Monday, June 28, 2010

Khidmat baru tempahan servis Perodua

2010/06/29
PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) akan mewujudkan perkhidmatan baru dikenali Drop Box Services di semua 39 cawangan terpilih seluruh negara bagi memudahkan pengguna membuat tempahan servis kenderaan, bermula 15 Julai ini.

Pengarah Urusannya, Aminar Rashid Salleh, berkata menerusi kemudahan itu, pemilik kenderaan yang mengalami masalah atau mahu membaiki kenderaan boleh datang terus di cawangan berkenaan meskipun selepas waktu pejabat, ketika cuti hujung minggu dan cuti umum. Perkhidmatan ini khas untuk kenderaan yang mengalami masalah pada hujung minggu ataupun cuti umum dan pemiliknya perlu menyertakan nama dan nombor telefon masing-masing. Petugas akan menyiapkan kenderaan berkenaan keesokan hari dan Perodua akan menghubungi pemilik selepas siap dibaiki. Langkah itu juga adalah tanggungjawab sosial Perodua kepada pengguna dan berharap ia akan memuaskan semua pengguna.

Buat masa ini, kita hanya melakukannya di cawangan Perodua saja, tetapi jika ia berjaya, kami akan memperluaskannya kepada pusat jualan kenderaan Perodua yang lain, katanya pada program Perodua Eco-Challenge Race 2010, yang berlangsung di Litar Motor Antarabangsa Melaka (MIMC), di Ayer Keroh, Melaka, semalam.

Aminar Rashid berkata, Perodua sudah memperuntukkan RM500 juta bagi memperkenalkan Program Teknikal Perodua Remaja khusus untuk pelajar daripada keluarga kurang mampu tetapi berminat dalam bidang teknikal dan automotif.

Beliau berkata, buat permulaan, pihaknya menyediakan 40 tempat untuk pelajar bertuah ini mempelajari segala aspek dalam bidang berkenaan selama enam bulan di pusat latihan Perodua.
Perodua berharap, menerusi program ini, ia akan dapat melahirkan pelajar yang mempunyai kelebihan dalam bidang teknikal dan berpeluang dimasukkan dalam bahagian pembuatan ataupun bengkel kami, katanya.

Unit khas bantu koperasi

KUALA LUMPUR 28 Jun 2010 - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) akan menubuhkan unit khas bagi membantu koperasi milik ahlinya agar mereka mampu menjana pendapatan dengan lebih baik.

Presidennya, Datuk Syed Ali Al Attas berkata, kewujudan koperasi tersebut ketika ini kurang membantu ahlinya termasuk dari segi mendapatkan bahan mentah dengan harga yang lebih murah.

"Antara kelemahannya berpunca ketidakcekapan pentadbiran, ketiadaan rangkaian pemasaran serta kurang kerjasama antara koperasi dalam industri yang berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di sini hari ini selepas mengadakan perjumpaan bersama pimpinan tertinggi DPMM sesi 2010-2013 yang baru dipilih semasa mesyuarat agungnya yang ke-45 kelmarin.

Pada pemilihan itu, Syed Ali berjaya mempertahankan jawatannya manakala Datuk Md. Alayuddin Che Hasan dipilih sebagai Timbalan Presiden.

Syed Ali berkata, DPMM akan mengadakan perjumpaan setiap dua bulan dengan pentadbir setiap koperasi bagi mendedahkan mereka tentang cara mengoptimumkan peranan

Sunday, June 27, 2010

KNM Group tetap jadi syarikat persendirian

2010/06/28
PEMEGANG saham utama KNM Group Bhd, akan meneruskan cadangan untuk menjadikan pengeluar peralatan pemprosesan untuk industri minyak dan gas yang kini disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia sebagai sebuah syarikat persendirian.

“Kami sememangnya mencari peluang menjadikan KNM Group sebuah syarikat persendirian bergantung kepada peluang yang ada,” kata Pengarah Urusan Kumpulan yang juga pemegang saham terbesar syarikat itu, Lee Swee Eng selepas mesyuarat agung tahunan KNM di Seri Kembangan, baru-baru ini. Pada April lalu, Lee membatalkan cadangannya untuk membeli keseluruhan perniagaan KNM pada harga RM3.6 bilion. “Halangan utama kami ketika ini adalah pembiayaan tetapi jika ada pe-
luang, ia akan dilaksanakan,” kata Lee.

