Sunday, June 13, 2010

Labur RM600j gandakan kapasiti pengeluaran

Oleh Suffian A Bakar
suffian@bharian.com.my
2010/06/14
Emery Oleochemicals mahu penuhi permintaan industri

EMERY Oleochemicals, syarikat oleokimia terbesar dunia yang turut dikuasai Sime Darby Bhd, akan melabur sekitar RM600 juta bagi menggandakan kapasiti pengeluarannya di Malaysia kepada 600,000 tan daripada 300,000 tan menjelang 2015 bagi memenuhi peningkatan permintaan industri produk pengguna. Ketua Eksekutifnya, Dr Kongkrapan Intarajang, berkata pelan lima tahun itu membabitkan kedua-dua segmen oleokimia dan bahan kimia khusus yang akan menyaksikan kilang tambahan dibina di tapak kilang sedia ada di Teluk Panglima Garang, Selangor. “Tahun ini kami komited menggerakkan pelan lima tahun yang memfokus kepada segmen pertumbuhan seperti oleokimia dan bahan kimia khusus.

“Kelulusan bagi pembinaan kilang oleokimia baru dijangka diperoleh tahun ini dan akan mengambil masa satu setengah tahun untuk disiapkan, sementara kilang bahan campuran plastik dengan keupayaan 25,000-30,000 tan pula dijangka beroperasi pada suku pertama 2011,” katanya dalam temubual di Shah Alam, semalam.

Kongkrapan berkata, syarikat itu menjangkakan peningkatan keupayaan berkenaan akan melonjakkan pendapatan syarikat sebanyak sekali ganda kepada sekitar AS$1.6 bilion (RM5.4 bilion) pada 2015 berbanding AS$800 juta (RM2.7 bilion) ketika ini.

Emery Oleochemicals, syarikat usaha sama antara Sime Darby dan Thai PTT Chemical Public Co Ltd, mempunyai kapasiti pengeluaran satu juta tan menerusi tiga kilangnya di Jerman untuk pasaran Eropah, Amerika Syarikat dan Asia.
Ia membekal oleokimia kepada industri produk pengguna yang sedang berkembang, didorong peningkatan permintaan khususnya di India dan China.

Kongkrapan berkata, keputusan untuk mengambil opsyen membina kilang baru itu susulan ketidakpastian kejayaan rundingan dengan Kulim Bhd bagi cadangan pengambilalihan kilang oleokimia milik Kulim di Johor.

Kilang oleokimia Kulim di Pasir Gudang berupaya menghasilkan 380,000 tan asid lelemak, 7,500 tan ‘methyl esters’ dan 47,500 tan ‘soap noodle’.

AmResearch dalam laporannya baru-baru ini menilai perniagaan oleokimia Kulim antara RM291 juta dan RM312 juta.

Kongkrapan menambah, termasuk dalam rancangan lima tahun itu ialah membawa sebahagian daripada aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang ketika ini tertumpu di AS dan Eropah ke negara ini.

No comments:

Post a Comment