Friday, July 16, 2010

MAS tambah destinasi baru

Oleh Haika Khazi
mfaizul@bharian.com.my
2010/07/17


DR MUNIR (kiri) dan Kong meraikan penumpang yang menggunakan khidmat penerbangan pertama MAS ke Bandung, Indonesia, di KLIA, semalam.88 penerbangan ke Indonesia

SEPANG: Perluasan rangkaian penerbangan Penerbangan Malaysia (MAS) ke Bandung, destinasi kedua syarikat berkenaan tahun ini adalah selaras dengan peningkatan permintaan daripada penumpang di Malaysia dan Indonesia, kata Pengerusinya, Tan Sri Dr Munir Majid. Katanya, awal tahun ini, MAS sudah memperkenalkan penerbangan ke Damman, iaitu pusat pengeluaran minyak dan gas di Arab Saudi dan penerbangan ke Bandung melengkapkan rancangan pertumbuhan rangkaiannya dengan pelan penambahan pesawat syarikat.
“Kami ingin menambah kekerapan dan kapasiti penerbangan di samping memperkenalkan destinasi baru serta pesawat baru ke laluan Indonesia.

“Kami juga berhasrat meluaskan bahagian pasaran antara Indonesia dan Malaysia, selain menggalakkan pengembara menaiki penerbangan kami untuk ke destinasi seperti Singapura, Thailand, Vietnam, Kemboja, China, Australia, United Kingdom dan Eropah,” katanya pada majlis pelancaran destinasi terbaru itu, di sini semalam.

Dengan penerbangan tujuh hari seminggu ke Bandung, MAS kini mempunyai 88 penerbangan mingguan ke Indonesia iaitu Bandung, Jakarta, Surabaya, Jogjakarta, Denpasar dan Medan.

Pada masa sama, Munir berkata, MAS merancang memperkenalkan beberapa destinasi baru tahun ini terutama di Asia Tenggara yang akan disokong pembelian beberapa pesawat untuk memenuhi permintaan penumpang.
Katanya, MAS sudah memesan sehingga 55 pesawat B738-800, 25 pesawat A330 dan enam pesawat A380 yang akan diterima bermula tahun ini hingga 2015.

“Menjelang 2015, kami akan mempunyai pesawat paling baru dan mesra alam di rantau ini. Pesawat B737-800 akan digunakan untuk laluan domestik dan serantau,” katanya.

“Pesawat A330-300 pula akan digunakan untuk mengangkut penumpang di pasaran yang sedang berkembang seperti Asia Selatan, China, Asia Utara, Australia dan Timur Tengah, manakala pesawat A380 akan digunakan untuk penerbangan ke Sydney dan London,” katanya.

No comments:

Post a Comment