Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2010/06/12
Kos pembangunan resorts di Langkawi RM250 juta
PEMAJU hartanah, Rahsia Estates Resorts Residences & Spa (Rahsia Estates), akan membangunkan projek hartanah bercampur di Pulau Langkawi dengan nilai pembangunan kasar RM250 juta. Projek dikenali Rahsia Estates Resorts Residences & Spa Langkawi itu, membabitkan pembangunan resorts merangkumi hotel butik dengan 18 unit villa mewah, kompleks hotel lima bintang, dan 31 unit villa cabana. Ketua Eksekutif Rahsia Estates, Hanizah Abdul Hamid, berkata pembangunan resorts seluas 6.8 hektar di kawasan tenggara dan menghadap Laut Andaman itu akan mempunyai pantai persendirian serta jalan sejauh satu kilometer dari jalan utama di Bukit Malut.
“Selain pembangunan fizikal, projek itu turut menampilkan kawasan perlindungan paya bakau mengelilingi hutan simpan ber-sebelahan muara sungai Kampung Temoyong yang akan diketengahkan sebagai pembangunan berkonsepkan hijau ‘Eco’ Rahsia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili syarikat itu memeterai perjanjian dengan Asian Finance Bank (AFB) bagi pembangunan hartanah itu, di Kuala Lumpur, semalam.
Pada majlis itu, AFB diwakili Ketua Eksekutifnya, Datuk Mohamed Azahari Kamil dan disaksikan Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Dr James Dawos Mamit.
Menerusi perjanjian itu, AFB dilantik sebagai ejen pengedaran dan promosi Rahsia Estates Resorts Residences & Spa Langkawi bertanggunjawab mempromosi serta menarik masuk pelabur asing, khususnya dari Asia Barat untuk terbabit serta sebagai pelabur dalam projek itu.
Pembangunan itu juga akan diperkenalkan kepada pelabur tempatan dan antarabangsa terpilih lain yang berminat melabur dalam pembangunan berprofil tinggi.
Hanizah berkata, projek Rahsia Estates Resorts Residences & Spa Langkawi yang sudah diluluskan pelan pembangunannya itu, dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2013 dan akan mula beroperasi pada awal 2014.
Katanya, dengan harga tawaran menarik bermula kira-kira RM2.4 juta seunit, pihaknya menjangkakan projek berkenaan berupaya menarik kemasukan pelaburan asing, sekali gus memberi manfaat kepada pertumbuhan industri pembinaan dan pelancongan negara.
Beliau berkata, pembangunan terbabit akan mengikuti garis panduan ditetapkan Indeks Bangunan Hijau dan apabila beroperasi pada 2014 kelak, ia bakal menjadi mercu tanda Langkawi.
“Ia menawarkan kediaman mewah, perkhidmatan pelanggan unggul dengan kediaman berpagar serta kawalan keselamatan sepanjang masa, sekali gus berupaya menarik minat pelabur asing memilikinya sebagai aset kediaman kedua mereka,” katanya
Friday, June 11, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment