Tuesday, July 20, 2010

Maybank sasar tingkat pelanggan mudah alih

2010/07/21
MALAYAN Banking Bhd (Maybank) menyasarkan pelanggan perbankan mudah alih meningkat 53 peratus dalam tempoh setahun susulan pelancaran Perkhidmatan Perbankan Mudah Alih (M2U Mobile) ditingkatkan.

Pengguna boleh mengakses portal bank kumpulan itu, Maybank2u.com menggunakan sebarang model telefon bimbit atau pengendali mudah alih bagi tujuan perbankan, pembayaran bil atau transaksi e-dagang. Timbalan Presiden Maybank dan Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Lim Hong Tat, berkata M2U Mobile yang ditingkatkan itu bakal menyokong peningkatan 40 peratus purata transaksi bulanan bagi perkhidmatan berkenaan kepada 100,000 berbanding 70,000 dalam tempoh setahun.
Beliau berkata, perkhidmatan itu kini berubah daripada platform berasaskan aplikasi Java terhad kepada platform dengan keupayaan pelayar web digunakan secara meluas.

“Ini bermakna M2U Mobile kini boleh digunakan ke semua peralatan mudah alih yang mempunyai akses internet menjadikannya lebih versatil, mudah dan selesa untuk pengguna meneruskan urus niaga Maybank2u.com mereka,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Lim berkata, dengan keupayaan yang ditingkatkan pelanggan kini boleh mengakses Maybank2u.com menerusi pelayar mudah alih untuk mendapatkan perkhidmatan seperti penyata akaun, pertanyaan baki, pemindahan dana, pembayaran bil untuk bil berdaftar, pembayaran kad kredit selain tukaran asing dan kadar deposit.

Katanya, pelanggan perlu mendaftar sebagai pelanggan Maybank2u.com percuma. Katanya, pelanggan digalakkan mendaftar akaun pihak ketiga yang utama atau bil bagi membolehkan mereka melaksanakan transaksi M2U Mobile lebih selesa.

No comments:

Post a Comment