Lee yang juga Pemangku Pengerusi KNM berkata, sementara menunggu peluang itu tiba, kumpulan itu akan menumpukan kepada usaha mengukuhkan kedudukannya bagi merebut peluang yang kembali muncul dalam industri minyak dan gas.

Antaranya, beliau berkata, KNM akan memperkuatkan barisan lembaga pengarah dengan mencari calon berpotensi bagi mengisi kerusi lembaga pengarah.
“Kami akan terus mencari komposisi lembaga pengarah yang kukuh dengan memastikan ia dianggotai barisan individu berpengalaman dan berkemahiran,” katanya.

Mengenai nilai tempahan bagi peralatan keluarannya tahun ini, Lee berkata, kumpulan itu menjangkakan mendapat tempahan eksport bernilai RM3 bilion berbanding RM2.1 bilion tahun ini.

“Tempahan dijangka lebih tinggi tahun ini berbanding tahun lalu. Pada 2009, pasaran sangat teruk namun kami mampu mendapat tempahan bernilai RM1.5 bilion,” katanya.

Keadaan pasaran yang lemah tahun lalu berikutan krisis ekonomi global menyebabkan keuntungan bersih bagi 2009 jatuh kepada RM171 juta daripada RM336.4 juta sebelumnya

Fasa kedua Anggun @ Rawang dilancar

2010/06/28
HONG Bee Land Sdn Bhd (HBL) melancarkan fasa kedua projek hartanah mewahnya di Anggun @ Rawang, Selangor yang dikenali sebagai Anggun 2 membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM133 juta.

Pengurus Besar Hong Bee Property Management Sdn Bhd, Kelvin Soo, berkata projek kediaman pegangan bebas di tapak seluas 12.4 hektar itu akan dimajukan anak syarikat milik penuh HBL, Pura Development Sdn Bhd. Katanya, projek itu membabitkan pembangunan 225 unit kediaman berkembar ekslusif serta satu lot kosong untuk unit banglo yang mempunyai ciri landskap semula jadi dan suasana ala resort. “Kami menerima maklum balas yang baik bagi Anggun 2 dan setakat ini lebih RM64 juta membabitkan lebih 100 unit kediaman sudah dijual sejak dibuka jualan April lalu.

“Pada dasarnya, kami tidak bersaing dari segi harga sebaliknya lebih menumpukan kepada konsep resort, kualiti dan persekitaran bergaya,” katanya kepada Berita Harian di Rawang, semalam.

Beliau berkata, Anggun 2 dijangka siap sepenuhnya menjelang 2013, adalah fasa kedua daripada tanah berkeluasan 200 hektar dimiliki Pura Development di Rawang.

Katanya, Anggun 2 yang terletak dua kilometer dari tol Rawang itu menawarkan dua konsep kediaman berkembar iaitu Mezzo (moden) dan Tropez (tropika) dengan keluasan binaan kira-kira 2,685 kaki persegi.
“Kedua-dua jenis kediaman ini menyediakan empat bilik tidur, empat bilik mandi, dua ruang tamu serta dua ruang dapur dengan orientasi utara-selatan pada harga bermula RM568,800,” katanya.

Soo berkata, kawalan keselamatan di kawasan Anggun 2 juga dipertingkatkan dengan sistem pengesan CCTV dan pagar perimeter menyeluruh serta kawasan kejiranan persendirian.

Dalam pada itu, katanya HBL juga akan menjadikan Anggun kawasan perbandaran yang menarik merangkumi pusat komersial, pusat beli-belah dan rancangan membangunkan 16 hektar lagi bagi unit kediaman pada masa depan.

“Kami akan melancarkan projek pembangunan Anggun 3 tahun depan yang membabitkan unit rumah berkembar dan teres kerana mempunyai permintaan yang tinggi bagi kediaman jenis ini,” katanya.

HBL yang ditubuhkan pada 1994, adalah syarikat pegangan pelaburan yang mempunyai jumlah simpanan tanah kira-kira 1,160 hektar di Malaysia.

