Tuesday, June 22, 2010

Proton laksana pelan transformasi 5 tahun Lotus

Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2010/06/23
Pengeluaran kereta sport mewah setanding Ferrari, Porsche

PROTON Holdings Bhd akan melaksanakan pelan transformasi lima tahun untuk menjadikan Lotus Group International Ltd sebagai pengeluar kereta sport mewah sebaris dengan Ferrari dan Porsche daripada sekadar pengeluar kereta sport biasa. Langkah itu disasarkan akan membolehkan anak syarikat milik penuhnya yang berpangkalan di United Kingdom itu, sebagai entiti yang menjana keuntungan kepada kumpulan itu pada masa depan. Selaras usaha itu, Proton semalam memperkenalkan barisan pengurusan baru Lotus terdiri daripada mereka yang berpengalaman terbabit dalam pelbagai jenama kereta sport mewah terkemuka dunia.

Di bawah pengurusan baru yang diketuai bekas pegawai kanan Ferrari iaitu Dany Bahar sebagai Ketua Eksekutif Lotus Group dan Pengarah Urusan Lotus Cars, seramai 11 muka baru lain yang memiliki kepakaran dan pengalaman luas dalam dunia pengeluar kereta sport mewah seperti Porsche, Ferrari, Aston Martin dan Fiat Groupturut disenaraikan.

Ia antaranya termasuk Paul Newsome, bekas jurutera Jaguar, BMW dan MG Rover yang kini bertanggungjawab merangka pelan kejuruteraan produk Lotus; Donato Coco, bekas pegawai kanan Ferrari yang terbabit dalam rekaan 430 Scuderia dan F548 Italia yang bertanggungjawab dalam pelan rekaan produk baru Lotus dan Andreas Schlegel, bekas pegawai bertanggungjawab merangka strategi pemasaran Daimler-Benz, Prosche AG yang mengetuai bahagian pembangunan jenama dan pemasaran kereta Lotus.

Perbezaan kereta sport biasa dan kereta sport mewah kebiasaannya merujuk kepada kapasiti enjin serta harga yang ditawarkan.
Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata di bawah pelan transformasi itu, pihaknya mahu menjadikan Lotus sebagai kereta terbaik dalam setiap segmen pasaran kereta mewah yang diceburinya dengan memiliki jenama yang tiada tandingan selain dibantu perkhidmatan terunggul dalam servis jualan dan selepas jualan serta keberkesanan dan produk berkualiti tinggi.

Beliau berkata, walaupun Proton sudah mengambil alih Lotus lebih daripada 10 tahun, pengeluar kereta nasional itu mengakui bahawa syarikat masih tidak menggunakan sepenuhnya keupayaan Lotus.

“Menerusi pelan lima tahun itu, kami juga menyasarkan untuk meningkatkan jumlah pengeluaran kereta Lotus kepada 8,000 unit setahun menjelang 2015 daripada hanya 2,500 unit setahun ketika ini,” katanya pada sidang media sempena pengenalan barisan pengurusan baru Lotus, di Shah Alam semalam. Hadir sama Pengerusi Proton, Datuk Mohd Nadzmi Mohd Salleh.

Proton mengambil alih keseluruhan ekuiti Lotus, pengeluar kereta sport yang terkenal dengan kepakaran kejuruteraan aerodinamik pada 1996.

Ketika ini, kenderaan Lotus dipasarkan ke 30 pasaran di seluruh dunia dan dengan perubahan strategi perniagaan itu, Proton mengenal pasti 25 pasaran baru lain untuk diterokai.

“Proton mampu menjadi jenama lebih kukuh menerusi hubungannya dengan Lotus dengan mengeluarkan kereta yang lebih baik dengan jenama terunggul, sekali gus meningkatkan lagi pendapatan dan keuntungan kepada kumpulan,” katanya sambil menambah Lotus sudah membuktikan keupayaannya dalam mengeluarkan beberapa model ikonik seperti Elite, Seven, Elan, Europa, Esprit, Elise dan terbaru, Evora.

No comments:

Post a Comment