Wednesday, July 21, 2010

TM rancang tingkat kemahiran usahawan kembang pasaran

2010/07/22
TELEKOM Malaysia Bhd (TM) kini dalam proses meningkatkan lagi kemahiran lebih 1,000 usahawan dan vendor di bawah Program Pembangunan Usahawan TM (PPU TM) bagi mengembangkan lagi pasaran pelbagai produk telekomunikasi di bawah kumpulan itu.

Pengerusinya, Datuk Dr Halim Shafie berkata, langkah itu sejajar falsafah TM untuk menyumbang ke arah pembinaan keupayaan serta memperkasa kualiti usahawan Bumiputera di bawah TM. Beliau berkata, TM mempunyai perancangan jangka panjang dalam program pembangunan usahawan di bawahnya dengan tumpuan utama diberikan kepada usaha meningkatkan mutu perkhidmatan selain menjadikan mereka lebih kreatif dan inovatif. “Usaha membangunkan usahawan ini penting kerana mereka adalah sebahagian daripada ekosistem perniagaan TM, justeru kumpulan sentiasa berhasrat mewujudkan hubungan strategik ‘sama-sama menang’ antara kedua-dua belah pihak,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian anugerah usahawan TM 2010 di Kuala Lumpur, malam tadi.

Anugerah berkenaan diwujudkan bagi menghargai dan mengiktiraf usahawan di bawah PPU TM yang diwujudkan sejak 1993.

Anugerah disampaikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir. Hadir sama Ketua Eksekutif TM, Datuk Zamzamzairani Mohd Isa.

Sementara itu, Mukhriz dalam ucapannya berkata, kemunculan pembekal perkhidmatan baru yang memberikan saingan hebat kepada TM menuntut kumpulan telekomunikasi itu menjadi lebih peka terhadap kehendak pengguna.
“Pengguna mahukan pilihan yang banyak serta menarik daripada pembekal perkhidmatan dan pada masa sama menuntut mutu perkhidmatan yang tinggi pada kadar bayaran yang rendah,” katanya.

Pada majlis malam tadi, Duramine Sdn Bhd dipilih sebagai pemenang Anugerah Usahawan Terbaik 2010.

No comments:

Post a Comment