Sunday, June 20, 2010

Cadang perluas Ar-Rahnu X’change di Indonesia

2010/06/21
Bank Rakyat rancang pelbagaikan bidang perniagaan francais

BANK Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) bercadang untuk mengembangkan produk francais pajak gadai Islam di bawah jenama Ar-Rahnu X’change di Indonesia dalam usaha mempelbagaikan bidang perniagaan francais ke republik itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha mempelbagai bidang perniagaan francais di Indonesia yang bertumpu kepada produk kesihatan dan makanan. Selain Indonesia, katanya, Malaysia juga berbincang dengan Brunei bagi mengembangkan produk francais pajak gadai berteraskan syariah oleh Bank Rakyat itu. “Ini pertama kali produk sebegini diperkenalkan di Indonesia, kita baru nak tinjau, belum bincang sama ada boleh atau tidak, belum tahu.

“Rakyat Indonesia yang akan buka perniagaan ini, cuma menggunakan konsep kita, inilah konsep francais,” katanya kepada media di Jakarta semalam, sempena lawatan kerja dua hari ke republik itu.

Ismail berkata, sebagai sebuah negara yang memiliki penduduk Islam teramai di dunia, beliau melihat produk itu berpotensi besar dikembang di Indonesia.

Beliau berkata namun begitu, beberapa perkara seperti dari segi perundangan dan sebagainya perlu diambilkira terlebih dulu.
Terdahulu Ismail Sabri merasmikan Pavilion Malaysia di Ekspo Konsep Perniagaan dan Lesen Francais Antarabangsa 2010 (IFRA) di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC) yang sedang berlangsung dari 18 Jun hingga semalam.

Ismail berkata, setakat ini 11 syarikat francais Malaysia membuka perniagaan di Indonesia termasuk Sports Planet, Daily Fresh, Nelson’s, Smart Reader, Royal Selangor dan Saba Islamic Media.

“Tahun ini Malaysia menawarkan tujuh produk francais baru untuk pasaran Indonesia iaitu Ar-Rahnu X’change, francais pendidikan dan asuhan kanak-kanak iaitu Q-Dees, Children Islamic Centre (CIC) dan pusat Tuisyen Mawar, francais optometris Focus Point, francais kiosk aiskrim MingoMingo dan francais kiosk dessert CoolBlog.

“Sehingga kini 26 produk francais Malaysia berjaya mengukir nama di 50 negara di seluruh dunia,” katanya.

Selepas merasmikan Pavilion Malaysia dan melawat ekspo francais, Ismail Sabri turut mengadakan forum peluang perniagaan Malaysia di JCC yang disertai komuniti peniaga Indonesia.
– BERNAMA

No comments:

Post a Comment