Wednesday, July 21, 2010

Angkasa rancang buka 'koopshop' di Felda

KUANTAN 21 Julai 2010 - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) akan mewujudkan pusat perniagaan koperasi iaitu 'Koopshop' di tanah rancangan Felda.

Ia menggunakan sistem perkongsian pemasaran bagi membantu pusat jualan koperasi dalam bidang perniagaan.

Presiden Angkasa, Datuk Mohd. Ali Baharum berkata, Koopshop akan berperanan sebagai pembekal utama barangan jualan kepada 260 pusat jualan koperasi di tanah rancangan Felda.

''Koopshop juga akan mendapatkan bekalan barangan jualan secara terus daripada pengeluar utama iaitu Felda," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Seminar Kepenggunaan Dalam Koperasi yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Ishak Muhammad di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Angkasa, Datuk Abdul Fatah Abdullah dan Naib Yang Dipertua Angkasa, Armi Zainudin serta 212 ahli koperasi seluruh negeri.

Mohd. Ali berkata, jika Koopshop berjaya diwujudkan, ia dapat menyelesaikan pelbagai masalah bekalan yang dihadapi oleh koperasi ketika ini termasuk mendapatkan bekalan barangan jualan pada harga yang lebih murah.

Menurutnya, ketika ini, kebanyakan pusat jualan koperasi mendapat barangan daripada pembekal luar dan terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah termasuk kekurangan bekalan serta harga yang tidak menentu.

Dalam pada itu, beliau menjangkakan 300 Kooshop akan diwujudkan di tanah rancangan Felda di seluruh negara yang mampu menampung keperluan bekalan barangan semua pusat jualan koperasi sedia ada.

Sehingga ini tambahnya, Angkasa mempunyai 260 pusat jualan koperasi di kawasan Felda dan menjangkakan sebanyak 200 pusat jualan baru akan diwujudkan sehingga akhir tahun depan.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Ishak menggesa orang ramai menjadi pengguna yang bijak dan tidak tertipu dengan penggunaan logo halal pada produk makanan.

''Isu penggunaan logo halal pada produk makanan dan campuran bahan kimia pada sesetengah produk lain turut membuatkan pengguna ragu-ragu dan tidak membeli barangan berkenaan kerana tidak mahu menanggung risiko," katanya.

No comments:

Post a Comment