Kebanyakan simpanan tanahnya terletak di Rawang yang dianggarkan kira-kira 640 hektar dan di Pulai, Johor kira-kira 520 hektar, terletak di Wilayah Pembangunan Iskandar

Blue Archipelago tawar francais ternakan udang

Oleh Che Wan Badrul Alias
chewan@bharian.com.my
2010/06/28
Inisiatif iSHARP ditumpukan kepada PKS mampu jana lebih 1,500 pekerjaan

BLUE Archipelago Bhd, anak syarikat Khazanah Nasional Bhd yang menguruskan ladang ternakan udang harimau bersepadu di Kerpan, Air Hitam, Kedah, akan menawarkan francais kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS) menjalankan operasi penternakan udang itu di ladang Integrated Shrimp Aquaculture Park (iSHARP) di Setiu, Terengganu. Ketua Eksekutifnya, Dr Shahridan Faiez, berkata langkah itu sebagai tambah nilai kepada pembangunan iSHARP yang diharapkan dapat menjana 1,500 pekerjaan serta mewujudkan peluang kepada PKS menembusi pasaran premium pengeksportan udang berkualiti tinggi. Katanya, iSHARP Setiu membabitkan pelaburan RM200 juta di kawasan seluas 1,000 hektar mempunyai lebih 650 kolam yang akan dibahagikan kepada dua komponen utama iaitu zon produksi diuruskan syarikatnya untuk pengeluaran yang konsisten dan zon PKS.

Beliau berkata, dengan berbekalkan modal operasi, PKS berpeluang untuk turut sama merebut pasaran premium industri itu dengan memiliki dan menguruskan beberapa modul dan kolam yang ditawarkan di zon berkenaan berdasarkan kemampuan masing-masing.

“PKS boleh menyertai kami menerusi sistem francais yang mana mereka perlu mengikut sistem operasi yang sediakan termasuk membeli produk yang dicadangkan dan menjual hasil mereka mengikut skim pembelian yang akan ditetapkan untuk kami pasarkan ke pasaran antarabangsa.

“Pembangunan dalam iSHARP ini akan turut menekankan komponen PKS selaras matlamat mengumpulkan syarikat swasta dalam satu kawasan perindustrian untuk sama-sama menghasilkan produk berkualiti tinggi bagi merebut pasaran premium,” katanya kepada Berita Harian, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Projek iSHARP adalah projek pembangunan ladang ternakan udang harimau bersepadu terbesar dan tercanggih di Malaysia yang disa-sarkan mengeluarkan 14,000 tan udang setahun yang menepati kualiti piawaian pasaran antarabangsa.

Shahridan berkata, berikutan pembangunan projek itu bermanfaat kepada pembangunan kawasan luar bandar dan PKS, pihaknya sudah mengemukakan cadangan kepada kerajaan bagi meluaskan operasi projek perintis iSHARP di negeri lain.
Katanya, langkah itu akan menyelesaikan masalah peladang kecil dan PKS tempatan yang kekurangan modal bagi membangunkan infrastruktur penternakan.

Tuesday, June 22, 2010

Proton laksana pelan transformasi 5 tahun Lotus

Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2010/06/23
Pengeluaran kereta sport mewah setanding Ferrari, Porsche

PROTON Holdings Bhd akan melaksanakan pelan transformasi lima tahun untuk menjadikan Lotus Group International Ltd sebagai pengeluar kereta sport mewah sebaris dengan Ferrari dan Porsche daripada sekadar pengeluar kereta sport biasa. Langkah itu disasarkan akan membolehkan anak syarikat milik penuhnya yang berpangkalan di United Kingdom itu, sebagai entiti yang menjana keuntungan kepada kumpulan itu pada masa depan. Selaras usaha itu, Proton semalam memperkenalkan barisan pengurusan baru Lotus terdiri daripada mereka yang berpengalaman terbabit dalam pelbagai jenama kereta sport mewah terkemuka dunia.

Di bawah pengurusan baru yang diketuai bekas pegawai kanan Ferrari iaitu Dany Bahar sebagai Ketua Eksekutif Lotus Group dan Pengarah Urusan Lotus Cars, seramai 11 muka baru lain yang memiliki kepakaran dan pengalaman luas dalam dunia pengeluar kereta sport mewah seperti Porsche, Ferrari, Aston Martin dan Fiat Groupturut disenaraikan.

Ia antaranya termasuk Paul Newsome, bekas jurutera Jaguar, BMW dan MG Rover yang kini bertanggungjawab merangka pelan kejuruteraan produk Lotus; Donato Coco, bekas pegawai kanan Ferrari yang terbabit dalam rekaan 430 Scuderia dan F548 Italia yang bertanggungjawab dalam pelan rekaan produk baru Lotus dan Andreas Schlegel, bekas pegawai bertanggungjawab merangka strategi pemasaran Daimler-Benz, Prosche AG yang mengetuai bahagian pembangunan jenama dan pemasaran kereta Lotus.

