Sunday, July 25, 2010

EKUINAS minat kuasai Carrefour

Oleh Kamarulzaidi Kamis dan Zuraidah Mohamed

2010/07/26
Rakan kongsi sesuai diperlu untuk bidaan menjangkau lebih RM200j

EKUITI Nasional Bhd (EKUINAS) berminat untuk mengambil alih rangkaian pasar raya besar Carrefour di Malaysia jika ada pihak lain yang bersedia bekerjasama dengannya dalam pembelian itu.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata EKUINAS tidak boleh membuat bidaan secara bersendirian kerana pengurus dana ekuiti persendirian milik kerajaan itu hanya boleh melabur maksimum sebanyak RM200 juta dalam sesebuah syarikat. Beliau menegaskan, pengambilalihan itu wajar dipertimbangkan kerana ia termasuk dalam enam sektor tumpuan pelaburan EKUINAS iaitu peruncitan, pendidikan, pelancongan, penjagaan kesihatan, minyak dan gas serta perkhidmatan. Seperti yang kita tahu, Carrefour mempunyai rancangan untuk menjual perniagaannya di Malaysia, Singapura dan Thailand, dan saya pasti ramai yang membuat bidaan tetapi harga yang ditawarkan mungkin menjangkau kemampuan EKUINAS.

Kami belum membuat sebarang keputusan setakat ini dan jika ada peluang EKUINAS tidak akan membuat bidaan secara solo tetapi menerusi rakan kongsi yang sesuai. Pihak kami akan menilai perkara ini terlebih dulu, katanya kepada Berita Harian ketika ditemui di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Pemerhati pasaran berkata, pemilikan pasar raya besar seperti itu akan membolehkan EKUINAS meningkatkan penyertaan Bumi-putera khususnya dalam rantaian bekalan serta pemasaran produk.

Awal bulan ini, Carrefour dilaporkan berhasrat menjual perniagaannya di Malaysia, Singapura dan Thailand.
Agensi berita REUTERS yang memetik kenyataan sumber berkata, harga jualan bagi cabang perniagaannya di tiga negara di Asia Tenggara itu dijangka mampu mencecah AS$1 bilion (RM3.22 bilion).

Pemilik pasar raya itu juga dikatakan sudah mengadakan perbincangan dengan bank pelaburan Goldman Sachs dan UBS bagi mengatur urusan penjualan itu.

Carrefour, peruncit kedua terbesar dunia berpangkalan di Perancis, dalam tempoh beberapa tahun lalu menutup perniagaannya di Jepun dan Korea, bagi memberi tumpuan kepada pasaran lebih besar dan sedang pesat berkembang seperti di India.

Di Indonesia, REUTERS melaporkan ING-JP Morgan, konglomerat yang mempunyai kepentingan dalam sektor perbankan dan media, mahu meraih dana menerusi terbitan bon pada peringkat antarabangsa tahun ini bagi membiayai pembelian kepentingan dalam Carrefour.

The Bangkok Post pula melaporkan, Carrefour sudah bertemu dengan pembeli berpotensi dan akan membuka tawaran bagi penjualan itu awal September depan.

Carrefour beroperasi di 38 lokasi di Thailand dengan aset keseluruhan miliknya di negara itu dianggarkan bernilai antara AS$500 juta (RM1.6 bilion) dan AS$600 juta (RM1.9 bilion).

Di Malaysia, syarikat yang merancang memiliki 40 rangkaian menjelang 2012 itu memiliki aset bernilai RM1.5 bilion, iaitu berdasarkan anggaran industri peruncitan.

Ketika ini, Carrefour beroperasi menerusi 23 cawangan dan empat lagi dijangka dibuka tahun ini.

No comments:

Post a Comment