berhati-hati dengan pemilihan kriteria seperti akses yang sempurna menerusi hubungan jalan dan lebuh raya, kemudahan baik dan kawasan yang tersedia ada,” katanya.
Bagi enam bulan pertama tahun ini, nilai keseluruhan pembangunan Mah Sing adalah RM1.9 bilion.

Tahun lalu, syarikat itu membangunkan enam bidang tanah dengan GDV keseluruhan mencecah RM2.2 bilion

No comments:

Post a Comment