Sunday, June 27, 2010

Fasa kedua Anggun @ Rawang dilancar

2010/06/28
HONG Bee Land Sdn Bhd (HBL) melancarkan fasa kedua projek hartanah mewahnya di Anggun @ Rawang, Selangor yang dikenali sebagai Anggun 2 membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM133 juta.

Pengurus Besar Hong Bee Property Management Sdn Bhd, Kelvin Soo, berkata projek kediaman pegangan bebas di tapak seluas 12.4 hektar itu akan dimajukan anak syarikat milik penuh HBL, Pura Development Sdn Bhd. Katanya, projek itu membabitkan pembangunan 225 unit kediaman berkembar ekslusif serta satu lot kosong untuk unit banglo yang mempunyai ciri landskap semula jadi dan suasana ala resort. “Kami menerima maklum balas yang baik bagi Anggun 2 dan setakat ini lebih RM64 juta membabitkan lebih 100 unit kediaman sudah dijual sejak dibuka jualan April lalu.

“Pada dasarnya, kami tidak bersaing dari segi harga sebaliknya lebih menumpukan kepada konsep resort, kualiti dan persekitaran bergaya,” katanya kepada Berita Harian di Rawang, semalam.

Beliau berkata, Anggun 2 dijangka siap sepenuhnya menjelang 2013, adalah fasa kedua daripada tanah berkeluasan 200 hektar dimiliki Pura Development di Rawang.

Katanya, Anggun 2 yang terletak dua kilometer dari tol Rawang itu menawarkan dua konsep kediaman berkembar iaitu Mezzo (moden) dan Tropez (tropika) dengan keluasan binaan kira-kira 2,685 kaki persegi.
“Kedua-dua jenis kediaman ini menyediakan empat bilik tidur, empat bilik mandi, dua ruang tamu serta dua ruang dapur dengan orientasi utara-selatan pada harga bermula RM568,800,” katanya.

Soo berkata, kawalan keselamatan di kawasan Anggun 2 juga dipertingkatkan dengan sistem pengesan CCTV dan pagar perimeter menyeluruh serta kawasan kejiranan persendirian.

Dalam pada itu, katanya HBL juga akan menjadikan Anggun kawasan perbandaran yang menarik merangkumi pusat komersial, pusat beli-belah dan rancangan membangunkan 16 hektar lagi bagi unit kediaman pada masa depan.

“Kami akan melancarkan projek pembangunan Anggun 3 tahun depan yang membabitkan unit rumah berkembar dan teres kerana mempunyai permintaan yang tinggi bagi kediaman jenis ini,” katanya.

HBL yang ditubuhkan pada 1994, adalah syarikat pegangan pelaburan yang mempunyai jumlah simpanan tanah kira-kira 1,160 hektar di Malaysia.

Kebanyakan simpanan tanahnya terletak di Rawang yang dianggarkan kira-kira 640 hektar dan di Pulai, Johor kira-kira 520 hektar, terletak di Wilayah Pembangunan Iskandar

No comments:

Post a Comment