Perbezaan kereta sport biasa dan kereta sport mewah kebiasaannya merujuk kepada kapasiti enjin serta harga yang ditawarkan.
Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata di bawah pelan transformasi itu, pihaknya mahu menjadikan Lotus sebagai kereta terbaik dalam setiap segmen pasaran kereta mewah yang diceburinya dengan memiliki jenama yang tiada tandingan selain dibantu perkhidmatan terunggul dalam servis jualan dan selepas jualan serta keberkesanan dan produk berkualiti tinggi.

Beliau berkata, walaupun Proton sudah mengambil alih Lotus lebih daripada 10 tahun, pengeluar kereta nasional itu mengakui bahawa syarikat masih tidak menggunakan sepenuhnya keupayaan Lotus.

“Menerusi pelan lima tahun itu, kami juga menyasarkan untuk meningkatkan jumlah pengeluaran kereta Lotus kepada 8,000 unit setahun menjelang 2015 daripada hanya 2,500 unit setahun ketika ini,” katanya pada sidang media sempena pengenalan barisan pengurusan baru Lotus, di Shah Alam semalam. Hadir sama Pengerusi Proton, Datuk Mohd Nadzmi Mohd Salleh.

Proton mengambil alih keseluruhan ekuiti Lotus, pengeluar kereta sport yang terkenal dengan kepakaran kejuruteraan aerodinamik pada 1996.

Ketika ini, kenderaan Lotus dipasarkan ke 30 pasaran di seluruh dunia dan dengan perubahan strategi perniagaan itu, Proton mengenal pasti 25 pasaran baru lain untuk diterokai.

“Proton mampu menjadi jenama lebih kukuh menerusi hubungannya dengan Lotus dengan mengeluarkan kereta yang lebih baik dengan jenama terunggul, sekali gus meningkatkan lagi pendapatan dan keuntungan kepada kumpulan,” katanya sambil menambah Lotus sudah membuktikan keupayaannya dalam mengeluarkan beberapa model ikonik seperti Elite, Seven, Elan, Europa, Esprit, Elise dan terbaru, Evora.

Sunday, June 20, 2010

Cadang perluas Ar-Rahnu X’change di Indonesia

2010/06/21
Bank Rakyat rancang pelbagaikan bidang perniagaan francais

BANK Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) bercadang untuk mengembangkan produk francais pajak gadai Islam di bawah jenama Ar-Rahnu X’change di Indonesia dalam usaha mempelbagaikan bidang perniagaan francais ke republik itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha mempelbagai bidang perniagaan francais di Indonesia yang bertumpu kepada produk kesihatan dan makanan. Selain Indonesia, katanya, Malaysia juga berbincang dengan Brunei bagi mengembangkan produk francais pajak gadai berteraskan syariah oleh Bank Rakyat itu. “Ini pertama kali produk sebegini diperkenalkan di Indonesia, kita baru nak tinjau, belum bincang sama ada boleh atau tidak, belum tahu.

“Rakyat Indonesia yang akan buka perniagaan ini, cuma menggunakan konsep kita, inilah konsep francais,” katanya kepada media di Jakarta semalam, sempena lawatan kerja dua hari ke republik itu.

Ismail berkata, sebagai sebuah negara yang memiliki penduduk Islam teramai di dunia, beliau melihat produk itu berpotensi besar dikembang di Indonesia.

Beliau berkata namun begitu, beberapa perkara seperti dari segi perundangan dan sebagainya perlu diambilkira terlebih dulu.
Terdahulu Ismail Sabri merasmikan Pavilion Malaysia di Ekspo Konsep Perniagaan dan Lesen Francais Antarabangsa 2010 (IFRA) di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC) yang sedang berlangsung dari 18 Jun hingga semalam.

Ismail berkata, setakat ini 11 syarikat francais Malaysia membuka perniagaan di Indonesia termasuk Sports Planet, Daily Fresh, Nelson’s, Smart Reader, Royal Selangor dan Saba Islamic Media.

“Tahun ini Malaysia menawarkan tujuh produk francais baru untuk pasaran Indonesia iaitu Ar-Rahnu X’change, francais pendidikan dan asuhan kanak-kanak iaitu Q-Dees, Children Islamic Centre (CIC) dan pusat Tuisyen Mawar, francais optometris Focus Point, francais kiosk aiskrim MingoMingo dan francais kiosk dessert CoolBlog.

“Sehingga kini 26 produk francais Malaysia berjaya mengukir nama di 50 negara di seluruh dunia,” katanya.

Selepas merasmikan Pavilion Malaysia dan melawat ekspo francais, Ismail Sabri turut mengadakan forum peluang perniagaan Malaysia di JCC yang disertai komuniti peniaga Indonesia.
– BERNAMA

Sunday, June 13, 2010

Labur RM600j gandakan kapasiti pengeluaran

Oleh Suffian A Bakar
suffian@bharian.com.my
2010/06/14
Emery Oleochemicals mahu penuhi permintaan industri

EMERY Oleochemicals, syarikat oleokimia terbesar dunia yang turut dikuasai Sime Darby Bhd, akan melabur sekitar RM600 juta bagi menggandakan kapasiti pengeluarannya di Malaysia kepada 600,000 tan daripada 300,000 tan menjelang 2015 bagi memenuhi peningkatan permintaan industri produk pengguna. Ketua Eksekutifnya, Dr Kongkrapan Intarajang, berkata pelan lima tahun itu membabitkan kedua-dua segmen oleokimia dan bahan kimia khusus yang akan menyaksikan kilang tambahan dibina di tapak kilang sedia ada di Teluk Panglima Garang, Selangor. “Tahun ini kami komited menggerakkan pelan lima tahun yang memfokus kepada segmen pertumbuhan seperti oleokimia dan bahan kimia khusus.

“Kelulusan bagi pembinaan kilang oleokimia baru dijangka diperoleh tahun ini dan akan mengambil masa satu setengah tahun untuk disiapkan, sementara kilang bahan campuran plastik dengan keupayaan 25,000-30,000 tan pula dijangka beroperasi pada suku pertama 2011,” katanya dalam temubual di Shah Alam, semalam.

Kongkrapan berkata, syarikat itu menjangkakan peningkatan keupayaan berkenaan akan melonjakkan pendapatan syarikat sebanyak sekali ganda kepada sekitar AS$1.6 bilion (RM5.4 bilion) pada 2015 berbanding AS$800 juta (RM2.7 bilion) ketika ini.

Emery Oleochemicals, syarikat usaha sama antara Sime Darby dan Thai PTT Chemical Public Co Ltd, mempunyai kapasiti pengeluaran satu juta tan menerusi tiga kilangnya di Jerman untuk pasaran Eropah, Amerika Syarikat dan Asia.
Ia membekal oleokimia kepada industri produk pengguna yang sedang berkembang, didorong peningkatan permintaan khususnya di India dan China.

Kongkrapan berkata, keputusan untuk mengambil opsyen membina kilang baru itu susulan ketidakpastian kejayaan rundingan dengan Kulim Bhd bagi cadangan pengambilalihan kilang oleokimia milik Kulim di Johor.

Kilang oleokimia Kulim di Pasir Gudang berupaya menghasilkan 380,000 tan asid lelemak, 7,500 tan ‘methyl esters’ dan 47,500 tan ‘soap noodle’.

AmResearch dalam laporannya baru-baru ini menilai perniagaan oleokimia Kulim antara RM291 juta dan RM312 juta.

Kongkrapan menambah, termasuk dalam rancangan lima tahun itu ialah membawa sebahagian daripada aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang ketika ini tertumpu di AS dan Eropah ke negara ini.

Friday, June 11, 2010

Rahsia Estates maju hartanah

Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2010/06/12
Kos pembangunan resorts di Langkawi RM250 juta

PEMAJU hartanah, Rahsia Estates Resorts Residences & Spa (Rahsia Estates), akan membangunkan projek hartanah bercampur di Pulau Langkawi dengan nilai pembangunan kasar RM250 juta. Projek dikenali Rahsia Estates Resorts Residences & Spa Langkawi itu, membabitkan pembangunan resorts merangkumi hotel butik dengan 18 unit villa mewah, kompleks hotel lima bintang, dan 31 unit villa cabana. Ketua Eksekutif Rahsia Estates, Hanizah Abdul Hamid, berkata pembangunan resorts seluas 6.8 hektar di kawasan tenggara dan menghadap Laut Andaman itu akan mempunyai pantai persendirian serta jalan sejauh satu kilometer dari jalan utama di Bukit Malut.

“Selain pembangunan fizikal, projek itu turut menampilkan kawasan perlindungan paya bakau mengelilingi hutan simpan ber-sebelahan muara sungai Kampung Temoyong yang akan diketengahkan sebagai pembangunan berkonsepkan hijau ‘Eco’ Rahsia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili syarikat itu memeterai perjanjian dengan Asian Finance Bank (AFB) bagi pembangunan hartanah itu, di Kuala Lumpur, semalam.

Pada majlis itu, AFB diwakili Ketua Eksekutifnya, Datuk Mohamed Azahari Kamil dan disaksikan Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Dr James Dawos Mamit.
Menerusi perjanjian itu, AFB dilantik sebagai ejen pengedaran dan promosi Rahsia Estates Resorts Residences & Spa Langkawi bertanggunjawab mempromosi serta menarik masuk pelabur asing, khususnya dari Asia Barat untuk terbabit serta sebagai pelabur dalam projek itu.

Pembangunan itu juga akan diperkenalkan kepada pelabur tempatan dan antarabangsa terpilih lain yang berminat melabur dalam pembangunan berprofil tinggi.

Hanizah berkata, projek Rahsia Estates Resorts Residences & Spa Langkawi yang sudah diluluskan pelan pembangunannya itu, dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2013 dan akan mula beroperasi pada awal 2014.

Katanya, dengan harga tawaran menarik bermula kira-kira RM2.4 juta seunit, pihaknya menjangkakan projek berkenaan berupaya menarik kemasukan pelaburan asing, sekali gus memberi manfaat kepada pertumbuhan industri pembinaan dan pelancongan negara.

Beliau berkata, pembangunan terbabit akan mengikuti garis panduan ditetapkan Indeks Bangunan Hijau dan apabila beroperasi pada 2014 kelak, ia bakal menjadi mercu tanda Langkawi.

“Ia menawarkan kediaman mewah, perkhidmatan pelanggan unggul dengan kediaman berpagar serta kawalan keselamatan sepanjang masa, sekali gus berupaya menarik minat pelabur asing memilikinya sebagai aset kediaman kedua mereka,” katanya

WSC perluas operasi minyak, gas penuhi permintaan

2010/06/12
PENYEDIA perkhidmatan minyak dan gas, Wah Seong Corp (WSC) Bhd, kini memperluas operasi minyak dan gasnya bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk pembangunan laut dalam dunia.

Timbalan Pengarah Urusannya, Giancarlo Maccagno menafikan laporan baru-baru ini bahawa konsortium itu yang membabitkan Bredero Shaw dan dua firma ekuiti swasta yang dikenali sebagai 4D dan Sophia, dipilih berbanding WSC untuk Socotherm, sebuah syarikat Itali, sebagai halangan kecil. “WSC menganggapnya sebagai kelaziman dalam proses bidaan. Kedudukan hampir monopoli oleh konsortium itu di kebanyakan kawasan, sebenarnya adalah peluang untuk kami berikutan penyertaannya dalam pasaran ini dilihat sebagai memastikan persekitaran yang kompetitif,” katanya kepada media selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di Pulau Pinang, semalam. Maccagno berkata, syarikat juga merancang membuka kilang penyalut paip di Eropah bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih baik di rantau itu.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan secara khusus negara di Eropah itu.

Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif WSC, Chan Cheu Leong berkata, syarikat juga sedang mengkaji penggabungan dan pengambilalihan (M&A) bagi meningkatkan lagi pertumbuhan masa depannya.

“Masanya tetap untuk mengkaji secara agresif M&A memandangkan pelbagai penemuan dalam bidang laut dalam menawarkan peluang besar untuk syarikat membekalkan teknologi penyalut yang baharu dibangunkannya untuk projek seumpama itu,” katanya.
Beliau menambah, syarikat juga melihat peluang besar untuk operasi minyak dan gasnya di laut dalam `Segi Tiga Emas’ Brazil, Teluk Mexico dan Afrika Barat.

“Industri minyak dan gas memperlihatkan kira-kira AS$170 bilion dibelanjakan untuk penerokaan dan pengeluaran laut dalam dalam tempoh lima tahun akan datang, 75 peratus di kawasan Segi Tiga Emas itu,” katanya.

Chan berkata, pembangunan laut dalam pada masa ini membuka peluang memandangkan WSC adalah antara beberapa syarikat yang mempunyai teknologi dan rekod kerja yang baik. – BERNAMA